Yang Ikut

Thursday, 30 October 2014

Transformasi khutbah

Reactions: 
Saran Kerajaan Kelantan untuk menghukum orang lelaki yang tidak bersolat Jumaat patut disokong.

Bagaimana pun, kita juga patut memerhatikan juga isi dan penyampaian khutbah Jumaat. Di mana-mana sahaja, adakalanya kita berasa lucu melihat khatib tergagap-gagap menyebut perkataan Inggeris atau istilah baru yang tak pernah didengar. Sesekali, kita berasa seperti mendengar kuliah sekolah memandu apabila khatib mula menyebutkan statistik kemalangan jalanraya dan bagaimana cara untuk menghindar kemalangan.

Itu belum lagi apabila khatib memintakan kita bersyukur sekalipun harga minyak kian tinggi.

Mengapa khutbah kita sangat membosankan. Mengapa pula ceramah Ustaz Azhar Idrus beribu-ribu orang mendengarnya. Tidak cukup kuliah di masjid, ia dimuat pula di Youtube.

Sedangkan kedua-duanya memang bercakap hal agama.

Inilah masalahnya apabila khatib sangat dicurigai. Jadi, yang menyediakan khutbah ialah penguasa di pejabat agama, dan khatib hanya jadi robot membacanya sahaja.

Jadi, mereka mula tergagap-gagap menyebut perkataan yang pelik-pelik.

Mengapa tidak sahaja biarkan mereka bercakap daripada isi hati dan pengetahuan mereka sendiri. Jika dibimbangi khatib bercakap hal bukan-bukan, pejabat agama berikan mereka topik, tetapi bukan isi khutbah. Ia terlebih baik.

Hendak dikatakan khatib orang yang tidak bijak, ia hal mustahil. Ada yang sangat fasih bahasa Arab, dan mahir pula al-Quran. Tentu ada yang juga bijak bahasa Inggeris.

Tetapi mereka mestilah dibenarkan bercakap dengan suara hati mereka - bercakap seperti Ustaz Azhar.

Tidak perlulah dibimbangi sangat mereka bercakap hal politik atau hal lain yang tidak kita sukai. Yang perlu dibimbangi ialah anak muda dan orang tua yang masih melepak di kedai kopi tatkala khatib sedang membaca khutbah.

Kita bercakap hal transformasi. Khutbah juga perlukan transformasi, sekalipun khatib mungkin tergagap-gagap menyebut perkataan itu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails