Yang Ikut

Wednesday, 3 June 2015

Aku yang hilang

Reactions: 
Jarang aku menulis. Banyak isu berlegar. Daripada hal politik, 1MDB sehinggalah hal remeh temeh termasuk drama Melayu. Tidak ada satu pun yang tertulis.

Aku tidak pasti sebab aku malas menulis. Sejak emak aku meninggal dua tahun dulu, mood aku menulis tidak ada lagi.

Sebulan dua lagi aku mungkin menetap di luar negara lagi. Kalau tidak ada aral.

Aku mungkin kembali menulis.

Kata orang, menulis ini hal yang payah. Kataku menulis ini hal pemikiran. Ia menjadi payah bila pemikiran kian gelisah.

Aku tidak janji aku akan menulis seperti selalu. Aku cuma boleh berkata aku perlu mencuba menjadi aku semula.

Aku sudah hilang daripada duniaku yang asal. Aku pun tak mampu bertemunya lagi.

Ku kata pada diriku. Pulanglah. Pulanglah dunia tulis ke kanvas fikirmu.

###

Aku mula merasa mahu ke luar negara semula sejak emak aku tiada. Setiap kali pulang ke kampung, aku rasa seperti ada keindahan yang hilang. Dulu aku pernah menulis, yang indah ialah yang tertinggal.

Benar rupanya. Rumah aku di kampung kosong dan menjadi rumah tinggal. Pohon sirih emak aku masih menghijau subur. Reban ayamnya juga kosong. Tiada lagi ayam. Telaganya juga tidak diguna lagi. Tidak ada apa-apa yang indah.

Aku selalu memecut laju pulang seolah-olah emak masih ada menyambut aku. Tiba di rumah, aku mula meraba-raba tempat emak menyimpan kunci rumah yang diikat dengan kaki ubat nyamuk. Ia kunci rumah terhebat. Sudah puluhan tahun sejak aku remaja.

Masuk ke dalam rumah, aku tahu emak tidak ada lagi. Ku pecut keretaku dengan laju mencari siapa? Aku mencari keindahan yang hilang.

Semakin lama, aku mula sedar aku perlu lebih jauh daripada duniaku yang berlalu. Aku berlari. Aku mahu padamkan ingatan.

Dapur rumah emak sudah lama tidak berasap. Tidak ada lagi emak bercerita.

Ku beritahu diri -- terbanglah tinggi. Terbanglah menjauh. Agar aku lebih faham makna perjalanan. Perjalanan mencari sesuatu yang tiada.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails