Yang Ikut

Tuesday, 7 July 2015

Gelora apa lagi?

Reactions: 
Entah di mana silapnya, Malaysia negara yang kecil tapi kaya dengan gelora. Tak habis satu badai, datang pula gelora yang baru. Belum sempat ombak menyambung di pantai, gempa bumi pula muncul. Isu 1MDB, Tabung Haji, Felda dan terkini Mara pula. Tidak tahulah ia dikocak dari luar atau dari dalam. Atau memang rakus lavanya itu sudah lama, tunggu untuk pecah terburai.

Matawang kita juga tidak begitu baik lagi, sekusut politik dan ekonomi kita. Sayang, belum kedengaran apa yang bakal dibuat pihak berkuasa. Sekadar bercakap fundamental kita kukuh tidak menghilangkan keraguan rakyat, sebab ia ayat yang sudah diulang-ulang puluhan tahun dulu. Kenyataan bahawa matawang rendah menguntungkan negara mungkin tidak lagi dipercayai orang yang tidak pernah bersekolah, apatah lagi mereka belajar universiti.

Terbaru, kita gempar pula dengan berita pemindahan sejumlah wang yang besar ke dalam akaun peribadi pemimpin utama negara.

Ia mungkin fitnah dan dusta. Harapnya ia tidak pernah akan berlaku. Harapnya ia hanya sekadar cerita politik.

Akhirnya dalam dunia serba payah ini, bukanlah hal yang mudah mentadbir negara kalau tidak kena gayanya. Tentulah juga bukan hal yang mudah juga untuk rakyat seperti kita hidup di dalamnya yang setiap hari bertanya apa yang sedang terjadi dan bakal terjadi. Kita dikelirukan dengan ketidakpastian.

Semua orang diam dan membisu.

Ia semakin payah bila setiap hari kita dikejutkan dengan berita sensasi jutaan ringgit, sedang kocek kita mulai bocor membayar segala macam belanja di tengah jalan. Malah belum cukup bulan, kita berhutang pula. Siapa di Kuala Lumpur ini yang tidak merungut tidak cukup wang? Siapa di kampung yang tidak merungut bagaimana untuk mendapatkan wang untuk menyara anak ke sekolah.

Dalam sejuta mungkin hanya beberapa orang sahaja.

Dalam semua gelojak berita ini, siapa hero, siapa penjahat dan siapa pula yang selalu menjadi mangsanya. Gajah sama gajah bertarung, siapa membawa pulang sisa resahnya?

Jangan biarkan orang kecil selalu menjadi mangsanya.

Kami sudah bosan dengan semua ini. Tolonglah kemudi kami ke pulau harapan.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails