Yang Ikut

Friday, 30 November 2012

Tajuk minggu ini

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tidak ada perkara untuk ditulis. 

Dalam Kosmo pun tidak ada perkara yang indah untuk ditulis. 

Aku tulis hal biasa sahaja di Kosmo

Untuk minggu depan mungkin aku tulis tips bagaimana ibu bapa menolong anaknya menghafal.

Ada apa-apa cadangan atau soalan untuk aku menulis di Kosmo minggu selanjutnya? Emailkan aku.

Wednesday, 28 November 2012

Apa yang saya belajar di luar negeri

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Satu tengahari, saya singgah di Felda Sungkai Timur. Bertemu dengan saudara mara di sana.

Satu soalan telah ditanya. Apakah yang telah dipelajari selamat 4 tahun di luar negeri?

Banyak sebenarnya. Saya tidaklah menjawab kesemuanya.

Daripada banyak yang saya belajar, saya rasa banyak daripada kami belajar hal ini. Belajar untuk menjadi ular yang menyusur akar, tetapi tidak hilang bisanya.

Di luar negeri, kita akan dapati profesor dan pensyarahnya mempunyai lagak seperti biasa sahaja. Tidak ada formaliti. Tidak ada puja dan puji. Kita berbual seperti teman lama sahaja. Mereka tidak pedulikan pangkat dan profil mereka. Nama mereka mungkin terkenal di seluruh dunia kerana banyaknya buku dan kajian, tetapi mereka merendah diri.

Sepertinya, mereka tidak tahu pun mereka terkenal.

Banyak pelajar kita belajar di sana. Banyak daripada kita belajar daripada mereka yang berjiwa besar ini. Ada yang pulang menjawat jawatan tinggi di agensi kerajaan, ada yang menjadi ahli akademik.

Sayangnya, tidak pula kesemuanya menjadi seperti itu.

Ada yang apabila berbual - merasa begitu gah dan besar kerana belajar di luar negara. Ada yang caranya lebih orang putih dari Inggeris.

Bagaimana pun, kelihatannya kelompok ini tidaklah banyak lagi. Hanya ada segelintir dua sahaja. Mungkin itulah yang mereka belajar di luar negeri. Belajar untuk menjadi orang biasa sahaja.

Tetapi saya terkesan satu perkara yang sedikit aneh. Ada segelintir manusia yang cara mereka melayan pelajar, cara mereka bercakap hal akademik sangat menggerunkan. Mereka seolah-olahnya ular yang paling bisa di kalangan segala jenis ular.

Mereka ini pula biasanya bukanlah produk dari UK, Australia atau kota Inggeris yang lain. Bukan juga produk dari Jepun atau Korea.

Mereka ini produk tempatan.

Sesekali saya berfikir adakah mereka memang begitu? Atau sistem pendidikan kita sedang mengajar mereka dengan gaya 'jarak kuasa' yang patut dilakonkan.

Entahlah.

Saya tidak begitu tahu, dan malas untuk ambil tahu.

Friday, 23 November 2012

Pesan untuk pasangan muda

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tidak ada perkara untuk ditulis. Baca apa yang aku tulis dalam Kosmo minggu ini. Untuk facebook klik di link ini.


Atasi konflik demi elak perceraian

PASANGAN yang bahagia juga menghadapi konflik namun ia boleh diatasi secara positif. - Gambar hiasan


CUTI persekolahan sudah bermula. Ia bukan hanya musim pelajar sekolah bercuti, malah musim untuk pasangan muda kita memulakan alam perkahwinan.
Semoga perkahwinan mereka itu bukan sahaja berkekalan ke akhir hayat, lebih daripada itu, mereka dapat menikmati kemanisan berumah tangga.
Sekiranya ada gelombang yang menguji kehidupan rumah tangga mereka, terutamanya pada awal usia perkahwinan, mudah-mudahan mereka mampu menanganinya dengan baik.
Ini penting kerana kajian-kajian yang dilakukan oleh ahli psikologi jelas menunjukkan bahawa mereka yang berkonflik pada awal usia perkahwinan mempunyai potensi besar untuk bercerai. Ia berbeza pula bagi mereka yang memulakan awal perkahwinan yang membahagiakan.
Apatah lagi, dalam kehidupan moden hari ini, perceraian seolah-olah menjadi perkara biasa. Secara purata setiap tahun, kira-kira 20,000 kes perceraian berlaku dalam kalangan masyarakat Islam di negara kita.
Lebih membimbangkan, dianggarkan bahawa perceraian berlaku setiap 15 minit. Ia mengingatkan kita dengan satu pepatah Perancis, love makes the time pass and time make love pass.
Dipengaruhi budaya
Tatkala bercinta, manusia terleka sehingga tidak menyedari masa yang berlalu. Bagaimanapun, semakin berubahnya masa, manusia juga tidak lagi menghiraukan cinta yang pernah mereka janjikan.
Jangka hayat perkahwinan juga kelihatannya dipengaruhi oleh budaya dan norma hidup sesebuah masyarakat.
Dalam masyarakat Barat yang terkenal dengan nilai individualistik, masyarakatnya berpegang kepada suara hati mereka sendiri. Mereka akan meneruskan atau membubarkan sesebuah perkahwinan bergantung kepada 'apa yang dirasakan sebagai yang terbaik untuk naluri mereka', dan bukannya orang lain.
Situasinya terbalik dalam masyarakat kolektif, iaitu usia sesebuah perkahwinan biasanya bergantung kepada 'apa yang orang lain akan perkatakan?'
Inilah yang ada kalanya menjadikan seseorang itu sanggup meneruskan perkahwinan walaupun menderita, manakala ada pula yang berakhir dengan perceraian walaupun dugaan yang dihadapi tidak begitu besar.
Ada juga orang yang terpaksa menghadapi kehidupan rumah tangga yang sangat menyakitkan kerana keluarga tidak memberikan restu, walaupun pada hakikatnya pasangan tersebut tidak mempunyai sebarang masalah.
Keluarga harmoni
Secara umumnya, kajian-kajian menunjukkan bahawa perkahwinan biasanya kekal dalam kalangan pasangan yang dibesarkan dalam keluarga yang harmoni, mempunyai taraf pendidikan yang sama, mempunyai pendapatan yang baik, tinggal di kawasan luar bandar dan mempunyai pegangan agama yang baik.
Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, komunikasi dikatakan sebagai aspek yang sangat utama dalam menentukan survival sesebuah hubungan.
Komunikasi dalam konteks ini tidak semestinya hanya dalam bentuk perbualan, tetapi ia turut melibatkan bahasa tubuh yang lain.
Kajian-kajian yang dijalankan sejauh ini menunjukkan bahawa pasangan yang bahagia biasanya memiliki ciri-ciri yang sama iaitu lebih kerap untuk saling menyetujui, menurut kehendak pasangan dan gemar untuk ketawa.
Pasangan yang mengalami konflik pula biasanya lebih cenderung untuk mendominasi pasangan, sukar bersetuju dalam satu-satu isu dan saling mengkritik antara satu sama lain.
Ini menjadikan rumah tangga telah menjadi kanvas tekanan hidup yang cukup menyedihkan. Ramai yang bermain kata yang indah semasa bercinta, tetapi mengeluarkan kata yang menyakitkan sesudah berumah tangga.
Realiti yang harus difahami oleh pasangan baru berkahwin, bahawa setiap rumah tangga pasti akan berhadapan dengan konflik dan masalah. Sekalipun ketika bercinta semua perkara boleh menjadi indah, ia tidak semestinya benar ketika berada di alam rumah tangga.
Bagaimanapun, bukanlah bermakna bahawa konflik itu akan menyebabkan seseorang tidak bahagia.
Hakikat perbezaan
Kajian-kajian juga melaporkan bahawa mereka yang bahagia juga sebenarnya menghadapi konflik. Bagaimanapun, mereka mampu mengecap bahagia kerana menyedari hakikat perbezaan dan lebih kerap untuk menghadapi konflik dengan reaksi yang lebih positif, misalnya senyuman, sentuhan, penghargaan dan ketawa.
Sebaliknya, mereka yang menangani konflik secara negatif seperti meluahkan kata-kata sindiran kepada pasangan, sering berbalah pendapat atau menyakiti pasangan, biasanya akan berakhir dengan perceraian.
Atas sebab itulah, pasangan muda yang baru memulakan alam rumah tangga, mereka mesti belajar untuk menangani konflik rumah tangga secara positif. Masalah yang dihadapi tidak boleh ditangani secara terburu-buru.
Kebiasaannya, manusia akan mampu menangani konflik dengan baik sekiranya mereka bersikap positif terhadap masalah yang dihadapi dan bersangka baik bahawa keadaan akan berubah pada masa hadapan.
Ini biasanya berlaku pada peringkat kognitif atau dalam minda individu. Ada pula pasangan yang cuba menstabilkan keadaan dengan menyuarakan kelemahan yang dihadapi dan mencari jalan untuk diperbaiki.
Apabila berhadapan konflik yang sangat berisiko, salah seorang daripada pasangan perlulah melakukan pengorbanan dengan terus mengekalkan kesetiaan. Besar kemungkinan, keadaan akan bertambah baik pada masa mendatang.
Memilih bercerai setiap kali perselisihan belum tentu menjanjikan sesuatu yang lebih membahagiakan. Tabah menghadapi ujian itulah hakikat keindahan sebuah perkahwinan.

Wednesday, 21 November 2012

13 tahun dulu

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Besok pagi, 13 tahun yang dulu aku menamatkan usia bujang. Masa itu, hidup aku tidaklah semudah yang disangka. Aku hanya memiliki sebuah motosikal. Untuk berkahwin, aku mengikat perut selama beberapa bulan. Ini bukan ikat perut dalam istilah bahasanya. Ini ialah ikat perut yang betul. Pernah satu malam, aku cuma ada 30 sen sahaja di dalam poket. Kawan serumah aku - Aca, seorang pelukis grafik juga hanya ada beberapa ringgit dalam poket.

Kata Aca, cara yang paling mudah ialah dengan hanya meminum air teh. Katanya, gula boleh memberi tenaga. Ya, malam itu kami membancuhkan air teh. Itu sahaja yang ada.

Kami menyewa rumah flat kos rendah di Pandah Jaya. Jarak rumah aku ke pejabat dalam 3 km. Kerana hari itu ialah hari Ahad, dan aku tidak tahan lagi mengikat perut, aku berjalan kaki ke pejabat. Motor sudah kehabisan minyak. Aku ke pejabat bukan untuk berkerja. Aku ke pejabat untuk mencari roti dan biskut kering yang disimpan di pantry. Setelah membancuh secawan kopi, dan memakan entah berapa banyak roti kering, aku membawa pulang sedikit untuk Aca di rumah. Berjalan kaki lagi.

Isnin itu, aku tidak tahan lagi berlapar. Aku menelefon sahabat lama aku. Dia datang memberikan aku wang.

Hidup ini teruk bukan? Ini cerita 13 tahun dulu. Aku pun tidak tahu mengapa cerita ini penting untuk ditulis.

Sepanjang 13 tahun ini, aku juga dikurniakan banyak cerita indah. Sesekali bercampur cerita gulana.

Dua hari lalu, ketika menyelongkar barang-barang di rumah mertua, aku bertemu semula dengan beberapa keping surat cinta yang isteri aku simpan dalam album. Beberapa orang anak saudara aku datang – “Uncle, boleh tak ajar kami bagaimana menulis surat cinta?’

Aku tidak memberikan apa-apa respons. Cuma, kalaulah mereka tahu, mereka tidak akan menuliskan sebarang surat untuk sesiapa pun. Dalam dunia ini, yang paling penting ialah berapa banyak wang yang ada dalam poket anda. Itulah resipi kehidupan.

Seguni surat cinta pun tidak akan mampu membelikan mereka sebungkus nasi lemak pun.

Apa hadiah untuk isteri aku?

Tidak ada hadiah. Tidak ada Samsung 2 atau Ipad. Aku sendiri pun masih memakai handphone yang buruk. Cuma, dia memintakan aku menulis sesuatu di blog ini.

Apa yang akan aku tuliskan.

Aku pun tidak berapa tahu. Besok hari aku tuliskan.







Tuesday, 20 November 2012

Psikologi pengantin baru

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tiada banyak hal untuk ditulis.

Kita tulis hal psikologi mudah. Sebab sekarang musim orang kahwin, kita tulis hal psikologi rumahtangga.

Pepatah Peranchis ada menyebut : 'Love makes the time pass and time make love pass’.

Semasa bercinta, semua perkara adalah indah. Semua perkara yang dilalui sangat menyenangkan, walaupun makan nasi berlaukkan telur goreng. 

Setelah berkahwin, semuanya nampak berubah. Ada suami yang mula menjeling wanita lain. Ada wanita yang tertangkap khalwat dengan duda atau suami orang. Banyak perkara yang dibuat orang pasangan mula menjadi perkara yang tidak kena. Dulu korek hidung di depan orang pun tidak mengapa. Sekarang menguap di bilik tidur pun boleh jadi hal yang salah.

Masa berlalu cinta berubah. Itulah hakikatnya. Masa berlalu penampilan pun berubah. Itu pun hakikat juga. Sebab itu banyak hal menjadi serba tidak kena.

Khabarnya, setiap 15 minit, akan ada kes perceraian di Malaysia. Aku tidak pasti sama ada ada kajian atau tidak. Anggaran kasarnya, 20,000 pasangan Islam bercerai setiap tahun di negara kita. 

Tidaklah pasti sama ada mereka yang bercerai ini kerana faktor masa berlalu cinta berubah. Atau masa berlalu cinta yang baru perlu dicari.

Kajian psikologi menunjukkan 5 tahun pertama tempoh yang sangat genting. Biasanya, orang yang tenggelam timbul rumahtangganya pada tempoh ini, ada risiko untuk bercerai kemudiannya. 

Apa lagi? 

Kenapa orang berkahwin?

Biasanya orang berkahwin kerana kononnya pasangan mereka mesra, hebat dan memahami perasaan. Sebaliknya, apabila bercerai orang biasanya memberi komen yang berlainan pula, walaupun komen itu hanya kepada orang yang sama juga.

Tahun 1986, sebaik sahaja Sarah Ferguson berkahwin dengan Putera Andrew, dia memberi komennya: 'I love his wit, his charm, his looks. I worship him'. Komen Andrew pula: 'She is the best thin in my life'.

Enam tahun kemudian mereka bercerai. 

Komen Sarah -- Andrew seorang yang 'philistines' atau dalam bahasa kita, kolot. Sarah pula dikatakan sebagai seorang yang membosankan.

Cinta berubah, atau manusia berubah?

Atau masa yang berubah?

Selamat pengantin baru untuk yang baru berkahwin. 

Untuk yang berkahwin baru pula, kita ucapkan semoga panjang usia.



Friday, 9 November 2012

Kaedah Menghafal - Sila datang!

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya berada di Changlun sekarang.

Saya bercadang untuk melakukan bengkel menghafal untuk pelajar sekolah Tingkatan 4 dan 5.

Butiran seperti berikut:

Nama Bengkel: Kaedah Menghafal
Masa: Ahad (11 Nov 2012)/ Jam 8.30 pm -11.00 pm
Bayaran: PERCUMA
Tempat: Dewan Orang Ramai Kampung Titi Kerbau, Changlun, Kedah.
Sila bawa buku sejarah/geografi bersama.

Selain bengkel, saya mungkin akan bercakap hal-hal motivasi lain juga.

Ibu bapa yang tinggal di sekitar Changlun boleh bawa anak-anak Tingkatan 4 dan 5 datang. 

Hubungi email.

Thursday, 8 November 2012

Selamat balik

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku bertolak balik ke utara malam ini. Ada beberapa agenda penyelidikan yang patut aku langsaikan.

Juga agenda rutin sebagai manusia biasa - mencari kedai kopi dan berborak dengan teman lama. Kami pastinya akan bercerita hal politik tanah air, hal hutang dan hal kehidupan. Ia cerita rasmi kedai kopi. 

Apa keindahan terbesar seorang pensyarah?

Masing-masing ada definisinya sendiri. Aku tidak tahu orang lain.

Kita mungkin gembira dan senang hati kalau pelajar kita pandai, lebih pandai daripada kita yang mengajarnya.

Tetapi aku berasa sangat teruja kalau mereka boleh mengajar orang lain pula. Sekurang-kurangnya, apa yang mereka tahu boleh dikongsikan orang lain.

Ada beberapa orang pelajar aku yang sudah mampu mengajar statistik kepada orang lain, termasuk mereka yang sedang mengaji PhD dan ijazah sarjana. Aku rasa itu antara keindahan terbesar dalam hidup aku sebagai pensyarah. Sekurang-kurangnya pada masa depan, aku boleh melakukan hal yang lain pula.

Sekarang ini, aku sedang merencanakan agar mereka mengajar AMOS dan HLM pula. Jadi, aku boleh membuat hal yang lain. 
 


Monday, 5 November 2012

Update hidup

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Minggu ini agak sibuk. Jumaat lalu, Profesor Maureen Dollard singgah sebentar di lapangan terbang KLIA. Kami sempat berjumpa beberapa jam. Beberapa pelajar aku juga diminta untuk menunjukkan proposal kajian mereka. Aku tidak tahu sama ada mereka seram atau tidak. Ada yang berbahasa putih kelas tinggi, ada yang tidak. Tidak mengapalah. Ia pengalaman baru untuk mereka.

Petang tadi, aku mengadakan bengkel penulisan jurnal ISI. Ada 22 orang peserta. Selamat belajar menulis aku ucapkan kepada mereka. Tunggu untuk siri kedua bengkel ini.

Menulis bahagian selanjutnya akan lebih kompleks, tetapi bukanlah payah.  Cuma perlu ada pengetahuan. 

Aku sebenarnya sibuk dengan banyak hal. Tidak tahu apa yang aku sibukkan.

Minggu depan aku ingin bercuti panjang. Aku mahu balik ke Changlun. Aku terasa ingin mencari rebung di hutan. Berjalan melihat bendang. Kalaulah ini musim kemarau, aku terasa untuk menjerat burung. Aku cuba menjejak kenangan lama zaman aku masih muda.

Aku sepatutnya bertemu dengan teman-teman lama aku sambil menyedut sebatang rokok dan secawan kopi. 

Apa khabar Visyarn?


Sunday, 4 November 2012

Debat 2: Patutkan bidang agama di'ISI'kan?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dalam tulisan sebelum ini, seorang pembaca bertanya hal yang agak penting dan menarik. 

Bayangkan kalau semua ulama dan cendekiawan agama, hanya berjuang melakukan kajian bagi mendapatkan tempat di penerbitan ISI atau Scopus, yang asasnya dibina bersandarkan dengan nilai Barat, apa akan terjadi dengan prinsip asas dalam hal keagamaan - iaitu ikhlas.

Puluhan kitab tua yang ditulis oleh ulamak silam terus kekal dibaca dan diterima orang kerana ia ditulis dengan konsep ikhlas. Ia ditulis bukan kerana hajat menjual kitab, atau mendapat pujian orang. Ia ditulis kerana itulah pekerjaan orang alim - menyampaikan ilmu secara ikhlas. Mereka menulis kerana Allah. Mereka orang biasa, tetapi ilmunya tetap kekal. Begitulah ilmu sepatutnya berjalan. 

Seperti yang ditanya pembaca, kalaulah bidang agama ini tidak diterbitkan dalam jurnal berkualiti, adakah bermakna kajian tersebut tidak ada nilainya?

Dan adakah setiap perkara boleh diterbitkan dalam jurnal yang mempunyai Tier-1?

Saya sebenarnya tidak begitu terbiasa dengan kajian-kajian di Fakulti Pengajian Islam. Bagaimana pun, saya jangkakan ia masih bersandarkan kepada dua cara - satunya ialah perdebatan mengenai hal keilmuan agama, manakala yang kedua ialah mereka yang melakukan kajian secara kutipan data. 

Maka saya berandaian, tatkala yang pertama perlu dipertingkatkan - dengan memperbanyakkan kitab-kitab dan pengetahuan mengenai agama, maka aliran yang kedua inilah yang perlu berusaha menerbitkan kajian mereka ke dalam jurnal yang berkualiti. Ia mungkin membantu proses dakwah.

Hendak dikatakan prinsip metafizik tidak boleh diuji secara empiri, tidak juga. Ilmu psikologi misalnya bermula dengan hal metafizik apabila aliran seperti Rene Descartes menyatakan manusia ini terbahagi kepada dua bahagian - 'jasad' dan 'jiwa'. Bahagian jiwa itulah yang sukar untuk mereka terangkan apakah bentuknya. Walaupun kemudiannya jiwa itu telah berkembang dalam disiplin psikologi yang dikaji dengan menggunakan konsep seperti emosi, naluri dan sebagainya. Walaupun, pada asasnya, apa yang dikatakan 'jiwa' itu masih tidak dapat dihuraikan.

Adakah tidak boleh diuji prinsip agama dengan dunia praktikal? 

Saya berpandangan ada yang boleh, ada yang tidak, dan ada yang patut kita hindarkan. 

Apa yang boleh?

Jika dikatakan sembahyang mampu mencegah kemungkaran, adakah tidak boleh diuji kerana isu sembahyang ialah hal hati. Ia hal di antara manusia dan Pencipta.

Kita mungkin tidak menguji hal sembahyang yang nyata - misalnya bertanya subjek berapa kali dia bersembahyang, atau dia bersembahyang atau tidak. Ia hal yang mesti dielakkan. Semua orang akan menjawab ya, atau tidak menjawab langsung.

Di sinilah ilmu metodologi penyelidikan membantu. Kita hanya bertanya kecenderungan orang dengan hal yang berkaitan sembahyang, tidak kisahlah mereka sembahyang atau tidak. Soalan yang patut ditanya ialah "Selepas sahaja selesai bersolat, saya ternanti-nanti untuk solat wajib selepasnya'. "Sebaik sahaja mendengar azan, saya akan mendahulukan solat berbanding tugasan lain'.  Kemudian bagi pemboleh ubah yang lain, kita akan mendapatkan soalan-soalan seperti kecenderungan menipu, jujur dan sebagainya. Soalan seperti ini biasanya ada dalam penyelidikan disiplin yang lain.

Kita juga boleh melakukan kajian secara kerjasama dengan bidang yang lain. Misalnya, mereka yang menjawab soalan skala sembahyang tadi, akan diambil sampel darah, tekanan jantung dan sebagainya. Kita boleh mengaitkan bahawa sembahyang ada kaitannya dengan kesihatan manusia.

Jadi yang kita kaji bukanlah 'ibadat' itu sendiri, tetapi prinsip jiwa manusia beribadat.

Bagaimana kalau kajian tidak menjadi? Misalnya mereka cenderung dengan sembahyang, tetapi skala menipu juga tinggi.

Jawapan yang sepatutnya kita dengar, itulah kajian.

Kalau tidak menjadi, ada kemungkinannya ada pembolehubah lain yang tidak dikawal. Boleh jadi, mereka kuat menipu, jadi mereka juga menipu kononnya mereka ini baik dan alim. Atau mereka sembahyang banyak, tetapi mereka nampaknya terjejas kesihatan. Boleh jadi sebab mereka sakit itulah mereka banyak sembahyang.

Jadi, pada akhirnya itulah pembuktian dalam bidang sains sosial. Ada yang belum terungkap, sepatutnya dikaji oleh penyelidik yang baru. Inilah dinamakan Re-Search.
 
Kajian-kajian berkaitan murtad misalnya boleh di-ISIkan. Adakah orang yang murtad ini kerana lemah agama? Atau lemah agama ditambah dengan miskin. Katakan mereka pernah membaca Al-Quran sekali dalam hidup mereka, mereka mungkin tidak menukar agama. Jadi kita gunakan interaction effects. Kita gunakan mediation analysis.
 
Kita juga menguji hal-hal lain, tidak hanya sembahyang. Misalnya membaca al-Quran dan prestasi kerja, marah dan sebagainya. Ini semua boleh diuji sama ada secara kuantitatif, kualitatif, bahkan menggunakan structural equation modelling sekalipun.

Malah, kalau ada yang rajin dan pintar, mereka juga boleh menggunakan Grounded Theory untuk menganalisis teks Al-Quran dan hadis.

Maksudnya, kita cuba melakukan pengujian bidang agama menggunakan metodologi moden. 

Inilah yang dikatakan empiri - boleh diuji semula. 

Tetapi, janganlah pula menguji hal yang tidak dibolehkan. Misalnya mengkaji di mana Tuhan? Ini akan menjadi metafizik yang sekular.

Malangnya, kerana banyak sarjana agama tidak terdedah dengan aspek seumpama ini, maka kajian dalam bidang agama hanya tertumpu kepada kajian deskriptif. Ia menyukarkan penerbitan di jurnal yang baik, yang boleh mempromosi agama secara tidak langsung.

Pada masa hadapan, mungkin fakulti-fakulti agama menerapkan hal seumpama ini. Tatkala ada orang alim yang boleh menulis kitab dengan baik, bagi tujuan pembentukan akidah, menguatkan fekah dan sebagainya, ada pula segolongan lain yang melakukan kajian yang dapat dimanfaatkan bagi tujuan praktikal.

Pada akhirnya, sekiranya kita ikhlas, kita mungkin mampu menghasilkan kitab yang baru juga, dengan pendekatan yang lain. Tujuan kita bukanlah kerana ISI itu sendiri, tetapi cuba menunjukkan bahawa apa yang mampu Islam bawakan untuk kebaikan umat sejagat.
 
Harap penjelasan saya dapat membantu.

      

Saturday, 3 November 2012

Debat akademik 1: Patutkah bidang pengajian Islam di'ISI'kan?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ada seseorang bertanya. Emailnya panjang .Kalau anda ingin membahasnya, kirimkan email. Ia topik yang penting. Kalau semua orang ingin mengejar ISI, apa pula akan jadi dengan pendikan agama kita? Nanti aku menjawabnya.

*********************
Satu persoalan telah muncul dan persoalan ini turut diakui oleh pensyarah saya yang mengajar subjek kaedah penyelidikan, tetapi beliau tidak pula memberikan penyelesaian dan saya pula yang sememangya sangat berminat dengan bidang penyelidikan agak bersedih hati.
Bidang pengajian Islam dilihat tidak dapat menyaingi bidang-bidang lain dari segi penyelidikan. Bidang kami hanya banyak dalam kajian berunsurkan kajian deskriptif dan jarang sekali membuahkan hasil yang praktikal.
Begitu juga dalam menentukan mutu jurnal lebih banyak memihak kepada bidang Sains dan Teknologi untuk memperoleh ranking jurnal. Bidang pengajian Islam sangatlah terpencil dan sukar untuk mendapatkan 'kejayaan' penyelidikan seperti bidang Sains dan Teknologi.

Jadi saya ingin tahu apakah sebenarnya keperluan mendapatkan ISI, ranking yang baik dalam satu-satu penyelidikan?
Jika ianya satu pengiktirafan kepada kualiti kajian, oleh itu dalam bidang pengajian Islam kualiti yang bagaimanakah dilihat sebagai penyelidikan yang melayakkan mendapat Q1? Apakah nilai empirikal dan numerical itu pendokong kuat kepada status sesebuah jurnal yang berkualiti? Sedangkan pengajian Islam membincangkan tentang hal-hal metafizik, jadi bagaimanakah pembuktian empirikal boleh dilakukan?
Misalnya, kesan pembelajaran dengan menggunakan hati dan pemikiran rasional. Dalam ayat-ayat al-Quran banyak disebutkan supaya berfikir itu dikaitkan dengan hati tetapi bagaimanakah ianya dapat dibuktikan dengan penyelidikan?

Sejujurnya realiti masyarakat sekarang lebih melihat nilai empirikal bagi menambah keyakinan dan membuka minda mereka tanpa pengecualian dalam hal-hal keagamaan (contoh: jika dapat dibuktikan dengan nilai empirikal orang yang solat dalam mencegah kemungkaran, kemungkinannya ramai yang akan berlumba-lumba solat) tetapi solat mempunyai nilai spiritual yang tak dapat dibuktikan dengan angka. Ibaratnya sistem penyelidikan kita juga berperang dengan nilai-nilai spiritual walaupun dilihat sebagai sesuatu yang akademik/ilmiah.
Jadi Islam dilihat tidak mampu menyumbang dan merubah masyarakat dalam kehidupan yang dilihat sebagai serba moden ini.

Mohon pencerahan dan apakah kelemahan-kelemahan/cadangan/
kritikan yang perlu dperbaiki oleh penyelidik dalam bidang pengajian Islam supaya mempunyai kemampuan bersaing dengan penyelidikan Barat (yang tidak berasaskan kepada Islam) supaya boleh ia dikatakan bertemu buku dengan ruas dan bukannya seperti langit dengan bumi.
Semoga dengan pencerahan dapat menguatkan lagi usaha kami, mengeluarkan kami dari takuk yang lama dan saya sangat-sangat menghargainya.

Thursday, 1 November 2012

Memasyarakatkan Ilmu: Anda dijemput!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sekiranya anda pelajar PhD, atau pasca siswazah yang sedang mengikuti pengajian di IPTA, anda boleh menghadiri bengkel penulisan jurnal seperti yang saya butiran di bawah. Ia merupakan Siri 1 topik Memasyarakatkan Ilmu yang saya anjurkan. Topik selanjutnya akan membincangkan penulisan berkaitan dengan meletakkan hipotesis kajian. Ia akan diumumkan kelak.


Nama Bengkel: 'How to Write a Winning Intoduction for ISI journal' (Social Sc/Quantitative research only)
Tempat: Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM
Masa/Tarikh: Jam 2-5pm, 5hb November, Isnin
Format: hands on
Bayaran: PERCUMA


Untuk hadir atau tersesat, sila hubungi email saya. Bawa bersama tulisan pengenalan anda untuk dikomen (jika ada)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails