Yang Ikut

Thursday, 9 October 2014

Selamatkah kita?

Reactions: 
Setiap hari aku berfikir, tidakkah ada lagi tempat yang benar-benar selamat untuk kita ini?

Bayangkan begini. Setiap hari kita mendengar berita bunuh, ragut dan rogol. Mesin ATM dengan mudah diterobos. Kita semakin takut membiarkan anak bermain di luar rumah.


Kita takut tidak selamat atau perasaan tidak selamat menakutkan kita?

Bangun pagi - sebaik sahaja masuk dalam kenderaan, peluang untuk kita dilanggar mati sama banyaknya dengan peluang kita melanggar orang sampai mati. Naik bas, kita juga berasa tidak selamat. Banyak kali sudah berita bas terbabas.

Sampai di tempat kerja, jangan merasa sangat yang kita selamat. Cuba hitung berapa banyak tong pemadam kebakaran yang ada, dan kalau ada adakah ia berfungsi. Berapa kali dalam 5 tahun ini, organisasi tempat kerja kita mengadakan latihan kecemasan? Pernah ada audit keselamatan tempat kerja datang menilai ruang kita berkerja. Yang selalu singgah audit ISO atau akaun.

Selesai kerja, kita berasa curiga kereta kita yang diparkir masih ada di tempatnya atau tidak.

Dalam perjalanan balik kerja, kita sekali lagi terdedah dengan kematian. Itu belum termasuk takut-takut kita disamun bila singgah sekejap di depan bank.

Kerana susah hati mencari tempat selamat di negeri sendiri, kita ingin melancong ke luar negara. Tapi kapal terbang juga tidak lagi selamat. Ia boleh sahaja disamun di atas awan.

Balik rumah, kita mengunci diri berlapis-lapis dari dalam. Nanti pintu dikopek. Buka televisyen, semua beritanya menakutkan. Hendak tidur, kita mula curiga pintu sudah berkumci atau tidak.

Kerana tidak ada lagi tempat yang selamat, marilah kita ke masjid. Ia tempat orang baik. Kita berdoa agar kita selamat di dunia dan akhirat.

Oh ya. Jangan lupa kasut selipar di luar. Ia mungkin tidak selamat.

Jadi di mana tempat yang selamat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails