Yang Ikut

Monday, 16 December 2013

Saya bukan Syiah

Reactions: 
Tindakan terburu-buru tidak selalu menguntungkan.

Saya bukan seorang penyokong Syiah. Saya juga mungkin agak konservatif dalam hal ini. Di Australia dahulu, saya tidak makan sembelihan yang jika saya ketahui mereka orang Syiah. Saya cuba berjaga-jaga dengan hal ini walaupun saya tahu ada orang berkata bahawa sembelihan orang Nasrani pun boleh dimakan juga, sekalipun mereka bukan dari keturunan manusia asal yang menganut Nasrani. Saya tidak makan apa sahaja sembelihan mereka yang bukan Islam. Saya tidak berminat berdebat hal ini. Saya tidak alim hal agama. Biarlah mereka yang fakeh berdebat hal ini.

Saya juga berpegang kepada kepercayaan tidak sah berkahwin dengan orang Syiah. Saya juga tahu bahawa kumpulan Syiah yang hampir mirip dengan ahlul sunnah. Saya tidak berminat menerokainya. Saya percaya kitab yang ditulis oleh alim Mazhab Syafie pun saya jarang teroka, jadi biarlah mereka yang alim agama membacanya juga. Saya hanya berpegang kepada apa yang diajarkan kepada saya. Saya akan menghindarkan diri daripada fahaman baru aliran mana sekalipun.

Sungguh pun begitu, saya tidak pula gembira dengan kebisingan mengenai Syiah mutakhir ini.

Tindakan menuduh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai penganut Syiah tidaklah meyakinkan saya.  Sesiapa sahaja boleh dituduh atau dikaitkan dengan sesuatu ideologi atau fahaman. Ia boleh jadi berdasarkan cakap mulut atau bukti-bukti tambahan.

Bagaimana pun, dalam kes Mohamad Sabu ini, bukti yang dikemukakan menjadi bahan ketawa. Sekadar melaporkan kekerapan beliau ke Iran, dan bertemu tokoh tertentu tidak membuktikan beliau seorang Syiah. Ia lain halnya kalau beliau bertemu dengan Ayah Pin atau Tuhan Harun dan bersama dengan mereka. Baik Ayah Pin atau Tuhan Harun, mereka bukan tokoh politik atau pemimpin negara. Jadi mengkagumi mereka ini tidak sama sifatnya dengan mengkagumi Ayotollah Khomeini.  Khomeini boleh jadi dikagumi kerana revolusi politiknya, atau atas kapasitinya sebagai pemimpin negara. Tidak semestinya orang mengkaguminya juga mendokong Syiah.

Nama Khomeini disebut di banyak tempat dalam teks politik. Malah dalam buku Gary Yukl, tokoh itu juga disebut. Ia teks berkaitan kepimpinan.

Kita memang perlu menghalang gerakan yang kita fahami sebagai bukan dalam kelompok Ahlul Sunnah. Bagaimana pun, sekadar bukti yang kononnya kelas B ini tidak membantu sesiapa pun. Bukan sekadar untuk pendakwaan, untuk mengaitkan Mohammad Sabu ada terjangkit dengan Syiah juga mungkin tidak melekat. Lebih mengasyikkan, Mohammad Sabu pula diminta untuk membuktikan sebaliknya. Ia sama seperti seorang lelaki yang dituduh menggilai isteri orang hanya kerana selalu berjumpa di pejabat. Mereka selalu dilihat berbincang.

Ia tidak meyakinkan kerana boleh jadi mereka hanya berbincang hal kerja. Boleh jadi ada perkara yang bersifat professional dibualkan.

Ia lain sifatnya kalau lelaki itu ditemui di bilik hotel jam 3 pagi. Ini bukti yang kuat. Itupun dengan syarat tidak ada orang lain di dalamnya. Itupun perlu dibuktikan juga.

Meminta lelaki itu mengaku yang dia tidak gilakan isteri orang hanya kerana dilihatnya berbincang di pejabat adalah kerja gila. Ia samalah meminta Mohammad Sabu membuktikan dia bukan Syiah kerana pergi ke Iran. Tidak ada sesiapa mampu melakukannya. Mereka yang menuduhlah yang perlu membuktikannya.

Sejauh ini kita tidak boleh tahu Mohammad Sabu seorang Syiah atau tidak.

Tetapi cara orang agama mengendalikannya telah memalukannya. Ia juga menjadikan Islam bahan ketawa.

Kalau kita tidak mampu professional dan ada integriti dalam hal seperti ini, apa diharap dengan isu orang Islam yang lain.








1 comment:

alfindani said...

Saya setuju hal ini. Soal empunya diri itu benar2 Syi'ah atau tidak satu hal lain.

Lebih menakjubkan adalah mereka yang terang-terangan mengaku Syi'ah dan siap buat laporan polis kepada Mufti Kedah tak pula diambil sebarang tindakan..

Segala perkara nak menjurus kepada political mileage pun susah juga. Dua2 pihak pun sama.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails