Yang Ikut

Saturday, 6 July 2013

Inilah dunia pekerjaan

Reactions: 
Saya diberikan tanggungjawab sebagai Penyelaras Latihan Industri pelajar di universiti.

Motif utama latihan industri di mana universiti sekalipun hampir sama sahaja, iaitu mendedahkan pelajar dengan dunia pekerjaan. Ia dunia yang membosankan, tidak seindah seperti yang disangkakan.

Ada pelajar yang tidak mahu ke tempat tertentu, dengan memberikan pelbagai alasan. Sebaliknya, sekiranya ada teman mereka bersama, mereka tidak ada masalah. 

Ada pula yang pada hari pertama sudah mahu lari keluar. Kononnya tidak ada pekerjaan yang diberikan oleh majikan.

Ada yang mengadu kerja mereka hanya membuat surat dan melipat kertas.

Mereka seolah-olah tidak percaya ia boleh berlaku.

Hakikatnya, itulah dunia pekerjaan. Ia bermacam sifatnya. Ia dunia yang sepi. Pelik. 

Pekerjaan bukanlah seindah nama jawatannya. Ia hanya mitos. Apatah lagi jika anda hanya melakukan praktikal. Walaupun anda diminta berpakaian kemas, ia tidak bermakna anda bakal ditugaskan dengan jawatan yang hebat. Jawatan yang hebat hanya ada dalam filem James Bond yang heronya melakukan semua perkara yang hebat.

Sekalipun ada istilah 'eksekutif' di depannya, ia hanya pembungkus sahaja. Banyak eksekutif yang hanya kerjanya ke bank untuk urusan keluar masuk wang. Ada eksekutif yang kerjanya hanya tangkap dan cuci gambar. Begitu juga dengan nama jawatan yang lain. 

Jadi jangan digelisahkan dengan nama jawatan. Jangan merasa hebat kalau pun anda keluar universiti.

Pensyarah sekalipun, walaupun seolahnya hebat, sebenarnya banyak melakukan perkara yang remeh temeh. Kerja-kerja yang pada anggapannya boleh dilakukan oleh kerani. Bagaimana pun, itulah pekerjaan. Ia tidak hebat. Ia tidak indah. Ia hanya dongeng.

Yang indah hanya gaji sahaja. Semakin banyak gaji, semakin indah kerja itu dilihat. Walaupun hakikatnya kerja itu begitu juga.

Satu ayat yang patut difahami para pelajar - dunia pekerjaan ini ialah dunia 'kuli'. Dunia kuli beginilah sifatnya. Ia tidak indah. 

Yang dikatakan kerja ialah kita patuh dengan apa yang diarahkan oleh orang atasan. Kita ikut apa yang disuruh, sama ada suka atau tidak - selagi tidak disuruh terjun bangunan. 

Itulah pekerjaan para kuli. Baik kerja itu kelihatan mudah, bosan atau menghinakan, itu bukanlah sifat kerja yang utama. Yang utama ialah mengikut apa yang disuruh.

Penyelaras Latihan Industri pun bukanlah pekerjaan yang indah. Tetapi, kerana disuruh, itu sudah menjadi pekerjaan.

Selamat menghadapi dunia pekerjaan. Selamat menghambakan diri dengan dunia para kuli, dunia kami, dunia kita manusia sejagat.

3 comments:

依之汉 said...

Sangat setuju dengan pandangan ini. Minda mahasiswa kini lebih berteorikan 'kita sudah ada ijazah. Takkanlah nak kerja kerani?'

Lalu, berkelanalah mereka terus menanam anggur.

Walaupun begitu, saya tak dapat buktikan apa-apa kepada rakan-rakan graduan saya jika saya hanya cakap sahaja dunia pekerjaan ini itu. Melainkan saya sendiri sudah mencapai kejayaan lebih tinggi berbanding mereka.

alfindani said...


Saya juga dulu2 pernah bekerja sebagai "eksekutif jualan". Bunyinya gempak, tapi hakikatnya adalah jualan langsung seperti kebanyakan kita selalu jumpa di restoran2 tu. Jual buku,cd etc.

Bagusnya ia memberi kita keyakinan diri, kepetahan menyusun kata dan ketahanan menerima jelingan tajam, sindiran dan kadang2 taufan kemarahan.

Saya sendiri pernah dimarahi penuh berapi dan disekolahkan oleh seorang pakcik di tengah2 ramainya manusia di pekan sehari kerana dianggap mengganggu beliau.

Yang bestnya kita masih dpt stay cool dan tersenyum bahkan berterima kasih kepada beliau sehingga akhirnya beliau sendiri yg meminta maaf kembali.

Paling bermakna adalah hari ini jika saya melihat anak2 muda yang menjadi "eksekutif2" ini saya mampu menyelami dan merasai apa yg mereka rasai.

Anonymous said...

salam bro..
'Pekerjaan bukanlah seindah nama jawatannya. Ia hanya mitos.'
'Yang indah hanya gaji sahaja. Semakin banyak gaji, semakin indah kerja itu dilihat.'
:)betul tu..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails