Yang Ikut

Tuesday, 5 March 2013

Kunak dari mata hati saya

Reactions: 
Nama Kunak sudah lama hilang tenggelam di hati saya. Ia sesekali sahaja datang. Pertama kali saya mendengar nama Kunak ialah ketika saya masuk universiti. Seorang teman baik saya, seorang jejaka Bugis sama-sama mengambil kursus psikologi di UKM sekitar tahun 1992-1996 dulu berasal dari Kunak. Selepas keluar universiti, hanya beberapa tahun sekali saya akan menghubungi teman saya ini. Saya jarang menghubunginya kerana dia pulang ke negerinya, dan saya pula berkelana di merata tempat.

Bagaimana pun, teman baik saya ini tetaplah menjadi teman saya. Dahulu, ketika di universiti saya selalu melepaskan penat di biliknya. Sesekali saya membawanya melakukan kutipan data, kerana dia tidak tahu memandu motosikal.

Terakhir kali saya bertemu teman saya ketika saya ke Kota Kinabalu tahun 2009. Dia kini seorang pensyarah universiti.

Sekarang pun, saya tidaklah begitu kerap menghubunginya. Hanya sesekali. Beberapa hari dulu, saya menghubunginya lagi melalui sms melihat kepada berita keganasan yang berlaku di negeri bawah bayu itu. Saya kembali mengingatinya kerana Kunak antara kawasan yang selalu disebut di media massa sekarang ini. Saya tidak tahu apa yang berlaku di sana. Saya harap semuanya baik. 

Walaupun saya tidak begitu tahu dengan jelas di mana letaknya Kunak dulu, kini saya kian tahu lokasinya. Ia ada di hujung sebelah bawah di negeri Sabah. Dulu, saya membayangkan Kunak sebuah bandar kecil yang menghijau, sejuk dan berbukit bukau. Saya merasakan begitu kerana saya tidak pernah ambil tahu lokasinya. Sekarang, baru saya tahu lokasinya tidak jauh dari laut. 

Cuma saya berasa agak ralat saya cuma menerokai bandar Kunak beberapa hari ini sahaja. Itupun melalui internet. Saya sepatutnya pergi bercuti ke sana dahulu. Sekarang ini, ia menjadi lokasi yang entah bagaimana perasaannya. Saya harap teman saya bersabar. Walaupun dia tidak menetap di sana, tetapi tentulah ahli keluarganya ada di sana.

Kunak - saya harap ia tetap bandar yang menghijau, berbukit bukau dan dingin seperti yang digambarkan dalam mata hati saya. Saya harap ia kekal sepi dari cemas dan gelisah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails