Yang Ikut

Friday, 6 December 2013

Apa yang tidak kena?

Reactions: 
Perjalanan aku dari Bangkok ke Kuala Lumpur menemukan aku dengan seorang pemuda India. Seperti aku, dia berasa hairan mengapa Malaysia sekarang tidak seperti lagi dulu. Katanya, dia boleh berjalan di kota Bangkok tanpa bimbang dan ragu, sekalipun di waktu malam. Tetapi, dia berasa cemas apabila berjalan di tengah kota Kuala Lumpur.

Untuk nota, dia bercerita mengenai perasaannya ketika kota Bangkok sedang bergelora dengan demontrasi besar.

Sejak beberapa tahun ini, suasana negara kita tidak lagi seperti dulu. Ujian psikologi terbesar kita ialah merasa tidak lagi selamat apabila berjalan seorang diri di tengah bandar. Kita juga merasa terancam berada di dalam rumah kalau pintu tidak berkunci. Kita merasa gelisah meninggalkan anak seorang diri di dalam kereta. Malah, kita bimbang anak berjalan kaki balik dan pergi sekolah.

Rasa tidak selamat ini muncul daripada pelbagai rentetan berita gelisah yang terjadi. Kita dibisingkan dengan berita culik, bunuh, rogol, ragut dan pemerasan. Ia berlaku di mana-mana sahaja. Walaupun kita mungkin tidak boleh terus percaya dengan dakwaan di sebuah portal bahawa Kuala Lumpur kini merupakan antara bandaraya yang dikategorikan sebagai tidak selamat, tetapi kita tidak pula boleh sangat yakin bahawa kita hidup dalam suasana yang selamat.

Dulu-dulu, di Kuala Lumpur hanya beberapa tempat yang mungkin kita berasa tidak selesa. Di Puduraya, akan selalu ada budak dadah yang meminta wang. Di stesen LRT Masjid Jamek, akan ada juga mereka yang memeras.

Tetapi, sekarang ini ia ada di mana-mana. Ia bukan lagi kisah 'pau'sepuluh atau dua puluh ringgit. Kini berita kes samun sudah menjadi makanan maklumat harian rakyat Malaysia.

Banyak yang sudah dilakukan.

Bagaimana pun, kita merasa apa yang tidak kena dengan begitu banyaknya pendatang tanpa izin yang tidak ada kelas di merata tempat. Datanglah ke Pasar Borong Selangor. Hanya beberapa kerat warga tempatan yang berniaga.

Mengapa di Bukit Kayu Hitam - masih ada lagi 'pekerjaan' membawa masuk rakyat Malaysia ke Thailand yang tidak ada paspot? Ia bukan lagi rahsia penduduk tempatan. Mengapa menjadikan ini negara seperti tidak ada peraturan.

Kisah 'ekspot' masuk beras dari Thailand juga bukan lagi cerita dongeng. Mereka bukan membawa sekampit dua, tetapi menggunakan kereta yang diubahsuai. Dengan adanya pelbagai agensi penguatkuasa, mengapa beras itu boleh juga di bawa masuk?

Tidak mengapalah kalau ia beras. Bagaimana kalau yang dibawa masuk itu senjata api?

Adakah tidak ada sesiapa pun yang tahu?

Mustahil. Tentu ada sesuatu yang tidak kena.




No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails