Yang Ikut

Saturday, 16 August 2014

Setelah setahun ibu pulang

Reactions: 
Pagi tadi, 16 Ogos 2013 sekitar jam 6 pagi, hari Jumaat ratu hati saya, telah pulang buat selama-lamanya mengadap Tuhan. Ibu saya pulang tanpa disangka. Beliau pulang tanpa banyak isyarat. Ibu saya tidak sakit. Ibu sekadar demam biasa.

Saya masih ingat lagi, hari sebelumnya saya bergegas pulang dari Kuala Lumpur. Tiada siapa yang menelefon saya memberitahu apa-apa. Cuma bisik hati saya menyuruh saya pulang segera. Seolah-olahnya bisikan kepulangan terakhir kali melihat ibu di kampung.

Ternyata, selepas hari itu, kepulangan saya ke kampung hanya sekadar perjalanan biasa. Tidak ada apa yang istimewa lagi.

Saya tidak beria-ria untuk pulang seperti selalunya.

Satu malam itu saya sampai ke kampung jam 2 pagi. Saya mengetuk pintu rumah, tetapi tidak ada lagi ibu yang membuka pintu untuk saya. Saya cuba meraba kunci di bawah pintu.

Sayang, tidak ada lagi kunci di situ. Kunci itu biasanya ada di situ sejak puluhan tahun dulu sejak saya mula tahu melabun di kedai runcit sampai jam 1 atau 2 pagi. Key chainnya ialah kaki pemegang ubat nyamuk. Ia sudah berkarat. Jadi, apabila pulang lewat malam, saya tidak perlu menjagakan ibu di tengah malam.

Seingat saya ia sekitar lewat 80an.

Di rumah, tidak ada apa lagi yang indah.

Satu malam, saya mencari pisau di dapur. Biasanya saya bertanya ibu. Tetapi, kerana ibu tiada, saya cuba-cuba bercakap seorang diri bertanya ibu di mana diletakkan pisau.

Hidup ini indah bukan? Sayang keindahan itu hanya baru dirasai setelah ia tiada.

Saya merindui kopi pekat yang dibancuh ibu saya. Kalaupun isteri saya juga pandai membancuhkan kopi dengan rasa yang sama, tetapi saya tetap mengharapkan kopi ibu saya. Kita menikmati kopi hasil air tangan ibu.

Sesekali ibu saya bercerita. Kini setiap kali saya pulang, saya merindui suara ibu bercerita. Kalaupun cerita ibu hanyalah topik-topik kecil, bukan cerita besar seperti tersiar di TV3 atau di Google, tetapi suara ibu itulah menjadikan cerita itu indah. Saya tidak mendengar bahasa Thai ibu, atau alun bahasa Melayu dengan pelat Thainya lagi. Ia keindahan yang rupanya telah hilang.

Di rumah kami, ada tepak sirih pinang. Baru-baru ini, saya cuba membeleknya kalau-kalau masih ada sirih atau pinang di dalamnya. Ia sudah tidak seperti dulu. Yang ada hanya seikat daun rokok. Tidak ada lagi kacip pinang. Tidak juga apa-apa yang lain. Ia petunjuk bahawa ibu sudah lama pergi.

Setahun ini saya masih berperang untuk menerima hakikat bahawa ibu sudah tiada.

Saya masih selalu bermimpi ibu saya di dalam tidur. Di bulan puasa yang lalu, saya bermimpi bertemu ibu dan kakak saya di dalam rumah. Kedua-duanya sudah tidak lagi di alam ini.

Saya bermimpi ibu memakai baju yang sangat indah, dan cahayanya berkilauan. Saya tanya ibu bagaimana kehidupannya di sana. Jauhkah tempatnya dari tempat kakak saya. Ramaikah teman-temannya di sana. Di akhir perbualan kami, ibu meminta saya memberikannya bantal kerana beliau mahu tidur.

Saya terjaga dari mimpi apabila ibu mulai tidur.

Sekalipun saya tahu mimpi boleh jadi hanya mainan tidur, saya selalu mendoakan agar saya selalu bermimpi begitu. Itulah caranya saya boleh berbual dengan ibu.

Kalaupun saya tahu memang ibu sudah tiada genap setahun kini, saya juga kalau boleh tidak mahu berfikir bahawa ibu sudah tiada. Saya percaya bahawa ibu selalu ada.

Itulah satu-satunya cara untuk saya terus menjadi anak ibu.

Hidup ini indah bukan? Sayang, sesetengah dari keindahan itu hanya baru dirasai setelah ia tiada.

Al Fatihah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails