Yang Ikut

Tuesday, 19 February 2013

Mengapa kelihatannya tidak begitu sarjana?

Reactions: 
Seorang teman merungut bertanya mengapa pelajar pasca-siswazah sekarang sepertinya tiada 'aura'? Dalam erti kata yang lain, kurang kualiti kesarjanaannya.

Aku diam. Aku tidak pasti apakah yang harus aku jawab. Yang bertanya itu bukanlah lulusan universiti juga pun. Bagaimana dia mendefinisikan kesarjanaan juga tidak pula diberitahunya.

Tetapi, bukanlah bermakna untuk menjadi sarjana harus masuk universiti. Banyak ilmuan silam yang menulis kitab yang tinggi ilmunya, dibahas manusia hingga ke akhir zaman bukanlah lulusan universiti. Tetapi mereka mungkin mendapatkan ilmu dengan cara yang lain. Mereka ada puluhan guru.

Dunia hari ini, kita dikeceramukkan dengan teknologi dan 'online'. Jari kita boleh mendapatkan sejuta maklumat dalam masa beberapa minit sahaja.

Tetapi maklumat tanpa pemikiran bukanlah kesarjanaan. Tauke kedai runcit ada jutaan maklumat mengenai harga barang, dan turun naik harga barang. Belum tentu dia seorang sarjana juga.

Seorang teman aku di kampung - hanyalah tauke bengkel perabut. Tetapi dia boleh membahaskan banyak ilmu. Dia membaca begitu banyak. Dia tahu banyak perkara, tetapi yang lebih utama dia mampu berfikir di luar kotak daripada apa yang diperolehinya daripada satu-satu maklumat.

Mungkin itulah sifat kesarjanaan.

Mengapa pelajar kita ada yang tidak sampai ke tahap itu? Mereka tidak sampai ke tahap pembahasan ilmu bagi bidang mereka.

Jawapannya mudah. Mereka kurang membaca, menaakul dan berfikir. Mereka mungkin diasak oleh penaja atau organisasi untuk mendapatkan sekeping PhD atau ijazah sarjana. Semuanya mesti cepat. Jadi, mereka melakukan jalan pintas. Cara paling mudah menulis balik apa yang dikatakan orang lain.

Kalau mereka berbahas hal teori, katakanlah - cuba kita bertanya mereka mengapa mereka patut percaya dengan teori yang mereka pakai? Mengapa tidak menggunakan teori lain?

Ada yang tidak boleh menjawabnya. Ini bermakna tidak berlaku proses penaakulan.

Mereka tidak menggelintar maklumat lain yang setara ddalam bidang atau topik mereka. Ini menjadikan mereka tidak boleh menjadi sarjana yang besar.

Adakah aku seorang sarjana?

Tidak juga. Aku juga seperti orang lain.

Aku juga bukan seorang yang ada kesarjanaan. Tetapi aku cuba membaca apa sahaja yang boleh digapai. Dan berfikir sedikit mendalam. Sesekali aku gagal. Sesekali aku berjaya. Adakalanya aku pernah jatuh sakit.

Banyaklah membaca. Bacalah dengan banyak.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails