Yang Ikut

Friday, 16 August 2013

Selamat pulang mak.

Reactions: 
Siapakah yang tidak bersedih.

Ibu aku berusia 79 tahun. Usianya mungkin lebih tua daripada itu. Sejak kecil lagi, ibulah yang menjaga kami 5 beradik. Ayah pulang lebih awal tahun 1980. Aku baru berusia 8 tahun.

Ibu aku menjaga kami semua. Dia hanya membuat atap untuk dijual. Menjual sirih. Ketika muda dia membuat sawah juga. Dia membela kami dengan kudratnya. Pernah dia berkata, dia bimbang kalau kami semua tidak mampu hidup.

Ibu jarang sakit seperti orang lain. Walaupun dia tidak sihat, tetapi demam itu perkara biasa sahaja. Tidak pernah dia masuk wad. Dia terkenal kerana kekuatannya. Mungkin dia sakit. Tetapi menyembunyikan rasanya.

Dua anaknya mati lebih awal. Dia kuat juga. Dia bersikap biasa sahaja. Tidak menunjukkan rasa sedih. Mungkin menyembunyikan rasanya.

Dia dikenali sebagai penangkul ikan yang terkenal. Ramai kawan-kawannya mati dahulu. Dia tetap menggagahi diri mencari ikan sekalipun di usia senja. Dia tidak makan ikan laut. Buah timun dan tembikai adalah dua buah yang dipantangnya. Tidak perlu membelahnya. Melihatnya sahaja dia pening dan sakit. Di rumah kami, kami tidak makan dua makanan ini. Dia tidak perlu melihat buah ini. Dia mampu menghidunya sekalipun jiran yang memakannya.

Dia tidak juga menggunakan dapur gas. Dia hanya menggunakan dapur kayu. Sampai sekarang. Dia tidak terjejas dengan hidup moden.

Dia tidak merungut hal menantu. Dia tidak ambil 'pot'. Hidupnya simple. Kami orang yang berasal daripada keluarga susah.

Aku mendapat gelar dr pun mungkin tidak diketahuinya. Dia hanya tahu aku di Australia. Dia bukan orang yang berbangga dengan hal mewah dan hebat. Dia biasa sahaja.

Entah mengapa tahun ini 2 pohon petai kami berbuah lebat. Tidak pernah berbuah sebelumnya. Ibu selalu berjenaka, mungkin itu tandanya dia akan mati dahulu, atau petai yang mati dahulu.

Dia menyebut untuk melakukan korban tahun ini.

Sejak puasa ini, dia tidak lalu makan. Dia mula sakit. Tetapi dia biasa sahaja. Dia tetap bertahan.

Entah mengapa aku terasa mahu pulang semalam. Aku baru sahaja pulang raya Aidilfitri beberapa dulu. Mungkin memanggil aku untuk bertemu buat kali terakhir dengan wanita paling tabah yang pernah aku hidup bersama. Dia memelihara kami semua sekalipun hidup kami susah. Aku masuk universiti beberapa kali hanya dengan duit menyemat atap sahaja.

Jam 7 pagi - Jumaat tadi ibu pulang tak akan kembali. Berbohonglah aku kalau air mata tidak tumpah. Aku tidak setabah dan segagah ibu.

Selamat pulang mak. Ampunkan dosa dan salah silap. Kenangan indah tidak akan dipadam. Ia adalah nolstalgia indah pelangi hidup kami semua.

Al Fatihah.

Pasti kita bertemu lagi di alam yang lain.

9 comments:

Nor Azimah said...

saya dapat merasakan kesedihan itu, ibu saya kembali padaNya pd 29 Disembar 2011, sampai saat ini saya masih sangat merinduinya, jbu saya juga seorang yang sangat tabah dan tidak suka menyusahkan kami anak-anaknya, kami 4 beradik, ibu saya juga gigih membesarkan kami setelah berpisah dengan ayah kami..
salam takziah, moga rohnya dicucuri rahmat, amin.

Anonymous said...

Assalamualaikum Dr.,

Al Fatihah juga untuk Bonda Dr. yang dikasihi. Semoga rohnya dicucuri rahmat, ditempatkan dikalangan orang yang beriman, ditemukan semula dengan Dr. sekeluarga di Jannah. Amin Ya Rabb.

Salam,
zue

La Kuchi said...

Salam takziah tuan.moga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman.

Anonymous said...

salam
Innalillahi wa inna ilaihi rooji'uun.Takziah kepada Dr.,semoga Allah merahmati dan memberkati roh ibu Dr. di alam sana.Siapa tak menangis apabila ibu meninggal.Ibu yg kita tak pernah berenggang dengannya lebih2 lagi lelaki krn wpun lelaki dah berumah tangga tetapi kunci syurganya tetap pada ibunya tak seperti wanita yang berkahwin,kunci syurganya adalah suaminya.Walaupun berpisah di dunia,yg pasti akan tetap berjumpa di akhirat alam yg kekal abadi.manusia datang dari syurga,semoga kita bertemu semula di syurga,ameen.al-Fatihah

alfindani said...


Abu Ya'la telah mengeluarkan drp Anas, katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yg meninggal dunia pd hari Jumaat ia akan dipelihara drp azab kubur".

(Syarh As-Shuduur, Imam As-Suyuuti, 254)

Ameen.

Dr. Bentara said...

Innalillah dan takziah. Doc, ibubapa kita adalah manusia paling mulia. Semoga mereka diletakkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

mulan said...

Salam takziah dari akak & family.Muga ditempatkan dikalangan yang beriman.

Anonymous said...

salam bro..
begitulah kasih seorang ibu. terbaik

umikalthom mahbib said...

ibu sy pun arwah .tahun 2008.klu dia hidup lg. pasti dia pun buat phd mcm sy sbb ibu sy sgt suka menuntut ilmu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails