Yang Ikut

Tuesday, 29 December 2015

Sara hidup: Ikutlah saran saya

Reactions: 
Saya fikir, cadangan agar kita membuat 2 atau 3 kerja untuk menampung kos sara hidup sangatlah menghiburkan. Bukan mudah untuk mendapat satu kerja sekalipun di zaman ini, apatah membuat banyak pekerjaan. Jadi hanya yang sangat luarbiasa sahaja mampu melakukan banyak kerja.

Orang bawahan seperti kita, yang tidak hebat dan tidak luarbiasa, mempunyai satu kerja pun sudah boleh bersyukur. Baik di jabatan kerajaan atau swasta, kita diminta punch in pagi, dan punch out petang. Kita diminta jangan banyak curi tulang dan amanah dengan pekerjaan. Malah, ada yang tak sempat makan tengahari. Ada yang tak habis kerjanya di pejabat, lalu dibawa pulang ke rumah pula.

Anak isteri tidak sempat dibelai. Dengan satu kerja pun rumah tangga tak keruan, tak tahulah jika ada banyak kerja.

Melainkan kita orang istimewa yang dilantik menjadi pengerusi atau pengarah di sana sini. Orang seperti ini tidaklah berkerja seperti kita. Mereka sesekali menghadiri mesyuarat. Tidak perlu berulang alik seawal pagi, dan pulang tatkala matahari sudah jatuh.

Mungkin juga kita boleh bawa teksi di waktu malam. Kemudiannya jam 5 pagi berkerja di pasar borong. Tapi bolehkah?

Dalam dunia ini, ahli politik biasanya ada banyak jawatan. Kalau seseorang itu bukan ahli parlimen,  atau ahli dewan undangan negeri, mereka tidak boleh dilantik jadi menteri atau Exco. Kalau ingin dilantik juga, perlu dilantik jadi Senator dulu. Jadi secara automatiknya setiap yang jadi menteri itu perlu ada dua jawatan.

Kalau dilantik pula dengan penasihat di sana sini, atau pengerusi syarikat tertentu, mereka boleh pegang berpuluh-puluh jawatan.

Tetapi untuk orang kebanyakan seperti kita, yang mengikuti kerja secara formal dari jam 8 pagi dan pulang 5 petang, jangankan banyak kerja, satu kerja tadi pun tak tertanggung.

Apatah pula kerja yang kita lakukan itu bukan sekadar bercakap sahaja.

Jadi saran untuk melakukan lebih dari satu kerja ini saya tak ambil pusing sangat.

Kita boleh ambil saran ini sebagai satu hiburan setelah penat berkerja.

Untuk atasi kos sara  hidup, saya fikir kita teruslah membuat pinjaman bank dan jual segala apa yang ada.  Kerana akhirnya tak ada seorang pun yang akan berfikir untuk kita, termasuklah mereka yang bijak pandai dan bergeliga.


1 comment:

Hairulnizam Paiman said...

As salam bro..moga sihat sejahtera
terus membuat pinjaman bank dan jual segala apa yang ada tu pun menghiburkan juga :-)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails