Yang Ikut

Monday, 22 June 2015

Selamatkah kita?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Penemuan ratusan kubur orang Rohingya di sempadan Perlis -Siam sepatutnya tidak membuatkan kita sekadar berkata teruk sangat rupanya kehidupan di sesetengah negeri sehingga ada yang sanggup bergadai nyawa untuk mencari nasib yang lebih baik. Tidak patut juga kita berkata kita terlebih baik.

Ia sebenarnya menunjukkan betapa untuk masuk ke negara kita ini mudah sahaja. Tidak perlu terlatih hebat sebagai militan atau seperti James Bond. Mereka mungkin sudah keluar masuk negara kita begitu lama. Sempadan kita boleh diceroboh masuk bermacam cara.

Soalan yang patut kita tanya, selamatkah kita?

Keduanya tidak adakah orang yang memerhatikannya?

Mutakhir kini, banyak berita orang tembak dan berbunuhan di sana sini.

Dulu-dulu kita selalu dipesan agar berhati-hati kalau ke Siam. Jangan buat hal. Sebab ramai orang yang ada pistol dan menembak mati kalau tersalah cara.

Kini nampaknya kita rasa selamat kalau ke Thailand. Bandarnya juga bersih. Boleh lepak minum kopi dengan aman.

Takut-takut ada orang Siam yang berpesan, bernati-hati ke Malaysia. Jangan buat kacau. Nanti ditembak.

Pistol itu masuk daripada mana dan bagaimana caranya?

Thursday, 18 June 2015

Tweet tweet tweet

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tweet oleh seorang Timbalan Menteri yang mengajar orang ramai bagaimana menggoreng nasi boleh menghindarkan GST telah ditweet semula ribuan kali. Tapi menimbulkan beribu kali juga pertanyaan di benak saya.

Saya tidak kisah orang menulis apa sahaja.

Mungkin cara ahli politik itu hal kreatif yang jarang difikirkan ramai orang. Atau beliau sekadar suka-suka berkongsi ceritanya, tetapi ceritanya itu telah di'tweet'kan oleh orang lain dengan niat menyindirnya, memarahinya atau memujinya. Perkaranya mungkin baik. Tetapi waktunya tidak betul.

Ia mungkin asalnya hal pribadi, sekadar bersuka-suka seperti banyaknya orang berkongsi semua cerita di Facebook atau Instagram. Bagaimana pun, bagi seorang yang bergelar Menteri atau Timbalan, berkongsi cerita ada batasnya. Anda bukan orang biasa. Gerak geri anda diperhatikan.

Sedangkan artis tidak boleh sebarangan berkongsi ceritanya, inikan ahli politik yang berdebat hal masa depan negara.

Adakalanya gerak laku kita boleh menjadi jenaka yang memualkan. Saya seorang biasa, tidak dikenali dan tidak penting di mana-mana. Tetapi tidak semua hal yang saya rasa tidak berbaloi untuk dikongsikan, saya tuliskan. Kerana apa yang saya kongsikan, sekalipun bernas mungkin dilihat sebaliknya oleh pembaca.

Sesuatu hal itu bergantung siapa orangnya. Seorang anak kecil berkongsi cerita dia mendapat nombor 1 dalam kelas tidak sama sifatnya dengan seorang ahli politik memberitahu pangkat peperiksaan SPMnya. Ia hal yang sama tetapi nilainya berbeza.

Seorang yang dianggap pemimpin perlu bercakap sesuai dengan tahapnya. Seorang ulamak besar yang memberitahu orang bahawa kentut membatalkan solat tidak membawa sebarang erti. Orang mahu dia bercakap hal yang lebih tinggi. Misalnya adakah boleh tidak berpuasa jika berada di negara yang matahari tidak muncul. Jadi ia sesuai dengan akalnya, dan orang lain mahu mendapat manfaat daripada ilmunya.

Setiap mereka yang diberikan amanah oleg rakyat sepatutnya berkongsi hal yang lebih besar, sesuai dengan kapasitinya. Facebook, Tweeter atau apa sahaja medium yang lain tidak lagi menjadi milik mereka bercerita dengan keluarga atau rakan-rakan, tetapi rakyat jelata. Jadi berkongsilah tentang hukum fiskal negara, atau apa yang sedang dibuat negara untuk mengawal inflasi. Pengalaman yang dilalui negara lain juga boleh dikongsi.

Jangan berikan cadangan yang aneh-aneh. Menggoreng nasi memang boleh mengelak GST. Tetapi bolehkan dimakan nasi goreng setiap hari? Orang juga perlu makan di luar dan perlu membeli barang yang ada GST.

Jadi bagaimana caranya yang telah dilakukan, dan apa jalan terbaik untuknya.

Cadangan seperti menggoreng nasi ini hanya menjadi bahan lelucon dan diketawakan manusia. Ia menjadi perhatian masyarakat dari luar juga.

Sebenarnya, cadangan seperti itu hanya sesuai dilontarkan orang awam sahaja. Misalnya berpuasalah, pasti kita bebas GST sepanjang hari untuk bahan makanan. Atau jangan beli terlalu banyak pakaian, sebab ia ada GST. Tetapi orang tidak akan mengeji atau marah jika ia ditulis oleh orang biasa.

Kalau mahu dikongsi idea, berkongsilah hal rasional. Jangan berkongsi hal yang membuat orang ramai yang sedang gelisah merasa seperti sedang diperbodohkan.

Negara ini milik kita bersama. Bersama mencari jalan yang terbaik itu tugas kita. Orang tidak bersetuju tidak mengapa. Itu adat di mana pun jua. Tetapi jangan jadikan perkara yang kita kongsikan itu menjadi bahan ketawa dan dikongsi pula ke merata dunia.

Kalau kita tidak mampu menjaga imej kita, siapa lagi?

Ia pesan untuk saya sendiri.

Salam Ramadhan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Untuk semua yang membaca dan terbaca, Salam Ramadhan.

Apa bezanya Ramadhan kali ini dengan yang terdahulu. Mungkin inilah Ramadhan yang paling meriah. PAS bergasak dengan DAP, Pakatan yang dulunya berpakat kini tidak lagi sepakat. Dalam PAS berbilang-bilang pula dengan kumpulan progresif dan pro ulamak. Siapa yang benar?

Kebenaran tidaklah hal yang penting dalam politik. Yang penting ialah siapa yang dilihat berkuasa. Yang menang belum tentu berkuasa, yang kalah belum hilang bisanya.

Yang selalu hilang semuanya ialah kita.

Selamat berpuasa. Kurangkan mengata.

Tuesday, 16 June 2015

Senyum bukan tandanya bahagia

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya sudah lama tidak begitu ambil pusing hal politik kerana ia membuatkan kepala saya juga berpusing-pusing. Saya tidak lihat politik kita sedang melalui proses yang baik. Saya tidak mengatakan semua orang perlu sempurna.

Tatkala Barisan Nasional sedang bergelut dengan usaha meyakinkan rakyat dengan isu 1MDB dan GST, Pakatan pula sedang dipukul ribut gara-gara pertelingkahan PAS dan DAP. Jadi, politik yang semakin kalut, kacau bilau dan berpusing-pusing menjadikan kita selalu bertanya siapakah yang patut kita percaya.

Saya cuma percaya - setiap hujung bulan saya perlu membayar segala macam hutang. Baki gaji saya sebenarnya tidak pernah cukup untuk menjadikan saya merasa bahagia.

Ahli politik boleh membuatkan saya tersenyum. Saya tersenyum kerana saya merasa lucu. Bukan bahagia dan merasa senang.


Sunday, 7 June 2015

Percaya itu di mana adanya?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dunia manusia ini aneh.

Yang palsu dipercayai, yang benar diragui. Manusia adakalanya percaya bukan kerana mereka percaya, tetapi kerana kerana mereka berlakon percaya. Lebih teruk ada yang memaksakan orang lain untuk percaya sedangkan yang memaksakan itu pun mungkin juga tidak berapa percaya.

Tapi kerana percaya itu kini adalah sesuatu yang diperlukan, maka semua orang mengangguk percaya kerana tidak berdaya untuk tidak percaya. Samalah seperti lembu di padang yang diminta untuk memakai spek mata hijau untuk percaya rumput di musim kemarau itu hijau, dan bukan kuning. Tetapi apabila rumput kering tadi masuk ke mulut, ia dirasa seperti kering. Jadi bagaimana boleh pula hijau? Tetapi kerana telah diminta percaya ia hijau, maka apa boleh dibuat.

Jadi percaya itu sepatutnya ada di mana?

Pada rasa atau pada dengarnya?

Semakin kita memiliki ilmu, semakin besarlah deria rasa dan semakinlah kita tidak kisah apa pun yang berkumandang pada dengarnya.

Sama seperti itu diberitahu bahawa hidup kita ini selamat. Sedang setiap hari kita melihat banyak penyamun sedang merompak. Lalu percaya itu harus pada rasa atau pada dengarnya.

Ia pada hati kita masing-masing.


Ingatlah yang indah sahaja

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya cuba kembali menulis beberapa hari ini.

Seingat anda, berapa banyak perkara yang berlaku dalam hidup anda yang masih anda ingati, dan banyak mana pula sudah dilupakan. Clive Wearing mungkin bukan seorang yang bertuah kerana ia mengalami kerosakan otak, menyebabkan dia hanya mengingat satu-satu perkara beberapa saat sahaja. Kemudiannya lupa kembali.

Isterinya bertuah kerana Wearing tidak melupakannya, walaupun dia melupai nama anak-anaknya. Dia hanya tahu dia mempunyai anak, tetapi tidak tahu berapa orang dan siapa mereka.

Bagaimana pun, bekas pemain piano ini tidak melupakan cara bermain alat muziknya. Cuma dia akan terlupa bahawa dia sudah memainkannya beberapa saat selepas berhenti.

Jill Price seorang yang luarbiasa, salah seorang daripada 4 orang dalam dunia ini yang tidak pernah lupa. Dia dikatakan memiliki ingatan autobiograpy. Hebat bukan?

Orang mula sedar bahawa salah satu bahagian otak yang dinamai sebagai hipocampus berfungsi menyimpan ingatan apabila Henry Molaison yang telah dibedah otaknya tiba-tiba melupakan semuanya selepas pembedahan.

Tatkala Wearing malang kerana tidak mengingati apa-apa, dia sering tersenyum dan menyapa mesra orang yang ditemuinya kerana baginya orang tadi pertama kali ditemuinya. Sedangkan dia tidak tahu bahawa orang yang ditemuinya itu sudah duduk di depannya dan berbual dengannya agak lama.

Price pula malang kerana ingatannya itu mengingatkan semua perkara duka dalam hidupnya. Ia menyakitkan juga.

Jika diberi pilihan untuk kedua-duanya, jangan pilih kedua-duanya. Pilihlah untuk mengingati yang indah-indah dan melupakan semua yang pahit.

Aku sedang mencubanya. Aku sedang untuknya. Kerana aku juga mengingati hampir banyak perkara termasuk yang pahit dan melukakan.

Hidup ini adakalanya tidak perlu terlalu luarbiasa!

Thursday, 4 June 2015

Aku takut menjadi dungu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dunia hidup kita semakin hari kian aneh. Di internet, ramai yang terangsang bercakap hal agama. Ramai yang terliur membahasnya. Lalu lihatlah di tangan anak bangsa kita ini. Berapa ramai yang memegang kitab? Bukankah kita semua kian sibuk dengan smartphone? Lalu hal agama apakah yang cuba kita tinjolkan?

Di internet dan media sosial manusia bermakian kerana politik yang tak sama arusnya. Lalu bermakian jugakah bila anak-anak kita yang semakin banyak mati menelan syabu dan dadah. Sedang kita semakin hari semakin taksub menjaga politik. Tetapi politik ini menjaga apa dan siapa?

Lalu aku mendongak ke langit.

Manusia ini tidak perlu tunggu runtuhnya langit untuk binasa. Banyak manusia terdahulu, sekarang dan akan datang yang binasa kerana dungu dan jahil menafsir realiti.

Wednesday, 3 June 2015

Aku yang hilang

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Jarang aku menulis. Banyak isu berlegar. Daripada hal politik, 1MDB sehinggalah hal remeh temeh termasuk drama Melayu. Tidak ada satu pun yang tertulis.

Aku tidak pasti sebab aku malas menulis. Sejak emak aku meninggal dua tahun dulu, mood aku menulis tidak ada lagi.

Sebulan dua lagi aku mungkin menetap di luar negara lagi. Kalau tidak ada aral.

Aku mungkin kembali menulis.

Kata orang, menulis ini hal yang payah. Kataku menulis ini hal pemikiran. Ia menjadi payah bila pemikiran kian gelisah.

Aku tidak janji aku akan menulis seperti selalu. Aku cuma boleh berkata aku perlu mencuba menjadi aku semula.

Aku sudah hilang daripada duniaku yang asal. Aku pun tak mampu bertemunya lagi.

Ku kata pada diriku. Pulanglah. Pulanglah dunia tulis ke kanvas fikirmu.

###

Aku mula merasa mahu ke luar negara semula sejak emak aku tiada. Setiap kali pulang ke kampung, aku rasa seperti ada keindahan yang hilang. Dulu aku pernah menulis, yang indah ialah yang tertinggal.

Benar rupanya. Rumah aku di kampung kosong dan menjadi rumah tinggal. Pohon sirih emak aku masih menghijau subur. Reban ayamnya juga kosong. Tiada lagi ayam. Telaganya juga tidak diguna lagi. Tidak ada apa-apa yang indah.

Aku selalu memecut laju pulang seolah-olah emak masih ada menyambut aku. Tiba di rumah, aku mula meraba-raba tempat emak menyimpan kunci rumah yang diikat dengan kaki ubat nyamuk. Ia kunci rumah terhebat. Sudah puluhan tahun sejak aku remaja.

Masuk ke dalam rumah, aku tahu emak tidak ada lagi. Ku pecut keretaku dengan laju mencari siapa? Aku mencari keindahan yang hilang.

Semakin lama, aku mula sedar aku perlu lebih jauh daripada duniaku yang berlalu. Aku berlari. Aku mahu padamkan ingatan.

Dapur rumah emak sudah lama tidak berasap. Tidak ada lagi emak bercerita.

Ku beritahu diri -- terbanglah tinggi. Terbanglah menjauh. Agar aku lebih faham makna perjalanan. Perjalanan mencari sesuatu yang tiada.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails