Yang Ikut

Monday, 29 April 2013

Pilihanraya: Siapa yang bakal menang?

Reactions: 
Mungkin tidak ada pilihanraya lain yang lebih menarik minat para pengkaji politik, melainkan pilihanraya yang sedang bakal kita hadapi 5 Mei ini.

Dalam sejarah pilihanraya Malaysia, hanya ada beberapa sahaja pilihanraya yang mungkin dianggap panas. Antaranya tahun 1999 - kerana ia berlaku di celah-celah rasa kecewa banyak pihak kerana DS Anwar Ibrahim dipecat pada tahun sebelumnya, yang melahirkan golongan pro-reformasi. Rata-rata orang muda, dan kumpulan profesional bersimpati dengan Anwar Ibrahim yang dianggap sosok terbaik untuk memperjuangkan reformasi dan keadilan. 

Bagaimana pun, BN tetap menang. Tidak ada apa yang berubah.

Pilihanraya tahun-tahun sebelumnya, hanya PAS dan DAP yang dianggap mampu memecahkan homogeni Barisan Nasional. Itupun, dalam banyak keadaan sekalipun BN meletakkan calon tidak mampu menang, partui itu tetap akan mampu menang juga.

Bagaimana pun, PAS di era sebelumnya, masih lagi dianggap parti kampung yang dikuasai oleh golongan agama. PAS pula sering dimomokkan dengan kumpulan anti pembangunan, dan selalu sangat mempromosi hal-hal yang bertentangan dengan idealisme anak muda. Yang banyak dibisingkan waktu itu ialah isu konsert dan hiburan. Isu kafir mengkafir juga menyesakkan.

DAP pula dianggap sangat cauvanism - sangat ke'Cina'an, dan bertentangan dengan jiwa orang Melayu.

Era terbaru - tahun 2004, BN tetap menang besar.

Tahun 2008 - Imej DS Abdullah Ahmad Badawi selalu dipalitkan dengan kumpulan penasihat 'di Tingkat 4' yang entah ada, entah kan tidak. Ia juga nampaknya tidak sehaluan lagi dengan Tun Mahathir - sosok besar untuk BN dan juga negara. Menjadikan BN tidak lagi pilihan terbaik. Ia kalah teruk dan tidak menang besar. Kalah di beberapa buah negeri.

Bagaimana tahun ini?

Walaupun kawan aku - Dr Ben menyatakan sokongannya terhadap BN dengan tema Lain Kalilah, tetapi tema Ini Kalilah yang menjadi mesej Pakatan juga sedikit sebanyak ada kesan terhadap kempennya. Politik adalah seni mempengaruhi.

Walaupun idea gabungan antara parti-parti dalam Pakatan tidak semestinya tidur sebantal mimpi bersama, tetapi dengan kemampuan mereka menguasai beberapa buah negeri, setidak-tidaknya mereka mempunyai sumber kekuatan yang cukup untuk berkempen.

Undi anak muda mungkin bakal menjadi penentu pilihanraya kali ini. Anak muda, dalam apa juga zaman pun, mereka akan selalu bersikap menentang apa yang ada sekarang. Ia sifat biasa. Mereka ini tidak akan peduli dengan apa mesej sekalipun. Kerana anti apa yang ada sekarang ialah imej 'cool' anak muda. Sebab itulah, anak muda selalu berasa 'cool' kalau boleh merokok di belakang bangunan sekolah, atau melompat pagar di waktu malam.

Siapa yang bakal menang? Ini persoalannya.

Kalau ditanya aku - seperti mana tidak ada jalan mudah untuk BN, ia juga bukan jalan senang untuk Pakatan.

BN menguasai media perdanamanakala media alternatif pula dikuasai Pakatan.

Tetapi, tidak ada sesorang pun yang tahu siapa yang mampu membeli hati manusia.

Pengundi selalu bakal menjadi raja dalam keadaan tidak menentu ini.

Selamat mengundi. Pilihlah sesiapa yang anda rasakan mampu memberikan anda kebaikan dan mampu melunaskan mimpi anda.



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails