Yang Ikut

Saturday, 14 June 2014

Huma belum lagi ditebang

Reactions: 
"Nok tit ti liu...Lok yak khaw..diau kon leh chao...rai mai thang thi" (Terj: Burung tit ti liu, anak lapar nasi, tunggulah sekejap anakku, huma belum ditebas lagi'). * Nota: burung ini saya tidak tahu apa namanya dalam bahasa Melayu. Tetapi begitulah burung itu bersiul. Chao merujuk kepada anak yang ditatang bagai minyak yang penuh atau putera raja.

Ia peribahasa Thai yang tinggi maknanya. Ia ceritakan tentang kesabaran, kemiskinan dan pengorbanan keluarga dalam membesar anak. Ia cerita yang mungkin tidak ada dalam kamus anak-anak kita kini, malah di kalangan pembaca juga. Ia cerita yang jarang diketahui.

Dulu-dulu, orang kita berhuma.

Berhuma ini satu simbolik cerita mencari rezeki yang cukup hebat. Ia memakan masa berbulan-bulan, bahkan bertahun-tahun. Proses berhuma dimulai dengan proses menebang hutan. Ia bukan ditebang dengan jentolak. Tetapi ditebang dengan kapak dan parang. Ia mengambil masa yang lama.Bayangkan hanya seorang dua sahaja yang menebang pohon balak dan semak samun. Hutan ini pula bukan didiami serangga sahaja, tetapi harimau dan gajah juga. 

Setelah siap hutan dibersihkan, pohon-pohon dan kayu-kayu ini perlu dihimpun dan dibakar pula. Habunya pula menjadi baja. Ia mengambil masa beberapa bulan lagi. Tanah yang sudah dibersihkan. Perlu dicangkul untuk menggembur. Bayangkan tanah yang begitu luas, kira-kira beberapa relung ini dibajak dengan kudrat seorang dua manusia sahaja. Biasanya pasangan suami dan isteri. Beberapa bulan lagi diambil. Barulah ia ditanam dengan tumbuhan.

Untuk mendapatkan hasil, ia perlu ditunggu beberapa bulan pula. Itu belum tentu ia mendapat hasil. Kalau-kalau tidak ada burung atau monyet yang merosakkan tanaman. Penyakit kadangkala menyerang juga.

Tapak huma ini biasanya ditanam padi dan pulut. Ia tidak memerlukan air seperti padi yang ditanam di bendang. Beberapa sayuran lain untuk keperluan makanan juga ditanam seperti timun, kacang, jagung dan sebagainya. Biasanya akan dibina juga telaga dan sebuah dangau [pondok] untuk berehat. Ada yang yang terus menetap di huma tadi untuk beberapa bulan. Jadi tapak huma itu akan menjadi tempat manusia terus bernafas.

Mereka makan apa sahaja yang ada di huma tadi. Ia cukup untuk membekalkan keperluan makan dan minum. Untuk mendapatkan ikan, mereka memancing di pinggir hutan tadi.

Sesekali mereka akan pulang ke kampung untuk melihat anak-anak di rumah. Tetapi, tapak huma dianggap seperti pejabat baru. Bagi yang tidak tinggal di huma, mereka akan pergi pagi pulang petang.


Semasa saya kecil, tahun 1970-an, saya sempat melihat huma kecil emak dan ayah saya. Ia sedikit sahaja. Sekadar menanam padi huma dan beberapa jenis sayur.

*************

Berbalik kepada peribahasa Thai tadi,  lihatlah betapa kerasnya hidup manusia. Anak kelaparan. Bagaimana pun, untuk mendapatkan makanan tadi, anak diminta bersabar dahulu. Ia kesabaran yang luarbiasa. Ia bukan sekadar bersabar, tetapi sabar juga bertahan untuk tidak mati. Ia bukan cerita bersabar kerana nasi belum dimasak. Ia kesabaran huma masih lagi belum dibersihkan. Proses penerokaan mencari rezeki itu pun belum lagi bermula.

Ia kesabaran yang mengambil masa berbulan-bulan. Maksudnya sabar yang sunguh-sungguh.

Hari ini, kita juga tidak mampu melihat anak kita lapar. Tetapi kita tidak boleh meminta mereka bersabar. Kita akan memesan makanan segera dari KFC atau Domino. Dalam hanya beberapa minit, makanan tadi akan sampai ke pintu rumah.

Masyarakat kita di masa silam tidak begitu. Lainlah mereka yang berkerja di bandar atau makan gaji dengan kerajaan. Orang seperti ayah dan ibu saya dalam kategori orang susah.

Anak-anak yang lapar ini juga perlu ke huma membantu keluarganya. Mereka juga perlu membuat kerja-kerja yang patut di huma. Bukan sekadar meminta makan, tetapi mencari makan bersama-sama.

Sebab itu, kalau kita bercakap tentang kerasnya hidup, emak dan ayah kita dahulu mungkin lebih keras hidup mereka. Orang sebelum emak dan ayah kita pastilah lebih keras lagi.

***********

Hidup kita juga keras.

Hidup kita keras kerana perlu mencari wang yang banyak untuk membayar bermacam-macam harga. Daripada Ipad baru sehinggalah kepada pemasangan kabel wifi yang lebih laju. Daripada siaran televisyen berbayar sampailah kepada insuran nyawa. Kereta baru, rumah baru dan bermacam-macam. Kita berhutang siang dan malam.

Hidup kita keras kerana kita tidak boleh mengelak daripada tergoda untuk menjadi manusia moden.

Kita tidak mungkin mampu bersabar seteruk menunggu huma menghasilkan buah. Kita mahukan segalanya dengan cepat. 

Dulu-dulu orang kita sibuk berhuma. Sibuk mencari makan agar anaknya tidak mati. Kini kita juga sibuk. Sibuk dengan facebook,  wasapp, telegram dan Youtube. Anak kita tak akan mati tak makan kerana kita juga boleh memesan makan secara online.

Maka, kita tidak akan berlagu " Anak lapar nasi, tunggulah sekejap anakku, huma belum lagi ditebang". Kita akan berlagu baru "Anakku lapar nasi, tak mengapalah anakku, nanti ku pesankan kamu pizza yang baru".

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails