Yang Ikut

Saturday, 14 June 2014

Huma belum lagi ditebang

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
"Nok tit ti liu...Lok yak khaw..diau kon leh chao...rai mai thang thi" (Terj: Burung tit ti liu, anak lapar nasi, tunggulah sekejap anakku, huma belum ditebas lagi'). * Nota: burung ini saya tidak tahu apa namanya dalam bahasa Melayu. Tetapi begitulah burung itu bersiul. Chao merujuk kepada anak yang ditatang bagai minyak yang penuh atau putera raja.

Ia peribahasa Thai yang tinggi maknanya. Ia ceritakan tentang kesabaran, kemiskinan dan pengorbanan keluarga dalam membesar anak. Ia cerita yang mungkin tidak ada dalam kamus anak-anak kita kini, malah di kalangan pembaca juga. Ia cerita yang jarang diketahui.

Dulu-dulu, orang kita berhuma.

Berhuma ini satu simbolik cerita mencari rezeki yang cukup hebat. Ia memakan masa berbulan-bulan, bahkan bertahun-tahun. Proses berhuma dimulai dengan proses menebang hutan. Ia bukan ditebang dengan jentolak. Tetapi ditebang dengan kapak dan parang. Ia mengambil masa yang lama.Bayangkan hanya seorang dua sahaja yang menebang pohon balak dan semak samun. Hutan ini pula bukan didiami serangga sahaja, tetapi harimau dan gajah juga. 

Setelah siap hutan dibersihkan, pohon-pohon dan kayu-kayu ini perlu dihimpun dan dibakar pula. Habunya pula menjadi baja. Ia mengambil masa beberapa bulan lagi. Tanah yang sudah dibersihkan. Perlu dicangkul untuk menggembur. Bayangkan tanah yang begitu luas, kira-kira beberapa relung ini dibajak dengan kudrat seorang dua manusia sahaja. Biasanya pasangan suami dan isteri. Beberapa bulan lagi diambil. Barulah ia ditanam dengan tumbuhan.

Untuk mendapatkan hasil, ia perlu ditunggu beberapa bulan pula. Itu belum tentu ia mendapat hasil. Kalau-kalau tidak ada burung atau monyet yang merosakkan tanaman. Penyakit kadangkala menyerang juga.

Tapak huma ini biasanya ditanam padi dan pulut. Ia tidak memerlukan air seperti padi yang ditanam di bendang. Beberapa sayuran lain untuk keperluan makanan juga ditanam seperti timun, kacang, jagung dan sebagainya. Biasanya akan dibina juga telaga dan sebuah dangau [pondok] untuk berehat. Ada yang yang terus menetap di huma tadi untuk beberapa bulan. Jadi tapak huma itu akan menjadi tempat manusia terus bernafas.

Mereka makan apa sahaja yang ada di huma tadi. Ia cukup untuk membekalkan keperluan makan dan minum. Untuk mendapatkan ikan, mereka memancing di pinggir hutan tadi.

Sesekali mereka akan pulang ke kampung untuk melihat anak-anak di rumah. Tetapi, tapak huma dianggap seperti pejabat baru. Bagi yang tidak tinggal di huma, mereka akan pergi pagi pulang petang.


Semasa saya kecil, tahun 1970-an, saya sempat melihat huma kecil emak dan ayah saya. Ia sedikit sahaja. Sekadar menanam padi huma dan beberapa jenis sayur.

*************

Berbalik kepada peribahasa Thai tadi,  lihatlah betapa kerasnya hidup manusia. Anak kelaparan. Bagaimana pun, untuk mendapatkan makanan tadi, anak diminta bersabar dahulu. Ia kesabaran yang luarbiasa. Ia bukan sekadar bersabar, tetapi sabar juga bertahan untuk tidak mati. Ia bukan cerita bersabar kerana nasi belum dimasak. Ia kesabaran huma masih lagi belum dibersihkan. Proses penerokaan mencari rezeki itu pun belum lagi bermula.

Ia kesabaran yang mengambil masa berbulan-bulan. Maksudnya sabar yang sunguh-sungguh.

Hari ini, kita juga tidak mampu melihat anak kita lapar. Tetapi kita tidak boleh meminta mereka bersabar. Kita akan memesan makanan segera dari KFC atau Domino. Dalam hanya beberapa minit, makanan tadi akan sampai ke pintu rumah.

Masyarakat kita di masa silam tidak begitu. Lainlah mereka yang berkerja di bandar atau makan gaji dengan kerajaan. Orang seperti ayah dan ibu saya dalam kategori orang susah.

Anak-anak yang lapar ini juga perlu ke huma membantu keluarganya. Mereka juga perlu membuat kerja-kerja yang patut di huma. Bukan sekadar meminta makan, tetapi mencari makan bersama-sama.

Sebab itu, kalau kita bercakap tentang kerasnya hidup, emak dan ayah kita dahulu mungkin lebih keras hidup mereka. Orang sebelum emak dan ayah kita pastilah lebih keras lagi.

***********

Hidup kita juga keras.

Hidup kita keras kerana perlu mencari wang yang banyak untuk membayar bermacam-macam harga. Daripada Ipad baru sehinggalah kepada pemasangan kabel wifi yang lebih laju. Daripada siaran televisyen berbayar sampailah kepada insuran nyawa. Kereta baru, rumah baru dan bermacam-macam. Kita berhutang siang dan malam.

Hidup kita keras kerana kita tidak boleh mengelak daripada tergoda untuk menjadi manusia moden.

Kita tidak mungkin mampu bersabar seteruk menunggu huma menghasilkan buah. Kita mahukan segalanya dengan cepat. 

Dulu-dulu orang kita sibuk berhuma. Sibuk mencari makan agar anaknya tidak mati. Kini kita juga sibuk. Sibuk dengan facebook,  wasapp, telegram dan Youtube. Anak kita tak akan mati tak makan kerana kita juga boleh memesan makan secara online.

Maka, kita tidak akan berlagu " Anak lapar nasi, tunggulah sekejap anakku, huma belum lagi ditebang". Kita akan berlagu baru "Anakku lapar nasi, tak mengapalah anakku, nanti ku pesankan kamu pizza yang baru".

Monday, 9 June 2014

Antara yang zalim dan yang jahil

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apakah yang lebih berbahaya di antara pemimpin yang zalim dengan yang bodoh?

Saya percaya kedua-duanya tidak terlebih baik. Tetapi pemimpin yang zalim mungkin hanya akan mengurung dan menzalimi orang yang melawannya, tetapi tidak orang yang mengikutnya. Dalam banyak keadaan ia juga baik untuk majoriti orang lain, walaupun peluang bersuara tidak ada. Saddam Hussien, Ghadafi dan Suharto antara contohnya.

Mereka kejam. Tetapi menyatukan rakyatnya daripada berbalah.

Rejim tentera di Thailand sekarang mungkin bukan contoh yang baik untuk demokrasi. Semua saluran televisyen ditukar dengan siaran tentera dan dihidangkan dengan lagu patriotik. Malah saluran kartun pun ditutup juga. Rakyat perlu masuk rumah dan tidak berkeliaran selepas jam 12 malam (sebelumnya jam 10 malam).

Ia hal yang teruk. Di Malaysia kedai mamak 24 jam beroperasi.

Tapi junta tentera berkata itu pilihan terbaik. Ia terlebih baik daripada pemimpin politik berebut kuasa dan tidak berhenti berdemontrasi. Bukan sehari dua. Berbulan-bulan. Demokrasi yang memberikan ruang yang banyak untuk hak asasi pun tidak ada gunanya. Ia menyebabkan siapa yang tidak berpuashati berdemontrasi sahaja.

Jadi pemimpin yang zalim mungkin berguna.

Pemimpin yang bodoh pula ini bersifat bebal, mudah dibeli dan tidak bijak berfikir. Ia menurut sahaja apa yang disuruh orang lain yang dilihat bijak dan berkuasa. Ia tidak tahu dan ambil peduli hal rakyat. Ia mudah dijinakkan.

Hamid Karzai di Afghanistan bukan seorang yang zalim. Tetapi dia tidak ada kuasa. Semua yang dibuatnya mengikut telunjuk Amerika.

Jadi, adakalanya pemimpin seperti ini lebih membahayakan dan mampu merosakkan banyak orang. Bukan sahaja musuhnya, tetapi yang tidak bermusuhan dengannya.

Pemimpin yang zalim tetapi tidak bodoh ini banyak. Tetapi pemimpin yang bodoh tetapi tidak  zalim ini sesekali sahaja muncul.

Perang iman di jalanraya

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Dalam tempoh 10 hari ini, empat kali saya berulang alik dari Putraja ke Trong, Taiping. Maksudnya sebanyak 8 kali saya melalui lebuhraya dan entah berapa kali saya membayar tol. Masyarakat di Trong tidak tahu kesan minyak naik dan harga tol yang mahal.

Kalau saya bercakap pun, paling baik saya diminta jangan balik atau jangan guna lebuhraya. Tidak mengguna lebuhraya di Malaysia samalah seperti mandi tidak guna air paip. Ia tidak mungkin terjadi dalam keadaan jumlah telaga yang kian pupus.

Di Trong, signal internet seperti signal televisyen tahun 1950. Hampir tidak ada. Saya tidak faham mengapa. Sedangkan bil sangat mahal, dan iklannya hebat-hebat belaka. Orang kampung tidak berminat bercakap hal internet. Saya lain. Saya perlu ada internet setiap hari sama ada untuk kerja atau berita. Saya perlu membaca perang di Ukraine atau krisis politik di Thailand. Saya mula mengikuti krisis di negara sempadan Rusia ini kerana saya rasa ia permulaan perang besar dunia.

Saya pasti ramai orang di Trong tidak membacanya. Ketika di London, saya membacanya lagi. Ia konflik Barat dan bukan Barat, yang jika sengketanya berpanjangan - saya ramalkan akan ada perang besar dunia. Saya tidak berminat bercakap hal perang.

 Saya mahu bercakap hal sticker kereta sahaja.

Saya lihat banyak stiker agama di belakang
kereta. Tertulis kalimah suci Islam yang hebat-hebat. Saya menyukainya.

Cuma saya agak janggal mereka yang alim dan tinggi imannya ini, memotong di lorong kecemasan ketika kereta sesak padat. Mereka seolah-olahnya tidak bersabar, rakus dan pentingkan perut sendiri. Kalau orang lain boleh bersabar memandu 20 km sejam di celah sesak jalanraya, mengapa pendakwah sticker ini tidak boleh?

Saya tahu, hukum memotong di lorong kecemasan ini bukan haram. Ia tidak seperti hukum makan babi.

Tetapi sticker yang baik ini dirosakkan imej pemandu yang jelik.

Teringat kata arwah Tuan Guru Hj Umar di kampung saya dulu. 'Hang jangan percaya sangat dengan tok lebai yang serbannya besaq ni'. Jadi apalah sangat dengan sticker kereta!

Daripada membaca sticker kereta, ada baiknya saya baca berita perang di Crimea.



Thursday, 5 June 2014

Aku yang selalu membohongi aku

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa hari kebelakangan ini, entah mengapa aku merasa semakin tua.

Aku masih kuat berjalan. Aku masih boleh berkerja. Aku juga boleh memandu kereta tanpa henti untuk beberapa jam.

Melihat kanak-kanak yang membesar menjadi remaja, yang remaja pula dewasa, maka aku kian tahu umur aku sudah bergerak jauh. Cuma menjadi masalah kepada kita semua - ialah 'self'. 'Aku' itu tetap sama sahaja walaupun umur kian meningkat jauh. Kita tetap merasa kita orang yang sama sekalipun sudah berumur 40-an. Kita merasa kita adalah manusia yang sama seperti budak Tingkatan 5, kita juga adalah manusia yang sama seperti kita di bangku universiti.

Itulah self. Yang berbeza hanyalah sebahagian kecil perubahan cara kita berfikir dan membuat keputusan. Selebihnya, 'self' kita itu menjadi kita merasa kita seperti orang yang dulu juga.

Kolestrol aku pada tahap yang bahaya. Setakat ini aku masih sihat.

Semalam, aku terasa sakit ulu hati - bukan sakit hati.

Aku bertanya Dr Rosnah - seorang doktor yang sesekali datang ke kelas aku. Dia bertanya lokasi sakit, simptom dan bermacam-macam soalan.

Katanya, lebih baik membuat pemeriksaan cepat. Hari ini juga.

Ah, aku perlu bersedia untuk melangkah ke alam baru. Aku tidak selamanya boleh percaya kepada diri aku sendiri. Aku tidak boleh lagi berkhayal dengan ilusi yang dibisikkan 'aku' yang lagi satu.

Wednesday, 4 June 2014

Aku bukan Rockstar!

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seperti tidak percaya, orang kampung sepertiku berjaya menjejak kaki ke kota London. Dulu, semasa aku kecil, aku hanya bermain selut dan mencari ikan di paya. Aku tidak tahu London itu apa. Aku tahu Napoh dan Kodiang. Kodiang itu pekan yang aku anggap istimewa kerana ia aku rasakan sangat jauh. Inikan pula London.

Aku teruja dengan gambar ini. Aku rasa mahu 'Rock the World'. Mahu bernyanyi di atas pentas, sambil berjuta peminat bersorak dan menangis. Aku mahu jadi 'rockstar'. Tetapi, bila aku dewasa, aku tahu rockstar hanyalah angan-angan. Kalau orang tahu bahawa populariti itu hanyalah seperti mengejar bayang, tidak seorang pun mahu jadi artis. Percayalah kataku.



Aku sampai di University of London. Terlalu banyak kampus rupanya. Aku tidaklah kisahkan kampus yang mana. Penerbangan dengan pesawat MH003 selama 12 sangat memenatkan. Aku lebih teruja untuk mendapatkan bantal dan tilam. Aku tidak mahu tahu University of London ini berada di mana. Sudah beberapa kali gadis tuan rumah (pastinya bukan!) menelefon aku bertanya aku di mana. Aku sudah terlambat 1 jam sampai. Di KLIA mereka memeriksa penumpang begitu ketat sekali. Aku tahu, ia hanya sementara sahaja. Kita memang begitu.

Berjumpa dengan gadis tuan rumah itu aku kononnya jadi keliru. Dia mendakap aku ketika menyambut aku sampai. Aku memang tak berdaya menolaknya. Bukan kerana dia cantik dan genit. Sungguh. Aku tak terdaya melawan budaya Barat yang buruk ini!

Kata kawan, jangan lupa diambil gambar peti telefon di Kota London. Aku ambil juga gambarnya, Aku tidak ada sebarang nolstalgia dan perasaan dengan peti tekefon ini. Ketika aku muda, aku tidak ada kekasih. Jadi, aku tidak tahu apa maknanya menelefon kekasih.

Semakin dewasa, aku pula semakin tidak bermaya untuk menggoda sesiapa. Kalau aku mencubanya pun, aku mungkin dianggap buaya yang patah gigi. Jadi aku tidak pernah merasa peti telefon di mana-mana sahaja sebagai binaan yang berharga. Ia hanya sekadar binaan yang tidak berguna, tidak membantu hidupku di masa silam. Kalaulah aku rockstar, mungkin aku tidak perlukan telefon. Banyak gadis yang jatuh ketika aku hanya mula naik di atas pentas. Kasihan aku. Aku bukan rockstar!


Ini gambar bas Kota London. Aku menaikinya sekadar untuk merasai nikmatnya. Walaupun aku tidak pernah menaiki bas sejak sekian lama di negara sendiri. Aku berada di depan sekali, di tingkat atas bas. Aku mahu mengambil gambar. Malang, tidak ada sesiapa mengambil gambarku. Aku mahu selfie. Tetapi aku tidak tahu bagaimana untuk senyum seorang diri. Jadi, aku lupakan dulu.

Gambar bangunan kota Inggeris sama sahaja. Ia tidak ubah seperti Adelaide, dan sebahagian bangunan di Melbourne. Jadi, aku tidak teruja dengan bangunan ini. Walaupun aku perlu mengaku, bandar orang Inggeris selalunya bersih.

Selain acara di universiti, aku tidak banyak aktiviti lain. Aku hanya sekadar dua kali ke Oxford Street. Sekalinya aku belikan cenderahati. Kali kedua, kabel USB untuk aku caj bateri rosak. Aku perlukan yang baru.

Oh. Aku sempat ke dalam bar bersama beberapa orang teman dari Adelaide. Aku tidak dapat masukkan gambar di sini. Nanti aku disalah anggap kerana air Coke dan wain itu sama sahaja warnanya.

Satu tengahari, seorang ahli akademik - namanya seperti seorang manusia Islam. Barangkali seorang Islam. Dia meneguk wain dan kami berbual. Prof Maureen Dollard memberitahuku, jangan jadi bad guys seperti lelaki ini. Aku faham maknanya. Aku memang sudah lama mengetahuinya.

Aku bukan rockstar.

Dari beranda yang diam

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kononnya aku sedang duduk di beranda kondo mewah. Aku mengenakan secawan kopi panas. Ku bakar sebatang rokok. Lalu sebatang lagi.

Aku mula terkesan banyak berita tidak baik mengenai negeriku ini. Daripada kisah orang Sulu menceroboh negeri, kehilangan MH 370 dan kes culik warga Cina. Aku selalu mendengar penjaga negeri bersurah bahawa negeri kita ini besar. Sempadannya luas. Lalu amat susah untuk dijaga.

Aku diam dengan alasan seperti ini. Aku diam bukan kerana aku tidak mahu berfikir. Aku diam bertanya-kalau negeri ini besar, masalahnya banyak, mengapa berebut untuk menang kerusi tiap kali pilihanraya. Menjaga negeri bukan mudah.

Dalam aku diam, aku terkejut besar di negeri yang sedang sibuk dengan hukum hudud, ada pula kisah seorang gadis atau wanita dirogol dengan teruk oleh puluhan anak muda yang lapar. Kita boleh terima lanun boleh masuk keluar kerana negeri ini besar. Tetapi kisah rogol beramai-ramai ini aku sangat kisah. Tidakkah kita boleh sekolahkan anak muda ini agar tidak menempiaskan dahaganya pada tempat yang tak patut?

Itu belum termasuk berita wanita muda yang sedang hamil dirogol oleh dua lelaki. Ah. Negeriku ini lebih hebat daripada buku Kamasutra! Celaka sungguh para perompak seks ini.

Dalam aku diam - aku terdengar dentuman seorang polis dilanggar penyamun. Ah berita apa pula ini. Sayang, yang sibuk menghentam polis tidak pula mengeluarkan kenyataan memuji polis dalam kes seperti ini. Kita lebih pentingkan perut sendiri semua.

Aku tersentak dari diam. Aku hanya sedang duduk di beranda rumah flat kos rendah sahaja. Bukan kondo mewah.

Aku perlu keluar mencari makan. Perlu ku pastikan anak isteriku tidak mati kelaparan dan bersungut mahu makan KFC yang ada gambar Ronaldo.

Jadi tak perlulah aku kisahkan hal negeriku.

Aku tadbirlah negeri kecilku ini agar mereka tidak menjadi manusia durjana di luar sana. Aku bukan sesiapa.

Tuesday, 3 June 2014

Coklat yang menggegar dunia

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Berita coklat ini sungguh meloyakan. Bukan kerana coklat ini sudah tidak lemak atau manis, tetapi coklat ini telah menjadi perisa untuk manusia bermain dengan sentimen. Seorang profesor mula bermain sentimen perkauman kerana perisa coklat ini kononnya sudah bercampur dan tidak tulen. Kononnya ia dicampur selagi ada mereka yang extrimis.

Persatuan bukan coklat yang jarang muncul tiba-tiba muncul. Mereka marah, melatah dan berfatwa. Mereka berfatwa hukum samak makan daging yang bercampur dengan coklat. Aku diam seketika. Mencari kitab-kitab lama. Kalau ada tersangkut hukum samak kalau tertelan daging itu.

Tak berjumpa pula.

Persatuan itu marah bukan main. Mereka cadang bakar sahaja kilang coklat itu. Aku diam beberapa kali. Nasib baik hanya kilang coklat. Kalaulah disarannya membakar bank yang meribakan pinjam meminjam, atau membakar kedai nombor ekor, dunia bertambah kacau.

Semua ini salah kilang coklat itu. Mengapa dicampurkan rasa itu. Tidak tahukah dia orang Malaysia sangat arif hal rasa yang satu itu. Tidak berpuasa tidak mengapa. Asalkan jangan ada perasa itu.

Para ulama mula bersidang. Coklat ini sangat ajaib. Banyak orang sudah memakannya. Coklat ini sudah menjadi makanan asasi mutakhir ini. Orang bercoklat sebelum mandi pagi. Orang bercoklat ketika menonton televisyen.

Coklat ini sangat ajaib.

Coklat ini sudah menimbulkan kacau.

Ini coklat yang sangat janggal. Ini coklat yang boleh mencetuskan Perang Dunia ke-3!

Coklat ini coklat hikmat. Kalau kena cara hasutnya, silap-silap boleh jadi manusia ternama.

Jangan tersalah fatwa. Jangan tersalah lapor.

Ku hafal ceritamu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Hari ini aku memberikan workshop menulis. Tiada yang istimewa dalam kelas-kelas seperti ini, melainkan kali ini aku dibantu tutor yang istimewa. Kami berdua cuba mengajar bagaimana untuk menghafal dan menulis. Ia hal yang payah. Menulis pun susah, apatah lagi menghafal. Membaca pun susah, apatah menulis. Jadi apa yang mudah?


Yang mudah dalam hidup ini hanya satu. Mencari keburukan orang lain.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails