Yang Ikut

Wednesday, 27 June 2012

Menulislah dengan baik

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah lama aku tidak menulis. Sibuk.

Hari ini, aku menerima email dari universiti aku belajar dulu yang memaklumkan tesis aku dipilih oleh University of South Australia untuk dicalonkan bagi anugerah Thesis Prize ASAA. Ia anugerah yang dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan berkaitan hubungan Asia-Australia. Aku pun tidak begitu tahu sangat berkaitan pertubuhan ini.

Bagaimana pun, kerana ia melibatkan semua tesis PhD yang dihasilkan dari universiti-universiti lain di Australia, peluang untuk aku menang agaknya sangat tipis. Tapi aku tidaklah mengharapkan apa-apa pun.

Hari ini juga, keputusan latihan ilmiah untuk pelajar di jabatan aku mula diumumkan. Seorang dari pelajar seliaan aku mendapat A. Tahniah untuk beliau.

Sebenarnya, banyak kesilapan mudah yang dilakukan oleh pelajar yang menjejaskan peluang mereka mendapat markah baik. Ia adakalanya agak meralatkan. Harus diingat, selisih markah antara A dan B itu setipis rambut sahaja. Adakalanya dengan berkurangnya 2 markah, keputusan berbeza yang diperolehi.

Banyak daripada pelajar agak leka dalam hal citation dan bibliografi. Ada tulisan yang dicited, tetapi tiada dalam senarai rujukan. Ada pula yang ada pada bahagian rujukan, tetapi tidak ada dalam tulisan.

Ini membuat orang mula bertanya sama ada ia diplagiat atau tidak. Asli atau ditiru. Sekalipun asli, tanpa rujukan, dunia akademik akan menghukum penulis. Hukum yang sama dipakai untuk semua tulisan akademik.

Kelekaan dalam tatabahasa mudah juga agak merisaukan. Ia mengganggu pembacaan.

Sebenarnya peluang untuk mendapat A sebenarnya tidaklah sukar sangat. Biasanya, penilai akan membaca keseluruhan tesis. Banyak topik yang menarik. Markah kian berkurangan kerana ada kesilapan kecil yang sepatutnya boleh dihindarkan. A hanya diberikan kepada pelajar yang hampir sempurna. Semakin banyak kesalahan teknikal, semakin hilanglah markah yang patut diperolehi.

A juga bermakna analitikal. Inilah yang tidak mampu dilakukan oleh banyak pelajar. Mereka mampu menulis di Facebook atau Twitter, tetapi dunia akademik lain rentaknya. Ia memerlukan proses pemikiran yang unik. Inilah analitikal. Inilah hal yang sukar dicapai oleh banyak pelajar.

Untuk mereka yang baru sahaja memulakan penulisan akademik, baik sarjana muda atau lepasan ijazah, menulislah dengan baik. Jangan bersifat leka dan alpa dengan hal-hal kecil. Orang akan melihat anda sebagai tidak serius.

Wednesday, 13 June 2012

Saudagar mimpi - I

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sekitar tahun 2006, saya diajak teman baik saya untuk menemaninya ke satu pertemuan dengan beberapa orang ahli 'korporat' bagi membincangkan tentang satu projek jutaan ringgit. Saya diminta menemaninya bukan kerana saya ahli korporat. Saya tidak tahu apa satu pun berkaitan perniagaan. Saya diminta menemaninya kerana dia berkata saya tahu 'membaca' orang. Jadi tugas saya hanyalah membaca orang.

Saya mengikut ajakannya. Saya duduk di satu bucu meja di celah-celah manusia 'korporat' tadi sambil memesan secawan kopi. Banyak batang rokok saya hisap malam itu. Saya tidak bercakap sepatah kata pun melainkan memerhatikan perbualan mereka.

Mereka ini ramai. Semua bangsa ada. Melayu, Cina dan India. Lagaknya memang seperti korporat. Tapi bacaan saya, mereka ini 'sengkek' seperti saya juga. Cuma gaya sahaja lebih.

Mereka meminta setiap ahli memasukkan wang sekian puluh ribu, sebagai sebahagian perkongsian saham bagi satu projek yang 'dijamin' dapat. Projeknya ialah projek jual beli minyak mentah. Ini bukan minyak masak. Ini minyak dari perut bumi.

Setelah habis, saya beritahu teman saya mereka ini semua penipu. Jangan bayar sekupang pun. Alasan logik saya mudah. Perniagaan minyak sudah lama sangat di dunia ini. Siapa kita untuk diajak berniaga minyak? Shell, Petronas, Talisman, Schlumberger dan bermacam lagi syarikat besar sudah bertapak dalam bidang ini.

Ini juga bidang untuk berbillion ringgit. Kalau saya dapat projek seperti ini, saya tak akan ajak sesiapa pun. Saya akan 'sapu' seorang diri.

Minyak hanya dijadikan agenda sahaja sebab ia kelihatannya membawa pulangan besar. Siapa yang bodoh pasti akan melabur untuk menjadi salah seorang pemegang saham.

Teman saya setuju. Dia tidak melabur.

Beberapa lama setelah itu, teman saya beritahu ia memang projek yang tidak wujud. Ia hanya projek menipu orang sahaja. Banyak orang terkena, termasuk temannya.

Sebenarnya mudah sahaja melihat manusia 'keparat' yang berlakon 'korporat' ini. Kalau bercakap, mereka bercakap besar. Gerak tangannya kerap. Matanya liar. Mereka akan beritahu yang mereka kenal dengan semua ahli politik, pegawai tinggi kerajaan bahkan sultan sekalipun. Barrack Obama pun mereka ada nombor telefon.

Saya dulunya berkerja dengan sebuah syarikat besar. Pengerusi syarikat saya ialah seorang jutawan. Dia memang kaya. Walaupun saya kuli, tetapi saya baik dengannya. Hubungan saya dengan beliau tidak pernah secara formal. Daripada beliaulah, saya tahu lagak sebenar ahli korporat tulen.

Tetapi dia hanya bercakap perlahan dan relaks sahaja. Dia tidak pernah kelam kabut bercakap hal jutaan ringgit. Sesekali beliau hanya memakai baju pagoda sahaja. Tidak ada pun orang yang tahu yang beliau ini ada banyak wang.

Sebab itu, saya tahu benar projek 'minyak angin' oleh para saudagar mimpi ini.

Anda juga perlu berhati-hati.

Tadi, teman saya sekali lagi mengajak saya untuk satu projek yang lain. Pekerjaan saya tetap sama. Memerhati dan membaca lagak orang. Tetapi saya menolaknya.

Nanti saya cerita apa yang telah dia perhatikan. Modus operandi para penyamun ini tetap sama.

Friday, 8 June 2012

Brazil laa...

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Malam ini bola Euro dah mula. Jom tengok bola. Aku ajak isteri.

Ok. Jom. Kata isteri aku.

Ambil mana? tanya aku.

Brazil laa..dengan penuh yakin isteri aku beritahu.

Aku diam.

Memang banyak peminat bola semacam itu kat dunia ini.

Wednesday, 6 June 2012

Forum kerjaya UKM

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya dijemput oleh mahasiswa tahun akhir di UKM untuk menjadi panel forum persediaan menghadapi alam kerja. Saya kira pengangguran sudah menjadi kebimbangan semua anak muda. 20 tahun dulu saya juga membimbangi hal yang sama. Apatah lagi di era di mana manusia luar menjadi kegilaan majikan.

Zaman ini, warga dari Nepal, India, Bangladesh dan Indonesia sudah menjadi pekerja yang diminati. Bukan sebab wajah yang tampan. Tapi mereka sanggup dibayar gaji yang murah dan kerja lebih masa. Orang kita belum tentu.

Swasta atau kerajaan lebih baik? Bagi saya ia sama sahaja. Kita berkerja untuk makan sahaja. Apa yang datang dahulu itu yang lebih baik. Siapa yang sudi ambil kita itu hal pokoknya. Ini bukan zaman memilih. Ini zaman manusia dipilih. Kalau kita baik dan cemerlang, orang akan sukakan kita.

Tapi di zaman gawat kerja ini, kita tidak ada hak untuk memilih. Kita hanya dipilih. Kita adalah buruh. Kita adalah kuli. Suka atau tidak, kita terpaksa membiarkan orang lain menilai diri kita. Mereka membayar gaji. Siapa yang sanggup membayar gaji kita, kita senang hati menjadi kulinya.

Di mana pelajar psikologi akan berkerja?

Saya jawab mereka patut menjadi bomoh, bukan ahli psikologi. Orang lebih percaya bomoh, dan bukan ahli psikologi. Jadi, terlebih baik mereka juga menjadi bomoh. Sekurang-kurangnya orang lebih percaya apa kata bomoh. Ahli psikologi perlu belajar selama 3 atau 4 tahun. Bomoh mungkin tidak perlu belajar banyak.

Mereka tanya saya tips mencari kerja.

Saya katakan mereka tidak perlu bimbang. Tamat sahaja belajar mereka terpaksa cari kerja. Tidak ada siapa menanggung makan minum mereka lagi. Ibubapa akan membebel. Kerjalah apa sahaja pun.

Bagaimana persepsi pasaran dengan graduan psikologi UKM?

Saya katakan antara yang terbaik. Saya berkata jujur. Sudah 3 tahun berturut-turut saya dikirimkan email soal selidik reputasi universiti oleh Times Higher Education, badan yang bertanyakan pandangan ahli akademik dan majikan tentang reputasi graduan. Saya selalu menilai graduan psikologi UKM sebagai antara yang terbaik. Saya tidak peduli apa kata orang lain. Saya yakin begitu.

Saya beritahu juga jual laksa anda akan jadi kaya. Boleh dapat RM 60 ribu sebulan. Kerja kerajaan atau swasta belum tentu.

Friday, 1 June 2012

Gua alaf 21

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kita hidup di alaf 21, dengan segala keindahan teknologi yang membolehkan kita menyelongkar semua peristiwa dan maklumat.

Kita juga tidak lagi hidup di zaman yang mana pengetahuan menjadi satu jurang. Pengetahuan hanya menjadi jurang kepada mereka yang malas dan tidak mahu mencarinya sahaja.

Kita boleh membaca semua idea demokrasi dan hak asasi manusia, walaupun ada ketikanya kita dibelasah juga dengan suara sumbang bahawa kita ada cara kita sendiri. Tentulah, memang ada norma dan nilai yang harus dipegang, tapi bukan bermakna bahawa semua yang didatangkan dari luar itu tidak berguna dan ditolak mentah-mentah.

Hidup berubah, zaman berubah, cara manusia berfikir juga berubah.

Di masa silam, kita diingatkan agar taat dengan pemerintah, jika tidak kita akan mendapat 'tulah'. Manusia juga tidak dibolehkan bertanya dan mempersoalkan apa sahaja yang dilakukan pembesar, kerana rakyat perlu bersikap hamba. Taat dan percaya.

Hari ini, manusia telah pergi ke serata dunia. Mereka bertemu dengan bermacam ideologi. Kalau tidak mampu mengembara atau melancong, mereka mengembara melalui intenet. Ada banyak hal yang mula dibandingkan mereka. Mereka bertanya mengapa di sesetengah negara ada lebuhraya, tetapi tidak perlu dibayar tol seperti di negara kita. Mereka juga bertanya mengapa di negeri yang kering dan tiada air, tetapi bil airnya percuma.

Semakin banyak manusia membaca dan berjalan, semakin banyak yang ditemui mereka.

Mengapa di sesetengah negara, hidup pemimpinnya biasa sahaja. Tiada perlu karpet merah, bunga manggar dan protokol yang pelik. Kalau ada yang mengkritik pemimpin, mereka tidak pula dikecam, apatah diancam. Semuanya berjalan seperti biasa, tegur menegur di antara satu sama lain.

Bagaimana pun, ia masih hal yang pelik di Malaysia walaupun kita sudah ada bangunan tertinggi di dunia. Kita tidak boleh mengkritik. Kita hanya boleh memuji. Kalau ada sedikit kritikan, nanti muncul bermacam individu dan NGO datang membela. Biasanya, si pengkritik akan menerima padahnya.

Sayang, di dunia tanpa sempadan, kita masih lagi tinggal di gua kelam.

Kita masih lagi terangsang untuk hidup seperti di zaman purba. Kita ada mulut tapi tidak dapat bersuara. Kita ada jari, tetapi kita hanya boleh menaip untuk pujian dan kata manis.

Akhirnya, kita tidak akan dapat pergi ke mana juga. Kita masih hidup di gua alaf 21.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails