Yang Ikut

Wednesday, 15 July 2015

Sebiji batu pun orang boleh berperang

Reactions: 
Puas saya berfikir, adakah hanya kerana sebiji handphone, orang sampai tergamak merusuh. Jika konflik agama sekalipun orang boleh bersabar, agak aneh hanya kerana sebiji handphone orang boleh pula tidak menahan sabar lalu mengajak orang mengamuk. Agak aneh banyak anak Melayu mati kerana dadah, atau ada nenek tua yang diragut tetapi belum ada kumpulan pembela kaum yang bersuara merungut, apatah lagi marah-marah.

Jadi mengapa hanya kerana hanya sebiji handphone orang hilang sabar. Mutakhir ini banyak sangat kumpulan yang mendakwa membela kepentingan itu dan ini. Termasuklah yang berpakaian seragam seperti pasukan tentera.

Anehnya banyak pula yang mengikut. Ada pula kumpulan yang selalu muncul menjadi pengacau apabila ada satu-satu isu timbul. Hendak dikata orang kita tidak cerdik, banyak sudah universiti dibuka. Sekolah kita juga cantik-cantik, lengkap dengan guru dan percuma pula. Tetapi kelihatannya masih banyak yang kurang cerdik mengikut orang-orang seperti ini.

Lalu, apa yang kita perhatikan sejak beberapa tahun ini banyak sangat kumpulan yang mendakwa mereka membela kepentingan itu dan ini. Ia muncul seperti cendawan lepas hujan.

Di Barat, banyak kumpulan yang ditubuhkan. Ada sekumpulan manusia yang melakukan kerja amal membantu orang menderita di seluruh dunia. Mereka menghantar doktor 'terbang' untuk membantu umat manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Ada pula yang begitu komited dengan usaha menjaga alam sekitar. Ada yang menjadi wira hak asasi.

Jarang benar ada kumpulan yang memperjuangkan hal remeh temeh atau menjadi kumpulan pengacau. Tetapi di Malaysia, apa sahaja boleh jadi.

Kes handphone tadi bukanlah isu besar sampai patut untuk bergaduh. Kalau hendak dikira kita ditipu oleh mereka yang berniaga, setiap hari peluang kita ditipu sama banyak dengan peluang tidak ditipu. Tetapi kita tidak perlu kecoh-kecoh.

Ia menjadi kecoh bila ada yang mahu menjadi wira apa sahaja isu. Tatkala orang hendak berforum mereka ini datang. Lalu ada yang menyokongnya pula. Tatkala ada kumpulan tertentu berdemo, mereka juga berdemo. Lalu selalu sahaja bertembung dan ada hal yang tidak kena.

Sepatutnya berdamai dan berbincang itu jalan paling baik. Tetapi kelihatannya semua orang ada cara sendiri. Semua orang ada kumpulan masing-masing yang gah dan hebat. Sekalipun tidak terkenal seperti Yakuza dan Mafia, tetapi senua orang ingin dapat nama untuk menjadi hero. Tidak kisahlah apa yang berlaku kemudiannya, termasuk ada anak-anak muda bergaduh.

Sampai saatnya nanti, apabila semua perkara hendak dijadikan bahan populariti, sebiji batu pun orang boleh berperang dan merusuh.

Ia mungkin sesuatu yang hebat.

Sedang dunia luar sedang mentertawakan kita.

Kita peduli apa. Esok lusa akan ada lagi wira baru yang muncul. Semakin banyak universiti, semakin banyak pula orang yang kian jahil hidup dalam dunia entah apa-apa.

Cukuplah. Cukuplah. Cukuplah mencipta bahan ketawa.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails