Yang Ikut

Thursday, 12 April 2012

Tolong SMS kami!

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini, gempa bumi pada 8.6 skala Richter berlaku di Acheh. Ia menakutkan kita semua akan berulangnya tsunami tahun 2004.

Gegaran itu bukan hanya dirasai di Acheh, tetapi juga di Malaysia. Gegaran itu dirasai di banyak tempat di utara tanahair.

Termasuk juga di sekitar Kuala Lumpur termasuk Putrajaya.

Persoalannya, kenapa tidak ada amaran gegaran atau maklumat terkini yang dihantar kepada kita melalui sistem pesanan ringkas? Mengapa syarikat telekomunikasi kita hanya menghantar banyak hal remeh temeh, muat turun ringtone, iklan dan segala macam promosi sahaja, yang adakalanya kita menyampah membacanya.

Mengapa amaran sedemikian tidak dihantar kepada masyarakat melalui sms sebagai satu khidmat sosial percuma. Tidak semua orang ada televisyen atau internet untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di luar. Nelayan di laut tidak tahu apa yang berlaku. Penoreh getah di kebun juga tidak tahu. Pekerja binaan di atas bumbung juga tidak tahu.

Tetapi, hampir semua orang mendapat manfaatnya kalau syarikat pembekal telekomunikasi mengirimkan kita sepatah dua ayat memaklumkan apa yang sedang berlaku.

Sudah sampai masanya pemerintah mewajibkan hal seumpama ini dilaksanakan. Kalau semua orang mati dalam gempa, syarikat telekomunikasi akan bungkus bersama.

Mereka yang membuat polisi harus menggunakan segala keazaman politik untuk meningkatkan mesej berkaitan keselamatan rakyat.

Sampai masanya, kita semua perlu membuat sesuatu. Selamat adalah sesuatu yang menjadi milik kita semua. Selamat bukan hanya tidak disamun di tengah jalan. Selamat juga boleh jadi dapat mengelak dari ditimpa siling ke atas kepala.

Tolong sms kami.


Wednesday, 11 April 2012

Banyak yang tidak lagi lama

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sebagaimana hidup ini yang tidak selalu lama, banyak lagi perkara lain yang juga tidak lama.

Apa lagi yang tidak lama?

Banyak.

Masa. Tenaga. Sihat.

Kuasa. Kekayaan.

Apa lagi?

Dalam watak kartun Jibam ada tercatat : "Kalau kau menjadi aku, aku yakin kau mengerti".

Saturday, 7 April 2012

Catatan Adelaide - terima kasih teman

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Terima kasih kepada semua teman-teman di Adelaide. Petang ini aku akan pulang ke Malaysia.

Terima kasih kerana menjadi sahabat. Terima kasih kerana menjadi sebahagian dari keluarga. Ia antara keindahan yang hilang, kenangan yang tak dapat diulang. Tetapi, ia juga pengalaman yang tak dapat dilupakan. Persahabatan di luar negara adalah pengalaman yang indah.

Sama indahnya melihat daun yang gugur di musim luruh. Sama asyiknya melihat bunga mewarna mekar di musim bunga. Sama hebatnya dengan menghidu segar angin dan dingin embun di waktu pagi di musim sejuk.

Hujung tahun 2007 aku datang ke Adelaide. Ia perjalanan yang tidak diduga. Bertemu beberapa orang anak dara. Kemudiannya bertemu pula dengan komuniti Melayu di Adelaide. Ada yang menjadi sahabat kekal, ada yang sekadar mengisi catatan cerita.

Beberapa hari ini, banyak bantuan yang tidak terhingga mereka berikan. Menumpangkan rumah, memasakkan makanan yang sedap, membawa aku mengelilingi Adelaide Hill, dan yang terbaru mereka membuatkan kek ucapan tahniah untuk aku. Tentulah ini semua cerita yang tak akan dapat dilupakan buat selama-lamanya. Ia kenangan terindah, lebih indah dari keindahan kota Adelaide. Hidup ini menjadi indah kerana apa yang ada di sekeliling kita. Hidup ini menjadi indah kerana persahabatan.

Terima kasih buat Dr Kamarul, Kak Nana, Supian, Nani, Idris, Hai, Sayuti, Wan, Safizul, Dr Has, Azam, Yanti, Syed, yatt, Zainol, Miza, Dr Jisman dan semua mereka yang lain. Tak dapat aku tuliskan di sini. Juga buat Abang Zul dan Dr Ros, teman lama yang datang semula menjejakkan kaki ke Adelaide beberapa hari ini. Tentulah, tak semua kenangan lama dapat diulang lagi, kerana ada yang telah pulang dan tidak kembali lagi. Tidak sempat mengulang kenangan bermalam di dalam kemah di bawah jambatan muara sungai di Goolwa, atau duduk di hujung jeti di Moonta Bays. Mungkin di lain kali kita ulang semula apa yang hilang.

Kenangan bermalam di rumah teman lama, Nizam, isteri dan anak-anak membuatkan kita merasa pulang ke rumah sendiri. Kelopak mawar itu akan selalu gugur dan tumbuh semula. Ia yang bakal menjadi debu dan dibawa angin. Tetapi wanginya adalah rakaman yang tak mampu kita hilangkan dari ingatan.

Terima kasih teman. Terima kasih kepada semua yang membantu menjejak kenangan. Terima kasih mengingatkan keindahan yang hilang.

Semoga bertemu lagi di musim yang lain, pada ruang usia yang berbeza.

Thursday, 5 April 2012

Sahabat kedai kopi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah beberapa hari di Adelaide, menghirup segar angin musim luruh. Beberapa cawan air kopi sudah aku hirup. Ini kopi terbaik. Dari kedai kopi CIBO sehinggalah Aroma cafe. Semuanya kopi pekat, tidak cair, pahit dan tidak manis. Ia kopi yang baik.

Beberapa teman lama sudah aku jumpa. Orang Malaysia dan juga bukan. Bertemu teman lama Gary Hall dan Prof Tony di Adelaide Club. Mereka minum wain. Mereka belikan aku sebotol Coke. Bercakap tentang banyak hal. Research. Sesekali mereka juga mengumpat. Tidak ubah seperti orang kita juga.

Sempat singgah di CIBO. Bertemu teman lama, Mawar juga seorang pelukis dari Bandung. Minum secawan kopi di sana. Dia bercerita tentang dunianya yang sibuk sebagai seorang pelukis. Tentang hidupnya yang hanya menaiki bas, walaupun suaminya seorang yang kaya.

Dengan Zainol, sudah banyak cawan kopi aku hirup. Hampir setiap pagi. Zainol di peringkat akhir penulisan tesis. Seram sejuk dan cemas. Tapi dia sudah menghasilkan beberapa kertas pembentangan dan jurnal. Cukup untuk meneruskan perjalanan PhD. Dia juga sudah lama tidak merokok lagi. Itu dulu. Sekarang, sejak beberapa hari ini dia mulai lagi!

Di Magill campus, aku minum kopi dengan Dr Wong dan Sharon. Kami bercerita tentang banyak hal. Research, politik dan pekerjaan. Kedua-duanya berbangsa Cina dari tanah Borneo.

Besok bermulanya cuti Easter. Ia musim cuti yang panjang. Aku perlu bertemu sekejap minum kopi dengan Pearly Tan, seorang wanita berbangsa Cina yang berkahwin dengan orang Australia. Asal Melaka tetapi sudah lama menetap dan berkerja di sini.

Semua mereka adalah teman-teman kopi aku. Ia teman-teman kopi yang tidak akan aku temui lagi di Malaysia, walaupun banyak kedai kopi di tempat kita.

Kopi tidak bermakna apa-apa. Persahabatan itulah yang memaknai secawan kopi yang kita hirup.

Di tempat aku kerja di Malaysia, aku tidak ada teman kopi.

Kopi apakah yang terbaik. Tetaplah kopi yang dibancuh isteri aku.




Tuesday, 3 April 2012

Update 3 - Adelaide yang indah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Adelaide masih sama dan tidak berubah wajahnya. Tenang.

Aku cuba menjejak balik jalan yang ditinggalkan. Tetapi, nampaknya tidak akan sama. Banyak muka baru yang tidak aku kenal lagi. Semalam, aku ke Centre of Applied Psychological Research, tempat aku menghabiskan masa selama 4 tahun untuk mendapatkan PhD. Kecuali penyelia aku, nampaknya ia diisi orang baru. Seorang teman aku, yang berkongsi anugerah penulisan tesis terbaik sudah berubah tempat duduk. Dia kini seorang staf dan duduk di dalam bilik.

Komuniti Malaysia juga berubah latarnya. Tidak lagi ada keriangan yang dulu. Perubahan manusia mengubah corak hidup kita.

Aku bernasib baik kerana ada beberapa orang lagi teman lama di sini. Menumpangkan aku tidur, makan dan mandi di rumah mereka. Mereka tetap teman baik seperti dulu. Cuma mereka kian sibuk kerana banyak daripada mereka kini di peringkat akhir penulisan tesis.

Kalau setahun lagi aku datang ke sini, mungkin tidak ada lagi sesiapa yang aku kenal. Mungkin hanya beberapa orang yang menjadi penduduk tetap di sini.

Tadi, sempat singgah di kedai kawan lama aku - pemilik kedai makan Swinging Bowl yang juga penulis blog yang selalu mencipta kontroversi. Anda tidak perlu membaca blog beliau kalau anda tidak mengenal karektor sebenar beliau. Beliau seorang anak muda, muda sedikit daripada aku. Beliau bukanlah seganas seperti yang selalu ditonjolkan dalam tulisannya. Beliau orang biasa sahaja, meminat hal-hal keilmuan dan juga cenderung dengan hal agama. Cuma tulisannya tidak pernah dalam bentuk karektor personalitinya.

Oh, terlupa. Beliau memberikan aku makan percuma.

Sebab itu, aku perlu sedikit memujinya.

Untuk menghabiskan makalah jurnal, aku menghabiskan banyak masa di computer pool dengan menggunakan username dan password seorang lagi teman lama.

Malam ini, aku akan tidur seorang lagi teman yang lain.

Ah, Adelaide ini memang kota yang indah dan membahagiakan. Cuma sayangnya, ia sedang berubah secara perlahan-lahan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails