Yang Ikut

Sunday, 27 September 2015

Mari kita promosikan hak hidup bersama

Reactions: 
Saya seorang pendatang di Australia. Saya juga bukan warganegara. Saya tidak ada banyak keistimewaan kerana saya bukan warganegara. Tetapi saya ada hak saya sendiri sebab saya datang secara sah. Malah, yang datang secara tidak sah pun ada haknya juga.

Begitulah sepatutnya.

Tidak ada gunanya kita bermasam muka hanya kerana kita mempunyai status yang berbeza.

Di Malaysia isu perkauman kian menjolok mata. Ia isu yang timbul setelah puluhan tahun rakyat berbilang bangsa hidup bersama secara tenteram. Memang ada seorang dua yang agak prejudis. Saya juga. Tetapi tidaklah boleh kita rangkum semuanya menjadi isu yang menyakitkan.

Jika hendak berdemontrasi atau berkumpul, yang patut digalakkan ialah mempromosikan hak hidup bersama. Kita berkumpul untuk melagukan kehidupan Malaysia berbilang bangsa. Jika ada hak tertentu untuk kaum tertentu seperti mana yang telah dipersetujui maka kita bersetujulah untuk tidak mengungkitnya. Jika ada bangsa tertentu menjadi kaya, maka bersamalah kita mempromosikan cara untuk kita semua sama-sama kaya.

Itulah sepatutnya. Bermusuhan sesama kita tidak menguntungkan sesiapa. Mereka yang datang tidak boleh mengubah sejarahnya. Mereka yang lahir di sini juga tidak boleh mengubah takdirnya.

Yang boleh diubah ialah mempromosikan hak hidup bersama tanpa banyak melagukan sentimen perkauman.

Kita semua, akan menuju arah yang sama. Mati dan berakhirlah cerita kita.


1 comment:

alfindani said...

Barangkali itulah impian yang dikongsi bersama di dalam lubuk hati sebahagian besar manusia. Namun apabila majoriti lebih memilih untuk diam, maka minoriti yang punya hati yang sakit menguasai keadaan.

Manusia akan lebih banyak mengerumuni penjual ubat kaki lima yang kuat teriakannya, sedang doktor sebenar berdiam di dalam klinik yang sekadar memaparkan papan tanda.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails