Yang Ikut

Wednesday, 13 August 2014

Kita bersama menontonnya

Reactions: 
Agak sukar membaca riak permainan politik. Bagaimana pun, sekiranya ingin mencari sahabat sejati, politik bukanlah padangnya. Musuh boleh menjadi kawan, lawan boleh menjadi kawan. Ia bahasa yang selalu disebut. Tidak ada istilah 'kecil hati' atau 'makan budi'. Ia kisah siapa dulu memakan sesiapa.

Itulah yang sedang kita perhatikan dalam kegelisahan politik di Selangor beberapa minggu terakhir ini. Pakatan Rakyat mungkin telah tersalah langkah apabila gagal menggunakan kesempatan yang ada untuk menunjukkan model baik pentadbiran negeri. Sekurang-kurangnya mereka telah berjaya pada penggal yang lalu. Mengapa tidak disambung sepenggal lagi?

Langkah PKR memecat Tan Sri Khalid Ibrahim ibarat tiada riak, air digoncang. Itulah sekurang-kurangnya yang kelihatan pada persepsi orang awam. Khalid juga orang biasa. Beliau tidak maksum. Mungkin ada salah silapnya di mana-mana. Tetapi, adakalanya tidaklah perlu diperbesarkan sangat hal rumahtangga parti. Ia hanya menjelekkan jiran yang sedang memandang. 

Orang mungkin berkata, kita orang awam ini dangkal mata politiknya. Bagaimana pun, politik pada akhirnya bergantung kepada persepsi. Sama ada salah atau tidak, persepsi itulah yang menjadi raja rakyat membuat keputusan di peti undi. Adakalanya kita mengundi disebabkan populariti. Adakalanya manusia mengundi kerana kasihan.

Krisis Menteri Besar Selangor ini kelihatannya tidak berkesudahan dengan pemecatannya sebagai ahli PKR. Selama ini Khalid yang dilihat tidak bijak berpolitik, kali ini kelihatannya lebih hebat daripada mereka yang sedang menelanjangkan dirinya. Malah gerakan-gerakan politiknya selepas pemecatannya menunjukkan beliau lebih hebat daripada musuh-musuhnya. Kalau sekalipun jangka hayatnya sebagai Menteri Besar tidak panjang, sekurang-kurangnya apa yang telah dilakukan setakat ini menunjukkan beliau juga bijak bermain.

Orang sangkakan dengan pemecatannya akan menghilangkan kuasa Menteri Besarnya. Sebaliknya, beliau mungkin satu-satunya Menteri Besar dalam dunia yang tidak ada parti. Tatkala bekas partinya menuduhnya tidak lagi ada kepercayaan ahli dewan, malah memintanya membuktikan beliau masih ada sokongan majoriti, beliau sebaliknya meminta mereka membuktikannya. Bukan tugasnya untuk membuktikan. 

Petang tadi, tatkala ada gerakan-gerakan daripada Exco daripada PKR dan DAP untuk menidakkannya, beliau terlebih dahulu memecat mereka yang tidak menyebelahinya.

Kini banyak suara-suara yang menuduhnya tidak beretika dan demokratik. Tetapi, pada akhirnya soalan yang sama itu kembali kepada siapa yang terlebih dahulu memulakannya?

Akhirnya itulah politik. Adakalanya kita menjatuhkan kawan sendiri, adakalanya kita dijatuhkan oleh kawan sendiri. Dalam politik, tidak pernah ada teman sejati dan musuh selama-lamanya. Dendam dalam politik tidak sama sifatnya dengan dendam peribadi.

Kita boleh sahaja bersatu, tetapi tidak bersama. Kita boleh juga bersama, tetapi jangan diharap kita boleh bersatu selalu.

Sampai masanya, kita lihat siapa dulu yang kena.

Sekurang-kurangnya sehingga petang tadi, Khalid masih di hadapan dalam percaturan ini.

Bagus juga kita tidak perlu membeli tiket untuk menonton sebuah drama yang menarik, penuh suspens dan mungkinkah ia bakal memunculkan seorang hero baru. 

P/S: Kalau ditanya aku memilih siapa, aku katakan politik bukanlah padang yang baik untuk kita yang tidak pintar menduga.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails