Yang Ikut

Wednesday, 4 June 2014

Dari beranda yang diam

Reactions: 
Kononnya aku sedang duduk di beranda kondo mewah. Aku mengenakan secawan kopi panas. Ku bakar sebatang rokok. Lalu sebatang lagi.

Aku mula terkesan banyak berita tidak baik mengenai negeriku ini. Daripada kisah orang Sulu menceroboh negeri, kehilangan MH 370 dan kes culik warga Cina. Aku selalu mendengar penjaga negeri bersurah bahawa negeri kita ini besar. Sempadannya luas. Lalu amat susah untuk dijaga.

Aku diam dengan alasan seperti ini. Aku diam bukan kerana aku tidak mahu berfikir. Aku diam bertanya-kalau negeri ini besar, masalahnya banyak, mengapa berebut untuk menang kerusi tiap kali pilihanraya. Menjaga negeri bukan mudah.

Dalam aku diam, aku terkejut besar di negeri yang sedang sibuk dengan hukum hudud, ada pula kisah seorang gadis atau wanita dirogol dengan teruk oleh puluhan anak muda yang lapar. Kita boleh terima lanun boleh masuk keluar kerana negeri ini besar. Tetapi kisah rogol beramai-ramai ini aku sangat kisah. Tidakkah kita boleh sekolahkan anak muda ini agar tidak menempiaskan dahaganya pada tempat yang tak patut?

Itu belum termasuk berita wanita muda yang sedang hamil dirogol oleh dua lelaki. Ah. Negeriku ini lebih hebat daripada buku Kamasutra! Celaka sungguh para perompak seks ini.

Dalam aku diam - aku terdengar dentuman seorang polis dilanggar penyamun. Ah berita apa pula ini. Sayang, yang sibuk menghentam polis tidak pula mengeluarkan kenyataan memuji polis dalam kes seperti ini. Kita lebih pentingkan perut sendiri semua.

Aku tersentak dari diam. Aku hanya sedang duduk di beranda rumah flat kos rendah sahaja. Bukan kondo mewah.

Aku perlu keluar mencari makan. Perlu ku pastikan anak isteriku tidak mati kelaparan dan bersungut mahu makan KFC yang ada gambar Ronaldo.

Jadi tak perlulah aku kisahkan hal negeriku.

Aku tadbirlah negeri kecilku ini agar mereka tidak menjadi manusia durjana di luar sana. Aku bukan sesiapa.

2 comments:

Wan said...

Lepas baca, tiba-tiba saya teringat lagu 'Rumah Kita' tulisan Meor Pesta Jiwa. Tak tau mana relevannya.

FakirFikir said...

Relevan hanya istilah yg x lg relevan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails