Yang Ikut

Thursday, 29 May 2014

Ceritaku yang tak bertajuk

Reactions: 
Sejak akhir-akhir ini, aku jarang menulis lagi.

Aku telah berjalan di merata tempat. Aku telah singgah di kota London. Bertemu dengan banyak profesor besar luar negara. Berbual dengan bahasa teori kami yang tak pernah mampu disimenkan dalam lantai kehidupan nyata. Aku juga mundar mandir di merata tempat di tengah kota Kuala Lumpur, dan selalu tersesat di sana sini.

Sebetulnya, aku mahu menulis dengan bahasa yang paling indah merakamkan apa yang aku temui. Tapi, pintu otakku semakin sakit. Aku menderita kepenatan. Pergi kerja dan pulang kerja. Aku tidak membawa pulang apa-apa. Aku bertemu dengan banyak manusia. Ada manusia yang bibirnya merah, tapi nafsunya serakah. Ada yang berperut buncit, seperti para koruptor - tapi hatinya sangat baik.

Beberapa hari lalu, di Teluk Intan aku terkejut besar. Aku terkejut melihat poster tertampal di sana sini. Aku sebetulnya tidak begitu tahu majlis apa yang sedang dirayakan di sana. Bila terpampang wajah gadis cantik - Dyana - aku jadi terlopong. Aku mula tahu bahawa sedang ada pesta pilihanraya lagi. Aku terlopong seketika bertanya mengapa gadis secantik itu perlu mengotorkan dirinya dalam dunia politik. Lebih baik dia bertanding ratu cantik. Dia mungkin kalah, dia juga mungkin menang. Tetapi lebih baik kalah dalam ratu cantik yang membariskan manusia terindah, daripada menang dalam politik yang selalu meresahkan. Kasihan Dyana.

Sebetulnya, aku sudah lama tidak membaca cerita politik. Salah. Aku tidak membaca apa sahaja berita. Termasuklah email yang tertikam masuk ke dalam kotak email aku. Aku membaca hanya email yang bersangkutan dengan hidup dan matiku. Kalau ada email tentang kenaikan pangkat, atau kenaikan gaji -- pasti aku membacanya. Sayang, email seperti itu tidak ada pula.

Aku menerima tiga email daripada tiga manusia yang tak aku kenali. Seorangnya dari Finland, seorang lagi dari Jerman, seorang lagi dari Australia. Mereka meminta aku mengirimkan artikel terbaru aku. Aku kirimkan sahaja dengan nota - have a nice day. Aku pun tidak tahu mereka mempunyai hari yang indah atau tidak.

Tadi pagi, di lampu isyarat - ada seorang wanita tua, bukan warga Malaysia - mengetuk cermin keretaku memintakan aku sedekah. Aku bersombong seperti orang kaya seperti tidak melihat pun wanita tadi, sambil tanganku sedang sibuk membaca mesej di telefon. Sebenarnya aku semakin sombong dan bosan dengan ragam manusia yang bermacam-macam ini. Bagaimana boleh mereka hidup di kota besar yang kejam ini dengan hanya meminta orang menghulurkan wang. Lebih baik mereka memintanya di Dubai atau Paris yang matawangnya lebih besar.

Dia tidak tahu baki wang aku di bank pun cuma secukup untuk aku makan sahaja. Atau, aku sebenarnya sedang sakit hati dan cemburu?

Aku menyorot kembali mengapa sejak akhir-akhir ini aku begitu malas. Malas yang luarbiasa. Aku sangkakan dulu-dulu, aku hanya malas ketika usiaku remaja. Bila semakin dewasa, aku jadi manusia luarbiasa rajinnya. Sayang, aku tidak berubah. Aku tetap begitu.

Tadi petang aku ke farmasi. Aku membeli setin Oat Plus Beta Glucan, dan beberapa papan tablet Artovastatin Calcium. Aku rasa itulah ubat yang baik untuk membunuh rasa malas aku menulis.

Singgah di kedai mamak, aku bakar sebatang rokok. Ada seorang gadis cantik - tidak secantik Dyana, datang menjualkan buku "Penenang Jiwa' yang diterjemah daripada karya Mukashafah Al Qulub. Aku tidak mahu mendengar dia bersyarah panjang tentang Iman Ghazali yang aku tidak pasti sama ada dia sendiri pernah membacanya atau tidak. Aku hulurkan dia wang RM 40, dan aku ambil buku tadi. Aku tidak kisah sangat membeli buku. Aku cuma kisahkan masa yang baik untuk aku membacanya.

Senaskah buku Bersamamu di Firdaus yang dihadiahkan oleh beberapa orang pelajar aku belum sempat membacanya. Mereka memberikan aku hadiah hari guru.

Aku mulai tahu bahawa aku semakin tua.

Masa mula berlalu. Aku masih belum bertaubat.


4 comments:

alfindani said...

Salam.

Ah, sepertinya saya sendiri sedang menghadapi kemalasan yang serupa!

Saya menyukai gaya penceritaan jujur dengan ayat2 yang mudah seperti dalam entry ini. Sayangnya tiada butang "Like" pula! :)

Kolek Kecil said...

Saya doakan Tuan sentiasa sihat dan dirahmati ALlah hendaknya.

Maaf lah tak dapat join kursus anjuran UM baru-baru ni.

Saya pun makin sombong, nauzubillah.

FakirFikir said...

Kita serupa

FakirFikir said...

Kita lama x jumpa

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails