Yang Ikut

Monday, 31 March 2014

Ini bukan April Fool

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Besok aku ke Port Dickson selama tiga hari mengajar menulis. Hujung minggu ini aku ke Kulim dua hari untuk menyemak prosedur kilang. Seminggu kemudiannya aku ke London pula. Di antara ketiga-tiga tempat ini, ia tidak jauh berbeza. Ia ialah tempat yang membuatkan aku sibuk.

London tidak pernah aku jejak kotanya, atau membayangkan warnanya. Aku perlu nengubah watakku sebagai kononnya seorang pengembara. Jadi aku tidak teruk sangat berfikir apa yang ada di sana.

Kata orang, berjalan ini luas pengalaman. Kataku, ia memenatkan.

Bulan April tiba besok. Ia hari April Fool.

Aku berangan-angan menulis seperti dahulu. Itu pun kalau ia bukan April Fool!

Sunday, 30 March 2014

Bomoh dan generasi Youtube

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Lama benar aku tidak menulis.

Ada orang memintakan aku menulis cerita bomoh.

Hakikatnya, cerita bomoh ini tidak pernah berubah. Hakikatnya itulah yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Bomoh akan terus dengan mentera dan peralatannya yang janggal dan unik. Itu adalah metodologi yang digunakan.

Seratus tahun dahulu, atau 30 tahun dahulu, orang tidak kisahkan pun sekiranya bomoh mengasapkan sesuatu di dalam mangkuknya, dan kemudiannya menyeru sesuatu untuk datang ke hadapannya. Orang juga tidak kisahkan pun sekiranya bomoh mengeluarkan bahan-bahan pelik seperti tanduk rusa, atau tembikar emas. Sesekali dibawakan kepada kita kain kuning atau ayat-ayat yang tak pernah didengar.

Tapi tahun berubah, masa berlalu.

Sekarang ini, dengan adanya youtube, twitter, facebook dan segala macam teknologi, orang melihat semua itu hal yang aneh. Ia aneh bukan kerana apa yang dilakukan oleh bomoh itu aneh. Ia aneh kerana orang yang melihatnya ialah generasi yang lain. Mereka hidup dalam tradisi yang berbeza. Keanehan itu kerana zaman sekarang kita hanya melihat sesuatu berdasarkan fakta - walaupun banyak kali juga kita diperbodohkan maklumat palsu dalam internet.

Jadi adakah apa yang dilakukan oleh bomoh itu salah?

Kita tidak bercakap dari perspektif agama. Kita bukan manusia yang arif mengenainya. Kita hanya berbicara mengenai tradisinya sahaja.

Dahulu, kalau kita melihat keanehan yang dilakukan oleh bomoh itu, kita percaya itulah kehebatannya. Semakin kita tidak faham mengenainya, semakin besarlah keaijaban bomoh.

Tetapi, dunia hari ini - dunia youtube. Dunia youtube telah mengubah kaca mata kita menafsir peristiwa.

Tatkala bomoh juga mungkin pelik melihat generasi youtube yang sangsi dengan kehebatannya, generasi youtube pula mungkin berkata - Ah mengapa jengkel sekali bomoh ini?

Ia bukan salah sesiapa. Kita sedang hidup dalam dunia yang sama tetapi dimensi yang berbeza.


Wednesday, 26 March 2014

MH370

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
MH 370

Aku tak pernah percaya engkau telah hilang
Atau jatuh lalu tenggelam
Aku percaya engkau telah terbang begitu jauh
Dengan sayap sakti menerokai awan
dan langit yang membiru
Singgah dari satu bintang ke satu bintang
Bermain di bawah sinar bulan yang terang
Kau bergelak tawa di satu taman
Yang tak pernah terjangkau akalku

Terbanglah semahumu
Pergilah sejauh mungkin
Dengan sayap mu yang sakti

Jangan dipeduli hiba dan resah kami
Kami berdiri pada sisi yang lain
Menafsir makna kehidupan
Membaca makna perjalanan

Terbanglah
Moga nanti kita bertemu di taman itu
Bercerita tentang kisahmu
Kita berkongsi resah di satu pagi

Kau tak pernah hilang
Kau tak pernah jatuh
Kerana
Kau terus terbang
Di langit membiru yang indah
Di bawah cahaya bulan yang terang

Teruslah terbang
Teruslah terbang
Tinggalkan kisah duka kami
Berseronoklah di langit indahmu.

Aku tak percaya kau pernah hilang
Aku percaya kau sentiasa terbang.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails