Yang Ikut

Friday, 4 December 2015

Cerita aku di tahun 2015

Reactions: 
Masa berlari begitu laju. Sekarang tahun 2015. Tahun 1985 aku di Tingkatan 1 Khas 2 di Sekolah Menengah Jitra. Ia sekolah yang 30 kilometer jauh daripada kampung aku. Ia memang sangat jauh untuk anak-anak orang susah seperti aku. Untuk sampai ke pekan terdekat, Changloon yang sejauhnya cuma 3 batu itu pun sangat jauh, apatah lagi belajar di sekolah bandar. Waktu itu aku cuma kenal basikal sebagai kenderaan terlaju di dunia.


Masa berlalu dan pergi. Aku kian membesar kalaupun tidak kian dewasa. Pencapaianku di sekolah turun dan naik. Ada subjek yang aku sangat cemerlang. Ada subjek yang aku gagal. Aku tidak ada subjek yang sederhana. Ia bersifat 'two opposite poles' yang jarang bersatu. Pencapaian sains dan matematik aku teruk. Banyak gagal daripada lulus. Lulus pun sebenarnya dalam kategori gagal. Pelajaran bahasa dan menghafal aku cemerlang. Ia bukan temberang.

Tahun 1992 aku ke universiti. Aku semakin bijak sekalipun tidak juga cemerlang. Tidak pernah aku berangan-angan lulus kelas pertama. Aku cuma ingin lulus sahaja. Tapi aku tidaklah teruk sangat. Subjek psikologi aku boleh kuasai dengan baik. Aku memang cemerlang dalam subjek metodologi. Baik metodologi psikologi atau sejarah. Aku pasti mendapat A. Sebab ia subjek berkisar logik 'keadilan memilih dan menafsir'.

Masa berlalu lagi. Tidak banyak kisah cinta dalam perjalanan usiaku. Selain tidak tahu menggoda anak dara, tidak juga yang terpikat denganku. Aku rasa begitu. Ada beberapa orang gadis yang baik denganku. Tapi kami tidak pernah bercinta dan berdating. Baik tidak memberi apa-apa makna. Suka juga tidak mendatangkan apa-apa.

Aku dalam kategori bukan menggoda dan tergoda. Aku dalam duniaku yang lain. Dunia tanpa mimpi tanpa igau tanpa angan.

Semakin membesar, aku kian tua sekalipun belum tentu dewasa.

Tahun 1996 aku mula berkerja. Sesekali tiada kerja. Sesekali kerja semula.

Aku menjadi kuli dengan pelbagai sifat dan darjat. Akuu pernah memburuh kerja kontrak. Pernah memburuh di kilang. Menjadi pembancuh teh tarik dan kopi O. Ada seorang pakcik tua, pelanggan tetap kedai, tidak mahu minum kopi yang aku bancuh.

Aku pernah menjadi pengurus. Menjadi kuli yang dinamai Ketua Pegawai Operasi di Indonesia. Pernah diberi tugas sebagai Pengurus juga di tempat lain.

Aku kian tua, sekalipun tidak dewasa.

Aku ada semua jenis ijazah daripada yang paling bawah sehinggalah PhD. Adakah aku kian cerdik? Tidak juga. Melainkan ia sekadar melengkapkan pusing cerita jalan hidupku.

Cerdik dan bodoh adalah rekaan manusia sahaja. Kita mungkin cerdik di kampung kita, tetapi bodoh di tempat orang. Kita mungkin melihat diri cerdik, tetapi orang lain sedang melihat kita sebagai bodoh. Bukankah kini kita sedang menyaksikan banyak orang yang merasa cerdik dengan kenyataan bodoh?

Cerita manusia ini berlingkar dalam kitar cerdik dan bodoh. Aku menulis di majalah dan suratkhabar. Aku menulis di jurnal juga. Aku menulis bab dalam buku. Tapi aku juga banyak kisah bodoh. Yang paling bodoh, aku tidak sempat menunggu di katil hospital melihat emakku pulang ke alamnya. Ia takdir. Tetapi ia takdir yang mengisahkan ralat hidup.

Tahun 2015 aku di Australia. Aku tidak tahu di mana perjalanan hidupku akan terhenti. Yang kita dapat tahu hanya di mana kita bermula.

Kita tak dapat memilih bumi mana kita dilahirkan. Tetapi kita boleh memilih bumi mana kita meneruskan kehidupan.

Itulah ceritaku di tahun ini. Cerita seorang lelaki yang kian tua, tetapi mungkin tidak semakin dewasa. Aku tidak semakin cerdik. Tetapi aku harap tidak menjadi kian bodoh.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails