Yang Ikut

Wednesday, 1 July 2015

Rumah mana anda menuju?

Reactions: 
Setiap kali beraya, jalanraya dan lebuhraya penuh sesak. Semuanya berpusu-pusu pulang ke kampung halaman. Tanpa peduli harga tol, atau harga minyak yang selalu sahaja naik walaupun harga minyak dunia jatuh, orang balik juga. Yang tiada motokar, bermotosikal. Yang kaya naik pesawat. Yang tiada apa-apa naik bas atau keretapi. Asalkan balik.

Apa yang indahnya raya ini sehinggakan Kuala Lumpur menjadi padang jarak setiap kali musim raya.

Orang tentu percaya wang yang banyak itulah memeriahkan raya. Memakai baju raya berwarna warni, berbelanja besar memberi wang raya atau hingar bingar bunyi mercun itulah kemeriahan raya. Ya, tanpa wang, raya samalah seperti mandi di kolam renang tanpa air.

Seorang kawan lama, dia selalu bercerita suram hidupnya setiap kali raya. Emak ayahnya sudah lama tiada. Tetapi dia pulang juga seperti orang lain. Tetapi dia tidur di hotel, bukan di rumah. Rumah pusakanya sudah lama dijadikan rumah sewa. Tidur di rumah saudara, mereka pun sesak dengan keluarga masing-masing.

Aku selalu mengangguk mendengar ceritanya. Tapi setelah 2 tahun ibu pulang, aku kini seperti dalam ceritanya. Aku pulang juga. Tetapi tidak ada lagi meriahnya bila emak tiada. Peti ais hanya bernyala kosong tanpa sayur, tanpa ikan. Dapur sudah lama tidak berasap. Jadi pulang beraya ke kampung, ibarat lalu menelan payaunya hidup.

Memang banyak lagi saudara dan kawan-kawan yang lain. Tetapi paling lama pun, yang boleh dibuat ialah singgah di kedai kopi dan berbual sejam dua. Itu sahaja.

Tanpa ibu bapa, tanpa rumah untuk dituju, raya ini samalah bersiap cantik untuk masuk ke hutan. Tidak ada apa yang indah.

Jadi, di mana indahnya raya?

Indahnya ialah berbual mesra dengan ibu bapa kita yang mungkin sudah kedut kulit wajahnya.

Rumah mana anda menuju?

Selamat hari raya. Bersukalah selagi anda masih milikinya kerana ia mungkin raya terindah milik anda!
http://fakirfikir.blogspot.com/2013_08_01_archive.html?m=0
http://fakirfikir.blogspot.com/2013/08/cerita-emak-2.html?m=0

1 comment:

mulan said...

Akak pun sama macam kawan u tu..This year pun penyimpan mohor besar raja2 kat my house ni dah announce akan beraya di KB. Kami juga akan berkampung di hotel..breakfast d pagi raya di cafe hotel & bersiap untuk ke masjid untuk sembahyang raya pun dari hotel.

Sekarang ni berdoa agar Allah panjangkan usia kami. Agar anak2 sempat merasa keseronokan pulang berhari raya bersama kami pulak nanti. Kekadang akak terfikir juga, kalau waktunya dah sampai...kesian kat my children nanti...kemanalah mereka nak tuju bila hari raya menjelma...

Selamat Hari Raya to you & thank you for being such a good friend to me.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails