Yang Ikut

Friday, 28 September 2012

Mudarat air ketum

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Tulisan aku minggu ini di Kosmo!

Mudarat air ketum sama seperti dadah

PIHAK polis giat melancarkan operasi bagi membendung pengambilan air ketum yang berleluasa terutamanya dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. - Gambar hiasan


PENAGIHAN dadah dalam kalangan anak muda kita semakin membimbangkan. Munculnya pelbagai jenis dadah moden seperti ice, pil kuda, dan ekstasi bukan sahaja menjadikan cara manusia menghisap dadah berubah, malah menjadikannya merebak dengan begitu cepat.
Kini, di beberapa negeri di utara tanah air, muncul pula kegilaan baharu masyarakat terhadap air ketum. Ia merupakan daun yang diambil dari sejenis tumbuhan yang tumbuh secara melata di beberapa negeri utara tanah air.
Daun ini kemudiannya direbus dan airnya diminum dengan anggapan bahawa ia mampu menyembuhkan penyakit dan memulihkan tenaga.
Bagaimanapun, yang jarang disedari ialah simptom ketagihan bahan ini. Adalah mustahil ia mampu mengubat penyakit atau memberikan kekuatan jika penggunanya tidak boleh meninggalkannya sama sekali dan perlu bergantung pula pada air ketum setiap hari.
Dalam keadaan seperti ini, air ketum tidak lagi mampu menjadi ubat, sebaliknya sedang menjadi racun yang sedang merosak diri dan masyarakat.
Kesan ketagihan
Benar, kesan ketagihannya mungkin tidaklah sebesar penggunaan dadah hingga menyebabkan ada yang mencuri atau melakukan jenayah lain. Bagaimanapun, ada kesan sosial lain yang lebih buruk daripada penggunaan dadah.
Tidak seperti penggunaan dadah, peminum air ketum ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ia bukan hanya melibatkan anak muda, malah orang dewasa.
Kalau penggunaan dadah biasanya melibatkan mereka yang dianggap sebagai 'rosak akhlak', bagaimanapun peminum air ketum ialah ahli masyarakat yang normal.
Mereka terlibat dengan aktiviti harian lain seperti bekerja, pergi ke masjid dan terlibat dengan kegiatan kemasyarakatan seperti biasa. Dalam erti kata yang lain, mereka ialah manusia budiman.
SESETENGAH pihak sengaja mencampurkan air ketum dengan bahan terlarang lain untuk menambahkan kesannya. - Gambar hiasan


Aktiviti meminum air ketum juga lebih terbuka. Ia diminum di rumah ketika duduk bersantai dan dianggap hal biasa yang tidak merosakkan masyarakat. Malah, dalam banyak keadaan, peminumnya memberi tanggapan positif kononnya ia boleh menghilangkan pelbagai jenis penyakit termasuklah kencing manis dan darah tinggi.
Hakikat yang jarang diselidiki ialah sejauh manakah air ketum ini memberikan kebaikan dibandingkan dengan keburukannya?
Mereka yang telah beberapa kali meminum air ketum biasanya berpotensi untuk terus menjadi penggunanya. Pengguna yang cuba meninggalkannya pula akan berasa mengantuk, tidak senang duduk, malah ada yang mengadu mengalami cirit birit.
Simptom ini sebenarnya sama seperti yang dialami oleh penagih heroin dan ubat batuk, malah penggunaan air ketum yang terlampau menyebabkan kulit muka menjadi seperti terbakar dan kehitaman. Semua ini merupakan kesan buruk yang biasanya tidak disedari oleh penggunanya.
Hakikat lain yang jarang difikirkan ialah penagihan air ketum ini telah menyebabkan kesan sosial yang jauh lebih buruk malah, lebih buruk daripada penggunaan dadah yang lain.
Begitupun, oleh kerana penggunanya ialah orang dewasa dan ada yang 'warak', maka mereka boleh memberikan pelbagai fatwa untuk menghalalkan penggunaannya.
Ini menjadikan ia mampu berkembang dan merebak dengan cepat ke dalam masyarakat. Bayangkan, kini penggunanya melibatkan pelajar sekolah menengah pula.

ANAK-ANAK muda dikhuatiri terbiasa dengan tabiat ketagihan dan sudah tidak mempunyai rasa takut pada orang dewasa. - Gambar hiasan


Persepsi berubah
Ia tidak dianggap sebagai hal terlarang kerana golongan dewasa sendiri telah menganggapnya secara positif. Sekiranya ada anak-anak remaja yang menggunakannya, adakah golongan dewasa mampu memberikan teguran kalau mereka sendiri penggunanya?
Sebenarnya inilah antara isu besar yang sedang melanda kita. Orang dewasa yang menggunakan air ketum ini akan kehilangan 'pengaruh' psikologikal untuk menegur dan membimbing anak-anak remaja sekiranya ada yang terjebak dengan ketagihan air ketum.
Harus diingat, penagihan dadah biasanya berkembang daripada satu tahap ke tahap yang lain. Bayangkan, sekiranya anak-anak ini kemudiannya mula menjinakkan diri dengan dadah. Apakah yang boleh dilakukan oleh orang dewasa untuk menegur mereka?
Bagaimana nanti sekiranya anak-anak ini mula bertanya apakah bezanya mereka, 'ayah menagih air ketum, dan kami pula menagih ganja!'.
Inilah sebenarnya kesan buruk yang mungkin tidak disedari oleh pengguna air ketum. Walau sebesar mana mitos positif mengenai air ketum, ia sebenarnya lebih banyak mengundang kerosakan kepada masyarakat berbanding kebaikannya.
Ia sedang menyumbang kepada beberapa kerosakan lain yang tidak disedari. Mitos kehebatan air ketum hanyalah dongeng seperti yang juga muncul dalam penggunaan dadah yang lain. Berhentilah, kalaupun bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk anak-anak kita yang kian membesar.

Wednesday, 26 September 2012

Penyelidikan: soalan yang patut dijawab

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini dan esok di universiti tempat aku berkerja sedang diadakan pameran penyelidikan. Ia pameran poster. Bagi aku, ia sesuatu yang baik. Bukan hanya untuk penyelidik dan pelajar berkongsi hasil kajian mereka kepada umum, tetapi juga kepada pelajar-pelajar sarjana muda yang baru mengenal dunia penyelidikan.

Aku tugaskan pelajar kursus penyelidikan untuk melawat tapak pameran. Mereka telah disediakan 7 soalan untuk ditanya kepada para peserta. Ia sebahagian daripada tugasan tutorial untuk kursus ini. Soalan itu ialah:

1. Mengapa anda memilih topik ini?
2. Apa perbezaannya kajian anda dengan kajian yang lain?
3. Apakah kekuatan kajian anda?
4. Apakah kelemahan/batasan kajian anda?
5. Apakah 'gap' kajian anda?
6. Mengapa anda memilih metod ini?
7. Cadangan anda untuk kajian pada masa hadapan.

Mengapa soalan ini ditanya? Inilah sebenarnya soalan yang sewajarnya selalu ada dalam pemikiran setiap penyelidik. Sekiranya kita meragui dengan jawapan bagi setiap soalan tadi, besar kemungkinannya kajian kita tidak diterima untuk penerbitan jurnal ISI.

Sebagai penilai, inilah juga isu yang akan selalu dilontarkan kepada penyelidik.

Banyak daripada kajian kita yang telah mengabaikan soalan-soalan ini, menjadikan kita mengulang semula kajian yang pernah dibuat orang. Kita beranggapan bahawa kajian ilmiah hanyalah sekadar mempunyai data dan metodologi tertentu. Hakikatnya tidak. Kajian ilmiah ialah bagi memastikan semua soalan yang ditanya tadi mampu dijawab.

Sebab itu kajian itu bermula dengan patah kata 'Re' dan "Search".

Kita membongkar kelemahan lalu dengan membuka ruang untuk kajian baru.  

Monday, 24 September 2012

Mengajari hal konsep kepada anak-anak

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak bulan puasa lepas, aku mula memberikan kuliah berkaitan topik 'nafsu' kepada anak aku. Umurnya yang hanya berusia 7 tahun, terpaksa pula berpuasa dalam cuaca yang panas , tentulah sangat tergoda dengan semua jenis makanan. Di Australia dahulu, cuacanya dingin, dan masa pula singkat. Tidak ada banyak makanan yang menggoda seperti di Malaysia.

Setiap kali ke pasaraya Maidin, dia akan cuba membeli itu dan ini. Kalau boleh apa yang terasa ingin dimakannya, akan diambilnya.

Aku memberitahunya itulah nafsu. Kita inginkan semuanya. Tetapi apabila telah mendapatkannya, kita tidak berminat lagi dengannya. Setiap kali selepas berbuka puasa, apabila dia hanya menjamah sedikit dan meninggalkannya, aku mula bertanya - Apakah itu? Dia mula tahu itulah nafsu, walaupun kadang-kadang dia menyebutnya 'nasfu'.

Semalam - aku ke Bagan Lalang. Di sana dijual bermacam-macam mainan. Dia seperti biasa, ingin membelinya. Aku membisikkan ke telinganya, 'masih ingat apa itu nafsu'. Dia mengangguk. Dia tahu, dia hanya ingin mendapatkannya sahaja, walaupun dia tidak patut membeli pun mainan itu.

Percubaan kali ini berjaya.

Aku beritahu hero sebenar ialah mereka yang berjaya melawan nafsu. Superman sepatutnya boleh membunuh semua semua orang kerana dia kuat. Tetapi dia mengawal nafsunya dengan hanya membunuh manusia jahat sahaja. 

Sebenarnya tidak mudah mengajar hal berkaitan konsep kepada anak-anak. Ia sesuatu yang tidak kelihatan. Bagaimana untuk memberitahu mereka apakah yang dikatakan iman atau apakah yang dikatakan kesetiaan. Ia tidak sama memberitahu mereka apakah yang dikatakan basikal atau kereta.

Bagaimana pun, pada usia mereka inilah, kita patut mengajarkan mereka konsep. Mereka lebih mudah menerimanya. Usia mereka ini, mereka ingin tahu semua perkara. Sebab itulah mereka bertanya hal yang pelik-pelik.

Bagaimana pun, ia tidak boleh diberitahu sekali lalu seperti kita mengajar pelajar dewasa di universiti. Kanak-kanak ini daya imaginasinya sangat tinggi.

Apabila kita berjumpa sesuatu perkara yang ada kaitannya, mungkin itulah waktu yang sesuai untuk mengajar mereka.

Satu hari, ketika menaiki motosikal masuk ke dalam hutan tidak jauh di kampung aku, anak aku bertanya "Ayah, Tuhan ada di dalam hutan kan?". Aku tanya balik, 'Siapa yang beritahunya? Katanya dia cuma mengagak sahaja.

Bayangkan, mereka sudah mula bertanya hal ketuhanan walaupun masih sangat kecil. Siapa kata kanak-kanak tidak bijak berfikir.

Aku beritahunya Tuhan berada di mana-mana. Kita tidak melihat Tuhan, tetapi Tuhan melihat kita.

Satu hari - di dalam kereta, sepupunya yang sebaya usia dengannya bertanya pula, "Uncle, Tuhan ada atas langit kan?"

Anak aku menjawab: "Tak ayah kan.. Tuhan ada kat mana-mana kan".

Saturday, 22 September 2012

Isu matematik anak-anak

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang ibu mengirimkan saya email bertanyakan masalah anaknya yang tidak begitu berminat dengan matematik. Tidak hanya tidak berminat, tidak juga mampu menguasainya.

Ada beberapa isu yang patut difahami oleh ibu bapa, apabila mengulas mengenai penguasaan matematik di kalangan anak-anak mereka. Ia berlegar di antara otak kiri dan otak kanan manusia.


Malangnya, kerana dalam sistem pendidikan kita, matematik telah dianggap sebagai 'core subject' yang menentukan hidup mati peperiksaan seseorang, penguasaan matematik dianggap sebagai penentu kepintaran manusia. Hakikatnya tidak. Matematik hanyalah sekadar subjek. Ada orang yang bijak matematik, tetapi tidak bidang lain. Begitulah sebaliknya. Cuma apabila matematik telah menjadi subjek wajib, yang menentukan seseorang calon itu masuk universiti atau tidak, maka tidak banyak pintu harapan untuk mereka yang gagal matematik.


Seperti juga halnya dengan penguasaan bahasa Melayu. Adakah boleh dikatakan mereka yang gagal bahasa sebagai tidak bijak, kalau mereka cemerlang dalam subjek lain?


Manusia ini dikatakan mempunyai dua hamisfera otak. Mereka yang dominan otak kiri akan fasih matematik dan sains, dan lebih kepada logik. Sebaliknya, mereka yang otak kanannya lebih dominan, mereka ini mempunyai aspek pemikiran yang tajam, beremosi dan berada dalam dunianya sendiri.


Tidak begitu ramai mereka yang bijak matematik dan sains yang pandai dalam hal kebahasaan. Begitu juga sebaliknya. Manusia seperti saya, kalau perlu menghadiri peperiksaan matematik lagi sekali belum tentu lulus. Tetapi, saya tidak kisah kalau diminta untuk menghadiri peperiksaan geografi atau sejarah - kerana saya tahu saya boleh menghafalnya dalam masa beberapa hari. Ia mudah melekat di kepala saya, berbanding matematik.


Saya boleh mengarang dengan cepat. Tetapi saya tidak berminat mengira.


Saya tidak pasti bagaimana teman saya, misalnya Dr Ben. Dia pandai menulis juga walaupun dia seorang yang terlibat dalam dunia sains. Mungkin, agak beruntung bagi sesetengah manusia yang menguasai kedua-duanya. Prof Shahrir Mohd Zain, seorang pakar matematik terkenal negara misalnya, adalah seorang ahli bahasa yang hebat.


Bagaimana pun, tidak semua akan menjadi seperti mereka. Ada yang boleh menguasai sebelah hamisfera otak sahaja.


Teman saya, pakar sains komputer di sebuah syarikat minyak di Asia Timur tidak pandai dalam hal bahasa, walaupun saya tahu kami tidak akan mampu menandinginya dalam hal matematik di sekolah dulu. Saya agak malang kerana berada di kelas 5 Sains 1 di sekolah - sekolah paling depan, yang rata-ratanya adalah pelajar Cina. Saya rasa seperti menjadi manusia paling bodoh dalam kelas itu. Setiap kali subjek matematik tambahan diajar, saya ponteng dan duduk di wakaf. Sesekali merokok di belakang bangunan. Apa yang boleh saya buat?


Saya berjaya ke universiti kerana saya berpeluang mengikuti Tingkatan 6 - yang tidak ada satu pun subjek matematik dan sains. Saya masih merangkak ketika mengambil pelajaran Geografi 4 - kerana ada pengiraan di situ. Saya lulus cemerlang dalam semua subjek lain kerana saya tidak dipaksa mengira.


Jadi, sesekali apabila ada anak-anak yang tidak mampu menguasai matematik, kita perlu perhatikan juga. Adakah tidak mampu ini kerana fungsi otaknya, atau kerana sikapnya. Ada orang yang berusaha sangat teruk, tetapi gagal juga. Mereka yang otak kirinya lebih dominan, lebih mudah menangkap apa yang diajar oleh guru. Tanpa ulangkaji pun, mereka berjaya dengan markah yang tinggi.


Tetapi, ada orang yang gagal matematik bukan kerana otak kirinya. Mereka gagal kerana 'self fullfilling prophecy'. Saya sudah menulisnya dahulu. Mereka ini patut diubah tabiat belajar mereka.

 

Wednesday, 12 September 2012

Tuesday, 4 September 2012

Gangnam - Penyakit mental atau tidak

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang teman memberitahu, komen saya mengenai tarian Gangnam kepada seorang wartawan telah mula didebatkan di sebuah portal hiburan. Baca sini.

Kononnya saya telah menyimpulkan bahawa kegilaan manusia kepada tarian ini adalah gangguan mental. Hakikatnya tidak.

Ketika ditanya wartawan, saya memberitahu mereka bahawa kegilaan manusia itu ialah kerana'contagion effects'. Maksudnya, berita mengenai Gangnam ini telah tersebar dari orang kepada orang lain menyebabkan ia menjadi tanda tanya. Semua orang ingin melihatnya. Baca sini apa itu contagion effects.

Ia bercampur baur dengan kesan keakuran. Baca sini.

Sama seperti halnya seorang guru lelaki yang mengenakan mekap wanita yang kemudiannya jadi terkenal. Semua orang ingin mengetahui apa sebenarnya yang sedang berlaku. Tandatanya ini merangsang psikologikal manusia.

Semua ini adalah simptom psikologikal, dan bukannya gangguan mental.

Bagaimana pun, dalam konteks pemberitaan - sesuatu mestilah disensasikan untuk menjadikannya berita. Kalau tidak sensasi, ia bukan berita.

Saya ada menerangkan apa yang berlaku di Peranchis lama dahulu. Ada satu kegilaan terhadap satu tarian yang kemudiannya merebak menjadi histeria. Ia bermula dengan seorang wanita. Anda boleh membacanya di blog ini dengan menggoogle histeria.

Juga satu kejadian orang ramai melihat manusia monyet di India. Masa itu, ia tersebar dengan cepat melalui suratkhabar. Menyebabkan banyak orang melaporkan mereka juga telah melihat manusia monyet. Ia tidak tersebar ke negara lain kerana orang lain tidak faham bahasa Tamil atau Urdu.

Dalam kedua-dua kes tadi, ia menjadi krisis mental manusia.

Sekarang ini, dengan adanya Internet berita mengenai kemasyuran Gangnam telah tersebar dengan sangat pantas. Semua orang terasa ingin mendownload Gangnam. Ia menjadi hal sensasi kerana beritanya tertulis dalam bahasa Inggeris.

Sensasi tarian Gangnam hanyalah contagion effects, bukannya penyakit mental seperti yang dilaporkan dalam suratkhabar. Ia melibatkan isu psikologikal manusia.

Seperti mana kegilaan orang ramai terhadap Mawi satu masa dahulu, begitu jugalah dengan sensasinya tarian Gangnam. Ia bukan penyakit mental.

Melainkan kalau keghairahan ini bertukar menjadi mass histeria.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails