Yang Ikut

Tuesday, 30 October 2012

Update kajian sains sosial

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Satu kertas kajian saya baru sahaja ditolak oleh Journal Organizational Behavior. Saya memang menjangkanya, walaupun saya tidaklah mengharapkan ia ditolak secepat itu.

Mengapa ditolak?

Ia menjadi isu yang patut dipelajari bersama oleh semua penyelidik dan pelajar PhD dalam aliran sains sosial. Saya perlu menulisnya, kerana saya tahu tidak ada orang akan menulisnya. Malah, kalau anda membaca buku sekalipun, anda mungkin tidak akan menemuinya. Saya harap, pelajar PhD yang mempunyai Twitters dan Facebook dapat memanjangkan isu ini.

Kertas saya ditolak kerana faktor bias dan common method variances. Anda patut menggoogle akan hal ini.

Common method variances berlaku apabila diandaikan bahawa orang yang menjawab soalan berkecederungan ada naluri yang sama untuk menjawab soalan yang lain bagi skala yang lain. Misalnya, katakan seseorang itu menjawab tinggi pada skala marah, mereka juga cenderung untuk menjawab tinggi bagi skala yang bersifat negatif, misalnya stres, murung dan sebagainya. Kecenderungan untuk berlaku perkongsian variance inilah dinamakan sebagai common method variances.

Sebab itu, biasanya kajian-kajian yang dilakukan secara cross-sectional ditolak mentah-mentah di kebanyakan jurnal besar yang disenaraikan di ISI. Jawapannya mudah, ia tidak melambangkan apa-apa, sekalipun kajian anda menemui hal yang hebat sekalipun.

Di masa lalu, salah satu cara untuk mengurangkan gejala common method variance ini ialah dengan menjalankan kajian longitudinal.

Bagaimana pun, dalam konteks Malaysia, kajian cross-sectional ini telah mendominasi aliran kajian kia. Malah, ada orang bertanya apa perlunya longitudinal. Mereka bertanya kerana mereka tidak tahu apa puncanya. Malah, ada penyelia di universiti tempatan tidak menggalakkan pelajarnya melakukan kajian longitudinal dengan alasan bahawa masa yang panjang digunakan.

Saya tidak begitu memahami perkara ini. Saya tidak faham adakah mereka tidak faham sebabnya, atau mereka beranggapan kaedah longitudinal ini sesuatu yang mustahil dilakukan, sedangkan jeda masa di antara kajian pertama dengan kajian berikutnya boleh jadi hanya selang 6 minggu, walaupun ada yang mengambil masa bertahun-tahun. Umumnya, selang masa 3 bulan adalah yang selalu dilakukan, walaupun kaul dhaif mengatakan boleh dengan hanya 6 minggu.

Dengan andaian bahawa kajian yang sedang anda lakukan sekarang bersifat cross-sectional, maka bolehlah kita anggap bahawa kajian tersebut sudah ketinggalan satu tahap di belakang kajian yang dilakukan penyelidik antarabangsa. Kita masih menjalankan kajian cross-sectional, tetapi orang lain sudah sampai ke tahap kajian longitudinal.

Kajian saya yang ditolak ini ialah kajian longitudinal, dan menggunakan kaedah multi level. Logiknya, kajian ini sudah mengambil kira faktor common method variances ini.

Mengapa ditolak?

Dalam kajian saya, saya menggunakan satu skala mengukur prestasi. Editor memaklumkan bahawa prestasi tidak sepatutnya diukur dengan self-rated questionnaire. Ia mesti diukur dengan mendapatkan data sebenar mengenai prestasi, misalnya borang penilaian prestasi yang diisi oleh majikan, atau ukuran-ukuran objektif yang lain.

Apa maksudnya?

Maksudnya, kalau kita menggunakan kaedah cross-sectional, kita sebenarnya telah ketinggalan dua tangga di belakang. Tatkala kita masih lagi melopong bertanya apa perlunya kajian longitudinal, orang lain sudah lama ke hadapan dengan menggunakan kaedah yang baru.

Sejauh manakah kualiti penyelidikan kita?

Anda pasti tahu jawapannya.

Kalau kita tidak melakukan sesuatu, mungkin kajian yang sedang kita lakukan akan dianggap sebagai kajian zaman batu yang akan ditertawakan orang.

Monday, 29 October 2012

CGPA, jurnal dan PhD

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seseorang bertanya.

Assalam tuan FakirFikir.
Saya tertarik dengan kupasan dan perbincangan yang dibentangkan oleh tuan tentang perkembangan dunia akademik masa kini.Walaupun saya tidak pasti institusi manakah tuan berkhidmat, saya pasti tuan mempunyai penglaman yg begitu luas dalam membahaskn tahap intelektual akademia di dalam dan luar negara.


Di sini, saya mempunyai 'kegusaran' yang ingin saya kongsikan dengan tuan. Saya merupakan pelajar phd di UM yg kini sedang menanti panggilan Candidature Defence dalam 1-2 minggu ini, InsyaAllah. Sebagai pelajar PhD di UM, kami diwajibkn menerbitkn penulisan jurnal ISI bagi meluluskn pengajian kami. Alhamdulillah,saya telah menerbitkan 4 penulisan yang diterbitkn di NUS,Canada,UKM dan UM. Terdapat juga 2 penulisan saya semasa pengajian master di USM. Sebagai pelajar PhD, usaha dan tungkus lumus saya dalam mendalami dunia penyelidikan pastilah untuk berjaya dan kalau boleh saya ingin menjalankan program postdoc di luar negara sebagai 'melepas hajat' setelah menjalankan pengajian master & PhD di dalam negara, nak juga rasa kehebatan intelektual yang lebih telus dan terbuka di luar negara.

Apapun,saya berasa agak 'down' apabila mendengar berita kelayakan untuk jawatan pensyarah turut dilihat melalui CGPA semasa ijazah,sedangkn pencapaian saya tidak menepati kriteria yg diperlukan.

Di sini saya ingin merujuk kepada pihak tuan,adakah wajar kriteria CGPA diutamakan sedangkan pelajar telah berusaha untuk mencapai cita-cita dengan niat yang begitu tinggi? Apakah CGPA menjadi kayu ukur dalam melihat kejayaan seseorang ahli akademik dalam ketulenan untuk mendidik dan melebarkn hasil kajian dan ilmu yg digali?

Di sini saya mengharapkan tips dan nasihat daripada tuan untuk saya hadapi kegusaran saya, khususnya apabila berdepan dengan ahli akademik yang tetap meletakkan CGPA sebagai syarat utama dengan tidak memandang usaha dan pencapaian saya. Saya bimbang usaha dan idea akademik saya akan terkubur sedangkan saya mahu ilmu saya dikongsikan kepada generasi akan datang.

Sekian, Terima kasih.

PhD Gusar,UM.Okt 2012


Jawapan saya.

Terima kasih kerana bertanya.

Saya menjawab soalan ini secara umum kerana saya tidak boleh meletakkan diri saya sebagai pendaftar universiti yang menjadi pihak yang memegang polisi berkaitan pekerjaan.

Isu kriteria menjadi pensyarah sebenarnya banyak bergantung kepada universiti. Setiap universiti ada kriteria dan syaratnya yang tersendiri.  Ia bergantung kepada sifat universiti itu sendiri. Terdapat perbezaan di antara teaching universiti dan research universiti. Juga berbeza di antara universiti besar dan universiti kecil.

Walaupun seseorang sudah memiliki PhD, di sesetengah universiti,  ia tidak secara automatik seseorang itu ditawarkan jawatan pensyarah. Calon mestilah mempunyai beberapa jurnal yang disenaraikan di ISI. Ada universiti yang tidak menggunapakai syarat ini. Sebab itu, ada calon yang sudah bergelar Dr, tetapi mereka tidak dianggap sebagai layak memohon menjadi pensyarah kerana ketiadaan kriteria yang ditetapkan.

CGPA juga mungkin antara kriteria lain yang biasanya dipakai dibanyak universiti. Bayangkan kalau ada 10 calon yang memohon jawatan yang sama, dan kesemua  calon mempunyai peluang yang sama banyak, maka dalam hal seperti ini, tentulah CGPA akan membezakan calon terbabit - walaupun pada asasnya CGPA mungkin tidak melambangkan kesarjanaan seseorang.

Kriteria ini mungkin akan berubah kalau calon mempunyai reputasi lain yang boleh dibanggakan. Misalnya telah berkerja di agensi atau sektor tertentu yang mampu menyumbang pengalaman yang istimewa, atau menerbitkan penyelidikan dalam jurnal berkualiti tinggi.

Dalam konteks Malaysia, ada universiti yang hanya mempertimbangkan terbitan yang disenaraikan di ISI. Ada pula universiti yang masih mengambil kira jurnal yang disenaraikan di Scopus. Saudari mungkin perlu melihat sama ada saudari memiliki kelebihan istimewa ini, misalnya adakah terbitan tersebut disenaraikan di salah satunya, atau kedua-duanya.

Bagaimana pun, mungkin ada universiti yang masih mempertimbangkan lulusan PhD yang walaupun tidak ada penerbitan, khususnya bagi bidang-bidang yang mungkin tidak ada kepakaran. Universiti-universiti baru juga mungkin tidak begitu ketat kriterianya berbanding dengan universiti penyelidikan. Jadi, saudari mungkin boleh memohon pekerjaan di universiti-universiti ini.

Keduanya, cara lain ialah menimba pengalaman di universiti swasta. Mereka mungkin akan menerima saudari. Hakikatnya, tidak ada masalah pun kalau berkerja di universiti swasta. Yang berbeza hanyalah sama ada 'glamour' atau tidak. Gaji dan beberapa keistimewaan lain mungkin sedikit berbeza. Itu sahaja. Bagaimana pun, pengalaman itu nanti mungkin berguna pada masa hadapan.

Memohon mengajar secara sambilan atau sebagai pensyarah pelawat juga bukanlah idea yang teruk. Adakalanya, gajinya masih sama, cuma tidak ditolak KWSP dan diberi kemudahan lain. Bagaimana pun, semakin lama anda berada dalam persekitaran universiti, semakin banyak peluang untuk anda bertemu dengan ramai orang yang mungkin membawa anda kepada pekerjaan tetap.

Pada akhirnya, itulah dunia akademia. Pertimbangan untuk anda menceburkan diri ke dalam bidang ini bergantung kepada di mana anda memohon, dan apakah bidang anda. Keistimewaan dan kebolehan yang ada juga bakal membezakan anda dengan orang lain.

Rezeki juga sebenarnya adalah kuasa Tuhan. Kita hanya berusaha sebaik mungkin.




Friday, 26 October 2012

Cerita di balik tabir penulis

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak menulis di Kosmo lapan bulan yang lalu, sesekali saya akan menerima email daripada pembaca. Sesekali ada yang bertanya soalan. Ada yang meminta artikel.

Saya menulis dari apa yang saya rasa. Ia tidak selalunya betul, dan tidak semestinya betul. Ia perspektif dari kacamata masing-masing. Dalam dunia ini, tidak ada satu pun yang betul, kecuali hal yang melibatkatkan tauhid dan keagamaan. Selainnya, banyak yang subjektif. Kajian sains yang dikatakan objektif pun, biasanya masih lagi subjektif.

Saya menulis tajuk yang mungkin disukai, dan ada yang tidak disukai. 

Sebab itu, adakalanya saya mendapat pujian, sesekali saya mendapat kritikan. Sesekali saya dilabel sebagai penyokong parti tertentu. Bergantung kepada apa yang saya tulis.

Saya pun tidak tahu sama ada saya ini bersifat partisan atau tidak. 

Menulis di suratkhabar lain rentaknya. Pembacanya berbagai-bagai. Ada ahli akademik, orang politik, orang biasa, dan mungkin juga mereka yang memang memerhatikan apa sahaja yang ditulis pengarang. 

Kebanyakan pembaca tidak mengenali siapa saya. Mereka hanya melihat gambar saya dan ada title 'Dr' di depannya, menjadikan saya ini mungkin dianggap sebagai seseorang. Hakikatnya, saya bukan sesiapa pun. Saya seperti mereka juga.

Ia berbeza dengan pembaca di blog ini. Banyak pembaca di blog ini mungkin merupakan teman-teman saya, atau blogger yang sudah mengikuti watak saya sejak 5 tahun lalu. Jadi mereka boleh membaca apa yang 'tersirat' dan apa yang 'tersurat' mengenai satu-satu topik yang saya tuliskan. Saya rasa, banyak pembaca blog saya memahami saya, walau tidak pernah bertemu dengan saya. 

Saya juga begitu. Walaupun ada hal-hal yang saya tidak setuju dengan apa yang ditulis oleh blogger lain, saya diamkan sahaja. Saya sudah boleh mengenali watak mereka. Banyak blog yang tersenarai di blog ini, saya mengikuti tulisan mereka. Walaupun ada tajuk-tajuk yang nampaknya sangat 'kecil', tetapi saya baca juga. Saya cuma jarang memberikan komen.

Pada akhirnya, inilah kehidupan penulis. Sesekali kita dipuji, sesekali kita dikritik. Sesekali kita memuji, sesekali kita mengkritik.

Kita semua melakukannya bagi mengubah dunia ini. Kita akan tetap menulis dan terus menulis.

Thursday, 25 October 2012

Apa yang patut saya lakukan?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya menerima email dari sebuah universiti di Australia untuk menjadi pemeriksa kepada dua tesis Tahun Kepujian dalam bidang psikologi.

Sekali pandang, tentulah kita mengandaikan bahawa tidak ada apa yang istimewanya menilai tesis pelajar pra-siswazah.

Hakikatnya, ia senario yang tidak sama sekali dalam konteks penyelidikan pelajar tahun akhir kita. Pelajar-pelajar ini menyediakan tesis yang memang tujuannya untuk diterbitkan ke dalam jurnal. Cara mereka menulis, menganalisa dan menghuraikan topik kajian seolah-olahnya seperti mereka yang profesional dalam bidang mereka.

Sayang sekali, inilah antara yang tidak ada di kalangan pelajar kita. Sekalipun pensyarah bercakap dan mengkuliahkan perkara ini setiap hari, ia tidak menjadi juga. Banyak pelajar kita, walaupun CGPAnya baik, tetapi nampaknya masih 'blur' dalam banyak hal. Seolah-olahnya pelajarnya kita tidak bersedia pun untuk menjadi ahli sarjana. Mereka datang ke universiti seperti datang ke sekolah.

Ini tahun kedua saya menyelia pelajar saya. Ada yang berkualiti, banyaknya yang masih belum mencapai ke tahap yang diharapkan.

Apa masalah mereka?

Masalah pokoknya ialah mereka masih dikategorikan sebagai pelajar buta huruf. Mereka buta huruf apabila perlu membaca bahan bacaan dalam bahasa Inggeris. Ia tidak hanya kepada pelajar pra siswazah, pelajar yang mengambil master dan PhD pun ada yang masih teraba-raba membaca bahasa Inggeris.

Hasilnya mereka bergantung kepada bahan bacaan bahasa Melayu atau Indonesia. Tidak menjadi masalah dalam hal ini. Cumanya, tidak semua tulisan dalam bahasa Melayu dan Indonesia ini mencapai tahap kesarjanaan penyelidikan yang diharapkan. Ada yang diterbitkan di jurnal yang tidak ada penilai. Ada yang menulis kajian secara semborono tanpa mengikut hukum hakam penyelidikan. Ada 'kesesatan' yang dilakukan, yang kemudiannya menyesatkan orang lain. Ini yang kita takuti.

Apa yang boleh saya lakukan? Saya sebenarnya tidak boleh melakukan apa-apa kalau pelajar kita tidak mampu menerokai pengetahuan. Ada puluhan ribu kajian ilmiah yang boleh didapati secara online. Tetapi ia tidak berguna sedikit pun, kerana pelajar kita tidak memahaminya.

Malang sekali, ada pelajar yang tidak faham pun bahasa Inggeris yang mudah - misalnya 'weakness'. Mereka tidak mahu membeli kamus. Mereka tidak mahu belajar bahasa Inggeris. Mereka hanya mahu lulus.

Saya seorang yang boleh berbahasa Melayu dengan agak baik. Saya tidaklah fasih bahasa Inggeris. Saya memang lemah dalam aspek tatabahasa. Tetapi saya boleh memahami bahan bacaan berbahasa Inggeris dengan sangat baik. Saya juga boleh menulis dalam bahasa Inggeris dengan cepat walaupun tatabahasanya tunggang terbalik.

Tetapi, nampaknya ini tidak begitu terjadi kepada sebahagian kecil pelajar kita. Mereka yang lemah bahasa Inggeris ini nampaknya akan mengadu mereka tidak dapat menemui bahan. Saya tahu, dalam dunia moden ini, bahan bukan masalah. Buta huruf itulah masalah utamanya. Kalau mereka tidak memahami apa yang dibaca, sangat mustahil mereka boleh menulis.

Apa yang boleh saya lakukan?

Saya bukan guru bahasa Inggeris.

Saya juga anak kampung seperti mereka. Tetapi saya tahu saya akan selalu berusaha. Sayang sekali, tidak semua pelajar saya akan berbuat begitu.

Jangan marahkan Mat Saman!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selamat Hari Raya Korban kepada pembaca yang beragama Islam. 

Selamat bercuti kepada bukan Islam.

Saya agak sibuk sejak beberapa minggu terakhir ini. Ada juga bermacam-macam cerita. Ada teman wartawan bertanya tentang isu pornografi. Entah apa pula komen yang akan keluar kali ini. 

Nampaknya menjadi pengkaji psikologi ini, kami agak berlainan dengan kebanyakan bidang lain. Kami boleh ditanya dengan banyak hal. Apa sahaja hal berkaitan manusia boleh ditanya. Apa sahaja yang pelik boleh diulas, bergantung sejauh mana kami tahu sesuatu isu.

Pengkaji kejuruteraan mungkin perlu menunggu sehingga berlaku runtuhan bangunan sebelum boleh mengulas. Mereka tidak boleh mengulas bangunan yang tidak runtuh kerana ia bukan isu. Tidak ada sesiapa mahu membaca cerita bangunan KLCC. Tetapi, kalau ia runtuh, ia akan jadi berita besar.

Tidak juga akan ditanya mereka yang pakar dalam perakaunan. Kecuali kalau ada pembentangan belanjawan. Atau, sesekali ada isu 'pelik' dalam hal untung rugi pelaburan. Tetapi ia juga jarang berlaku. Kalau berlaku pun, tidak banyak yang boleh diulas. Ia hal rahsia dan tidak banyak boleh dikongsi dengan orang awam.

Psikologi menceritakan apa sahaja berkaitan manusia. Kami boleh menulis mengapa orang menolak penggunaan kamera automatik mengawal lalulintas. Boleh jadi orang menolaknya bukan sebab isu saman, atau tetapi mungkin kerana kita memang tidak pernah bersedia dengan apa sahaja peraturan? Ia menjadi bertambah riuh apabila orang politik campur tangan.

Ada pihak yang cuba membandingkan negara kita dengan Australia. Kononnya Australia lain, sebab jarak jalannya panjang.

Sebenarnya, tidak ada apa bezanya. Bezanya hanya sikap kita sahaja. Ahli politik yang banyak membangkang isu kamera ini juga tentunya akan memandu mengikut peraturan kalau ke Amerika atau Australia. Anehnya, apabila di negara sendiri, mereka beranggapan apa sahaja yang dibuat pemerintah tidak betul.

Kita selalu marahkan orang Singapura yang memandu laju di lebuhraya kita. Tetapi kita sendiri yang tidak pernah mahu menghormati undang-undang kita sendiri. Kita boleh senaraikan seribu alasan kalau mahu.

Di Australia, kamera ada di kebanyakan lampu isyarat. Kereta perlu diparkir mengikut arah jalan, dan tidak boleh bertentangan. Ada tempat yang hanya dihadkan beberapa minit sahaja parkir. Belum lagi termasuk saman kalau memandu sambil merokok kalau ada anak bawah umur di dalam kereta. Nombor plat yang kelabu juga akan disaman. Kereta yang berasap dan kondisi yang teruk juga akan dikeluarkan saman.

Tetapi mereka mengikut sahaja. Mereka juga kuat membangkang. Tetapi pada hal-hal yang perlu.

Kita bagaimana?

Saya juga selalu disaman kerana memandu laju. Tetapi saya selalu percaya, kamera itu sebahagian cara mendisiplinkan orang kita. Kalau tidak, kita akan menanggung kos yang lebih besar daripada jumlah saman itu. Kita mungkin akan kehilangan orang yang disayang, atau terlantar diam di hospital. Kita juga mungkin menjadi manusia yang tidak berguna apabila hilang upaya akibat kemalangan.

Semua ini lebih besar daripada jumlah saman yang kita bayar.   


Saturday, 20 October 2012

Dunia yang sama, cuma lain dimensinya

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kita ini sedang berada dalam dunia percanggahan perspektif. Percanggahan perspektif antara generasi baru yang maklumat berada dalam genggaman mereka, dengan generasi sebelumnya yang mengharapkan semua orang menelan bulat-bulat maklumat yang mereka sebarkan. 

Percanggahan inilah yang menjadikan kita sedang 'berperang'. Berperang ideologi, idealisme dan gaya berfikir.

Sayangnya, di dunia yang pengetahuan sangat terbuka ini, masih ada lagi aliran pemikiran yang sempit.

Ada pihak yang seolah-olahnya sedang mengajar generasi baru dengan apa yang mereka mahukan. Kita melarang mereka melakukan itu dan ini. Kita memberitahu mereka apa yang mereka buat itu salah, dan mereka perlu mengikut jalan yang betul.

Sayang, kita berkongsi dunia yang sama, tetapi hidup di demensi yang berlainan. Apa yang kita anggap sebagai salah, mungkin benar bagi mereka. Apa yang kita anggap sebagai betul, mungkin tidak ada nilainya bagi mereka.

Misalnya, kita beranggapan bahawa demontrasi itu hal salah. Mereka berkata tidak kerana di seluruh dunia demontrasi dilakukan pagi dan petang. Kita menyatakan bahawa setia tidak berbelah bahagi itu syarat kedaulatan negara. Mereka berkata pemimpin yang merasuah itulah penderhaka.

Ini bukanlah salah kita, atau salah mereka. Kita hakikatnya sedang duduk di ruang yang sama, tetapi berbeza sudut pandangan.

Suratkhabar dan media massa telah memaksa generasi baru menerima apa sahaja berita dan maklumat yang disalurkan. Seolah-olahnya generasi baru ini tidak berfikir. 

Mengambil kes Soros yang disogokkan sebagai 'orang luar' yang merancang merosakkan negara. Tiga hari kemudian generasi baru mula bertanya mengapa pula ada tokoh politik yang bertemu dengan Soros kalau benar dia seorang yang tidak boleh dijadikan sahabat. Mengapa hal yang sama tidak boleh dilakukan oleh satu pihak, tetapi boleh oleh pihak yang satu lagi. Mengapa satu pihak yang disalahkan, sedangkan tidak pihak yang satu lagi.

Semua ini adalah pojok pemikiran generasi baru. 

Generasi hari ini - mereka tidak melayan maklumat dan pengetahuan yang dipaksakan. Ini bukan zaman orang tua kita dahulu.

Generasi hari ini mereka menguasai dunia blog, twitter dan facebook. Mereka sendiri yang membuat berita. Mereka menciptakan maklumat. Mereka tidak bergantung kepada maklumat orang lain semata-mata. Merekalah yang menyebarkan kita berita dan pengetahuan baru, yang kita sendiri tidak tahu. 

Mereka lebih pintar. 

Kita tidak boleh selalunya menggunakan cara lama melayan mereka.

Mereka mungkin lebih banyak tahu daripada apa yang kita jangkakan.

Hidup ini sibuk bukan?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kebelakangan ini agak sibuk. Iklim pekerjaan universiti tidaklah sesejuk seperti yang dijangka. Bagaimana pun, ia tidaklah seteruk berkerja di sektor swasta. Antara pekerjaan aku yang paling memenatkan ialah berkerja di kilang belasan tahun dulu. Siang dan malam sama sahaja. Tetapi waktu itu umur masih muda. Tenaga masih banyak.

Pekerjaan aku yang yang kedua teruk ialah ketika aku berkerja di Cijantung, Jakarta. Ia teruk kerana sifat pekerjaan itu sendiri. Aku menjadi pengurus, tetapi tidak dibekalkan wang. Terpaksa pula berurusan dengan para bekas jeneral tentera. Pejabat aku letaknya di sebelah kem Kopasus - kem tentera pasukan elit tentera Indonesia.


Yang mungkin terindah ialah ketika berkerja di Blok M, Melawai Jakarta. Ini kerana aku dibekalkan autoriti dan wang. Banyak yang aku impikan mampu aku lakukan. Walaupun ada kekangan pengurusan seperti biasanya, tetapi ia antara yang paling indah dalam hidup aku. Aku mengurus manusia. Sesekali aku mengajar. Sesekali bermain dengan helah pengurusan.


Iklim akademik lain rentaknya. 


Kesibukan bergantung sejauh mana kita mahu ia menjadi sibuk atau tidak. Aku boleh diam di dalam bilik. Cuma keluar untuk ke kelas. Aku juga boleh pulang awal dan datang lambat. 


Tetapi, rutin aku tidaklah pernah seperti itu. Aku bukan manusia seperti itu. Aku selalu memilih menjadi sibuk.


Petang tadi aku menghabiskan sesi pengajaran statistik AMOS untuk pelajar pasca siswazah aku. Seminggu yang lalu aku mengajar mereka hal yang lain. Minggu depan, aku mempunyai jadual yang lain.


Cuma di celah-celah sibuk itu, aku dijemput untuk menjadi penilai jurnal besar dalam bidang kami - Journal Occupational and Organizational Psychology.


Tidak pernah seumur hidup aku, aku bermimpikan dijemput menjadi penilai untuk makalah yang besar dan pelik cara analisis mereka. Mereka juga menggunakan metodologi yang jauh berbeza. Kita patut mengakui bahawa kita sudah ketinggalan begitu jauh dalam aspek metodologi. 


Awalnya, melihat kepada tajuk penyelidikan, aku menjangkakan bahawa itu ialah tulisan penyelia aku. Bimbang kalau aku tersalah memberi penilaian.


Beberapa hari lalu, penyelia aku - menelefon. Katanya dia sedang sibuk menilai satu jurnal yang dihantar ke JOOP. 


Hah, rupanya kami sedang menilai kertas yang sama!


Itu mungkin perkara yang terindah dalam hidup ahli akademik. Apabila kami berpeluang membaca tulisan hebat, dan diberi peluang menentukan hidup mati kertas itu.

Tuesday, 16 October 2012

Projek rintis penerbitan jurnal ISI

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semalam saya mengadakan Bengkel Menghafal untuk beberapa orang pelajar SPM di Putrajaya. Sebenarnya inilah kali pertama saya melakukan kerja ini sejak balik dari Australia setahun lalu. Dulu saya ada merancang dengan Dr Ben, tetapi nampaknya kesibukan menjadikan rancangan kami tidak lagi menjadi. 

Sebenarnya, baru-baru ini saya didatangi seorang pelajar yang ingin melakukan pengajian master di bawah seliaan saya. Saya tidak begitu mengenalinya sehinggalah dia memberitahu bahawa beliau pernah menghadiri program menghafal saya tahun 2008 dulu. Dunia ini nampaknya kecil sahaja. Di universiti saya berkerja sekarang, ada seorang atau dua lagi pelajar yang pernah mengikuti program menghafal saya ini. 

Saya tidak mengenali mereka. Saya cuma diberitahu anak saudara saya yang sebaya dengan mereka. Saya cuma diberitahu mereka mengenali saya, tetapi mereka tidak berani menegur kerana saya kelihatan serius. Saya harap saya dapat bertemu dengan mereka suatu hari nanti.

Sekarang saya sedang merancang program baru. Ia program untuk menghasilkan kajian untuk diterbitkan dalam jurnal ISI. Saya mahu melatih anak-anak muda bagaimana menjalankan kajian yang betul, dan kemudiannya menganalisis dan menulis dengan cara yang sesuai untuk diterbitkan di jurnal berkualiti. Bagaimana pun, ia hanya memfokus kepada bidang psikologi kerja.

Pelajar-pelajar yang terlibat perlu memulakan proses ini sedari awal lagi. Ia bermula dengan proses merangka konsep kajian yang mengambil kira semua 'gap' dan 'menambah pengetahuan baru'. Kemudian mereka akan diminta menjalankan kajian. Setelah data diperolehi, saya akan mengajar mereka menganalisis. Setelah itu, saya akan mengajar mereka A to Z bagaimana untuk menulis makalah untuk jurnal ISI ini.

Saya perlu melakukannya. Saya telah banyak berceramah. Bagaimana pun, ia mungkin tidak akan mencapai matlamatnya kalau mereka ini tidak dilatih secara 'hands-on'. Mereka perlu dilatih sejak dari awal lagi. 

Banyak orang menyangka dengan tulisan yang baik, ia akan diterima untuk penerbitan. Hakikatnya tidak. Kajian tetap ditolak juga kalau metodologi dan konsep kajian adalah salah, atau tidak up to date. 

Untuk permulaan ini, saya sudah ada dua projek. Projek pertama sudah mula ditulis bahagian pengenalan. Projek kedua pula, masih di peringkat saringan soal selidik. Kutipan data akan dimulakan bulan hadapan.

Jumaat ini, saya akan mempunyai dua lagi kumpulan pelajar. Kami akan berbincang dengan misi ISI kami. 

Saya harap projek saya ini mampu memberikan manfaat untuk semua yang terlibat. Saya tidak kisah, kalau nama saya hanya sekadar 'co-authors'. Misi saya bagi projek ini hanyalah untuk menghasilkan pelajar pasca siswazah yang tahu bagaimana menulis jurnal ISI.

Sebagai permulaan, kami tidak mensasarkan jurnal ISI yang berstatus tier 1. Cukuplah apa-apa jurnal yang disenaraikan di ISI. Pada masa hadapan, mereka akan meletakkan sendiri sasaran mereka.

Saya sendiri masih mempunyai 4 projek penyelidikan. Itu sahaja sudah cukup untuk diri saya sendiri.

Friday, 12 October 2012

Hari paling produktif

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini mungkin hari yang paling produktif.

Aku menghantar 2 artikel ke dua buah jurnal. Satunya ialah Journal of Occupational Health Psychology, dan satu lagi Journal of Organizational Behavior.

Berita ini mungkin bakal mengganggu tidur dua kawan aku di utara sana, Dr Ben dan Dr Intan.

Bagaimana pun, kerana peluang untuk ditolak adalah 85%, maka mungkin ia boleh menenangkan mereka. Itulah nota yang tertulis di laman depan jurnal itu.

Sebenarnya aku tidak berapa kisah sangat kalau ditolak, walaupun aku sangat teruja kalau diterima sekalipun dengan major correction. Kedua-duanya jurnal yang dianggap besar dalam bidang psikologi.

Beberapa tahun dulu, Journal of Occupational Health Psychology pernah menolak artikel aku. Aku mendapat komen yang keras.

Tidak mengapa, tahun ini aku mahu mencuba lagi. Mungkin di hujung tahun nanti aku mendapat maklumbalas. Ia mungkin bakal menutup bertia gembira atau duka tahun 2012 ini.

Sekarang, aku sedang mencuba untuk menyiapkan dua lagi artikel. Tunggu apa kesudahannya. Biasanya ia berakhir dengan tulisan yang terbengkalai. Apatah lagi kalau hidup ini diselang seli dengan kesibukan di sana sini.

Psikologi ragut 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Psikologi ragut yang telah aku tulis dalam suratkhabar boleh dibaca di sini.

Ia mungkin tidak semestinya benar. Hanya sekadar pandangan aku sahaja.

Aku perlu menerokai hal yang lain pula.

Tidak tahu lagi. Ada banyak hal yang boleh ditulis, tetapi aku tidak tahu apa yang patut ditulis.

Wednesday, 10 October 2012

Bengkel penulisan journal ISI

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Penyelidikan dan penerbitan adalah dua hal yang berbeza, tetapi sama.

Penyelidikan yang teruk tidak akan menghasilkan tulisan baik walau sebaik mana pun keindahan bahasa seseorang. Penulisan yang teruk tidak akan mampu menggambarkan kehebatan satu-satu kajian. 

Seorang pembaca - berkata kita boleh melakukan sesuatu untuk mengubah tradisi penyelidikan.

Bagaimana?

Kita semua perlu sama-sama menyumbang. 

Sekiranya anda seorang pelajar dalam aliran sains sosial, anda boleh datang ke Bengkel 'How to Write A Winning Introduction for ISI Journal' yang akan aku anjurkan awal bulan November nanti. Untuk keterangan tarikh dan tempat, hubungi aku. Ia percuma.

Aku tidak boleh selalu mengkritik sahaja tanpa melakukan apa-apa. Tetapi melakukan banyak perkara juga tidak mengubah apa-apa kalau tidak ada yang datang.

Tuesday, 9 October 2012

Kualiti penyelidikan kita

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak terjun ke dunia akademik, aku berpeluang bertemu banyak orang. Aku juga berpeluang memberikan penilaian terhadap beberapa kertas akademik antarabangsa yang dihantar ke jurnal. 

Benarlah, tidak semua orang mampu menjadi yang terbaik. Tetapi, semua orang mampu mencuba menjadi yang terbaik.


Beberapa hari ini, aku dikirimkan 2 kertas persidangan yang dianjurkan oleh sebuah universiti tempatan. Setelah berkali-kali membacanya, aku mengambil keputusan untuk mengirimkan email kepada penganjur memaklumkan yang aku tidak berhajat untuk meneruskan pembacaan. Sebaliknya, aku meminta penganjur memberitahu kepada penyelidik, sekiranya mereka ialah pelajar, minta mereka menghubungi aku.


Aku rasa itu jalan terbaik untuk dunia akademik kita.


Teruk sangatkah penyelidikan kita?


Tidaklah semua. Tetapi ada yang sampai ke tahap tidak layak untuk dinilai. Mereka tidak serius. Tidak serius dengan kaedah menulis. Tidak serius dengan pengetahuan. Bahkan, tidak serius untuk mendapatkan cara yang betul bagaimana selayaknya makalah akademik ditulis.


Tidak hanya sekadar cara menulis, ada yang menghumbankan semua pembolehubah dalam satu kolam menjadikan kita tidak tahu apakah yang mahu dikaji dan apakah yang dikatakan lompang kajian.


Mereka memilih subjek secara semberono tanpa mengikut hukum metodologi yang betul. 


Menjadikan aku bertanya, apa yang terjadi dengan dunia pendidikan kita ini?


Aku mungkin terdidik di Barat. Aku mungkin terpengaruh dengan orang Barat. 


Tetapi, harus diingat bukan jugalah semua penyelidik di Barat menulis secara yang baik. Ada kertas akademik yang perlu ditolak juga. 


Tetapi penolakan itu bukanlah atas dasar 'tidak layak dibaca'. Ia ditolak kerana tidak sampai ke tahap kredibiliti kersarjanaan tertentu. 


Bagaimana kalau kita membiarkan kertas ini diterima? 


Ia akan menyebabkan orang merasa bahawa apa sahaja kajian boleh diterima begitu sahaja. Lambat laun, mereka ini bakal pula mengajar anak-anak kita di universiti dengan hal yang salah. Anak-anak kita pula yang dibesarkan dalam iklim pengetahuan yang salah, akan terus mengulang dosa yang sama.


Kalau begitu, mengapa tidak membantu membaca dan menilainya sahaja. Ia membantu pengkaji.


Tidak juga sebenarnya. Mereka ini perlu dibantu dengan cara yang betul dalam penyelidikan dan penulisan. Mereka perlu dibantu di tahap asas lagi. Membantu mereka dengan komen-komen tidak akan memastikan budaya penyelidikan kita dapat diubah.


Teruk sangatkah kita ini? Hakikatnya tidak. Kita perlu belajar berubah dan lebih serius. Hidup bukan sekadar bersidang. Akhirnya kita hanya pulang kekenyangan buah tembikai dan makanan lazat di hotel.


Tatkala kita riuh bersidang, ada baiknya kita bertanya wang siapakah yang sedang kita belanjakan. Apatah lagi, kalau yang kita bentangkan itu adakah penyelidikan yang hakikatnya tidak pun layak untuk dibaca.


Aku tidak pernah peduli kalau orang mahu memanggil aku Dr atau tidak. Tetapi aku sangat peduli kalau ada yang mendakwa mereka adalah penyelidik, sedangkan hakikatnya tidak.

Wednesday, 3 October 2012

Psikologi ragut

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Minggu ini aku menulis hal psikologi ragut untuk suratkhabar Kosmo. Ia bakal keluar Jumaat ini. Ia dari kacamata aku. Aku menuliskan menurut apa yang aku rasa, dan bukan semestinya benar. Aku menuliskan hal psikologi ragut kerana aku rasa manusia bertindak atas persepsi.

Setiap kali menaiki kereta di jalanraya, kita akan menjeling kereta di kiri kanan kita. Kita tidak ambil tahu siapa di dalamnya. Kecuali dalam benak kita akan selalu berkata mereka yang menaiki BMW tentulah orang kaya, dan yang hanya memandu Kancil orang biasa-biasa sahaja. Kita menilai manusia di dalam kereta berdasarkan kaya atau miskin, dan bukannya mereka ini orang jahat atau orang baik. Kita juga tidak menilai orang itu cantik atau tidak berdasarkan keretanya. Kita hanya menilai kaya atau miskin sahaja.

Realitinya mungkin orang yang menaiki BMW itu adalah mereka yang sangat miskin, ada yang telah muflis. Mungkin juga hanya pemandu yang bergaya dengan kereta tuannya sahaja yang juga sebenarnya sudah lari ke luar negara kerana banyak hutang.

Yang di dalam kancil mungkin jutawan -- yang kedekut. Atau baru sahaja kena loteri beberapa hari lepas. Tetapi kerana persepsi kita tidak akan membawa otak kita berfikir bahawa kereta kancil itu ialah hadiah harijadi aweknya ketika di sekolah lagi, kita tidak mengambil tahu semua itu.

Peragut juga manusia seperti kita. Dia tidak kenal jenama Gucci atau apa jenis beg tangan yang mahal-mahal ini. Beg yang berkilat dan bergaya walaupun dibeli di Chow Kit diangap akan ada banyak duit di dalamnya. Mereka mungkin tidak akan menilai yang apek tua membawa guni buruk mungkin berisi puluhan ribu ringgit.

Persepsi ini mungkin membuai nafsu manusia peragut. Aku tidak tahu. Aku belum pernah meragut.

Selebihnya baca di suratkhabar Kosmo!

Sabtu ini aku dijemput mengendalikan bengkel AMOS. Yang berminat boleh contact aku. Aku tidak tahu berapa bayarannya kerana aku hanya dijemput. Yang aku tahu hanyalah ia diadakan di Fakulti Pendidikan, UM.

Tuesday, 2 October 2012

PhD: Kalau anda bagaimana?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku menerima email daripada seorang pembaca. 

Assalamualaikum, 

Encik FakirFikir. Saya merupakan pelajar PHD. Saya baru je beberapa minggu memulakan pengajian. Saya ada sedikit kecelaruan kerana saya dapat buat PHD ni secara ekspres dimana saya tidak perlu buat master. Masalahnya ialah, saya adalah jugak bertanya dengan pensyarah saya tentang PHD ni. Patut ke saya buat master dulu atau teruskan sahaja PHD saya ni. Ada yang tak bagi dan ada yang bagi, jadi saya nak bertanya lah En.Fikir. Kalau En. Fikir jadi saya la, En Fikir buat PHD terus atau bagaimana. Cuma nak pendapat sahaja. Semoga pendapat En.Fikir akan beri sesuatu yang positif untuk saya.

------------------------------

Kalau anda bagaimana?

Sebenarnya trend terus melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD bukanlah hal baru. Ia biasanya ditawarkan kepada pelajar yang cemerlang. Bagaimana pun,mengikut pengamatan aku,  isu ini muncul kerana trend mutakhir ini juga menunjukkan pelajar ijazah sarjana muda sebenarnya tidak begitu banyak membaca. Ada pula yang tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Walaupun ada yang mendapat CGPA yang baik, aku tidak pernah percaya itu kayu ukur yang sempurna. Banyak yang mempunyai CGPA yang baik sebenarnya tidaklah semestinya mereka itu manusia terbijak yang terhasil oleh universiti.

Jadi, ada pandangan yang meminta mereka mendapatkan ijazah sarjana dahulu. Sekurang-kurangnya mematangkan mereka. Mereka yang memiliki ijazah sarjana sekalipun, malah yang sudah ada PhD juga adakalanya masih ada kelompangan kersarjanaan. Mereka ada masalah di sana sini. Ada yang gagal menguasai pengetahuan, ada pula yang gagal menguasai metodologi. Ada yang tidak memiliki kedua-duanya. Apatah pula kalau sekadar ada ijazah sarjana muda.

Aku tidak berminat berdebat mengenainya. Sekarang ini ia menjadi tugas kami para akademik muda untuk mengubah semua ini. Kerana akhirnya, kamilah juga yang menjadi guru mereka.

Menjawab soalan pembaca ini, bagi aku ia bergantung kepada dirinya sendiri. Kemampuan yang kita miliki, kitalah yang mampu mengukurnya. Pelajar-pelajar muda ini mungkin akan lebih bijak daripada mereka yang lain, kalau kena caranya. Mereka juga mungkin akan menjadi bertambah buruk kalau tersalah jalannya.

Tidak semua pelajar dewasa yang menyambung PhD yang bijak. Jadi, adakalanya usia bukanlah penentu. Orang muda juga ada kelemahan, tetapi ada kekuatan lain. Tetapi kerja keras dan 'nasib' itulah kriteria yang selalu bersangkutan dalam pengajian PhD.

Idealnya, mereka yang bijak ini sepatutnya diselia oleh manusia yang bijak juga. Katakanlah mereka ini yang sebenarnya masih tersangat muda, diselia oleh mereka yang sebenarnya lebih mementingkan 'CV' demi untuk mendapatkan jumlah pelajar yang ramai, tetapi hakikatnya 'tidak' menyelia, mereka akan menghadapi masalah yang besar.

Apatah kalau penyelia mereka ini datangnya dari aliran pelajar PhD ialah mereka yang bebas terbang di langitnya sendiri, berenang di lautan ilmu yang terbuka. 

Bagaimana pun, biasanya untuk mendapatkan penyelia yang serba sempurna tidaklah selalunya berlaku. Dalam kelok normal hidup manusia, ada yang baik, ada yang kurang. Ia bukan salah sistem. Ia hal yang semulajadi.

Sebaliknya, kalau pelajar tadi memang mampu menerobos dunia PhD, sekalipun tanpa perlu penyeliaan yang ketat, itu memang hebat. PhD ialah pemikiran. Adakalanya tidak bergantung kepada siapa yang menyelia, dan apa yang diselia. Tidak ramai pelajar seperti ini sebenarnya. Apatah dalam budaya pendidikan 'spoon feeding' yang bermula di sekolah dan kini menular di universiti. Sampai ke peringkat PhD pun, nampaknya 'spoon feeding' ini terus berlaku. 

Aku sendiri sebenarnya memiliki pelajar 'genius' yang menyambung PhD tanpa perlu melakukan ijazah sarjana ini. Aku akui mereka melalui jalan yang sedikit mencabar berbanding pelajar yang lebih 'dewasa'. Mereka kekurangan idea dan pemikiran tidak begitu tajam.

Bagaimana pun, aku berpandangan mereka perlu didewasakan. Aku telah merancang agar mereka menjadi dewasa. Mereka perlu menjadi tutor agar mereka terdedah dengan pembacaan. Aku juga bercadang agar merekalah yang mengendalikan bengkel latihan aku selepas ini, dan aku hanya sekadar menjadi jurutunjuk sahaja. Mereka juga 'wajib' mengikuti siri latihan akademik yang aku kendalikan. Mereka juga bakal menjadi 'penyelia' untuk pelajar ijazah sarjana muda.

Ia sedikit teruk dan memenatkan. Sekurang-kurangnya itulah jalan yang mampu menjadikan mereka dewasa. 

Bagaimana pun, tidak semestinya itulah caranya. Setiap orang ada jalannya sendiri. 

Ada yang tidak perlu didewasakan. Tetapi mereka perlu banyak membaca. Membaca lebih banyak dari orang lain. Sebab mereka ini tidak ada pengalaman dalam hidup. Dengan hanya membaca, mereka mendapat pengalaman baru.

Kepada pembaca tadi, kalau dia tidak mendapat penyelia yang membantunya menjadi dewasa, dia perlu berkerja lebih kuat. Tidak ada sesiapa yang akan menolongnya. 

Bagaimana pun, jangan ditakutkan akan kekurangannya. Mereka yang ada ijazah sarjana pun tidak sesempurna mana. Aku tahu. Aku telah bertemu dengan bermacam jenis pelajar. 

Cuma, apabila kita telah melangkah - jangan berpatah balik. Teruskan. Peluang hanya datang sekali. Tetapi ubahlah cara kita mengharunginya. Kalau dahulu berjalan, sekarang berlari. Kalau dahulu membaca tanpa ambil tahu maknanya, sekarang mulalah belajar dari mereka yang pakar bagi satu-satu hal yang anda tidak tahu.

Keterukan itulah yang menjadikan anda seseorang.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails