Yang Ikut

Saturday, 2 February 2013

Pilihanraya 1

Reactions: 
Saya tidak perlu menunggu Perdana Menteri mengumumkan tarikh pilihanraya untuk mengetahu bila pilihanraya. Saya tahu pilihanraya sudah kian dekat apabila tiba-tiba Amanat Haji Hadi menjadi isu utama perdebatan negara. Saya tahu apabila tiba-tiba isu agama menjadi sangat terbakar, disebut berulang kali di suratkhabar. Walaupun saya tahu, di luarnya orang tidak mengambil kisah sedikitpun akan kisah hangat ini. Saya tahu pilihanraya kian mendekat apabila orang politik mula sibuk bersalam di sana sini.

Saya tahu. Saya sudah beberapa kali mengundi, dan beberapa kali tidak mengundi. Saya tahu. Saya cuma tidak berkempen atau menampal bendera. Ia bukan kerja saya. Saya mengundi siapa yang saya rasa betul. Saya tidak ambil peduli parti mereka. Saya bukan orang 'atas pagar', seperti yang selalu disebut oleh pengkaji politik mutakhir ini. Saya berada di dalam pagar saya sendiri.

Beberapa minggu dulu, saya berada di hospital menjaga kakak saya yang sakit. Kerana saya tidak ada banyak aktiviti, saya berbual dengan sesiapa sahaja yang saya rasa boleh berbual dan sesuai dengan selera kerongkong saya. Seorangnya ialah jaga lelaki. Anaknya ada banyak juga. Seorangnya belajar di universiti tempat saya berkerja. Katanya, dia hanya memberi wang poket tidak sampai RM 100 sebulan untuk anaknya itu. Saya tidak mahu menyebut jumlah sebenar, kerana jumlah itu sedikit lagi dari belanja saya membeli rokok.

Saya juga berbual dengan seorang makcik di pintu surau. Apabila saya berbual dengan emak saya yang bertudung dalam bahasa Siam, makcik itu bertanya saya, bahasa apa? Saya kata, Siam. Dia meneruskan pertanyaannya, 'Agama apa?" Saya kebingungan, soalan ini ditanya ketika saya keluar dari surau. Saya tidaklah kisah sangat dengan soalan itu, tetapi saya kasihan dengan makcik berumur 50-an itu dengan darjah pengetahuannya. Saya terpaksa memberitahunya, dalam dunia ini ada beratus bahasa. Ada orang putih yang bercakap Inggeris, tetapi mereka orang Islam. Ada yang bercakap India, tetapi mereka juga Islam. Tidak ada apa kaitan pun antara bahasa dengan agama.

Dia diam.

Oh. Apa yang sedang saya cuba perkatakan?

Saya berkata, dalam dunia tatkala ada banyak isu yang patut kita tingkatkan - janganlah kita ambil hal-hal remeh untuk tujuan perdebatan negara. Kita patut berdebat hal ekonomi orang kita. Sejauh mana kita mampu menjaga masyarakat untuk berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia. Kita patut berdebat bagaimana patutnya kita berkerja untuk meningkatkan celik pengetahuan orang kita.

Isu Amanat Haji Hadi ini tidak akan membawa kita ke mana pun. Isu membakar Bible ini tidak akan menjadikan kita lebih alim. Yang utama ialah pengetahuan kita mengenai sesuatu. Bukan membakar emosi manusia dengan hal yang boleh melembabkan lagi pengetahuan kita yang tidaklah begitu cerdas ini.

3 comments:

eira eixora said...

saya pertama kali bakal mengundi. tapi saya tak tahu nak undi yang mana. rasanya dua2 ada salah & betulnya

Anonymous said...

salam bro, blog yg menarik untuk dikongsi. teruskan menulis

ismadiyusuf said...

salam pilihanraya 13...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails