Yang Ikut

Thursday, 9 July 2015

Mencari lailatul qadar di Jalan TAR

Reactions: 
Ketika kita masih kanak-kanak, kita selalu dicerita tentang seorang tua yang berwuduk di subuh hari. Lalu disangkutkan kopiahnya di tepi telaga. Setelah siap berwuduk, kopiahnya telah tiada. Siangnya lelaki tadi mendapati kopiahnya ada di pucuk pohon. Menandakan alam pun bersujud di malam lailatul qadar.

Begitulah manusia mencari rahmat Tuhan dan jutaan pahala untuk ke syurga.

Dunia berubah. Kini lailatul qadar hanya sirah oleh orang alim di surau dan masjid.

Realitinya, orang siang malam sibuk di Jalan Tunku Abdul Rahman berpesta raya. Orang lebih sibuk mencari tudung Neelofa di butik dan pasar malam. Orang sibuk mencari baju dan songkok baru. Bukan lagi songkok yang hilang di hujung pohon. Orang tidak begitu kisah sangat sejuta pahala. Orang sibuk bagaimana merayakan raya.

Di hujung Ramadhan, terutamanya 10 malam terakhir sekalipun imam selalu bersirah pahalanya beribu kali ganda, tetapi orang tidak kisah lagi. Masjid mulai sepi. Saf mulai kosong. Orang beratur panjang di uptown membeli kasut baru. Orang sibuk dengan Samsung 6. Orang mulai sibuk dengan kuih raya resipi baru.

Beberapa hari sebelum raya, orang mula berlumba-lumba balik kampung. Jalanraya dan lebuhraya sesak dengan manusia. Orang mula mengira jumlah tol dan harga petrol. Orang mengambil kalkulator takut-takut tersalah kira kerana katanya harga petrol dunia mulai menjunam. Sedang harga petrol kita tak pernah merosot pula. Orang tidak kisah pun pahala malam lailatul qadar.

Dunia berubah. Tapi nafsu manusia dengan dunia tidak pernah berubah. Ia kekal sama.

Manusia meneruskan tradisi mencari lailatul qadar di pasaraya dan jalanraya.

Lalu, apa yang hendak kita sirahkan?


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails