Yang Ikut

Wednesday, 6 August 2014

Pilihanraya vs Hari Raya

Reactions: 
Salam Hari Raya Aidilfitri kepada pembaca yang beragama Islam.

Saya agak jarang dapat meluangkan masa untuk menulis di blog ini sejak akhir-akhir ini. Banyak agenda yang tak sudah.

Di Malaysia ini, rasanya kita kian bosan dengan pilihanraya. Apatah lagi tatkala kita sedang sibuk ke rumah terbuka hari raya.

Tetapi itulah yang mungkin bakal terjadi sekiranya krisis politik Selangor tidak diselesaikan secara berhemah. Menteri Besar Selangor, khabarnya mahu disingkirkan. Tetapi, bukan mudah untuk menyingkirkan seseorang yang ada jawatan. Kalau tidak kena gayanya, ia akan sekali lagi mengubah lanskap politik Pakatan Rakyat.

Tahun 1998 dahulu, Tun Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ada yang menyokong, ada yang tidak. Kemudiannya lahirlah parti politik baru, yang merupakan manifestasi kemarahan sebahagian penyokong UMNO dan sebilangan mereka yang tidak berparti di atas pemecatan Anwar Ibrahim.

Sekarang, beban itu di tangan Anwar pula. Memecat Tan Sri Khalid Ibrahim tidak semudah yang dijangka. Beliau juga ada pengaruh yang besar. Sekalipun partinya membuangnya, rata-rata rakyat menyukainya. Membuangnya mungkin menyelesaikan masalah dalam PKR, tetapi belum tentu menyelesaikan masalah dalam Pakatan Rakyat. Ia mungkin mencipta masalah yang baru.

Tetapi, itulah politik.

Membaca muslihat politik tidak sama membaca muslihat Nujum Pak Belalang. Ada harinya seorang kawan menjadi lawan. Pada hari yang lain, lawan menjadi kawan.

Di pagi raya mereka boleh bersalaman. Pada hari pilihanraya mereka bertarung pula.

Seperti mana hari raya yang menyebabkan kita banyak menghabiskan wang, pilihanraya juga tentu menghabiskan wang yang lebih banyak. Cuma sedikit kelainan, kita menggunakan wang sendiri untuk bergembira di hari raya. Ahli politik menghabiskan wang rakyat untuk bergembira berpilihanraya.

Tidak mengapalah. Itu adatnya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails