Yang Ikut

Saturday, 19 September 2015

Sejak bila darah kita lebih mulia?

Reactions: 
Malaysia sekarang sepertinya bergerak ke belakang.

Ahli politik mula memainkan isu perkauman keterlaluan untuk menonjolkan diri.

Malangnya ia dianggap isu biasa.

Kini bising-bising, apa salahnya jika dilaungkan 'Cina Babi' kerana babi itu makanan orang Cina. Ia hanya jijik untuk Melayu dan bukan orang Cina. Tak pastilah sama ada kenyataan seumpama ini dilihat munasabah, atau ada benarnya. Saya melihat kenyataan seumpama ini lebih kepada kenyataan tidak cerdik yang tak sepatutnya keluar dari mulut sesiapa pun.

Maka kemudiannya muncullah pula kenyataan Melayu lembu? Lembu ialah makanan orang Melayu. Logiknya ia tidak salah bukan?

Tetapi itulah hasilnya bila menggunakan hujah yang dangkal untuk membenarkan sesuatu yang salah. Babi memang makanan orang bukan Islam. Tetapi dalam penggunaan harian, khususnya dalam budaya kita babi juga dirujuk untuk menghina. Ia diguna sebagai terminologi kata nista untuk banyak budaya di dunia.

Lembu juga begitu. Ia perlambangan kebodohan. Walaupun hakikatnya lembu mungkin tidaklah bodoh, atau juga pintar. Ia hanya binatang sahaja.

Tetapi mengapa harus disindir bangsa lain dengan kata yang tidak disukai?

Adakah satu-satu bangsa itu lebih baik daripada bangsa lain. Dalam dunia ini, bangsa Yahudi selalu mengaku mereka bangsa pilihan.

Sedangkan hakikatnya darah kita ini sama sahaja. Mungkin darah kita juga mengandungi darah pelbagai bangsa. Yang pasti tulin darahnya ialah Nabi Adam dan Hawa. Selainnya darah kita ini telah bercampur dengan pelbagai sifat darah dari pelbagai bangsa.

Pada akhirnya, niat kita itulah yang menentukan kemuliaan kita.

Saya juga perkauman. Saya juga marahkan bangsa lain dalam hal tertentu. Tetapi saya juga marahkan bangsa saya yang tidak mahu berubah.

Tetapi saya tidak akan menyatakan orang lain sebagai babi kerana saya tahu ia menyakitkan hati. Sama seperti saya tidak suka orang menghina bangsa saya sebagai lembu kerana ia juga menyakitkan hati.

Jadi mengapa kita tidak berfikir?

Adakalanya kita merasa telah berjuang untuk mendapatkan sesuatu. Sedangkan hakikatnya kita mungkin tidak dapatkan apa-apa melainkan permusuhan dan hilangnya persahabatan. Kita mungkin telah hilang harga diri.

Cukup-cukuplah. Dunia telah berubah. Jangan bermain politik yang membinasakan keharmonian.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails