Yang Ikut

Friday, 21 December 2012

Bertarunglah untuk hidup

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dalam dunia ini, adakalanya kita sangat kecewa. Kekecewaan yang datang itu melupakan semua kegembiraan yang kita ada. Kelukaan hati itu menutup pintu hati kita dengan masa depan.

Tidak tahan dilanda musibah, tidak mampu menahan dukalara, apa pilihan terbaik? 

Kecewa, resah, buntu dan merasa tidak berguna. Apa pilihan lain yang ada?

Mati. 

Itulah jalan terbaik yang cuba diambil oleh mereka yang merasakan tidak ada jalan lain lagi.

Itulah cara paling mudah. Tetapi itulah cara yang paling bodoh yang pernah manusia lakukan.

Orang sangka, mati menyelesaikan masalah. Hakikatnya, ia hanya menyelesaikan masalah di dunia ini sahaja. Belum tentu di dunia yang satu lagi. Di dunia, masalah sebesar mana sekalipun, kita masih boleh berlari. Kita masih ada jalan. Di akhirat tidak ada lagi. Kita tidak ada upaya untuk berdalih sedikit pun. Roh kitalah yang menjawab semuanya.

Kita tidak perlu pun berusaha untuk mati. Tidaklah perlu berfikir pun untuk tidak mahu meneruskan kehidupan. Setiap hari ada sahaja orang mati. Ada yang mati dilanggar lori, ada yang mati diserang penyakit. Ada yang mati terjatuh longkang, ada yang mati disantau orang.

Tidak perlu pun berusaha untuk mati. Mati akan datang sendiri, sama ada kita suka atau tidak. Jadi, tidaklah perlu memilih untuk mati. Ia akan datang tanpa dijemput.

Jadi, berjuanglah untuk hidup. Berjuanglah untuk kehidupan walau sebesar mana sekalipun derita yang kita tanggung. Kehidupan ini besar ertinya. Kehidupan inilah yang akan memberikan kita nyawa untuk hidup di dunia yang satu lagi.

Kalau begitu, lupakanlah berusaha untuk mati. 

Marilah kita teruskan hidup ini sebesar mana gelisah dan payah sekalipun. 

Untung-untung, kita akan bertemu jalannya nanti.

Thursday, 20 December 2012

Apa indahnya menjadi ahli psikologi?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apa indahnya menjadi ahli psikologi?

Kelihatannya macam indah bukan? 

Ada masanya mungkin begitu. Tetapi tidak pada setiap waktunya.

Melibatkan dengan pekerjaan ini, kita terlibat dengan masalah manusia. Masalah orang lain. Masalah orang lain ini bermacam-macam. Ada yang biasa sahaja, ada yang sangat peribadi.

Setiap kali orang lain mengajukan masalah, kita perlu mendengarnya. Kita perlu mencadangkan caranya.

Orang yang dilanda masalah psikologi ini pula tidak sama dengan mereka yang demam atau sakit fizikal. Fikiran mereka bercelaru. Setiap hari, otak mereka berdebat dengan hal tidak rasional. Mereka berperang di antara hal yang nyata dan tidak. Mereka berperang untuk terus berlawan, atau merasa kecewa dan putus asa.

Biasanya, tahap mereka yang diserang isu psikologikal ini berbagai. Ada tahap pasang dan tahap surut. Pertama sekali apabila dilanda musibah, mereka akan cuba menafikannya. Mereka akan bertanya, 'mengapa aku, dan kenapa bukan orang lain'. Mereka bertanya 'mengapa aku dilahirkan menjadi manusia, dan bukan burung'. 'Mengapa aku dipilih dengan beban ini". Syurga, neraka, dosa dan pahala semua ada di sini. 

Itu soalan putus asa dan kecewa. Ia pertikaian yang sangat teruk.

Inilah masa yang paling kritikal. Tidak banyak yang kami boleh lakukan waktu ini. Hanya bercakap dan mendegar. Itu pun kalau mampu. Sebabnya, mereka yang dilanda masalah akan menolak apa juga yang kita sarankan. Mereka berperang dengan diri mereka sendiri. Banyak daripada mereka yang mengambil jalan singkat mencederakan diri, atau melakukan tindakan yang tidak terduga akal berlaku di tahap ini.

Tahap kedua ialah penerimaan. Ketika ini, mereka sudah mampu menerima hakikat. Inilah kenyataan yang perlu mereka lalui. Mereka tidak boleh mengalah. Bagaimana pun, sesekali akan datang isu yang sulit ketika tahap pertama tadi. Ia datang menerawang.

Lama atau pendek bergantung sejauh mana pesakit bertahan dan berlawan. 

Lama kelamaan, kalau pesakit mengambil jalan yang betul, masalah akan selesai dan hilang. Ia keluar dari kotak minda yang kacau. Mereka akan rasional kembali.

Apa yang ahli psikologi lakukan?

Tidak. Kami hanya mendengar dan memberikan pandangan. Itupun kalau mereka mendengar. Masalah diselesaikan oleh mereka yang sakit.

Ia tidak sama dengan sakit fizikal. Masalah psikologikal berada di minda. 

Hanya pesakitlah yang tahu apa yang ada di minda mereka.

Tetapi, kami yang mendengar ini pun sebenarnya terdorong untuk menyerap dan berfikir hal yang difikirkan pesakit. Kita berfikir untuk mematahkan hujah tidak rasional pesakit. Ia membuatkan kita menyerap masalah pesakit. Kami, adakalanya tidak tidur malam juga. Menjadi manusia resah. Menjadi manusia tidak normal.

Sebab itu - dari segi profesionalismenya, kami dididik untuk tidak terlalu 'get involved'. Maksudnya, kami tidak boleh meletakkan diri sebagai pesakit juga. Kami tidak boleh memikul semua beban pesakit. 

Bagaimana pun, kami pun manusia juga. Hujah mengatakan bahawa emosi manusia berpindah kepada manusia lain mungkin selalu benar kepada mereka yang terlibat dalam bidang seperti ini.

Ia menyakitkan. Ia memeritkan. Ia tidak indah. Ia adalah kehidupan ahli psikologi. 

Kami juga berperang dengan diri kami sendiri. 

Siapakah yang tidak tertikam duri?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Duri, paku, kaca dan kerikil tajam ada di mana-mana. Kita mungkin selalu terselamat kerana memakai kasut. Kita mungkin jarang tertusuk kerana kita berjalan perlahan-lahan. Tajam mata kita memandang dengan penuh teliti.

Sejauh mana baik kita mencuba pun, akan ada masanya kaki kita tertusuk juga. Ia apabila waktu kita terlupa atau terleka. Ada ketikanya kita memakai kasut, tetapi kelihatannya paku begitu tajam dan menembus juga tapak kasut.

Kaki kita terluka.

Begitulah metaphora kehidupan ini. Sejauh mana pun kita mengelak dosa, kita menjadi manusia sempurna, berlari sedaya upaya, sesekali kita tertikam juga. Adakalanya memang salah kita. Tetapi manusia ini memang dikurniakan dengan sifat alpa. Adakalanya memang bukan salah kita, tetapi ia mengena diri kita juga. Ia ujian untuk kita.

Tentulah sangat indah kalau kita sejak dilahirkan sampai ke usia mati kita tidak melakukan dosa. Tetapi, tentulah itu bukan manusia. Ia hanya milik para Nabi dan Rasul. Selainnya, manusia kebanyakan seperti kita, akan dilanda dengan pelbagai ujian. 

Ada orang yang diuji dengan amal, ada orang bergelumang dengan maksiat. Ada orang yang banyak amal tetapi hatinya diseliputi rasa angkuh dan riak. Ada orang yang selalu membuat dosa, tetapi cepat sedar dan pulang ke pangkal jalan.

Bercakap memang mudah kan? Pulang ke pangkal jalan tidak semudah pulang ke rumah. Tetapi mencuba pulang ke pangkal jalan itulah perjalanan terindah hidup manusia. Ada orang berkali-kali mencubanya. Ada orang sesekali mencubanya.

Tidak mengapalah. Kita cubalah apa yang terdaya.

Kita hanya manusia. Kita hanya orang biasa.

Setiap daripada kita ada ceritanya. Cerita tertikam duri, paku, kaca dan kerikil adalah cerita kita semua. Ada yang boleh kita jadikan sempadan. Ada yang boleh dijadikan tauladan.

Kenapa harus begitu kecewa? 

Tuesday, 18 December 2012

Kalau terjatuh, bangunlah lagi.

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya terjatuh pakcik. Luka. Sakit.

Berapa umur anak sekarang? Tanyaku.

8 tahun pakcik...

Kalau begitu baiklah. Kalau anak seusia pakcik, kalau pakcik terjatuh dan terluka mungkin tak akan sembuh lagi.

--------------------------

Begitulah hakikat hidup. Kita selalu terjatuh dan terluka. Tidak kiralah apa pun punca dan sebabnya. Adakala kita terjatuh kerana tersalah jalan. Ada yang terjatuh kerana dosa. Ada ketikanya, kita tidak mampu menanggung malu. Adakalanya kita diperdaya.

Hidup ini padang ujian. Hidup ini kota yang meresahkan. Sesekali kita ketawa, sesekali kita menangis, sesekali kita tiada rasa.

Jangan menangis anak. Tidak mengapalah kalau kita terjatuh, walau kita selalu mengharapkan agar tidak terjatuh. Tidak mengapalah kalau tersalah melakukan silap yang besar sekalipun. Adakalanya kita alpa. Alpa itu milik manusia.

Tetapi jangan diulang salah yang sama di masa depan. Ia lebih baik. Jangan juga dihukum diri dengan rasa yang bukan-bukan. Mungkin, ia adalah titik tolak untuk kita menjadi manusia baru yang lebih baik. Ia mungkin membantu kita mengenal siapakah guru agama yang terbaik untuk membawa kita mengenal Tuhan. Ia mungkin membantu kita mengenal siapa teman siapa lawan.

Paling penting, ia membantu kita menjadi manusia lebih kuat.

Katakan, siapakah manusia yang tiada berdosa? Tetapi, mengaku salah dan bertaubat dari dosa itu penawar segala duka.

Usiamu  masih muda. Lebih baik tersalah membuat dosa di usia muda, daripada terlanjur di usia tua. Masih ada banyak ruang untuk memperbetulkan kesilapan. Orang berdosa yang sempat pulang, lebih baik dari manusia mulia yang tersungkur di usia senja.

Pada akhirnya begitulah kehidupan anakku.

Kalau kita mampu memilih, kita tidak akan memilih untuk terpilih.

Tetapi siapakah yang mampu melawan catatan takdir? 

Monday, 17 December 2012

Siapakah ustaz?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya sebenarnya sudah lama ingin menulis tajuk ini.

Setiap kali berbual baik di kedai kopi atau di mana sahaja, akan ada individu yang dirujuk sebagai 'ustaz'. Saya tidak tahu atas alasan apakah seseorang itu patut dinamakan sebagai 'ustaz'. Adakah kerana mereka alim hal agama, atau kerana mereka berpakaian seperti ustaz, misalnya memakai serban, kopiah dan sebagainya.

Saya bertanya dalam diri saya sendiri. Adakalanya, saya bertemu dengan orang yang bukanlah dalam kategori mereka yang mengajar agama, atau mendalami hal agama. Mereka ini mungkin berpakaian seperti ustaz, tetapi kerjanya ialah merawat orang. Tidak kisahlah apa metod perubatan sekalipun.

Malah, banyak orang yang saya ketahui alim dalam agama di kampung saya, bahkan ada yang diketahui sebagai sangat alim, tidak pun dipanggil dengan ustaz.

Adakah dengan hanya keluar mengiku jemaah tertentu misalnya, membolehkan seseorang itu dipanggil ustaz. Begitu jugalah mereka yang dahinya lebam kerana banyak bersembahyang patut dipanggil ustaz?

Saya tidak tahu. Mungkin gelar ustaz ini membawa sedikit penghormatan.

Bagaimana pun, ada yang telah tersalah tafsir, bahkan ada yang menggunakan gelar ini untuk memanipulasi orang lain.

Banyak bomoh yang adakalanya menggunakan mentera yang aneh, dan metod yang pelik juga menggunakan gelar 'ustaz' di depannya. Ada pula yang mengeluarkan fatwa yang adakalanya meragukan.

Tetapi kerana ada gelar ustaz, orang percaya juga.

Jadi siapakah sebenarnya ustaz?

Tidaklah kita mengharapkan mereka ini patut ada lulusan Al-Azhar atau belajar puluhan tahu di pondok bagi membolehkan kita memanggil mereka ustaz.

Cuma yang tidak kita harapkan ialah tidaklah patut semua orang yang memakai kopiah atau berserban itu juga patut digelar ustaz.

Dulu-dulu semasa saya masih kecil, selalu saya bertanya mengapa ada ustaz meniaga makan di bulan puasa. Pembelinya bukan wanita yang mungkin tidak berpuasa kerana darurat. Pembelinya ialah anak muda lelaki yang beragama Islam yang kita tahu tentu tidak berpuasa.

Lama-lama saya tahu, belum tentu mereka yang bersorban itu ustaz. Belum tentu orang yang membahasakan dirinya ustaz itu juga 'ustaz' dalam makna yang difahami oleh otak kita.

Sunday, 16 December 2012

Penyelidikan psikologi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semalam, saya dijemput untuk memberikan pandangan saya berkaitan isu berkaitan pekerjaan mengikut perspektif psikologi. Ia acara yang dianjurkan oleh Society of Occupational & Environmental Medicine. Kecuali saya, semua pembentang yang terlibat ialah doktor perubatan. Pesertanya juga ialah doktor perubatan yang bertugas sama ada di agensi kerajaan atau sektor swasta.

Bidang yang saya ceburi sekarang kebanyakannya didominasi oleh ahli perubatan. Tidak banyak ahli psikologi yang melibatkan diri dalam bidang ini. 

Walaupun fokus kajian kami hampir sama, tetapi pendekatan kami berbeza. Model atau teori yang digunakan juga mungkin berasas dari sumber yang sama, kebanyakannya berkisar dengan pandangan Robert Karasek, dahulunya seorang jurutera yang tiba-tiba bertukar bidang menjadi ahli psikologi.

Kerana kemiripan bidang, saya kini banyak melakukan kajian dengan mereka dari bidang perubatan. Mereka yang datang dari bidang perubatan mungkin tidak begitu terbiasa dengan statistik sains sosial. Kami pula tidak berupaya mengukur simptom klinikal - misalnya mengukur tahap kolestrol dalam darah dan cuba mengaitkannya dengan tekanan kerja. 

Saya juga mempunyai pelajar sarjana dari Fakulti Sains Kesihatan, di UPM. 

Jadi kerjasama dengan doktor perubatan mungkin akan saling membantu kami melakukan kerja masing-masing.

Begitulah penyelidikan. Ia saling memerlukan di antara satu sama lain.

Saturday, 15 December 2012

Ayat pertama dengan bakal penyelia?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
"Saya sangat berminat dengan bidang ini. Saya berharap dapat berjumpa Tuan untuk membincangkan hasrat saya menyambung pelajaran peringkat Sarjana". 

"Psikologi, saya rasa bidang yang sangat relevan dengan kerja saya. Saya ingin sekali menceburi bidang psikologi. Kalau boleh, saya ingin bertemu dengan pihak Tuan".

Inilah adalah bentuk-bentuk email yang selalu aku terima. Bagaimana pun, ada hal yang patut diketahui oleh para pelajar yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Surat, atau hasrat seperti ini tidak memberikan apa-apa.

Anda perlu tahu dengan siapa anda berhubung. Daripada situ, anda perlu tahu apa minat dan bidang mereka. Sekalipun anda berminat dengan bidang kejuruteraan misalnya, anda tidak boleh merasakan tajuk yang berkaitan kimia organik sesuai untuk dikemukakan kepada mereka yang pakar dalam bidang kejuruteraan sivil. 

Anda juga sepatutnya tahu bidang spesifik orang yang anda hubungi. Kalau seseorang menghubungi aku untuk melakukan kajian dalam bidang psikologi kanak-kanak misalnya, aku tidak berhasrat melayannya. Ia bukan bidang yang aku ketahui.

Berbincang hal secara umum juga adakalanya tidak membantu. Sebaiknya bacalah beberapa artikel berkaitan dengan bidang yang bakal anda terokai. Jadi, ia akan menjadi mukadimah yang baik untuk anda menghubungi bakal penyelia anda. Misalnya, "Saya ada membaca beberapa kajian oleh Bakker & Demerouti berkaitan burnout. Saya dapati kajian mereka masih tidak memadai. Ini kalau diasaskan kepada kajian Zapf & Dormann, misalnya, ditunjukkan bahawa burnout akan hanya menyebabkan kemurungan hanya setelah beberapa tahun seseorang mengalami burnout. Jadi, saya ingin ...."

Membaca email seperti ini menjadikan bakal penyelia akan 'teruja' dengan anda. Begitulah cara yang sepatutnya anda memperkenalkan diri dengan orang yang tidak mengenali anda.

Ia seolah-olah menunjukkan anda telah mula menyelongkar bidang yang ingin dikaji, dan bukan hanya sekadar menunjukkan minat sahaja. Ia juga memudahkan orang seperti kami mencadangkan apa yang sepatutnya dibaca lagi, atau apa topik kajian yang boleh dilakukan.

Minat sahaja tidak memberikan apa-apa makna. Mesti ada bukti bahawa anda seorang yang berminat. Bukti itu mestilah datang dari pembacaan, dan bukannya angan-angan.


Thursday, 13 December 2012

Siapakah yang bakal menghiburkan kita?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Membaca cerita Yahya Sulong, sesekali mengingatkan kita begitulah yang sentiasa terjadi dalam kitar hidup kita sebagai manusia. Dia pelakon dan pelawak yang bagus di zamannya. Dia menghiburkan hati kita semua dalam beberapa buah filemnya. Dia menyenangkan hati kita dengan keupayaannya.

Tetapi, begitulah kitar hidup yang selalu berulang. Dia mungkin telah banyak menghiburkan hati manusia terluka di masa mudanya, bagaimana pun kini siapakah pula yang bakal menghiburkannya?

Ibu kita mungkin telah menjaga dan membesarkan kita di usia mudanya. Apa sahaja yang kita minta akan dikabulkannya, sekalipun mengharung lelah dan resah. Tatkala dia di penghujung usia, siapa pula yang bakal menjaganya? Apatah lagi untuk bersakit dan berkongsi payah di ruang hidup yang sepi?

Kita? Mungkin bukan kita. Kita sibuk dengan kerjaya. Kita sibuk dengan hutang bank dan rumah baru. Kita juga sibuk dengan segala macam yang lain.

Kita juga, bila sampai waktunya, kita juga seperti kebanyakan orang lain. Tidak ada sesiapa pun yang bakal menghiburkan kita.

Sekarang kita masih muda. Ada pangkat, kuasa, tenaga dan wang. Sesiapa yang lalu, sesiapa menyapa. Semakin kita berkuasa, semakin banyak pula ampunya. Kalau kita penyanyi atau pelakon yang hebat, yang cantik dan muda, sesiapa sahaja akan mendapatkan tandatangan kita. Kalau kita pensyarah atau profesor terkenal, sepatah sahaja ucap kita - bakal nanti diulas panjang oleh mereka yang lain. Kalau kita pegawai kanan negeri, sesiapa sahaja bakal memberikan kita hadiah dan puji yang hebat.

Mereka semua menghiburkan kita. Kerana kita juga mampu menghiburkan mereka. Kita boleh memberikan mereka apa yang mereka pinta.

Tatkala usia senja menjengah kita, tidak berharta dan berpangkat pula, tidak ada sesiapa pun memandang kita. Apatah ingin menghiburkan kita.

Kitalah sendiri yang bakal menghiburkan diri kita. Itu pun, kalau kita ada sedikit amal untuk dijadikan bekal untuk melagukan irama riang.

Kalau tidak, kita bakal menjadi manusia terluka yang sepi.

Kita mungkin mampu menghiburkan jutaan orang dengan pangkat, wang dan bakat, tetapi percayalah bila sampai waktunya, tidak ada seorang pun yang mampu menghiburkan kita pula.

Kitar sepi dan patah hati ini adalah rutin untuk semua yang bernama manusia.

Pernahkah kita belajar daripadanya?

Wednesday, 12 December 2012

Mengapa manuskrip ditolak?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Malam ini, sekali lagi kertas aku ditolak. Ia merupakan kajian cross-sectional. Kajian yang sememangnya popular di tempat kita. Sebab itulah, aku tidak mahu membenarkan pelajar aku membut kajian cross-sectional. Anda boleh menghantar ke 50 jurnal sekalipun, ia ditolak juga. Anda mungkin mahu membaca alasannya. Anda juga mungkin ingin belajar sesuatu daripadanya.

Mengapa aku tidak menghantar kertas kajian menggunakan longitudinal data? Ada. Tetapi aku menghantarnya ke tempat lain.


Dear Dr Idris

Thank you for your submission of "XXXXX" to the Journal of Occupational and Organizational Psychology (JOOP).  I read through the paper carefully and have decided not to send it out for further review.  In my reading of the paper, I have reservations regarding its consistency with JOOP's policy and its eventual success in the review process.  I outline my major concerns below.

1.  It is JOOP policy to consider papers based on cross-sectional data only in rather unusual circumstances (please see our notes for contributors as well as editorials in Volume 80 part 1 and Volume 84 part 4).  Your paper is based on such, correlational, data, despite its very interesting sample.  The hurdle for making a significant new contribution is therefore quite high. Of course, the cross-sectional nature of the data makes it difficult to identify likely causal directions and explanations. You suggest some interesting possible causal connections between variables in your paper, but on the whole I don't think your data are able to establish whether these are correctly specified.  Some element of longitudinal data could be an enormous help in developing a paper that could make a stronger contribution.

2.  Related to the former point, mediational processes may be examined using procedures such as proposed by Baron and Kenny (1986), MacKinnon et al. (2002) or Preacher et al. (2004; 2007), but in the absence of real longitudinal data the concepts of interest can be shuffled around in a random fashion, similar to what happens in the shell games played by swindlers attempting to separate unsuspecting tourists from their money.  Results of the cross-sectional version of the mediation game are about as trustworthy as those of the infamous shell game; you may think you know where the ball is, but chances are that you are completely wrong.
This is different when one has access to a longitudinal data set. Two-wave studies will give some indication of the presence and direction of a potential mediational process (cf. Cole & Maxwell, 2003). Ideally, the full mediation model can be tested when at least three or more waves are available, yielding the best estimate of the strength of a mediational process (cf. Taris & Kompier, 2006).

Since we value novelty, these are important limitations, especially in the light of the fact that we currently receive so many submissions that we must be very selective in deciding which papers should progress to the reviewing stage (i.e., which papers are potentially promising enough to be candidates for publication).

I understand that this is likely to be a disappointing decision; however, I felt it best to act more quickly in giving you a chance to submit this to another journal rather than waiting on a review process that was unlikely to lead to a favorable outcome.  I wish you the best of luck as you seek to publish this paper in another outlet and look forward to reading more of your work submitted to JOOP.

Warm Regards,

Friday, 7 December 2012

Bagaimana hendak menghafal

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Untuk mereka yang ingin mengetahui bagaimana fungsi otak memproses maklumat, baca Kosmo hari ini.

Bagaimana pun, versi online tidak lengkap. Untuk versi yang lebih panjang, berserta dengan contoh latihan kena beli suratkhabar.

Bagaimana untuk gagal PhD?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ada seseorang bertanya, adakah yang gagal PhD?

Kita selalu bercakap hal indah. Ada juga hal yang buruk.

Banyak dari kes kegagalan PhD bukanlah kegagalan dalam istilah sebenarnya. Kegagalan ini dalam erti kata tidak sempat siap, sedangkan tempoh maksimum pengajian sudah tamat. Ia selalu berlaku di kalangan pelajar sains apabila experimen tidak mahu menjadi. 

Ada yang tidak dibenarkan untuk meneruskan pengajian setelah gagal 'candidature defence'. Panel merasakan tajuk atau topik atau skop kajian tidak relevan dan mencapai tahap kesarajanaan PhD. Hal seumpama ini banyak berlaku di luar negeri.

Ada juga pelajar yang tidak sehaluan dengan penyelianya. Penyelia tidak memberikan sokongan untuk meneruskan pengajian. Ada yang lain, yang penyelianya menghantarkan surat kepada penaja bahawa pelajar tidak layak untuk belajar.

Semua ini menjadikan mereka ini gagal.

Ada pula yang memang gagal mutlak. Calon telah menghantar tesis untuk dibaca pemeriksa, dan pemeriksa memberikan markah gagal.

Mengapa gagal?

Aku sesekali menjadi pemeriksa dalaman. Aku pernah membaca tesis dalam kategori gagal ini. Apabila membaca, biasanya aku akan membelek dahulu bibliografi di belakang tesis tersebut. Apabila tidak ada bahan utama, atau rujukan yang ditulis oleh mereka yang mendominasi bidang yang dikaji, besar kemungkinan tesis ini akan menjadi entah apa-apa.

Sebabnya calon mungkin tidak cuba menguasai topik, sebaliknya menulis mengikut suara hati atau 'cakap dengar' sahaja. Topik kajian mungkin baik, tetapi malangnya telah tertangkap muat segala teori dan metodologi yang digunakan. Ia bukan untuk memudahkan mereka menjalankan kajian, tetapi untuk membolehkan tesis dilihat tebal.

Sususan ayat dan para tidak ada kesinambungan.

Ini menjadikan kami merasa sedang berlaku plagiat dalam tesis ini, ditambah pula tidak ada citation untuk menguatkan hujah.

Apa kesudahannya?

Gagal.

Pernah aku bertanya kepada Prof Maureen Dollard, mengapa ada yang gagal sedangkan sudah ada penyelia? Penyelianya tidak membacakah?

Dia menjawab - Tidak. Pelajar tidak mendengar cakap.

Wednesday, 5 December 2012

Apa yang telah kita buat untuk kampung kita?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kita selalu tertanya-tanya, mengapa adakalanya budaya kampung kita masih tidak berubah. Sesekali, kita sangat bimbang kalau anak kita dibesarkan di kampung. Kampung sekarang bukan lagi tempat untuk anak-anak mandi sungai atau melastik burung. Kampung juga bukan lagi medan menjadikan anak-anak belajar budi bahasa dan sopan santun. Tidak juga tempatnya untuk mereka bermain wau bulan atau gasing.

Tidak. Kampung sudah berubah. Ia melahirkan generasi ketagih ice, rempit dan sesekali ragut. Dadah sudah menjadi trademark baru pemuda dari kampung. Bohsia dan bohjan juga banyak. Cuma tidak ramai yang tahu sahaja. Belum termasuk isu lain. Isu ponteng sekolah, teruja untuk tamat sekolah lebih awal dan mendapatkan kerja yang gajinya hanya secukup makan.

Sesekali, adalah lebih selamat anak-anak yang dibesarkan di bandar. Mereka banyak duduk di rumah. Bermain PSP atau komputer. Mengikut ayah ibu pergi bershopping. Mereka tidak begitu bebas, kerana di bandar kita hanya pentingkan diri kita sendiri. Kita terasing dan tidak kenal dengan orang lain. 

Mengapa budaya hidup di kampung semakin menakutkan?


Setiap tahun, ada anak-anak dari kampung kita yang berjaya masuk universiti. Ini bermakna produk dari kampung bukanlah 'koman' dan tidak ada nilai intelektual. Banyak yang berjaya dan hebat.


Mengapa pula anak-anak kampung yang lain tidak boleh diubah, atau tidak ada apa yang boleh diubah. 


Cuba kita perhatikan secara jujur. Berapa banyak produk dari kampung yang berjaya ini pulang semula ke dalam komunitinya membantu mereka yang lain. Bukanlah bermakna kita mengharapkan mereka duduk di kampung. 


Sesekali kita harapkan mereka pulang dan memberikan buah fikiran mereka. Itu sahaja.

Malangnya, tidak ramai. Banyak daripada anak kampung yang hebat ini menjadi manusia baru. Mereka menjadi orang lain. Yang lahir di bawah pohon nyior sesekali lagaknya seperti lahir di New York. Gayanya lain. Ada yang sombong. Mereka ada komuniti baru. Mereka tidak kembali ke asalnya untuk membantu orang kampung ini.

Mereka cepat lupa.

Kalau mereka pulang pun, usia sudah senja. Tidak ada sesiapa pun yang akan mendengar pandangan mereka. Mereka mungkin tidak cukup tenaga lagi.


Apa yang boleh kita lakukan untuk membantu desa kita? 


Apa yang patut kita lakukan.

Aku juga seperti kamu. Aku juga tidak melakukan apa-apa.
 

Tuesday, 4 December 2012

Jangan rosakkan diri anda kerana PhD

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Bulan Disember ini aku agak kesibukan.

Aku dijemput oleh sekumpulan komuniti penyelidikan dari Fakulti Perubatan untuk bercakap hal 'tekanan kerja'.  Setelah setahun aku balik ke Malaysia, inilah kali pertama aku diminta bercakap hal yang menjadi topik penyelidikan aku. 

Tidak ada sesiapa pun yang memintakan aku bercakap hal yang aku suka.

Malah, aku juga diminta untuk mengajar topik statistik dan metodologi. Ia juga bidang yang lain.

Selama ini, apabila dijemput, aku banyak bercakap hal yang lain.

Aku juga diundang sebuah universiti tempatan untuk memberikan ceramah motivasi kepada pelajar PhD mereka. Aku tidak tahu lagi apa yang hendak aku ceramahkan, dan apa yang hendak aku motivasikan. 

Aku percaya, banyak pelajar PhD sebenarnya memiliki motivasi yang sangat membara. Ini khususnya ketika proses mencari penyelia dan universiti yang hendak dituju. Semangat membara ini terlihat jelas dengan idea-idea yang datang ketika mula menulis proposal yang hendak digunakan bagi tujuan permohonan.

Pada hari pertama mendaftar diri, semangat yang sama ini masih jelas terlihat.

Cuma ia mula merosot dari hari ke hari apabila bertemu dengan halangan di sana sini. Ada yang dimasalahkan dengan kualiti penyeliaan. Ada pula yang tergapai-gapai dengan tajuk dan metod yang hendak digunakan. Ada yang dimasalahkan dengan hal-hal keluarga, ada yang tersampuk dengan isu kewangan.

Ada kes pelajar yang bercerai berai kerana PhD. Suami hilang ke mana, isteri pula tak jumpa jalan pulang. Akhirnya, ada yang pulang tanpa mendapat apa-apa. Yang dikendong jatuh terbarai, yang dikejar menjadi bayang.

Ada pula yang dirosakkan setelah mendapat PhD. Tenggelam dalam puja dan puji. Akhirnya merasa besar diri. Ini pun merosakkan juga.




Ada orang yang rosak sepanjang perjalanannya mendapatkan PhD. Ada pula yang dirosakkan selepas mendapatkannya.

Janganlah hendaknya PhD ini merosakkan diri anda.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails