Yang Ikut

Saturday, 16 August 2014

Kenapa saya tidak boikot

Reactions: 
Saya walaupun tidak selalu, sesekali singgah di McDonald. Saya memesan apa sahaja yang saya ingin makan tanpa tahu versi burger terbaru atau lama. Saya memakan burger atau ayam McDonald lama sebelum orang memboikotnya, dan setelah orang memboikotnya.

Saya tidak singgah di McDonald secara bermusim mengikut selera boikot. Saya tidak boikot McDonald ketika musim konflik di Palestin, tetapi makan sehingga menjilat jari pada waktu yang lain. Saya tidak ambil tahu secara mendalam siapa pemegang syer McDonald. Saya bukan ahli sufi. Saya berpegang makanan halal boleh dimakan sekalipun yang menjualnya seorang penyamun. Saya juga tidak pernah bertanya tauke McDonald menderma wang ke Israel atau tidak untuk membeli senapang.

Saya seorang yang tidak berhati perut. Sepatutnya saya bertanya juga hal-hal lain. Ayam McDonald disembelih atau tidak.

Saya seorang yang tidak bermaruah. Saya sepatutnya tidak menggunakan apa sahaja yang dikeluarkan dari perut Amerika termasuk banyak perisian komputer, smart phone, televisyen atau banyak barang lain. Mengapa saya begitu malas memboikot barang-barang dan perkhidmatan ini?

Mengapa hanya McDonald?

Mengapa tidak filem Amerika juga?

Saya rasa saya sangat teruk. Selain masih makan di McDonald, saya juga masih tidak memboikot banyak lagi produk Amerika yang lain. Saya minum CocaCola juga. Banyak lagi. Saya singgah di Starbuck juga.

Sepatutnya waktu boikot ini, saya juga memboikot.

Saya teruk bukan?

Oh. Saya sedang berfikir untuk memboikot.

Saya jarang pula berfikir berapa sen saya dermakan kepada rakyat Palestin tahun ini.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails