Yang Ikut

Wednesday, 25 December 2013

Selamat datang tahun 2014

Reactions: 
Menutup tahun 2013 ini kita dihujani dengan banyak berita kontroversi. Kenaikan harga petrol, harga gula dan GST adalah perkara yang tidak menggembirakan. Tidak pasti, mengapa ada orang yang masih meminta orang ramai bersyukur. Biasanya kita bersyukur kalau ada hal yang menyenangkan.

Malah ada ustaz yang meminta orang ramai redha kerana ini ketentuan Tuhan. Terima kasih atas nasihat ustaz tadi. Tidak pastilah ustaz tadi juga redha atau tidak dengan khabar bahawa kadar tol dan tarif elektrik juga bakal naik. Pastilah orang ramai tidak sewarak ustaz tadi.

Syiah juga isu polemik baru yang menyesakkan. Entah mengapa tidak ada tangkapan dibuat kepada beberapa orang yang mendakwa pengikut syiah. Gambar dan berita mereka terpapar di suratkhabar. Yang dibisingkan ialah seorang pemimpin parti politik. Tetapi beliau tidak pula mengaku.

Paling tragis dalam semua berita tidak menyenangkan ialah bertambahnya kes jenayah. Bunuh dan tembak sudah jadi pekerjaan baru. Dulu-dulu, kita takut ke Thailand takut nanti ditembak. Sekarang ini status kita mungkin lebih menakutkan daripada Thailand. Negara kita sudah seperti cerita filem Tamil. Lebih banyak penjahat daripada hero.

Cuma kita agak gembira dengan pelbagai operasi polis terakhir ini, termasuklah Ops Cantas. Selama ini banyak ahli politik membisingkan hak asasi penjenayah. Jarang pula orang yang kisahkan tentang penjenayah yang tidak ambil tahu pun hak asasi orang awam. Mereka menembak dan membunuh sesiapa sahaja. Samun di sana sini.

Begitulah Malaysia di abad baru.

Kita harap semua orang menyedari realiti ini. Realiti kita hidup dalam kegelisahan dengan banyak sangat isu. Kita bersama menghadapinya.

Harap ahli politik, khususnya yang ada jawatan tidak keluarkan kenyataan yang menambah sesak otak berfikir.  Termasuk kenyataan naikkan harga gula untuk kurangkan kencing manis, atau GST untuk kurangkan harga barang.

Kita semua manusia cerdik. Termasuklah ustaz yang bijak memanfaatkan hadis Nabi untuk meminta orang jangan bisingkan kenaikan harga barang.

Kita mesti rasional. Jangan terlalu banyak retorik.

Selamat datang tahun 2014.

1 comment:

Anonymous said...

Salam Bro..
Yg tu bukan ustaz tapi ostat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails