Yang Ikut

Friday, 29 November 2013

Dari KL ke Bangkok 3

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apa makanan terbaik semalam? Katak goreng atau ulat goreng?

Inilah kelebihan hidup di negara Siam ini. Ia dijual di tepi jalan tidak jauh dari hotel. Tidaklah tahu berapa sedapnya. Aku belum memakannya.


Ada juga keridik goreng. Aku rasa aku pernah memakan keridik di masa silam.



Malam tadi kami dibawa memusing kota Ayutthaya dalam bot. Ia adalah bot untuk orang makan-makan. 10 peratus penduduk Ayutthaya beragama Islam yang ada sejak zaman Ayutthaya lagi. Ia zaman silam. Anda boleh menggoogle kerajaan ini.



Di sepanjang sungai ini, selain candi tua ada juga masjid, gereja Peranchis, dan tokong Cina.


Ia kehidupan majmuk.




Thursday, 28 November 2013

Dari KL ke Bangkok 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku sampai ke kota Bangkok semalam. Aku bergerak ke bandar Ayutthaya.  Katanya ia kota sejarah. Aku tidak berpeluang berjalan ke mana pun. Aku menginap di hotel. Bengkel yang aku sertai ini pun di hotel ini juga. Jadi aku tidak berupaya menelusuri sejarah Ayutthaya yang katanya ada banyak candi tua. Aku hanya mampu melihat sebatang sungai di samping hotel ini. Ini sahaja pengalaman terbaik aku hari ini.


Aku tidak ada masalah bahasa. Aku menuturkan bahasa Siam dengan pemandu teksi. Oh. Kebanyakan penganjur bengkel ini ialah gadis-gadis Thai yang ayu. Mereka boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Tetapi aku lebih suka berbahasa Siam sahaja. Aku belum bergambar dengan gadis-gadis ini. Mungkin besok! Ia lebih baik daripada melawat muzium atau candi.



Aku cukup payah untuk makan di kota asing ini. Aku boleh tidak makan apa-apa. Isteri aku sudah membekalkan 5 bungkus maggi Vits. Aku sudah memakannya tadi. Melihat bungkus maggi, aku mengingati isteri aku. Ini menjadikan mood aku bergambar dengan gadis jelita Thai ini tergendala. Sekurang-kurangnya untuk petang ini.

Malam ini kami akan dijamu makan di atas bot. Entahlah apa yang boleh makan.

Kota Bangkok sedang bergolak. Tetapi rata-rata semua orang suka demontrasi ini. Mereka berperang dengan rasuah dan kronisme. Ia perang sepanjang abad hidup manusia.



Untuk petang ini aku hanya mampu merakamkan gambar wanita muda ini sahaja. Dia kawan baik aku.



Wednesday, 27 November 2013

Dari KL ke Bangkok.

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa tahun dulu, aku menuliskan Dari Adelaide ke Darwin. Kali ini aku ke Bangkok. Ia persidangan yang sama yang dipusing di merata tempat di Asia Pasifik. Ia salah satu persidangan yang unik kerana pesertanya hanya dijemput, tetapi tidak diiklankan. Ia juga melibatkan profesor dan pengkaji dalam bidang psikososial sahaja, dan tidak ada topik yang bercampur baur.

Format pembentangannya juga berbeza. Setelah seorang atau peserta membentangkan kertas kerja, ia kemudiannya disusuli dengan sesi fokus group. Kemudian bentang dan fokus group lagi. Ia membincangkan banyak hal. Termasuklah pertukaran pelajar, penyelidikan,  statistik dan isu-isu penyeliaan. Setakat ini, hasil daripada persidangan ini, telah dihasilkan penerbitan jurnal 'special issue' di International Journal of Stress Management dan kini kami sedang proses menerbitkan buku. Terkini kami sedang merancang membuka akademi sendiri - dan aku sedang mengusahakannya.

Jadi ia bukan persidangan biasa. Ia persidangan yang unik. Terakhir kali diadakan di Tokyo tahun lalu. Aku tak sempat melibatkan diri tahun lalu.

Tahun ini aku kembali.

Tunggu aku Khrung Thip.

Tuesday, 26 November 2013

Apa cerita Bangkok

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Besok aku Bangkok.

Membaca berita terkini, kelihatannya Khrung Thip sedang dilanda gelora demontrasi. Ia demontrasi yang besar juga memandangkan beberapa negara mengeluarkan amaran kepada warganegara masing-masing.

Termasuk yang mengeluarkan kenyataan datangnya dari kerajaan Amerika Syarikat.

Aku tidaklah dapat mengagak apa yang berlaku. Aku harap semuanya baik.

Tunggu aku Bangkok. Harap jalan tidak sesak. Harap aku dapat sampai ke tempat dituju dengan selamat.


Trip Sungai Lembing

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ahad lalu aku ke Sungai Lembing. Ia tempat yang sesuai untuk mandi dan berkelah.


Banyak misi sebenarnya perjalanan ini. Selain melawat terowong lombong Sungai Lembing, kami ada agenda lain. Agenda penyelidikan. Bukanlah penyelidikan arkeologi. Tetaplah juga bidang psikologi.


Dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, singgah di Genting Sempah. Berbincang hal statistik. Bercakap hal tesis. 


Hasil penemuan. Sikit sahaja. Ia penemuan metodologi dan statistik. Ia statistik yang pelik. Tapi canggih.




Saturday, 23 November 2013

Friday, 22 November 2013

Bukan aku yang dulu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini gambar ketika aku beri wokshop semalam.


Ramai peserta. Datang dari pelbagai universiti.


Ini gaya yang aku tak boleh elak. Duduk atas meja.

Tapi rambut aku menjadikan aku kini bukanlah aku yang dulu. Hah.


Wednesday, 20 November 2013

Cool tapi terbilang

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini minggu yang sibuk. Guru dan kawan terbaik - Prof Maureen Dollard datang. Dia Professor yang cool sahaja. Tak banyak protokol. Kami banyak agenda. Mesyuarat, appointment dan penyelidikan. Termasuk juga pertemuan dengan pelajar yang ingin menyambung pengajian PhD.

Pelajar aku agak bernasib baik. Mereka dibantu selia olehnya secara percuma.



# Ini gambar pelajar PhD aku, Iema. Dia jarang-jarang kelihatan dalam blog ini.  Kerana aku sibuk, mereka yang tolong jemput Prof Maureen Dollard di KLIA. Prof Maureen disenaraikan sebagai penyelidik no 5 dunia dalam bidangnya. Tapi biasa dan humble sahaja.

Kita bila lagi?

Menjadi humble tapi terbilang?

Atau...

Poster yang menang

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini hari yang sesak.

Sejak dari pagi sampai ke malam tak berhenti.

Tadi aku menjadi panel hakim. Penyelidik membentangkan poster.

Ini pelajar aku. Kalau aku yang menilai kajiannya, sudah lama dia menang.



Ini poster yang dibentangkan. Terima kasih Din, kawan lama aku yang berkongsi derita kerja sekian lama zaman aku di swasta dulu. Dia memang terbaik bab design. Banner FakirFikir ini dia yang menciptanya. Poster ini sepatutnya menang. Sekurang-kurangnya di blog ini.


Monday, 18 November 2013

Bila aku berambut pendek

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku tidak serabut lagi.

Aku memtong rambut pendek seperti budak sekolah.

Aku berimej bersih dan kemas.

Ketika makan di kantin, seorang kawan aku datang sambil merasa dahi. Dia juga merasa bahagian belakang tengkuk. Dia berkata: Aku ingat hang demam.

Dia juga mahu menawarkan khidmat kaunseling percuma kalau aku sakit.

Berjumpa dengan pelajar aku. Dua pemuda India. Mereka bertanya mengapa aku memotong rambut.

Masuk ke bilik pelajar aku, Yulita memberitahu kepala aku kelihatannya kecil.

Masuk ke pejabat. Terserempak pula dengan ketua jabatan. Dia berkata: I am prefer if you have a long hair.

Nampaknya imej berambut pendek tidak semestinya sesuai dengan semua manusia. Tidak semestinya juga disukai.

Aku perlu memulakannya semula. Agar aku tidak tersesat jalan!

Friday, 15 November 2013

Aku ini siapa?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kita selalu menghadapi konflik ini - konflik peranan. Kita berada di persimpangan, bertanya diri siapa kita yang sebenarnya.

Aku juga.

Aku tidak begitu tahu apa pekerjaan sebenar aku. Aku penulis kolum suratkhabar, mengajar, sebagai penyelidik, penceramah, sesekali mengajar statistik, dan bermacam-macam lagi. Pada waktu yang lain aku memeriksa tesis dan menilai journal. Bila ada masa, aku mengajar menulis. Aku juga menyelia pelajar.

Aku melakukan banyak perkara pada satu masa. Ia menjadikan aku sibuk. Sesekali sangat penat. Sesekali sepertinya sangat kecewa. Sesekali gembira.

Semua orang melaluinya. Ia kepenatan fizikal dan kognitif.

Kecelaruan peranan ini membawa kepada banyak penyakit.

Oh. Sebenarnya aku juga seorang blogger yang tidak ternama.


Thursday, 14 November 2013

Apa sedang terjadi terhadap negara kita?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Entah malapetaka apa sedang menghentam kita.

Bunuh, rompak, samun, dan rogol sudah jadi cerita baru di negara kita. Tatkala kita banyak bercakap Malaysia sebagai negara maju, kita sepertinya berganjak ke belakang. Dulu-dulu cerita seperti ini kita melihatnya dalam filem Tamil dan Hindi. Sekarang tidak lagi. Kita mempunyai lebih banyak samseng daripada hero. Setelah seorang ibu muda yang juga eksekutif bank ditembak mati oleh jaga, kita patut bertanya balik apa yang sedang berlaku.

Wanita itu tidak bersenjata dan tidak ada apa-apa pun. Dia ditembak untuk mendapatkan wang RM500 ribu. Seolah-olah nyawa wanita itu tidak ada sedikit nilai sedikit pun.

Terbaru seorang pegawai kerajaan yang menjaga hal-hal agama ditembak pula. Dulu-dulu, pegawai agama dianggap orang alim dan disegani. Mereka tiada musuh. Sehabis teruk, mereka hanya dicela di belakang. Tidak dibunuh.

Sekarang ini orang tidak peduli siapa lagi. Untuk mendapatkan seratus atau dua ratus ringgit pun orang sanggup membunuh.

Kebanjiran warga asing yang tidak ada kualiti juga membimbangkan. Ada yang tidak ada dokumen, tetapi menggunakan pengenalan palsu.

Mengapa mudah sangat mereka masuk? Sedangkan kita sudah menjaga setiap penjuru sempadan dengan anggiota keselamatan dan senjata canggih. Mereka juga dengan mudahnya mendapat kerja sedangkan setiap bulan kita ada 400, 000 rakyat yang menganggur. Adakah majikan tidak tahu atau buat-buat tidak tahu?

Jenayah ini, kalau tidak dikurangi akan membimbangkan kita semua. Kos rumah kian meningkat. Kita perlukan pagar dan sistem keselamatan yang canggih. Kita juga lena dalam ketakutan. Usahlah bercakap memuji sendiri dengan indeks itu dan ini. Ia tidak membantu. Malah kalau kita percayakan indeks itu, kita mungkin membuka ruang untuk kita disamun.

Ahli politik kadang-kadang banyak bercakap dan pandai bercakap. Apabila polis menembak penjenayah, mereka bercakap hal hak asasi penjenayah lebih banyak daripada hak asasi orang awam. Mereka bertanya mengapa patut ditembak di kepala dan bukan di kaki.

Mereka boleh bercakap kerana rumah mereka dijaga rapi 24 jam, berpagar tinggi dan kawalannya ketat. Orang seperti kita, harga rumah kita mungkin  tidak mencecah pun harga perabut rumah orang berada ini.

Semua ini menjadikan keadaan kita semakin parah.

Apa yang boleh kita lakukan?

Paling mudah kita boleh berkata bersyukurlah.  Negara kita tidak seteruk Afghanistan atau Iraq. Bersyukur sahaja tidak menjamin kita hidup selamat.


Wednesday, 13 November 2013

Ini lelaki paling bergaya!

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

# Maaf gambar tidak berapa jelas. Foto ehsan Dr Salmi.


Tidak mudah melihat gambar aku memakai blazer. Seperti tidak mudah melihat gambar aku memakai tali leher. Aku memakai juga sebab pagi itu ketika di USM hujan turun, jadi cuaca agak sejuk. Aku tidak pasti mereka teruja atau terkejut dengan imej korporat aku, atau terkejut dengan imej 'bergaya' aku. Tetapi seperti biasa, aku juga tidaklah kisah sangat. Yang pasti, kawan baik aku di Adelaide, bekas kelasi kapal yang sudah berusia sangat tidak suka dengan imej aku yang ini.

Dia selalu ketawakan aku.

Ini acara klasik dan normal setelah habis majlis, walaupun realitinya aku tidaklah kisah sangat diberi atau tidak cenderahati. Aku juga tidaklah kisah sangat dibayar atau tidak. 

Itu ialah gambar Dr Salmi. Terima kasih menjemput. Lain kali jemput lagi untuk acara lain pula.

Tuesday, 12 November 2013

Update sibuk

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hidup ini sibuk.

15 Nov - Meeting
18 Nov - Meeting
19 Nov - Terlibat sebagai panel hakim UM Researcher's Conference
21 Nov - Bengkel AMOS di UM, anjuran MPWS
25 Nov - Meeting
27-29 Nov - Asia Pacific Psychosocial Risk Factors at Work - Bangkok
21 Disember - Seminar Jom Hebat Pascasiswazah

Begitulah dunia kerja. Tanpa mengira bidang. Sama sahaja sibuk dan penatnya.




Monday, 11 November 2013

Antara seronok, puas dan gila

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dr Salmi minta aku tuliskan apakah bezanya di antara kepuasan kerja dan keseronokan kerja.

Dari segi maknanya, kelihatannya sama. Hakikatnya tidak.

Sesetengah orang berkerja, dia berasa puas. Dia berasa seperti senang dengan apa yang dilakukan. Ia mungkin dihadapi oleh kebanyakan orang. Kita merasa selesa dengan pekerjaan kita. Kita merasa suka dengan apa yang kita lakukan. Tetapi, ia habis di situ sahaja.

Bagaimana pun, ada pula sesetengah orang yang berasa sangat asyik dengan kerjanya. Ia berasa seolah-olah kerja ini sesuatu yang dianggap sebagai hobi. Ia seolah-olahnya kalau tidak dibayar gaji pun tidak mengapa. Ia merasa fikiran mereka melekat bersama-sama dengan pekerjaan tadi. Bayangannya begini. Pelukis jalanan yang melukis tanpa mempedulikan manusia yang lalu lalang di sekeliling mereka. Tahap ini tidak mempedulikan lagi sama ada lukisan mereka dibeli atau tidak. Mereka tenggelam bersama kerja mereka. Inilah dikatakan keseronokan. Dalam psikologi, istilah adalah merujuk kepada 'job engagement' dan juga 'flow'. 

Bagaimana pun, ada satu lagi kategori - kegilaan kerja. Ini adalah perkara yang bahaya. Mereka ini suka hidup dengan berkerja, kuat bekerja. Mereka mungkin tidaklah suka pun dengan sifat pekerjaan mereka, tetapi mereka ini suka menghabiskan masa dengan berkerja. Adakalanya pekerjaan mereka sengaja ditangguhkan bagi membolehkan mereka terus berkerja hingga ke malam (ini bukanlah bermakna mereka ingin mendapatkan overtime dan sebagainya). Mereka ini dalam kategori ketagih untuk berkerja tanpa henti. Dalam psikologinya, kategori ini dikaitkan dengan workaholics. 

Bagaimana pun, kegilaan kerja ini bahaya. Ia sering dikaitkan dengan tekanan, serangan jantung, dan bermacam-macam penyakit. 

Aku dalam kategori mana?

Tidak ada satu pun di atas.  


Sunday, 10 November 2013

Misi pasembor yang gagal

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Misi aku mencari pasembor tidak gagal. Yang aku gagal ialah bertemu pasembor terbaik. Ia sepatutnya ada di Padang Kota.

Tetapi tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya aku bertemu dengan perkara lain yang lebih indah daripada pasembor.  Padang Kota terakhir sekali aku sampai ketika rombongan sekolah rendah dahulu. Lama sungguh. Itu zaman datang rombongan bawa wang RM 5 dalam poket, nasi bekal dalam 'sia' bertingkat dan sebiji buah limau untuk mengelak muntah naik feri. 


Menjejak ke Padang Kota Lama.  Ia mengembalikan ingatan ke Adelaide. Pulau Pinang ialah kota kembar dengan Adelaide.  Kononnya dibuka oleh Francis Light. Walaupun Pulau Pinang ujud sebelum manusia Inggeris itu memperdaya orang kita. Banyak binaan silamnya sama dengan apa yang ada di Adelaide.  



Kalau anda ke Adelaide, sosok manusia ini selalu dilihat. Dia adalah penjajah yang sama dan orang yang sama. Bezanya di sana mereka membawa orang putih untuk hidup dan membuka kota. Menjadikan Adelaide tidak dianggap sebagai dijajah.

Aku singgah di kubu lama ini. Ia markas tentera. Hebat waktu itu pun sudah ada teknologi seperti itu. Bayangkan dengan tombak, keris dan parang bagaimana kita boleh menang. Bagi menyedapkan cerita, kita membuat dongeng. Dongeng kebal dan ghaib. Kononnya keris kita ini ada sakti. Nasib baik tinggalan sejarah kita mampu bercerita. Kalau tidak, sampai sekarang kita masih percaya hal pelik dan ajaib.


Friday, 8 November 2013

From Ferenggi with love

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 


Ini gambar Batu Ferenggi dari atas hotel. Aku tidak berminat dengan air laut atau air kolam walaupun semasa kecil aku banyak menghabiskan masa di sungai. Pagi tadi aku ke USM. Aku mengajar hal penyelidikan. Juga hal menulis. Ia sepertinya mudah. Tetapi payah. Tidak pasti apa respons peserta. Terima kasih Dr Salmi kerana menjemput. Dr Salmi seorang bloggers. Opp. Jangan beritahu orang.

Lain kali aku datang lagi. Kita bercakap hal HLM.

Malam ini bercakap lagi. Malam ini hal lain. Hal kerja. Hal kerja. Hal kerja.

Aku pun bosan berkerja. Tapi aku lagi bosan kalau tidak berkerja.

Laksa Abang Ali Tanjung Bunga

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah agak lama aku tak memijak Tanjung. Paling akhir bulan Mac dulu. Tapi waktu itu aku sempat singgah bermalam di hotel untuk beberapa jam. Kali ini aku datang lagi. Tidur di Flamingo di Batu Ferenggi. Dulu-dulu tahun 1980an kami terpaksa menghimpun wang berbulan-bulan untuk sampai ke Batu Ferenggi yang masyur ini. Itupun naik rombongan bas sekolah.



Itu zaman paling indah. Malamnya singgah tapak pesta. Itu zaman Yuna dan Najwa Latif belum lahir lagi. Itu zaman Sudirman. Terakhir aku ke pesta entah bila. Sekarang sudah terlanjut usia.



Malam ini aku makan di warung Laksa Meletop dii Tanjung Bunga. Inilah laksa terbaik. Aku tidak tipu. Aku makan dua mangkuk malam ini. Aku seorang pemakan laksa. Tetapi biasanya aku memilih tidak makan kalau aku lihat kuahnya 'cair' dan 'ceroi'. Aku boleh menjadi hakim laksa. Aku tahu segala rasa yang ada dalamnya. Aku cukup pantang makan laksa yang berbau belacan dan tidak ada bunga kantan. Tapi bunga pudina aku tak menyukainya.



Tauke laksa ini bernama Abang Ali. Sebelahnya ini mungkin isterinya. Mata aku tertutup pula. Menjadikan Abang Ali lebih macho dari aku. Mereka berdua inilah tauke laksa terbaik ini. Dua mangkuk laksa cuma RM 7. Aku bayar RM10. Bukan sebab aku kaya. Aku menghargai rasa sedapnya.

Esok aku akan mencari pasembor dan char koew teaw pula.Harapnya ada awek seksi yang menjualnya!

Thursday, 7 November 2013

Anak muda Metropolitan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kalau anda datang ke kampung saya, di pinggir pekan Changlun anda akan berasa kagum. Anda kagum kerana kampung saya disediakan pondok RELA yang cantik di pintu masuk kampung.

Anda kagum dan teruja kerana yang menjaga pondok itu bukan RELA, tetapi sukarelawan anak-anak muda.

Mereka akan memerhatikan kereta yang masuk dengan mata yang tajam. Renungan mereka menakutkan. Mereka tidak menggangu anda. Tetapi mereka berdiri dan memarkir motosikal di bucu jalan yang menghalang kereta lalu lalang. Bagusnya, mereka ini berjaga di pondok ini siang dan malam. Kadang-kadang ramai, kadang-kadang sedikit.

Sukarelawan ini bukan makhluk biasa. Mereka anak kampung yang berjiwa metropolitan.  Mereka mungkin tidak tahu pun kewujudan album Kings of Metal oleh Manowar. Tidak juga mungkin tahu adanya kumpulan bernama Black Sabbath atau Iron Maiden.  Saya tidak kisah anak muda berjiwa metropolitan ini tidak tahu lagu Barat yang berat itu. Mereka juga mungkin tidak tahu adanya ulama bernama Tok Kenali atau Syeikh Abdul Samad Palembang. Tidak mengapa. Mereka warga kosmopolitan yang lahir dan hidup di kampung saya.

Mereka mungkin tidak pernah menjejak kaki ke Kuala Lumpur juga. Itu hebatnya mereka. Anak kampung berjiwa metropolitan dan kelihatan black metal ini.

Siapa mereka ini? Hebat dan kalis dari pelbagai anasir buruk barat yang jijik itu.

Mereka ini adalah penagih ice. Hidup mereka tidak menjiwai makna anak kampung. Pada zaman saya muda dulu, tahun 1990an, penagih heroin biasanya berasa malu dan mereka menagih di hutan belukar atau hujung kampung. Mereka tidak berdiri atau melepak di pintu masuk kampung. Mereka malu kerana anak muda kampung waktu itu masih jitu jiwa kampungnya.

Sekarang ini berbeza. Kalaupun bukan 100 peratus, 70 peratus daripada anak muda ini ialah penagih ice tegar. Mereka menjadikan pondok RELA itu Chow Kit baru. Mereka lebih teruk gaya hidupnya daripada pemuzik Inggeris. Mereka tidak berkerja. Tidak bernyanyi. Tidak menari. Tidak melakukan apa-apa.

Ibu bapa mereka tidak kisahkah?

Ibu bapa mereka sangka inilah nilai metropolitan.  Hakikatnya bukan. Ini nilai anak muda kampung yang tidak ada kelas. Ia nilai yang tidak ada nilai. Ia nilai batang kayu reput yang menunggu mati.

Tuesday, 5 November 2013

Dunia blog tak seindah dulu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Lima atau enam tahun dulu, dunia blog baru muncul. Belum ada twitter. Facebook mungkin masih baru. Aku mula menulis di blog (bukan blogspot) ketika aku berkerja sebagai pembancuh teh tarik. Apabila ke Adelaide aku mula menulis di blogspot. Tidak aku kisah sangat kalau ada yang mahu membaca atau tidak. Ia sekadar hobi.

Lima atau enam tahun sudah berlalu. Aku masih tetap menulis. Tapi kini aku tulis hal yang biasa sahaja. Otak aku disibukkan dengan menulis pelbagai hal. Akademik, suratkhabar dan blog. Aku juga disibukkan dengan pelbagai kerja. Mengajar, menyelia pelajar, memberikan bengkel dan terkini mengadakan kursus organisasi. Aku tidak pasti aku semakin tamak kerja atau tamak harta. Aku tidak ada harta. Akaun di bank juga seperti orang lain juga. Cukup untuk makan sebulan.

Kesibukan itu menjadikan FakirFikir tidak seaktif dulu.

Tapi aku bersyukur aku mempunyai ramai kenalan melalui blog. Biasanya mereka ini manusia educated, pelajar universiti dan bukan orang jahat. Aku tidak menulis hal lucah untuk meningkatkan jumlah pembaca. Sesekali aku tidak akan melakukan copy and paste maklumat daripada orang lain, atau daripada website orang lain. Aku menulis berdasarkan pengetahuan aku sendiri. Aku tidak akan cuba meniru gaya orang lain.

Menulis blog ini menjadikan aku seperti orang muda. Aku cuba menulis bahasa orang muda walaupun aku sudah mendekati alam kubur. Menulis menjadikan aku tidak lupa. Ia merakamkan diari hidup aku. Menulis menjadikan aku berfikir, walaupun tidak sejernih mana.

Kini blog semakin tidak seindah dulu. Orang beralih kepada medium lain. Tapi generasi kami, seperti Krenmaut atau Mulan adalah warga manusia lama yang mungkin terus menggunakan blog. Ia mungkin tidak selaris dulu. Tapi itulah yang terbaik.

Teruskan membaca. Jangan juga lupa membaca Kosmo! Jumaat ini. Aku kembali menulis kolum sejak beberapa bulan ini kehilangan ilham dan rangsangan minda.

Saturday, 2 November 2013

Makna kaya

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Awah kenapa awah ada duit? Dari mana duit tu datang? Tanya anak.

Sebab ayah kerja. Jawabku.

Man, ayah kaya tak? Tanyaku.

Kaya. Sebab hari-hari ayah beri duit. Jawab anak.

#Kalaulah anak kita tahu.



Kelas menulis muncul lagi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semalam aku mulakan balik apa yang aku mulakan dulu. Selepas dilanda sibuk dan pelbagai isu, aku hentikan kelas menulis mingguan.

Seperti biasa, kelas ini kecil sahaja.

Ada beberapa muka baru.


Ini Ainishamsi. Sekarang belajar di New Zealand. Seorang yang genius. Anda juga boleh datang.

Setiap Jumaat 2 minggu sekali, 2.30 - 5 petang.

Mengapa Jumaat petang? Tanya pelajar.  Pahala banyak hari Jumaat aku jawab. Mengapa petang dan bukan pagi? Hanya mereka yang kuat sahaja yang sanggup datang petang.

Selamat datang ke kelas seni menulis. Ia penulisan akademik. Bukannya menulis hal seni.








Bila kota ini kian meresahkan

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Menyaksikan manusia berhimpun di dataran di depan masjid Putrajaya ini adalah gambaran cerita betapa manusia kota sedang kepenatan. Ia menjadi pot baru orang penat berkerja,  sesak berhutang dan resah rumah tangga.  Ia tempat baru orang duduk menyantai. Di hujungnya, di celah-celah pohon ada pasangan sedang memadu kasih.

Biarkanlah.


Ini bukan masa kita berdakwah. Dosa sendiri sudah bertimbun. Sama banyaknya dengan sampah dan lendir orang kota yang menabung nista. Setiap orang ada ceritanya. Baik puji, baik keji tutuplah sendiri. Hidup orang kota kita sendiri-sendiri. Malamnya di disko, siangnya bersongkok dan berbaju batik. Ini cara baru orang kita.

Hidup di kota ini memang penat. Harga barang mendadak naik. Harga diri mendadak jatuh.

Kota ini kota resah. Kota lelah. Kota hutang.

Bukalah bajumu. Lihat berapa bilah tulangmu yang sudah boleh dibilang?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails