Yang Ikut

Monday, 27 October 2014

Liberalism vs bebalism

Reactions: 
Beberapa tahun dulu, ketika melawat saudara saya yang sakit di Hospital Taiping, saya terbaca satu poster yang dikeluarkan oleh sekumpulan profesional mengenai cara bertayyamum. Saya yang tidak arif hal agama ini agak terkejut sedikit kerana poster itu menerangkan bagaimana pesakit boleh bertayyamum dengan hanya menepuk meja sahaja, kerana kononnya kajian sains membuktikan bahawa ada zarah-zarah habuk di atas meja tadi. Jadi, tidaklah perlu dicari tanah atau pasir lagi untuk bertayyamum.

Secara logiknya, dibuktikan pula oleh hujah sains, jadi mungkin ada kebenarannya pandangan tadi.

Lalu saya berfikir pula. Bukankah dalam udara ini ada zarah air juga walaupun tidak kelihatan. Jadi mengapa pula mesti bertayaamum. Bukankah lebih baik mengambil sahaja air sembahyang dengan menggunakan bekalan air yang tidak kelihatan tadi.

Tetapi itulah masalahnya apabila semua orang cuba menafsirkan agama dengan logik akal dan bukti sains. Saya tidak sesekali akan menerima hujah bertayyamum dengan hanya menepuk debu di atas meja. Lainlah kalau debu itu kelihatan dengan mata kasar saya.

Benar, logik akal dan bukti saintifik itu perlu, tetapi tidak semua perkara mengenai agama boleh dijelaskan dengan pengetahuan sains dan logik akal.

Kita memerlukan penghuraian daripada mereka yang arif dalam bidangnya, yakni alim ulamak. Mereka bukan ahli sains, tetapi mereka adalah orang yang tahu mengenai hukum hakam sesuatu perkara. Kita orang awam, baik sehebat mana sekalipun belajar, memiliki PhD dan gelar yang menjadikan kita dianggap tahu semua perkara, tidak mampu menerokai hal-hal berkaitan hukum yang bukan daripada bidang kita.

Orang selalu menyuruh saya memasukkan ayat-ayat al-Quran dalam tulisan saya di Kosmo!

Saya katakan tidak boleh, sekalipun saya mungkin tahu hal-hal tertentu. Ibarat tukang emas, sekalipun dia tahu hal-hal besi, adalah tidak elok baginya menulis hal-hal besi. Kalau ia benar sekalipun, pandangannya boleh menyesatkan orang lain. Biarlah tukang besi bercakap hal-hal berkaitan besi. Sekalipun salah, ia tetap di balik ruang ilmunya.

Tetapi tukang besi jarang menulis hal yang tidak betul berkaitan besi.

Sekarang ini, ada banyak tukang yang mencanangkan ilmu agama. Mereka memetik hadis itu dan ayat al-Quran di sana sini. Sesekali ada pula ustaz yang menolong berhujah untuk mereka.

Termasuklah juga kes memegang anjing yang sekarang ini sedang dihebohkan.

Inilah sebenarnya fenomena liberalism agama. Apa sahaja boleh menjadi betul asalkan ia ada logik dan hujah.

Saya tidak pasti sama ada ini liberalism atau tidak. Saya cuma melihatnya lebih kepada bebalism.

Kerana saya ada PhD, saya dianggap profesional. Tetapi ingat, jangan percaya semua kata-kata saya.

Jangan mudah sangat teruja jika saya berkata anda tidak perlu mengisi air ke dalam cawan untuk diminum kerana di dalam udara ini sudah ada partikel H20.

Sebab ia bukan bidang saya untuk bercakap hal yang walaupun logik, kerana ia mungkin akan menyebabkan semua orang akan terus menjadi bodoh.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails