Yang Ikut

Tuesday, 26 August 2014

Saya tidak boleh berpatah balik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya tahu saya tidak boleh kembali ke masa silam.

Di waktu saya masih kecil, saya dan sepupu selalu ke hutan melastik burung di hutan. Di pinggir hutan tadi ada satu padang yang cantik, tumbuh berbagai-bagai pohon renek. Di situlah burung memakan buah dan madu bunga. Saya tidak pernah berjaya mendapat seekor burung pun seumur hidup saya dengan melastik.

Saya tahu saya tidak boleh kembali ke masa silam. Saya kini di Kuala Lumpur. Sepupu saya juga.

Kami sedang melastik nasib di kota yang payah.

Semakin hari umur saya berubah. Saya semakin remaja. Semasa remaja, saya idamkan kehidupan yang lain. Saya tidak lagi melastik burung walaupun sesekali saya ke hutan menjerat burung mandi.

Saya membesar di sekolah asrama. Saya terdedah dengan beragam watak hidup manusia. Anak orang kaya, dengan cara mereka. Anak orang miskin ada caranya juga.

Sesekali saya cemburu dengan mereka yang dihantar dengan kereta ke asrama oleh keluarga mereka. Saya hanya menaiki bas sahaja. Kalau saya dapat berpatah balik, saya tidak mahu naik bas. Saya juga tidak mahu tinggal di asrama. Saya mahu lebih banyak masa di rumah.

Tetapi saya tidak boleh.

Saya masuk ke universiti tahun 1992. Saya pun tidak tahu mengapa saya memilih psikologi. Mengapa tidak bidang lain? Saya sepatutnya menjadi sejarawan. Tetapi saya tidak boleh berpatah balik lagi.

Tatkala banyak teman saya memilih menjadi guru, saya pula memilih berkelana di sana sini. Saya berkerja kilang. Saya kemudiannya berkerja di beberapa tempat lain. Saya tidak kaya. Saya tidak memiliki apa-apa.

Saya melanjutkan PhD tahun 2007.

Kalau saya boleh memilih, patutkah saya berbuat begitu.

Saya tidak tahu.

Kita hidup dan membuat keputusan mengikut apa yang ada di depan mata.


Friday, 22 August 2014

Puisi ini aku tulis

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Puisi ini aku tulis
Bukan untuk kamu
Yang ada di depanku
Puisi ini aku tulis
Bukan untuk aku
Yang ada dibelakangmu

Puisi ini aku tulis
Untuk dia
Yang tak pernah ada
Di mana-mana

Puisi ini aku tulis
Sebelum
Kamu
  Dia
    Aku

Mengetahui makna
Tajamnya pena
   

Sunday, 17 August 2014

Sejauh mana saya boleh

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setelah hampir 3 tahun balik dari Adelaide, saya tidak tahu sama ada saya betah di sini. Saya anak kampung. Saya tidak suka tinggal di bandar. Saya suka mencari ikan di sungai. Tapi di kampung pun, sungai tidak seperti dulu. Tidak ada ikan lagi. Saya juga tidak mungkin boleh mendapatkan kerja yang sesuai kalau di kampung.

Jiwa saya hanya sesuai di kampung. Tetapi tidak jenis pekerjaan saya. Jadi saya tidak ada pilihan yang banyak selain dari terus berburuh di bandar. Hidup tidak selalunya mengikut nafsu kita bukan?

Beberapa bulan terakhir ini saya mula merasakan saya perlu keluar dari kota ini.

Tetapi saya bukan mahu pulang ke kampung. Lagi pun kampung bukan tempat untuk saya bermain lagi.

Saya perlu ke luar negara. Saya sudah mencubanya beberapa kali. Sekarang saya patut mencuba lagi.

Saya harap kali ini percubaan saya berjaya.

Saya tidak wajar keluar dari kota dan masuk ke desa semula.

Saya patut pergi lebih jauh. Sejauh yang saya boleh!

Setiap hari orang terjatuh dan bangun kerana mencuba. Saya juga patut seperti itu.

Saturday, 16 August 2014

Setelah setahun ibu pulang

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Pagi tadi, 16 Ogos 2013 sekitar jam 6 pagi, hari Jumaat ratu hati saya, telah pulang buat selama-lamanya mengadap Tuhan. Ibu saya pulang tanpa disangka. Beliau pulang tanpa banyak isyarat. Ibu saya tidak sakit. Ibu sekadar demam biasa.

Saya masih ingat lagi, hari sebelumnya saya bergegas pulang dari Kuala Lumpur. Tiada siapa yang menelefon saya memberitahu apa-apa. Cuma bisik hati saya menyuruh saya pulang segera. Seolah-olahnya bisikan kepulangan terakhir kali melihat ibu di kampung.

Ternyata, selepas hari itu, kepulangan saya ke kampung hanya sekadar perjalanan biasa. Tidak ada apa yang istimewa lagi.

Saya tidak beria-ria untuk pulang seperti selalunya.

Satu malam itu saya sampai ke kampung jam 2 pagi. Saya mengetuk pintu rumah, tetapi tidak ada lagi ibu yang membuka pintu untuk saya. Saya cuba meraba kunci di bawah pintu.

Sayang, tidak ada lagi kunci di situ. Kunci itu biasanya ada di situ sejak puluhan tahun dulu sejak saya mula tahu melabun di kedai runcit sampai jam 1 atau 2 pagi. Key chainnya ialah kaki pemegang ubat nyamuk. Ia sudah berkarat. Jadi, apabila pulang lewat malam, saya tidak perlu menjagakan ibu di tengah malam.

Seingat saya ia sekitar lewat 80an.

Di rumah, tidak ada apa lagi yang indah.

Satu malam, saya mencari pisau di dapur. Biasanya saya bertanya ibu. Tetapi, kerana ibu tiada, saya cuba-cuba bercakap seorang diri bertanya ibu di mana diletakkan pisau.

Hidup ini indah bukan? Sayang keindahan itu hanya baru dirasai setelah ia tiada.

Saya merindui kopi pekat yang dibancuh ibu saya. Kalaupun isteri saya juga pandai membancuhkan kopi dengan rasa yang sama, tetapi saya tetap mengharapkan kopi ibu saya. Kita menikmati kopi hasil air tangan ibu.

Sesekali ibu saya bercerita. Kini setiap kali saya pulang, saya merindui suara ibu bercerita. Kalaupun cerita ibu hanyalah topik-topik kecil, bukan cerita besar seperti tersiar di TV3 atau di Google, tetapi suara ibu itulah menjadikan cerita itu indah. Saya tidak mendengar bahasa Thai ibu, atau alun bahasa Melayu dengan pelat Thainya lagi. Ia keindahan yang rupanya telah hilang.

Di rumah kami, ada tepak sirih pinang. Baru-baru ini, saya cuba membeleknya kalau-kalau masih ada sirih atau pinang di dalamnya. Ia sudah tidak seperti dulu. Yang ada hanya seikat daun rokok. Tidak ada lagi kacip pinang. Tidak juga apa-apa yang lain. Ia petunjuk bahawa ibu sudah lama pergi.

Setahun ini saya masih berperang untuk menerima hakikat bahawa ibu sudah tiada.

Saya masih selalu bermimpi ibu saya di dalam tidur. Di bulan puasa yang lalu, saya bermimpi bertemu ibu dan kakak saya di dalam rumah. Kedua-duanya sudah tidak lagi di alam ini.

Saya bermimpi ibu memakai baju yang sangat indah, dan cahayanya berkilauan. Saya tanya ibu bagaimana kehidupannya di sana. Jauhkah tempatnya dari tempat kakak saya. Ramaikah teman-temannya di sana. Di akhir perbualan kami, ibu meminta saya memberikannya bantal kerana beliau mahu tidur.

Saya terjaga dari mimpi apabila ibu mulai tidur.

Sekalipun saya tahu mimpi boleh jadi hanya mainan tidur, saya selalu mendoakan agar saya selalu bermimpi begitu. Itulah caranya saya boleh berbual dengan ibu.

Kalaupun saya tahu memang ibu sudah tiada genap setahun kini, saya juga kalau boleh tidak mahu berfikir bahawa ibu sudah tiada. Saya percaya bahawa ibu selalu ada.

Itulah satu-satunya cara untuk saya terus menjadi anak ibu.

Hidup ini indah bukan? Sayang, sesetengah dari keindahan itu hanya baru dirasai setelah ia tiada.

Al Fatihah.

Kenapa saya tidak boikot

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya walaupun tidak selalu, sesekali singgah di McDonald. Saya memesan apa sahaja yang saya ingin makan tanpa tahu versi burger terbaru atau lama. Saya memakan burger atau ayam McDonald lama sebelum orang memboikotnya, dan setelah orang memboikotnya.

Saya tidak singgah di McDonald secara bermusim mengikut selera boikot. Saya tidak boikot McDonald ketika musim konflik di Palestin, tetapi makan sehingga menjilat jari pada waktu yang lain. Saya tidak ambil tahu secara mendalam siapa pemegang syer McDonald. Saya bukan ahli sufi. Saya berpegang makanan halal boleh dimakan sekalipun yang menjualnya seorang penyamun. Saya juga tidak pernah bertanya tauke McDonald menderma wang ke Israel atau tidak untuk membeli senapang.

Saya seorang yang tidak berhati perut. Sepatutnya saya bertanya juga hal-hal lain. Ayam McDonald disembelih atau tidak.

Saya seorang yang tidak bermaruah. Saya sepatutnya tidak menggunakan apa sahaja yang dikeluarkan dari perut Amerika termasuk banyak perisian komputer, smart phone, televisyen atau banyak barang lain. Mengapa saya begitu malas memboikot barang-barang dan perkhidmatan ini?

Mengapa hanya McDonald?

Mengapa tidak filem Amerika juga?

Saya rasa saya sangat teruk. Selain masih makan di McDonald, saya juga masih tidak memboikot banyak lagi produk Amerika yang lain. Saya minum CocaCola juga. Banyak lagi. Saya singgah di Starbuck juga.

Sepatutnya waktu boikot ini, saya juga memboikot.

Saya teruk bukan?

Oh. Saya sedang berfikir untuk memboikot.

Saya jarang pula berfikir berapa sen saya dermakan kepada rakyat Palestin tahun ini.


Friday, 15 August 2014

Aku bertanya sahaja

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Di kedai mamak bersendirian. Tetapi otak aku berfikir sendirian. Aku cuba menjawabnya, tetapi gagal.

1. Katakan A tidak mahu lepaskan jawatannya, dan B pula tidak henti-henti untuk mendapatkan jawatan tadi, siapakah yang sebenarnya tamakkan kuasa? A pula tetap tidak mahu berhenti sekalipun dipaksa.

2. Ada yang terus kekal untuk mempertahankan kuasa, dan yang lain pula keluar untuk mempertahankan kuasa juga, siapakah sebenarnya di pihak yang benar? Siapakah yang sedang menjaga kuasa.

3. Kumpulan A menyatakan menyatakan mereka tidak bersetuju dengan pandangan kumpulan B. Kumpulan B pula menyatakan tidak bersetuju dengan hasrat kumpulan A. Jadi apakah yang boleh dilakukan. Adakah patut  mereka bersetuju untuk tidak setuju, atau tidak bersetuju untuk setuju? Yang mana lebih afdal?

Soalan-soalan ini tidak penting untuk dijawab.

Manusia ada pilihannya sendiri bukan?

Wednesday, 13 August 2014

Kita bersama menontonnya

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Agak sukar membaca riak permainan politik. Bagaimana pun, sekiranya ingin mencari sahabat sejati, politik bukanlah padangnya. Musuh boleh menjadi kawan, lawan boleh menjadi kawan. Ia bahasa yang selalu disebut. Tidak ada istilah 'kecil hati' atau 'makan budi'. Ia kisah siapa dulu memakan sesiapa.

Itulah yang sedang kita perhatikan dalam kegelisahan politik di Selangor beberapa minggu terakhir ini. Pakatan Rakyat mungkin telah tersalah langkah apabila gagal menggunakan kesempatan yang ada untuk menunjukkan model baik pentadbiran negeri. Sekurang-kurangnya mereka telah berjaya pada penggal yang lalu. Mengapa tidak disambung sepenggal lagi?

Langkah PKR memecat Tan Sri Khalid Ibrahim ibarat tiada riak, air digoncang. Itulah sekurang-kurangnya yang kelihatan pada persepsi orang awam. Khalid juga orang biasa. Beliau tidak maksum. Mungkin ada salah silapnya di mana-mana. Tetapi, adakalanya tidaklah perlu diperbesarkan sangat hal rumahtangga parti. Ia hanya menjelekkan jiran yang sedang memandang. 

Orang mungkin berkata, kita orang awam ini dangkal mata politiknya. Bagaimana pun, politik pada akhirnya bergantung kepada persepsi. Sama ada salah atau tidak, persepsi itulah yang menjadi raja rakyat membuat keputusan di peti undi. Adakalanya kita mengundi disebabkan populariti. Adakalanya manusia mengundi kerana kasihan.

Krisis Menteri Besar Selangor ini kelihatannya tidak berkesudahan dengan pemecatannya sebagai ahli PKR. Selama ini Khalid yang dilihat tidak bijak berpolitik, kali ini kelihatannya lebih hebat daripada mereka yang sedang menelanjangkan dirinya. Malah gerakan-gerakan politiknya selepas pemecatannya menunjukkan beliau lebih hebat daripada musuh-musuhnya. Kalau sekalipun jangka hayatnya sebagai Menteri Besar tidak panjang, sekurang-kurangnya apa yang telah dilakukan setakat ini menunjukkan beliau juga bijak bermain.

Orang sangkakan dengan pemecatannya akan menghilangkan kuasa Menteri Besarnya. Sebaliknya, beliau mungkin satu-satunya Menteri Besar dalam dunia yang tidak ada parti. Tatkala bekas partinya menuduhnya tidak lagi ada kepercayaan ahli dewan, malah memintanya membuktikan beliau masih ada sokongan majoriti, beliau sebaliknya meminta mereka membuktikannya. Bukan tugasnya untuk membuktikan. 

Petang tadi, tatkala ada gerakan-gerakan daripada Exco daripada PKR dan DAP untuk menidakkannya, beliau terlebih dahulu memecat mereka yang tidak menyebelahinya.

Kini banyak suara-suara yang menuduhnya tidak beretika dan demokratik. Tetapi, pada akhirnya soalan yang sama itu kembali kepada siapa yang terlebih dahulu memulakannya?

Akhirnya itulah politik. Adakalanya kita menjatuhkan kawan sendiri, adakalanya kita dijatuhkan oleh kawan sendiri. Dalam politik, tidak pernah ada teman sejati dan musuh selama-lamanya. Dendam dalam politik tidak sama sifatnya dengan dendam peribadi.

Kita boleh sahaja bersatu, tetapi tidak bersama. Kita boleh juga bersama, tetapi jangan diharap kita boleh bersatu selalu.

Sampai masanya, kita lihat siapa dulu yang kena.

Sekurang-kurangnya sehingga petang tadi, Khalid masih di hadapan dalam percaturan ini.

Bagus juga kita tidak perlu membeli tiket untuk menonton sebuah drama yang menarik, penuh suspens dan mungkinkah ia bakal memunculkan seorang hero baru. 

P/S: Kalau ditanya aku memilih siapa, aku katakan politik bukanlah padang yang baik untuk kita yang tidak pintar menduga.

Friday, 8 August 2014

Biar kecil tapi berguna

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya berpeluang memberi bengkel statistik HLM di MMU hari ini. Orang bertanya saya, bagaimana saya boleh tahu banyak statistik yang pelik-pelik.

Sebenarnya di negara kita, banyak orang tahu ilmu pelik-pelik. Cuma tak ramai yang ingin berkongsinya sahaja. Tidak tahu sebabnya. Ada orang takut nanti akan ada orang lebih pandai. Ada yang sibuk. Ada yang guna untuk diri sahaja.

Sejak dua tahun ini, saya dan beberapa kawan akademik lain cuba melakukan sesuatu. Kami membuat grup Telegram. Kami mengajar pelajar secara online. Kami juga membuat aktiviti mengajar. Adakalanya kami meminta seorang RM 3 untuk membayar jamuan pagi. Adakalanya kami kenakan caj RM 10 yang kami dermakan ke mana-mana.

Grup kami agak aktif. Kami mengajar pelajar menulis, statistik dan bermacam-macam lagi.

Grup kami ini agak besar. Ada pelajar dari merata tempat di seluruh negara. Selain mengajar, pelajar ini dilatih menjadi reviewer jurnal yang sebenar. Kebetulan saya dilantik sebagai seorang ketua editor untuk satu makalah. Jadi saya ambil peluang itu melatih pelajar.

Masa depan kami merancang untuk banyak hal lain. Biarlah ia rahsia sebelum ia menjadi.

Tetapi saya harap ini sebahagian usaha kecil untuk membijakkan anak bangsa.


Wednesday, 6 August 2014

Pilihanraya vs Hari Raya

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Salam Hari Raya Aidilfitri kepada pembaca yang beragama Islam.

Saya agak jarang dapat meluangkan masa untuk menulis di blog ini sejak akhir-akhir ini. Banyak agenda yang tak sudah.

Di Malaysia ini, rasanya kita kian bosan dengan pilihanraya. Apatah lagi tatkala kita sedang sibuk ke rumah terbuka hari raya.

Tetapi itulah yang mungkin bakal terjadi sekiranya krisis politik Selangor tidak diselesaikan secara berhemah. Menteri Besar Selangor, khabarnya mahu disingkirkan. Tetapi, bukan mudah untuk menyingkirkan seseorang yang ada jawatan. Kalau tidak kena gayanya, ia akan sekali lagi mengubah lanskap politik Pakatan Rakyat.

Tahun 1998 dahulu, Tun Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ada yang menyokong, ada yang tidak. Kemudiannya lahirlah parti politik baru, yang merupakan manifestasi kemarahan sebahagian penyokong UMNO dan sebilangan mereka yang tidak berparti di atas pemecatan Anwar Ibrahim.

Sekarang, beban itu di tangan Anwar pula. Memecat Tan Sri Khalid Ibrahim tidak semudah yang dijangka. Beliau juga ada pengaruh yang besar. Sekalipun partinya membuangnya, rata-rata rakyat menyukainya. Membuangnya mungkin menyelesaikan masalah dalam PKR, tetapi belum tentu menyelesaikan masalah dalam Pakatan Rakyat. Ia mungkin mencipta masalah yang baru.

Tetapi, itulah politik.

Membaca muslihat politik tidak sama membaca muslihat Nujum Pak Belalang. Ada harinya seorang kawan menjadi lawan. Pada hari yang lain, lawan menjadi kawan.

Di pagi raya mereka boleh bersalaman. Pada hari pilihanraya mereka bertarung pula.

Seperti mana hari raya yang menyebabkan kita banyak menghabiskan wang, pilihanraya juga tentu menghabiskan wang yang lebih banyak. Cuma sedikit kelainan, kita menggunakan wang sendiri untuk bergembira di hari raya. Ahli politik menghabiskan wang rakyat untuk bergembira berpilihanraya.

Tidak mengapalah. Itu adatnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails