Yang Ikut

Wednesday, 4 June 2014

Aku bukan Rockstar!

Reactions: 
Seperti tidak percaya, orang kampung sepertiku berjaya menjejak kaki ke kota London. Dulu, semasa aku kecil, aku hanya bermain selut dan mencari ikan di paya. Aku tidak tahu London itu apa. Aku tahu Napoh dan Kodiang. Kodiang itu pekan yang aku anggap istimewa kerana ia aku rasakan sangat jauh. Inikan pula London.

Aku teruja dengan gambar ini. Aku rasa mahu 'Rock the World'. Mahu bernyanyi di atas pentas, sambil berjuta peminat bersorak dan menangis. Aku mahu jadi 'rockstar'. Tetapi, bila aku dewasa, aku tahu rockstar hanyalah angan-angan. Kalau orang tahu bahawa populariti itu hanyalah seperti mengejar bayang, tidak seorang pun mahu jadi artis. Percayalah kataku.



Aku sampai di University of London. Terlalu banyak kampus rupanya. Aku tidaklah kisahkan kampus yang mana. Penerbangan dengan pesawat MH003 selama 12 sangat memenatkan. Aku lebih teruja untuk mendapatkan bantal dan tilam. Aku tidak mahu tahu University of London ini berada di mana. Sudah beberapa kali gadis tuan rumah (pastinya bukan!) menelefon aku bertanya aku di mana. Aku sudah terlambat 1 jam sampai. Di KLIA mereka memeriksa penumpang begitu ketat sekali. Aku tahu, ia hanya sementara sahaja. Kita memang begitu.

Berjumpa dengan gadis tuan rumah itu aku kononnya jadi keliru. Dia mendakap aku ketika menyambut aku sampai. Aku memang tak berdaya menolaknya. Bukan kerana dia cantik dan genit. Sungguh. Aku tak terdaya melawan budaya Barat yang buruk ini!

Kata kawan, jangan lupa diambil gambar peti telefon di Kota London. Aku ambil juga gambarnya, Aku tidak ada sebarang nolstalgia dan perasaan dengan peti tekefon ini. Ketika aku muda, aku tidak ada kekasih. Jadi, aku tidak tahu apa maknanya menelefon kekasih.

Semakin dewasa, aku pula semakin tidak bermaya untuk menggoda sesiapa. Kalau aku mencubanya pun, aku mungkin dianggap buaya yang patah gigi. Jadi aku tidak pernah merasa peti telefon di mana-mana sahaja sebagai binaan yang berharga. Ia hanya sekadar binaan yang tidak berguna, tidak membantu hidupku di masa silam. Kalaulah aku rockstar, mungkin aku tidak perlukan telefon. Banyak gadis yang jatuh ketika aku hanya mula naik di atas pentas. Kasihan aku. Aku bukan rockstar!


Ini gambar bas Kota London. Aku menaikinya sekadar untuk merasai nikmatnya. Walaupun aku tidak pernah menaiki bas sejak sekian lama di negara sendiri. Aku berada di depan sekali, di tingkat atas bas. Aku mahu mengambil gambar. Malang, tidak ada sesiapa mengambil gambarku. Aku mahu selfie. Tetapi aku tidak tahu bagaimana untuk senyum seorang diri. Jadi, aku lupakan dulu.

Gambar bangunan kota Inggeris sama sahaja. Ia tidak ubah seperti Adelaide, dan sebahagian bangunan di Melbourne. Jadi, aku tidak teruja dengan bangunan ini. Walaupun aku perlu mengaku, bandar orang Inggeris selalunya bersih.

Selain acara di universiti, aku tidak banyak aktiviti lain. Aku hanya sekadar dua kali ke Oxford Street. Sekalinya aku belikan cenderahati. Kali kedua, kabel USB untuk aku caj bateri rosak. Aku perlukan yang baru.

Oh. Aku sempat ke dalam bar bersama beberapa orang teman dari Adelaide. Aku tidak dapat masukkan gambar di sini. Nanti aku disalah anggap kerana air Coke dan wain itu sama sahaja warnanya.

Satu tengahari, seorang ahli akademik - namanya seperti seorang manusia Islam. Barangkali seorang Islam. Dia meneguk wain dan kami berbual. Prof Maureen Dollard memberitahuku, jangan jadi bad guys seperti lelaki ini. Aku faham maknanya. Aku memang sudah lama mengetahuinya.

Aku bukan rockstar.

2 comments:

mulan said...

Asun tau dak....syok ooo p nat Asun hari Jemaat....hahahah

Anonymous said...

Tok Dalang Wayang kulit tok Noh dan Pak Majid, Tok Thong Han, pun sempat ingat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails