Yang Ikut

Thursday, 30 October 2014

Transformasi khutbah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saran Kerajaan Kelantan untuk menghukum orang lelaki yang tidak bersolat Jumaat patut disokong.

Bagaimana pun, kita juga patut memerhatikan juga isi dan penyampaian khutbah Jumaat. Di mana-mana sahaja, adakalanya kita berasa lucu melihat khatib tergagap-gagap menyebut perkataan Inggeris atau istilah baru yang tak pernah didengar. Sesekali, kita berasa seperti mendengar kuliah sekolah memandu apabila khatib mula menyebutkan statistik kemalangan jalanraya dan bagaimana cara untuk menghindar kemalangan.

Itu belum lagi apabila khatib memintakan kita bersyukur sekalipun harga minyak kian tinggi.

Mengapa khutbah kita sangat membosankan. Mengapa pula ceramah Ustaz Azhar Idrus beribu-ribu orang mendengarnya. Tidak cukup kuliah di masjid, ia dimuat pula di Youtube.

Sedangkan kedua-duanya memang bercakap hal agama.

Inilah masalahnya apabila khatib sangat dicurigai. Jadi, yang menyediakan khutbah ialah penguasa di pejabat agama, dan khatib hanya jadi robot membacanya sahaja.

Jadi, mereka mula tergagap-gagap menyebut perkataan yang pelik-pelik.

Mengapa tidak sahaja biarkan mereka bercakap daripada isi hati dan pengetahuan mereka sendiri. Jika dibimbangi khatib bercakap hal bukan-bukan, pejabat agama berikan mereka topik, tetapi bukan isi khutbah. Ia terlebih baik.

Hendak dikatakan khatib orang yang tidak bijak, ia hal mustahil. Ada yang sangat fasih bahasa Arab, dan mahir pula al-Quran. Tentu ada yang juga bijak bahasa Inggeris.

Tetapi mereka mestilah dibenarkan bercakap dengan suara hati mereka - bercakap seperti Ustaz Azhar.

Tidak perlulah dibimbangi sangat mereka bercakap hal politik atau hal lain yang tidak kita sukai. Yang perlu dibimbangi ialah anak muda dan orang tua yang masih melepak di kedai kopi tatkala khatib sedang membaca khutbah.

Kita bercakap hal transformasi. Khutbah juga perlukan transformasi, sekalipun khatib mungkin tergagap-gagap menyebut perkataan itu.

Monday, 27 October 2014

Liberalism vs bebalism

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa tahun dulu, ketika melawat saudara saya yang sakit di Hospital Taiping, saya terbaca satu poster yang dikeluarkan oleh sekumpulan profesional mengenai cara bertayyamum. Saya yang tidak arif hal agama ini agak terkejut sedikit kerana poster itu menerangkan bagaimana pesakit boleh bertayyamum dengan hanya menepuk meja sahaja, kerana kononnya kajian sains membuktikan bahawa ada zarah-zarah habuk di atas meja tadi. Jadi, tidaklah perlu dicari tanah atau pasir lagi untuk bertayyamum.

Secara logiknya, dibuktikan pula oleh hujah sains, jadi mungkin ada kebenarannya pandangan tadi.

Lalu saya berfikir pula. Bukankah dalam udara ini ada zarah air juga walaupun tidak kelihatan. Jadi mengapa pula mesti bertayaamum. Bukankah lebih baik mengambil sahaja air sembahyang dengan menggunakan bekalan air yang tidak kelihatan tadi.

Tetapi itulah masalahnya apabila semua orang cuba menafsirkan agama dengan logik akal dan bukti sains. Saya tidak sesekali akan menerima hujah bertayyamum dengan hanya menepuk debu di atas meja. Lainlah kalau debu itu kelihatan dengan mata kasar saya.

Benar, logik akal dan bukti saintifik itu perlu, tetapi tidak semua perkara mengenai agama boleh dijelaskan dengan pengetahuan sains dan logik akal.

Kita memerlukan penghuraian daripada mereka yang arif dalam bidangnya, yakni alim ulamak. Mereka bukan ahli sains, tetapi mereka adalah orang yang tahu mengenai hukum hakam sesuatu perkara. Kita orang awam, baik sehebat mana sekalipun belajar, memiliki PhD dan gelar yang menjadikan kita dianggap tahu semua perkara, tidak mampu menerokai hal-hal berkaitan hukum yang bukan daripada bidang kita.

Orang selalu menyuruh saya memasukkan ayat-ayat al-Quran dalam tulisan saya di Kosmo!

Saya katakan tidak boleh, sekalipun saya mungkin tahu hal-hal tertentu. Ibarat tukang emas, sekalipun dia tahu hal-hal besi, adalah tidak elok baginya menulis hal-hal besi. Kalau ia benar sekalipun, pandangannya boleh menyesatkan orang lain. Biarlah tukang besi bercakap hal-hal berkaitan besi. Sekalipun salah, ia tetap di balik ruang ilmunya.

Tetapi tukang besi jarang menulis hal yang tidak betul berkaitan besi.

Sekarang ini, ada banyak tukang yang mencanangkan ilmu agama. Mereka memetik hadis itu dan ayat al-Quran di sana sini. Sesekali ada pula ustaz yang menolong berhujah untuk mereka.

Termasuklah juga kes memegang anjing yang sekarang ini sedang dihebohkan.

Inilah sebenarnya fenomena liberalism agama. Apa sahaja boleh menjadi betul asalkan ia ada logik dan hujah.

Saya tidak pasti sama ada ini liberalism atau tidak. Saya cuma melihatnya lebih kepada bebalism.

Kerana saya ada PhD, saya dianggap profesional. Tetapi ingat, jangan percaya semua kata-kata saya.

Jangan mudah sangat teruja jika saya berkata anda tidak perlu mengisi air ke dalam cawan untuk diminum kerana di dalam udara ini sudah ada partikel H20.

Sebab ia bukan bidang saya untuk bercakap hal yang walaupun logik, kerana ia mungkin akan menyebabkan semua orang akan terus menjadi bodoh.

Saturday, 25 October 2014

Apa hebatnya memegang anjing?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Entah apa istimewanya anjing sehingga perlu ada kempen untuk memegangnya pula. Jika hendak menunjukkan jaguh, kempen memegang singa atau harimau mungkin lebih berbaloi. Kalau ingin menunjukkan kasih terhadap binatang, beribu-ribu ekor kucing jalanan yang dibuang ke pasar atau kedai makan yang belum bertuan.

Banyak juga kera yang bergayut di pokok. Mereka mungkin mengharapkan ada yang ingin menganjur kempen mencium mereka juga. Ia lebih istimewa. Satunya, belum kedengaran orang Barat mencium mereka lagi. Kalau tidak kera jantan, kera betina mungkin boleh juga.

Saya tinggal di Australia. Saya biasa sahaja kalau ada anjing mendekati saya. Sekiranya ia menjilat sekalipun, saya tidak merasa apa-apa yang istimewa. Saya juga tidak merasakan yang orang putih yang sayangkan anjing merasa kagum kalau kita menyentuh anjing mereka.

Tetapi hal pelik ini berlaku kepada orang Melayu beragama Islam.

Memang hukum memegang anjing ini bermacam-macam. Ada banyak pandangan.

Tidak mengapalah kalau ada yang berkata memegang anjing dibolehkan. Tetapi mengapa sampai hendak berkempen.

Alangkah eloknya kalau mereka berkempen sembahyang lima waktu sehari. Banyak orang Islam yang kita tahu tidak begitu tahu hendak bersolat. Di Kelantan, mereka mahu ada undang-undang mewajibkan solat Jumaat. Tetapi peguam hak asasi marah pula.

Seteruk-teruk kempen yang boleh dibuat ialah kempen menyentuh tikar sembahyang. Untuk menyuruh orang sembahyang, ia mesti bermula dengan mendekati sejadah dahulu. Ia dilihat remeh. Tetapi kesannya mungkin lebih baik daripada berkempen memegang anjing.

Mungkin penganjur ini hendak tunjukkan mereka ini alim. Mereka ingin tunjukkan mereka tahu banyak perspektif hukum. Baguslah begitu. Tetapi mengapa tidak mahu berkempen tolak zina dan tolak rasuah. Ia hukum yang pasti. Tiada khilafiah lagi.

Jadi mungkin pencinta anjing ini ingin beritahu dunia ada hal-hal agama yang masih diperhujahkan. Imam Syafie mungkin tidak sehebat mereka dalam bab mengeluarkan hukum.

Tetapi harus diingat, dalam bidang sains pun ada hal yang tidak boleh diperdebatkan juga. Hukum atom oleh Albert Einstein misalnya, mengapa tidak ada yang menafikannya? Cubalah berkempen dan tunjukkan teori yang baru yang dibuat sendiri lebih betul.

Tidak boleh sebab jahil. Tetapi dalam bab agama hendak memandai pula.

Sampai masanya nanti, ada kempen makan daging babi pula.

Waktu itu kita boleh berkata, anjing dan babi tetap begitu sifatnya sejak azali. Yang berubahnya ialah sifat manusia yang kian bebal dan sombong.

Jika ada yang terasa tidak tidur lena kerana tidak dapat menyentuh anjing, di kampung saya di Changlun banyak anjing kurap berkeliaran.

Jangan hanya memilih anjing yang comel sahaja!


Thursday, 16 October 2014

Bajet 2015

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya tidak sempat mengikuti Bajet 2015.

Selain kenaikan BRIM yang saya tidak mampu memohonnya, saya tidak begitu tahu apa intipatinya. Cuma saya juga ingin tahu apa yang bakal dinikmati oleh penoreh getah yang setahun dua ini sedang teruk menderita.

Sekalipun kenaikan BRIM mungkin dapat dinikmati oleh penoreh getah juga, tetapi kalau dihitung secara mendalam, saya tidak fikir ia beri kesan yang banyak. Kenaikan kepada RM 950 sebulan, walaupun menggembirakan penerimanya, tetapi sebenarnya jumlah itu secara puratanya hanya RM80 sebulan. Ia lain kalau RM950 itu diberi setiap bulan.

Sedangkan dengan kos sara hidup yang kian meneritkan untuk kebanyakan penduduk luar bandar, dan warga kota yang susah, ia jumlah yang tidak banyak mengubah apa-apa.

Jumlah tol ulang alik dari Putrajaya ke Kuala Lumpur sebanyak RM 5 sehari. Jika diandaikan sebulan kita berkerja selama 20 hari, jadi kos tol sahaja sudah mencecah RM 100 sebulan.

Orang berkata, kalau miskin lebih baik naik motor sahaja.

Tetapi itu bukan jawapannya. Kita tidak boleh memaksa orang untuk tidak naik kereta semata-mata kerana miskin.

Bil api juga naik. Kenaikan bahan api, walaupun diistilahkan sebagai rasionalisasi subsidi, tidak membantu banyak orang yang sedang susah.

Apa yang boleh dilakukan.

Kita tidak tahu.

Mungkin ustaz yang tahu lebih banyak daripada kita.

Ahli politik juga bijak dalam banyak perkara.

Monday, 13 October 2014

Selamat datang graduan muda

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku tahu umurku kian berusia. Nasib baik umur dihitung dengan jumlah tahun. Jadi aku tidak sebegitu tua. Kalaulah dihitung dengan jumlah hari. Tentu umurku tidak sebaik ini.

Bilangan dan nama hari diulang-ulang. Bermula Ahad sampai Sabtu. Jadi setiap hari kita memulakan hari yang baru.

Sekarang musim konvokesyen di universiti. Graduan muda mula merayakan episod baru mereka. Episod hidup warga kuli. Episod hidup dunia yang bakal menjadikan mereka manusia yang kian keras. Sesekali mereka perlu kejam untuk hidup. Sesekali mereka perlu menipu untuk berjaya.

Usah diasyikkan dengan dogma bahawa universiti hanya melahirkan manusia yang baik sahaja.

Tidak. Universiti menyediakan segala ilmu. Universiti menyediakan juga kaum penipu. Bukankah banyak kertas kerja selama ini yang diplagiat sahaja dari kerja keras orang lain? Bukankah untuk mendapat markah yang baik, sesekali kita perlu membodek?

Jadi, universiti ini tempat yang baik untuk melahirkan apa sahaja, termasuk penyamun dan perompak. Pastilah yang membocorkan soalan UPSR itu bukan Pak Ali di kampung yang tidak pernah memijak masuk universiti. Ia tidak dilakukan oleh Mak Limah yang tidak tahu harga soalan periksa.

Banyak juga orang yang ada gelar macam-macam yang dibenihkan oleh universiti. Ada yang baik, ada yang tidak.

Terkejut besar aku semalam apabila seorang kawan lama aku di universiti - khabarnya seorang 'Dr' yang rupanya juga seorang blogger besar.

Kata orang dia bukan blogger biasa. Dia blogger yang terkait dengan politik. Dia bukan blogger biasa. Dia kalah saman dalam satu kes fitnah - fitnah yang keluar dari tulisannya di blog, dan bermacam-macam orang dihentamnya.

Bukankah dia juga lulusan universiti?

Sayang, dia akhirnya mampu menjadi seorang macai sahaja.

Universitinya tidak harapkan dia begitu ketika mengajarnya dulu. Universitinya tentu mengharapkannya dia lebih baik daripada itu.

Anda graduan baru, jangan jadi begitu.







Thursday, 9 October 2014

Selamatkah kita?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap hari aku berfikir, tidakkah ada lagi tempat yang benar-benar selamat untuk kita ini?

Bayangkan begini. Setiap hari kita mendengar berita bunuh, ragut dan rogol. Mesin ATM dengan mudah diterobos. Kita semakin takut membiarkan anak bermain di luar rumah.


Kita takut tidak selamat atau perasaan tidak selamat menakutkan kita?

Bangun pagi - sebaik sahaja masuk dalam kenderaan, peluang untuk kita dilanggar mati sama banyaknya dengan peluang kita melanggar orang sampai mati. Naik bas, kita juga berasa tidak selamat. Banyak kali sudah berita bas terbabas.

Sampai di tempat kerja, jangan merasa sangat yang kita selamat. Cuba hitung berapa banyak tong pemadam kebakaran yang ada, dan kalau ada adakah ia berfungsi. Berapa kali dalam 5 tahun ini, organisasi tempat kerja kita mengadakan latihan kecemasan? Pernah ada audit keselamatan tempat kerja datang menilai ruang kita berkerja. Yang selalu singgah audit ISO atau akaun.

Selesai kerja, kita berasa curiga kereta kita yang diparkir masih ada di tempatnya atau tidak.

Dalam perjalanan balik kerja, kita sekali lagi terdedah dengan kematian. Itu belum termasuk takut-takut kita disamun bila singgah sekejap di depan bank.

Kerana susah hati mencari tempat selamat di negeri sendiri, kita ingin melancong ke luar negara. Tapi kapal terbang juga tidak lagi selamat. Ia boleh sahaja disamun di atas awan.

Balik rumah, kita mengunci diri berlapis-lapis dari dalam. Nanti pintu dikopek. Buka televisyen, semua beritanya menakutkan. Hendak tidur, kita mula curiga pintu sudah berkumci atau tidak.

Kerana tidak ada lagi tempat yang selamat, marilah kita ke masjid. Ia tempat orang baik. Kita berdoa agar kita selamat di dunia dan akhirat.

Oh ya. Jangan lupa kasut selipar di luar. Ia mungkin tidak selamat.

Jadi di mana tempat yang selamat.

Tuesday, 7 October 2014

Lord of the Rings

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya agak sibuk dan tidak sempat menulis. Tiga minggu saya di luar negara. Pertamanya di Australia. Keduanya di New Zealand.


Dari Adelaide, saya melangkah pula ke New Zealand beberapa hari. Ia negara yang cantik dan berbukit bukau. Penduduknya seramai 4.47 juta orang sahaja. Jumlah penduduk Kuala Lumpur sahaja sudah menghampiri 2 juta orang.


Setiap hari saya memandu sejauh antara 300 km ke 500 km. Misi pertama saya ialah Fox Glasier. Bagaimana pun, memandu di jalan berbukit-bukit dan bengkang bemgkok sejauh lebih 400 kilometer sejak dari jam 12 tengahari, dan hanya tiba ke back packer tempat kami menginap jam 9 malam, buat saya kepenatan. Misi kami untuk singgah di kawasan glasier gagal.


Saya terus memandu menerokai sebahagian besar South Island dari satu tempat ke satu tempat setiap hari. Kami akan singgah makan dan memasak apabila lapar. Makanannya mudah sahaja. Sesekali Maggie. Sesekali memanaskan lauk.


Saya sempat singgah di banyak tasik. Antara yang terkenal ialah Lake Wakatipu dan banyak lagi. Saya tidak sempat mencatat semua nama tasik yang saya singgah.


Ini fenomena yang saya sempat lihat. Saya gunakan kamera smartphone saya merakamkannya.


Inilah Milford Sound yang ternama itu. Kena ada duit sedikit mengelilingi pergunungan ini kerana anda perlu menaiki feri.

Nota. Minyak agak mahal di New Zealand. 2.40 Dollar seliter. Jadi perlu ada dalam 100 dollar sehari untuk memandu kereta dan menerokai New Zealand.

Paling unik, lapangan terbang Christchurch menyediakan ruang untuk mereka yang ada penerbangan di antara jam 8 malam ke 6 pagi untuk menginap dengan bayaran 5 dollar. Awalnya, ejen memberitahu isteri saya bahawa jangan bermalam di airport. Kononnya nanti ditahan polis.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails