Yang Ikut

Thursday, 18 June 2015

Tweet tweet tweet

Reactions: 
Tweet oleh seorang Timbalan Menteri yang mengajar orang ramai bagaimana menggoreng nasi boleh menghindarkan GST telah ditweet semula ribuan kali. Tapi menimbulkan beribu kali juga pertanyaan di benak saya.

Saya tidak kisah orang menulis apa sahaja.

Mungkin cara ahli politik itu hal kreatif yang jarang difikirkan ramai orang. Atau beliau sekadar suka-suka berkongsi ceritanya, tetapi ceritanya itu telah di'tweet'kan oleh orang lain dengan niat menyindirnya, memarahinya atau memujinya. Perkaranya mungkin baik. Tetapi waktunya tidak betul.

Ia mungkin asalnya hal pribadi, sekadar bersuka-suka seperti banyaknya orang berkongsi semua cerita di Facebook atau Instagram. Bagaimana pun, bagi seorang yang bergelar Menteri atau Timbalan, berkongsi cerita ada batasnya. Anda bukan orang biasa. Gerak geri anda diperhatikan.

Sedangkan artis tidak boleh sebarangan berkongsi ceritanya, inikan ahli politik yang berdebat hal masa depan negara.

Adakalanya gerak laku kita boleh menjadi jenaka yang memualkan. Saya seorang biasa, tidak dikenali dan tidak penting di mana-mana. Tetapi tidak semua hal yang saya rasa tidak berbaloi untuk dikongsikan, saya tuliskan. Kerana apa yang saya kongsikan, sekalipun bernas mungkin dilihat sebaliknya oleh pembaca.

Sesuatu hal itu bergantung siapa orangnya. Seorang anak kecil berkongsi cerita dia mendapat nombor 1 dalam kelas tidak sama sifatnya dengan seorang ahli politik memberitahu pangkat peperiksaan SPMnya. Ia hal yang sama tetapi nilainya berbeza.

Seorang yang dianggap pemimpin perlu bercakap sesuai dengan tahapnya. Seorang ulamak besar yang memberitahu orang bahawa kentut membatalkan solat tidak membawa sebarang erti. Orang mahu dia bercakap hal yang lebih tinggi. Misalnya adakah boleh tidak berpuasa jika berada di negara yang matahari tidak muncul. Jadi ia sesuai dengan akalnya, dan orang lain mahu mendapat manfaat daripada ilmunya.

Setiap mereka yang diberikan amanah oleg rakyat sepatutnya berkongsi hal yang lebih besar, sesuai dengan kapasitinya. Facebook, Tweeter atau apa sahaja medium yang lain tidak lagi menjadi milik mereka bercerita dengan keluarga atau rakan-rakan, tetapi rakyat jelata. Jadi berkongsilah tentang hukum fiskal negara, atau apa yang sedang dibuat negara untuk mengawal inflasi. Pengalaman yang dilalui negara lain juga boleh dikongsi.

Jangan berikan cadangan yang aneh-aneh. Menggoreng nasi memang boleh mengelak GST. Tetapi bolehkan dimakan nasi goreng setiap hari? Orang juga perlu makan di luar dan perlu membeli barang yang ada GST.

Jadi bagaimana caranya yang telah dilakukan, dan apa jalan terbaik untuknya.

Cadangan seperti menggoreng nasi ini hanya menjadi bahan lelucon dan diketawakan manusia. Ia menjadi perhatian masyarakat dari luar juga.

Sebenarnya, cadangan seperti itu hanya sesuai dilontarkan orang awam sahaja. Misalnya berpuasalah, pasti kita bebas GST sepanjang hari untuk bahan makanan. Atau jangan beli terlalu banyak pakaian, sebab ia ada GST. Tetapi orang tidak akan mengeji atau marah jika ia ditulis oleh orang biasa.

Kalau mahu dikongsi idea, berkongsilah hal rasional. Jangan berkongsi hal yang membuat orang ramai yang sedang gelisah merasa seperti sedang diperbodohkan.

Negara ini milik kita bersama. Bersama mencari jalan yang terbaik itu tugas kita. Orang tidak bersetuju tidak mengapa. Itu adat di mana pun jua. Tetapi jangan jadikan perkara yang kita kongsikan itu menjadi bahan ketawa dan dikongsi pula ke merata dunia.

Kalau kita tidak mampu menjaga imej kita, siapa lagi?

Ia pesan untuk saya sendiri.

1 comment:

acu yuhan said...

nice..followed u

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails