Yang Ikut

Monday, 21 May 2012

Nota untuk calon PhD!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tiba-tiba hits blog FakirFikir naik mencanak sejak kebelakangan ini kerana aku menulis hal PhD. Rupanya banyak manusia yang sedang menbuat PhD atau mengimpikan hal PhD.

Bohonglah aku, kalau aku katakan melakukan penyelidikan PhD itu tidak tertekan. Tetapi aku lebih berbohong kalau aku katakan dengan adanya PhD akan menjadikan seseorang manusia itu hebat.

Sebenarnya, tradisi penyelidikan ilmiah di negara kita tidaklah berapa baik. Kita terpedaya dengan nama universiti. Kita beranggapan, semakin besar nama universiti - semakin hebatlah dunia kesarjanaannya. Hakikatnya belum juga tentu.

Memilih penyelia yang baik itu terlebih baik dari memilih universiti yang baik. Tidak guna belajar di Oxford atau Cambridge kalau mempunyai penyelia yang tidak baik. Lebih baik belajar di universiti biasa sahaja, tetapi penyelia kita itu ialah manusia tersohor. Tersohor bukan kerana pandai bermain politik. Tersohor kerana ada reputasi akademik.

Banyak pelajar lepasan ijazah mengharungi hari yang suram kerana mereka dianggap tahu segala oleh penyelia yang tidak juga tahu semua. Mereka dibiarkan menerokai dunia khayal akademik sendirian, tanpa bimbingan. Segelintir ahli akademik memang mahu mendapatkan pelajar PhD seramai yang mungkin - kerana ia sebahagian dari pengukur KPI mereka. Sayang, tidak semuanya teruja dalam hal penyeliaan.

Banyak orang tidak bersetuju dengan pandangan aku ini. Cubalah anda mengirimkan email kepada seseorang, nayatakan minat anda menyambung pengajian. Ibarat umpan katak dijatuhkan ke dalam air, akan ada ikan haruan yang akan menyambar.

Bayangkan, setelah dua tahun setengah, kawan aku masih belum siap proposalnya.

Apakah yang sedang dicarinya. Apakah yang sedang berlaku?

Kelompangan kajian apakah lagi yang masih belum ditemui?

Sebenarnya, mereka yang rajin membuat kajian, boleh mengesan kelompangan kajian yang anda lakukan dengan hanya melihat beberapa muka surat pertama proposal anda. Mereka tahu kerana mereka sudah sedia maklum hal yang berlaku dalam topik kajian anda. Mereka selalu menulisnya dalam kajian-kajian mereka. Mereka juga tahu topik baru yang sedang 'hot' dalam trend research anda.

Inilah yang sepatutnya dibantu oleh penyelia. Jangan biarkan pelajar berenang di lautan luas yang mereka tidak tahu hujung pangkalnya.

Seorang pelajar memberitahu, penyelianya bertanya balik kepadanya 'apakah yang dimaksudkan dengan 'flow". Sepatutnya hal seperti ini tidak berlaku kepada penyelia dalam bidang psikologi organisasi - kerana inilah trend yang sedang hangat ditulis dalam jurnal besar. Ia sudah muncul beberapa tahun dulu, dan bukannya beberapa minggu yang lalu.

Mengapa hal seumpama ini boleh berlaku?

Jawapnya mudah. Ada penyelia yang tidak membaca. Ada pula yang hanya mengulang-ulang data yang ada, dan dibentangkan di sana sini. Hasilnya, CV mereka terjulur panjang. Hakikat pengetahuannya pula tidak terseret sama.

Sama ada anda setuju atau tidak, itulah dunia pekerjaan manusia. Ada yang komited, ada yang tidak. Ia berlaku dalam semua aspek pekerjaan, baik akademik atau di luar.

Semoga anda calon PhD tidak mengharungi dunia seperti ini.




Friday, 18 May 2012

Amos untuk pendatang baru

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seharian suntuk aku mengajar statistik AMOS untuk ahli akademik dan beberapa orang pelajar PhD di universiti aku. Ia pengalaman baru aku mengajar AMOS, walaupun bukanlah pengalaman baru aku menggunakan AMOS.

Aku mulakan dengan ungkapan - Adakah AMOS statistik yang sukar?

Sebenarnya tidak. Ia mungkin lebih mudah dari SPSS. Ia juga mudah dikendalikan.

Aku tidak menggunakan sebarang istilah teknikal yang selalu digunakan. Aku mengajar bagaimana ia harus dikendalikan. Itu sahaja.

Semoga semua yang hadir mendapat manfaat, walaupun aku sendiri sejak terakhir ini tidak lagi menggunakan AMOS. Aku telah mencuba software yang lain. Sekurang-kurangnya, dengan mengajarkan AMOS, aku tidak melupakannya dari ingatan.

Thursday, 17 May 2012

Selamat datang ke dunia PhD!-Part 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang teman baik aku, sudah menghabiskan hampir 2 tahun di sebuah universiti di utara tanahair. Dia belum memulakan apa-apa. Sedang berjuang menyelesaikan proposalnya.

Seorang lagi pelajar aku temui di negeri seberang Laut China Selatan sudah hampir masuk tahun ketiga. Sedang berjuang dengan proposal. Cuma beberapa bulan terakhir ini baru menampakkan cahaya.

Seorang lagi teman aku - masuk tahun kedua. Belum memulakan apa-apa. Apabila beliau mencadangkan mahu melakukan kajian longitudinal, penyelianya bertanya 'untuk apa?', dan 'sempatkah?".

"Untuk apa?" dan 'Sempatkah?" ialah dua soalan yang saling berkaitan.

Jawapan untuk kedua-dua soalan tadi bergantung kepada siapa yang menyelia anda.

Untuk apa?

Kajian longitudinal ialah kajian yang cuba mengesan perubahan. Misalnya melakukan kajian pertama pada bulan Januari, dan melakukan sekali lagi kutipan data pada orang yang sama 3 atau 6 bulan berikutnya.

Ada yang mungkin setahun atau dua tahun kemudian. Bergantung kepada mazhab pengajian dan topik yang mahu dikaji.

Kajian yang biasa dilakukan di tempat kita ialah 'cross-sectional'. Kajian yang dilakukan sekali lalu.

Kajian 'cross-sectional' sudah hampir pupus sebenarnya. Sebabnya ialah kerana ia tidak akan diterima di jurnal besar. Ini kerana ia memberikan keputusan statistik yang meragukan dan tidak boleh diterima. Misalnya, responden menjawab 'rajin berkerja' pada skala kerajinan, dan dia juga cenderung menjawab 'sangat perform' pada skala prestasi. Sebabnya mudah. Dia menjawab pada waktu itu, dan otak kita memang mencari apa terbaik untuk kita. Statistiknya akan menunjukkan hubungan yang sangat kuat.

Sedangkan realitinya, itu hanya andaian otak semata-mata.

Istilah statistiknya ialah 'common method variance'. Itulah alasan paling baik untuk sesiapa sahaja untuk menolak kajian anda.

Jawapan akan berubah kalau ditanya 3 bulan lagi.

Sebab itulah, kajian yang baik bukanlah pada tajuknya. Kajian yang baik ialah dengan mengkritik kajian lalu yang tidak menggunakan metodologi yang betul. Dengan hanya sedikit kritikan, dan melakukan kajian longitudinal, tesis PhD anda bukan sahaja boleh menjadi baik dan banyak perkara boleh dibincangkan, ia juga tidak akan ditolak mentah-mentah oleh jurnal terhebat.

Sebab apa penyelia tadi bertanya untuk apa? Anda boleh meramalkan sebab apa dia bertanya begitu. Tidak kisalah mereka ini 'otai' atau tidak, berhati-hatilah memilih penyelia. Tatkala kita juga tidak berapa pandai, carilah seseorang yang boleh membimbing anda.

Sempatkah?

Soalan ini bergantung tempoh yang dihabiskan menulis proposal. Kalau masa yang terlalu banyak sangat digunakan menulis proposal, akhirnya kajian anda tidak akan ke mana juga. Lebih baik menggunakan metodologi yang sedikit canggih, walaupun proposal yang buruk. Daripada proposal yang tebal seperti buku teks, tetapi kajian anda tidak dipandang sesiapa pun.

Anda mampu melakukan 6 kajian dalam tempoh 3 tahun?

Lebih daripada itu sebenarnya.

Anda boleh menulis tesis yang baik, anda juga boleh menerbitkannya di jurnal yang hebat.

Kalau tidak, sekalipun nanti anda ada gelar 'Dr.', anda juga akan mengulang kesilapan yang sama menyelia pelajar anda.

Anda juga mungkin bakal menjadi 'Otai' baru.

Wednesday, 16 May 2012

Selamat datang ke dunia PhD!

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Pagi tadi, pelajar aku membentangkan proposal penyelidikan PhD. Ia pengalaman baru untuknya. Pengalaman baru untuk aku juga menyelia pelajar PhD.

Berapa lama masa untuk menyediakan proposal?

Banyak pelajar 'tersangkut' pada peringkat penyediaan proposal. Ada yang memakan setahun. Ada yang sampai 2 tahun. Malah, sampai tamat tempoh pengajian pun, ada yang masih tersangkut lagi. Akhirnya, 'give up' dan terus berundur diri.

Berapa lama pelajar ini menyediakan proposalnya? Tidak lama. Mungkin 2 atau 3 bulan yang lalu. Esok dia sudah boleh memulakan proses data collection. Dia sebenarnya baru sahaja mendaftar sebagai pelajar sebulan yang lalu.

Aku tidak percaya dengan aliran 'old school' yang selalu mahukan proposal penyelidikan seperti kitab. Menyediakan proposal seperti menulis buku. Mereka mahukan kesempurnaan. Entah sampai bila akan sempurna. Setahun? Dua tahun?

Akhirnya, pelajar tidak ada masa menjalankan kajian. Apabila data sudah ada, mereka berhadapan dengan masalah lain pula. Tidak ada masa untuk menulis.

Akhirnya masa bertahun-tahun digunakan untuk menjalankan kajian PhD yang sebenarnya tidaklah apa sangat.

Adakah dengan hasil kajian PhD mampu mengubah dunia? Tidak. Ia hanya sekadar menambah pengetahuan. Dunia berubah kerana permainan manusia politik, bukan datangnya dari penyelidikan akademik.

Adakah dengan penyediaan proposal cepat akan menghasilkan kajian tidak berkualiti?

Tidak. Berkualiti atau tidak kajian bukan pada tajuk, tetapi pada metodologinya. Tidak perlu mencari kelompangan kajian berasaskan tajuk, tetapi buktikan bahawa metodologi terdahulu tidak relevan.

Bagaimana kalau kajian pelajar tadi gagal?

Tidak mengapa. Beliau akan belajar sesuatu. Dia boleh menulis satu atau dua manuskrip jurnal dari data yang dikutipnya. Dengan kelemahan yang ditemui sepanjang setahun permulaan ini, dia akan boleh menjalankan kajian seterusnya.

Dia tidak perlu mengkritik kajian orang lain. Dia hanya perlu mengkritik kajiannya sendiri untuk menjalankan kajian baru. Sepanjang 3 tahun nanti, dia berpeluang belajar kaedah penyelidikan yang terbaik dengan beberapa siri kajian lain. Dia juga berpeluang menerokai pelbagai jenis statistik terkini yang ada dalam dunia akademik.

Sekurang-kurangnya, 6 kajian boleh dilakukan sepanjang 3 tahun menjalankan PhD.

Siapa kata PhD ini susah?

Susahnya PhD bila kita bertemu dengan para 'otai' yang berasa besar diri dan tahu segala. Itulah budaya 'power distance' masyarakat kita.

Setiap kali bertemu penyelianya, mereka akan diminta dengan hal yang sama.

Tambah lagi! Tambah lagi!

Tambah apa? Cuba beritahu.

Itu yang menjadikan PhD ini seperti meniti jalan berduri ke taman impian.

Sebulan ini

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Lama tidak menulis. Sebulan 3 hari. Tidak menulis lama sebelum atau selepas orang sedang bercerita tentang BERSIH 3.0. Sepanjang sebulan ini, aku tidak ke mana-mana pun. Tidak ada sebarang aktiviti. Sesekali aku minum kopi di Kopitiam di Bandar Baru Bangi. Mendengar band menyanyikan lagi rock lama. Era "Temple of the King' atau "Black Magic Woman'. Ini lagu terhebat di zamannya.

Sesekali aku singgah makan laksa di warung sepupu aku di sebuah bandar di pinggir kota.

Berapa pendapatan penjual laksa di kota ini?

Berapa agaknya gaji seorang lulusan PhD yang kerjanya mengajar di universiti ternama negara?

Sebenarnya, penjual laksa lebih kaya daripada manusia yang ada gelar Dr di depannya.

Dengan memiliki 2 buah warung, yang ada beberapa buah meja, purata pendapatan sehari ialah RM 2,000. Maksudnya dalam sebulan pendapatan kasar mereka ialah RM 60,000. Ada gaji pensyarah sebanyak itu?

Sudah lama aku tidak balik ke kampung. Tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Dunia akademik ini dunia yang sesak dan dunia yang sibuk. Apa yang sesak dan apa yang sibuk?

Membaca tulisan latihan ilmiah pelajar universiti, membaca kertas kerja mereka, aku seolah-olahnya cuba membandingkan aku hampir 17 tahun dulu. Aku menjadi janggal kenapa mereka tidak mampu menulis dan mengolah dengan baik. Mengapa ada konstruk pemikiran yang tidak terjangkau oleh akal fikir mereka.

Beberapa lama aku berfikir. Apa yang sedang melanda dunia universiti kita.

Akhirnya aku tahu 3 jawapannya.

Pertamanya - mereka belajar kerana untuk CGPA yang baik. Mereka mencuba banyak jalan pintas, menjadikan mereka tidak mahu berfikir sebaiknya. Mereka hanya mahukan markah, bukan ilmunya. Dunia hari ini, semua orang bercakap hal angka. Bukan hal lain.

Keduanya. Mereka juga tidak mahu membaca. Mereka hanya menggogle apa sahaja fail pdf yang bertebaran dalam dunia internet. Mereka tidak kisahkan sama ada apa yang mereka baca itu rojak pasar malam, atau sampah di depan pintu tandop. Mereka ambil dan masukkan kesemuanya. Mereka tidak tahu di mana sumber asalnya.

Ketiganya. Plagiat. Mereka telah mencuri sebelum bergelar pekerja lagi. Mereka tidak peduli. Copy dan paste. Potong dan tampal. Menjadikan apabila kita membaca apa yang mereka tulis, kita tidak berasa teruja. Tidak juga akan ketawa. Tidak juga akan gembira. Selain merasakan mengapa mereka memilih jalan ini. Tidakkah lebih baik mereka tidak masuk universiti selepas habis sekolah? Mereka boleh berkerja atau berkahwin. Juga boleh menjual laksa. Sekurang-kurangnya mereka tidak perlu membuang masa dengan perbuatan yang tidak ada sedikit pun nilai dalam dunia kesarjanaan.

Aku belajar banyak dari pengalaman ini. Menjadikan aku merasakan menjadi pensyarah tidaklah iklim yang memberangsangkan. Ia dunia kilang melahirkan pekerja, bukan manusia. Itu sahaja.

Untuk nota - aku tidak pernah melakukan plagiat sejak hari pertama aku masuk universiti. Walaupun markah aku tidak pernah baik, tetapi aku akan merasa itulah aku yang sebenarnya.

Sayang, dunia google ini telah merosakkan anak-anak kita yang digoda dengan markah yang tinggi.

Percayalah, anda tidak akan ke mana. Lebih baik menjual laksa di tepi jalan. Sekurang-kurangnya anda mendapat wang yang banyak, dan kejujuran anda tidak pernah diragui. Kalau diragui pun, tidak ada siapa yang ambil peduli.



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails