Yang Ikut

Monday, 9 June 2014

Perang iman di jalanraya

Reactions: 

Dalam tempoh 10 hari ini, empat kali saya berulang alik dari Putraja ke Trong, Taiping. Maksudnya sebanyak 8 kali saya melalui lebuhraya dan entah berapa kali saya membayar tol. Masyarakat di Trong tidak tahu kesan minyak naik dan harga tol yang mahal.

Kalau saya bercakap pun, paling baik saya diminta jangan balik atau jangan guna lebuhraya. Tidak mengguna lebuhraya di Malaysia samalah seperti mandi tidak guna air paip. Ia tidak mungkin terjadi dalam keadaan jumlah telaga yang kian pupus.

Di Trong, signal internet seperti signal televisyen tahun 1950. Hampir tidak ada. Saya tidak faham mengapa. Sedangkan bil sangat mahal, dan iklannya hebat-hebat belaka. Orang kampung tidak berminat bercakap hal internet. Saya lain. Saya perlu ada internet setiap hari sama ada untuk kerja atau berita. Saya perlu membaca perang di Ukraine atau krisis politik di Thailand. Saya mula mengikuti krisis di negara sempadan Rusia ini kerana saya rasa ia permulaan perang besar dunia.

Saya pasti ramai orang di Trong tidak membacanya. Ketika di London, saya membacanya lagi. Ia konflik Barat dan bukan Barat, yang jika sengketanya berpanjangan - saya ramalkan akan ada perang besar dunia. Saya tidak berminat bercakap hal perang.

 Saya mahu bercakap hal sticker kereta sahaja.

Saya lihat banyak stiker agama di belakang
kereta. Tertulis kalimah suci Islam yang hebat-hebat. Saya menyukainya.

Cuma saya agak janggal mereka yang alim dan tinggi imannya ini, memotong di lorong kecemasan ketika kereta sesak padat. Mereka seolah-olahnya tidak bersabar, rakus dan pentingkan perut sendiri. Kalau orang lain boleh bersabar memandu 20 km sejam di celah sesak jalanraya, mengapa pendakwah sticker ini tidak boleh?

Saya tahu, hukum memotong di lorong kecemasan ini bukan haram. Ia tidak seperti hukum makan babi.

Tetapi sticker yang baik ini dirosakkan imej pemandu yang jelik.

Teringat kata arwah Tuan Guru Hj Umar di kampung saya dulu. 'Hang jangan percaya sangat dengan tok lebai yang serbannya besaq ni'. Jadi apalah sangat dengan sticker kereta!

Daripada membaca sticker kereta, ada baiknya saya baca berita perang di Crimea.



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails