Yang Ikut

Monday, 26 August 2013

Cerita mak- 3

Reactions: 
Ketika usia mak sudah menjangkau 79 tahun, daya ingatan mak masih seperti dulu. Dia tetap mampu mengingat banyak perkara. Malah, dia boleh mengingat tarikh lahir dan tahun peristiwa dengan baik. Aku mungkin ada kelebihan ini juga. Di kampung aku, bagi orang seusianya mak ialah salah seorang yang boleh membaca. Beliau juga tahu berita semasa termasuk kehidupan artis lebih baik daripada aku.

Banyak masa emak dihabiskan dengan aktiviti kampung. Beliau menanam beberapa jenis sayur di belakang rumah. Emak tidak makan sayur yang dijual di kedai. Tidak makan ayam daging dan daging import. Juga mandi air telaga. Setiap kali air bah, beliau pasti akan menahan tangkul di sungai. Dulu-dulu ketika masih kuat, emak juga menyerkap ikan di musim kemarau.

Kecuali menahan pukat, menjala dan meniruk ikan, emak mungkin tahu banyak kemahiran menangkap ikan. Sebahagian daripada kemahiran ini aku miliki. Cuma aku tidak boleh menghidu ikan haruan di sungai seperti emak. Emak tahu kalau-kalau ada ikan haruan di sungai yang cetek - biasanya di musim kemarau dengan mengesan hanyirnya. Ia kemahiran yang tak dimiliki banyak orang.

Dulu-dulu, kalau ada orang perlu dijamin di lokap, atau ada anak yang masuk universiti, ada yang minta tolong emak.

Cuma pada tahun 1996 bila aku masuk lokap, emak tidak tahu. Emak hanya tahu 3 bulan setelah itu.

Oh. Jangan salah sangka. Aku tidaklah sejahat itu. Aku dilokap 3 hari kerana disyaki nencuri motor tahun 1986. Ia kes di Kajang. Sedangkan tahun 1986 paling jauh aku boleh sampai hanya Alor Setar. Itu pun setahun sekali. Aku membeli motor yang pernah dicuri dan telah pun selesai kes di mahkamah. Masalahnya ialah data tidak diupdate. Jadi aku tetap ditangkap sebagai orang kena tuduh.

Mulanya aku cuba bersangka baik dengan hal teknikal seperti ini. Bagaimana pun pada tahun 2006 aku dilokapkan sekali lagi di Lokap Pudu. Kes yang lain pula. Jangan salah sangka. Aku tetap orang baik. Gayaku memang menjadikan aku selalu sebagai suspek.

Tidak mengapalah.

Orang lain keluar lokap masuk lokap. Aku masuk universiti keluar lokap. Tak mengapalah. Ia pelajaran baik untuk lulusan psikologi yang hanya mendengar Prison Study oleh Philip Zimbardo.

Emak pergi tidaklah meninggalkan harta yang banyak. Tetapi kami anak-anak mak boleh dikatakan sebagai antara yang tidak pernah bermusuhan. Kami sesama kami agak akrab.

Kalau dulu aku selalu telefon emak bertanya khabar. Kini aku tidak tahu siapa lagi yang patut aku telefon.

Apa khabar anda semua?


3 comments:

Nor Azimah said...

dulu bila nak telefon mak selalu fikir pasal bil, sampai kadang-kadang mak merajuk bila lama tak telefon dia, sekarang cuma mampu dengar rakaman perbualan lama di telefon...

Zul Fattah said...

cerita ni, membuatkan sy ingat mak kat kg.. mcam mana la keadaan emak yg nk besaqkan anak2nya..? suasana kg, tu sama mcam kg sy.. ada bnjir dn lubuk ikan..

Faizal Rahman said...

Salam takziah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails