Yang Ikut

Saturday, 31 March 2012

Update 2 - arnab vs. kura-kura dalam organisasi

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dalam organisasi, akan ada dua jenis manusia.

Satunya ialah arnab, dan satu lagi ialah kura-kura.

Arnab ialah manusia yang berkerja dengan pantas, cepat dan mahukan kesempurnaan. Mereka ini sangat teruja dengan pencapaian. Mereka selalunya menonjol dan dikenali. Mereka manusia yang sempurna.

Kura-kura pula biasanya ialah pekerja yang lembap, malas dan perlahan. Mereka ini berjalan menuju ke hadapan, tetapi secara perlahan-lahan. Tidak kisah dengan apa yang berlaku. Tidak ambil peduli dengan banyak hal.

Siapa yang biasanya menang?

Seperti cerita arnab dan kura-kura, biasanya arnab yang akan kalah.

Manusia arnab yang menonjol ini biasanya tidak disukai dalam sistem yang dipenuhi oleh manusia kura-kura. Mereka akan dicantas. Mereka akan disembelih dahulu kerana mereka mudah dilihat.

Kura-kura pula biasanya selamat. Mereka berjaya sampai ke sasaran. Kalau ada kesilapan dalam kerja, mereka bersembunyi di balik tempurung. Bila suasana kembali stabil, mereka muncul balik dari tempurung. Dalam dunia moden, manusia kura-kura ini biasanya bersembunyi di balik poket bos. Mereka bersembunyi dan terus membodek. Mereka selalunya bermain dengan cara yang selamat.

Kura-kura menang bukan kerana prestasinya. Kura-kura menang kerana banyak dari arnab telah disembelih. Kura-kura inilah kemudiannya menjadi kepala organisasi.

Mereka akan mendakwa - akulah yang paling senior. Senioriti itulah tempurung pekerjaan mereka!

Friday, 30 March 2012

Update 1 - Adelaide

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Adelaide di waktu subuh.

Hening, bening dan dingin.

Semalam aku menerima anugerah. Terima kasih kepada semua teman yang datang menggantikan keluarga aku. Terima kasih buat Dr Kamarul, kak Nana, Sayuti, Syed, Shafizul dan Idris.

Terima kasih tidak terhingga tentulah untuk teman lama aku - Nizam yang mungkin telah menjadikan ini acara akademiknya yang pertama di luar negara. Tentu tidak seorang pun yang tahu siapakah Sdr Nizam ini. Beliau ialah seorang bekas kelasi yang hebat di zamannya.

Terima kasih kepada mereka semua yang tumpang berkongsi rasa gembira. Hakikatnya, anda semua telah bersama-sama berkongsi rasa payah sepanjang 4 tahun yang dulu. Walaupun aku sepatutnya perlu menjemput orang lain juga untuk hadir, tetapi pastilah ia hal yang sukar.

Beberapa hari ini, aku akan cuba menyiapkan tulisan aku yang lain.

Aku juga ada bengkel untuk dikendalikan.

Sebenarnya masih banyak hal yang patut aku lakukan di bumi kangaroo ini.

Sabtu depan, aku bercadang untuk singgah di Perth untuk bertemu teman lama - yang hanya sekali dan beberapa jam sahaja aku pernah berjumpa dengannya lama dahulu.

Petang ini, aku akan berjumpa teman lama - Gary Hall seorang pemandu lori yang juga merupakan teman PhD aku di sini. Lihatlah bagaimana orang lain. Mereka belajar walaupun mereka hanya pemandu truck. Teman aku ini juga sebenarnya merupakan antara penulis jurnal yang hebat.

Wednesday, 28 March 2012

Gadis penjual sayur

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Malam ini aku bertolak ke Adelaide. Aku di sana sampai 7th April.

Tunggu, update dari negeri orang putih pula.

Teman lama aku pernah bertanya, apakah benda yang sangat aku rindu dalam hidup ini.

Aku tak pernah menjawabnya. Tadi, baru aku tahu yang aku merindui gadis Vietnam yang menjadi cashier di sebuah pasar sayur tak jauh dari Thebarton. Dia berwarna putih, tidak ayu - tetapi manja. Tidak kurus, tapi bulat.

Bahasa Inggerisnya tidak pernah sama dengan orang Australia. Pelik tapi sedap didengar.

Setiap kali dia memulangkan wang, dia meletakkan tangan dia lama-lama dalam tangan aku. Itu yang membuatkan isteri aku selalu menjeling! Kawan-kawan isteri aku yang lain juga merasa tidak senang dengan hal ini. Biasalah, wanita mana yang suka seorang pemegang ijazah PhD menggilai gadis penjual sayur! Kasihan gadis itu.

Doakan aku balik. Aku bukan seorang vegetarian.

Cinta para kuli!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hal pekerjaan sudah banyak aku tulis sebelum ini.

Aku selalu menghujahkan bahawa manusia pekerja ini sama sahaja, kita adalah kuli - tidak kisah di Barat atau di Timur. Bagaimana pun, manusia kuli di Asia ini lebih teruk. Tatkala kita digembirakan dengan berita bahawa Asia ialah lubuk manusia terkaya dunia, kulinya pula membunuh diri.

Sebenarnya pekerjaan ini apa?

Pekerjaan ialah sebuah percintaan yang adakalanya mengasyikkan, adakala mengecewakan. Bagi mereka yang asyik, mereka akan memberikan sepenuhnya komitmen. Ia seperti orang bercinta juga. Tidak ada apa yang buruk boleh dilontarkan kepada kekasihnya. Mereka akan marah.

Cinta memerlukan komitmen. Itulah pekerjaan. Komitmen itu perlu datang daripada kedua-dua pihak, baik yang berkerja, atau yang bergelar majikan. Kalau hanya pekerja yang diminta memberikan komitmen, majikannya pula tidak - ia dianggap manipulasi. Ia seperti lelaki yang meminta teman wanitanya memberikan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi, sedangkan pada masa yang sama lelaki tadi pula tidak menunjukkan hasrat ingin berkahwin. Bahkan, hadiah jam dari Chow Kit pun tidak pernah dibelikan.

Ada pula yang berkorban sepenuh hati. Sanggup berenang di lautan api, dan memetik bintang di langit. Sayangnya, kekasihnya pula tidak tahu pun rasa cinta yang satu lagi ini. Ini kita gelar, cinta syok sendiri - atau bertepuk sebelah tangan.

Sebab itu - apabila para kekasih menghadapi situasi seperti ini, carilah kekasih baru. Jangan dibuang masa.

Kalau para kuli menghadapi senario seperti ini, carilah majikan baru.

Dalam dunia ini - istilah komitmen hanyalah dongeng dalam buku. Ada banyak skala yang diciptakan. Realitinya, para kuli - kita semua berkerja hanya untuk sesuap nasi dan terus hidup.

Jangan berkhayal dengan hanya bertepuk sebelah tangan! Ia selalu menyakitkan. Ia selalu membingungkan.

Jangan kisahkan kekasih anda cantik atau tidak, tinggalkannya. Jangan dighairahkan kalau pun kekasih anda mempunyai banglow cantik dan kereta mewah, kalau anda sendiri hanya berjalan kaki. Anda tidak perlu menumpang kehebatan kekasih anda. Kita ada kehebatan kita juga.

Kalau aku menghadapinya, bagaimana?

Aku juga akan meninggalkannya. Dari timur ke barat, dari utara ke selatan - aku pasti akan mencari kekasih baru!

Aku sangat pasti akan hal ini.

Sunday, 25 March 2012

Pilihanraya kita mendekat

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Deru angin pilihanraya sedang menujah lanskap politik Malaysia. Di Bandar Baru Bangi bendera parti Barisan Nasional dan PAS sudah mula tergantung di sana sini, seolah-olah esoknya ialah pilihanraya. Setiap hari juga, kita akan mendengar orang awam bertanya bila tarikh pihanraya. Politik dan pilihanraya kini sudah menjadi menu makan baru orang kita - satu hiburan yang boleh melupakan seketika kos harga barang yang kian tinggi, dan taraf hidup relatif yang kian teruk.

Bagaimana pun, apabila kita dikhabarkan bahawa ada seorang anak ahli politik yang masih lagi muda belia mampu memiliki kereta mewah, atau ada di antara anak-anak menteri ini sudah berupaya memegang jawatan besar dan dibayar gaji yang tinggi pula, masyarakat mula bertanya apakah kelebihan mereka ini berbanding orang lain. Adakah mereka ini memang benar-benar berupaya?

Banyak graduan muda kita yang ada kelulusan tinggi, tidak pula mempunyai kerja. Malah, ada yang melanjutkan pengajian lepasan ijazah ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada kerana peluang kerja semakin teruk, atau mengidam gaji yang besar. Yang benar tinggal untuk mereka hanyalah harapan sebenarnya. Hanya beberapa orang yang terlepas. Selebihnya masih survive untuk mencari gaji yang baik dan pekerjaan yang elok.

Sebab itu, orang awam mula curiga dengan banyak hal. Dahulu, kita selalu menonton filem hindustan yang sesekali kita mula berdetik betapa teruknya ahli politik India. Tatkala rakyat di bawah masih lagi hidup susah, mereka yang di atas ini hidup bermewah-mewah. Nampaknya, apa yang dipaparkan dalam cerita hindustan seolah-olahnya cerita mengenai kehidupan politik kita juga.

Apabila ada cadangan agar menteri mengisytiharkan harta dan aset mereka, ada yang menolak. Kononnya ia bagi tujuan keselamatan.

Sebenarnya, dalam era tatkala orang bercakap mengenai ketelusan, tidak ada salahnya masyarakat awam mengetahui harta yang dimiliki ketua yang mereka pilih dalam sistem pilihanraya. Bukan lagi rahsia apabila orang mengetahui berapa nilai aset Bill Gates atau Syed Mokhtar. Kalau jutawan ini hidupnya tetap selamat, mengapa pula ahli politik merasa tidak selamat kalau diisytihar harta?

Tidak selamat oleh jenayah, atau tidak selamat oleh persepsi politik?

Pilihanraya sudah mula dekat. Dunia sekarang ini, semua orang memerhatikan apa yang ketua mereka lakukan. Sesiapa yang curang dengan kuasa, pada akhirnya akan ditentukan nasibnya oleh pilihanraya. Itu pun kalau mereka masih percaya bahawa dunia hari ini, masyarakat sudah berubah.

Psychosocial safety climate - II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang kawan, memintakan aku menulis untuk dua hal. Satunya isu berkaitan dengan psychosocial safety climate (PSC) di Malaysia. Dan keduanya, kajian yang menggunakan diari.

Kali ini, aku cuma tulis hal PSC di Malaysia. PSC ialah satu teori baru berkaitan dengan persekitaran kerja yang memberikan keutamaan kepada aspek psikologikal dan kesejahteraan pekerja. Ia muncul tahun 2010. Tulisan pertama terbit ialah hasil karya Prof Maureen Dollard dan Prof Arnold Bakker. Tahun 2011 baru terbit 6 lagi kajian mengenainya, termasuk dua tulisan aku.

Tahun 2012, aku menerbitkan satu lagi kajian mengenainya.

Aku ada dua lagi artikel yang sedang dalam proses review bagi perkara ini. Satunya di sebuah jurnal besar dalam bidang kami, Personnel Psychology.

Sebenarnya, suasana pekerjaan di Asia ini adalah antara lubuk yang paling teruk - antara tempat yang banyak manusianya membunuh diri kerana kerja. Banyak faktor. Satunya, kita tidak mempunyai polisi pekerjaan yang baik seperti di Barat. Kesatuan sekerja kita juga tidaklah sebaik fungsinya seperti di negara maju. Majikan telah menjadi raja, dan pekerja menjadi hamba.

Bagaimana pun, apa pilihan yang pekerja ada? Dalam suasana ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan, peluang untuk dibuang sangat tinggi, pengangguran yang ketara dan kemasukan pekerja asing yang banyak - sama ada kita kecewa dengan kerja atau tidak, kita terpaksa berkerja. Tidak ada banyak pilihan untuk kita.

Kalau kita lihat buruh binaan yang berkerja tanpa aspek keselamatan yang memadai, tanpa topi dan kasut keselamatan, berkerja juga walaupun tanpa adanya sijil kemahiran yang perlu, apalah sangat diharap dengan keselamatan psikologikal. Tidak ada siapa pun yang memandangnya. Lihat sahaja di lebuhraya, bagaimana masyarakat kita berkerja. Ada pekerja pemungut sampah melintas lebuhraya di celah-celah sibuk kenderaan. Mereka membersihkan rumput sambil menonggelkan pinggul ke arah jalan, tanpa ada papantanda.

Apa diharap dengan kesejahteraan psikologi?

Berapa banyak organisasi kita yang ada ahli psikologi atau kaunselor bagi membantu pekerja. Sangat sedikit. Kita hanya mementingkan kerjaya jurutera, akauntan, atau kerja-kerja lain yang boleh menghasilkan wang. Tidak ada siapa pun tahu apakah peranannya, ahli psikologi.

Sekiranya anda tertekan, bolehkah anda memberitahu majikan anda, anda sedang stress? Tidak boleh. Siapa mahu melayan anda. Mereka lebih bersimpati kalau anda diserang selsema, walaupun selsema tidak membawa mati. Bolehkah anda memberitahu mereka anda tertekan kerana konflik dengan rakan sekerja, atau kemurungan kerana memikirkan kemarahan pelanggan? Tidak. Anda cuma boleh memberitahu majikan anda satu perkara. Sama ada anda mahu terus berkerja atau berhenti.

Di agensi kerajaan, memang sesetengahnya ada kaunselor. Tetapi, menjadi satu masalah pula kalau pekerja bertemu dengan kaunselor. Mereka ini bakal di'cop' sebagai pekerja bermasalah. Lebih baik bertemu bomoh atau membeli MC. Orang tidak akan melabelkan anda apa-apa.

Sedangkan di Barat, sesiapa sahaja yang tertekan boleh merujuk kepada kaunselor. Malah pelajar juga boleh bertemu dengan kaunselor kalau tertekan.

Bagaimana di Malaysia? Apa yang anda tahu dengan peranan kaunselor. Tidak banyak. Orang lebih tahu kaunselor yang merancang hari kerjaya di sekolah, atau kaunselor yang melakukan kerja promosi kolej swasta. Itulah sahaja kerja yang kita tahu. Lebih teruk, sesiapa sahaja boleh menjadi kaunselor, asalkan pandai bercakap dan wajah sedikit tampan.

Jadi, apakah yang kita harapkan mengenai PSC di Malaysia? Adakah anda mengharapkan majikan akan melayan perasaan kerja anda?

Itulah jawapan aku untuk soalan si penanya tadi.

Saturday, 24 March 2012

Pesan untuk anak muda - II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak beberapa hari terakhir ini, begitu banyak berita mengenai anak gadis kita. Ada yang diculik, dijual dan ada yang melarikan diri. Apa yang tidak kena dengan anak gadis kita ini?

Di celah-celah keributan itu, ada pula berita lain. Beberapa anak muda kita yang masih lagi belajar di sebuah kolej swasta membunuh teman wanita dan bapanya. Menjadi orang bujang, hidup sebagai anak muda sepatutnya dihabiskan dengan banyak kesukaan. Sayang, ia kini perlu dihabiskan di dalam lokap dan kemungkinan dihukum mati.

Mengapa memilih jalan yang salah dan berliku? Adakah mereka gagal berfikir dengan waras?

Sebenarnya, itulah cubaan hidup bagi kebanyakan orang. Usia muda inilah usia yang penuh tragis. Tersalah jalan, tersilap langkah - adakalanya tidak ada lagi peluang kedua.

Bagi sesetengah orang, memang ada satu personaliti yang pelik. Personaliti yang dikenali sebagai 'impulsive sensation seekers". Mereka ini memang ingin mencuba yang baru, kerana bagi mereka risiko itu satu cabaran yang menyeronokkan. Mereka ingin melakukan keajaiban. Apabila orang berkata bahawa dadah itu bahaya, mereka ingin mencubanya. Apabila dilihat lari dari rumah dan mengikut lelaki lain, akan menimbulkan berita hangat, mereka merasakan mereka mampu menjadi 'heroin' wanita kalau melakukannya. Semua orang lain akan memberikan perhatian kepada mereka. Rakan sebaya melihat mereka manusia yang hebat.

Apa yang hebatnya? Kalau ada yang terjual sebagai pelacur di negara orang, atau hayat berakhir di tali gantung? Tidak ada apa yang hebat.

Kehebatan manusia ini ialah sejauh mana kita mampu meneruskan survival hidup. Tidak mengapalah kalau kita tidak menjadi wira sekalipun. Tidak mengapalah kalau sekadar ada RM5 yang hanya mampu membolehkan kita makan sekeping roti canai dan secawan kopi. Asalkan, kita masih ada banyak ruang untuk bangkit lagi. Kita tidak menjadi hero, tetapi kita juga tidak terjual dan tercela. Itu terlebih baik bagi kita, daripada menjadi wira yang dicela, dihina dan memalukan keluarga.


Friday, 23 March 2012

Awas helah psikologi!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tidak ada hal untuk ditulis hari ini.

Ada baiknya, aku kongsi sahaja apa yang aku tulis di suratkhabar.

Klik SINI.

Tuesday, 20 March 2012

Tunggu aku Adelaide!

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hujung bulan ini, aku akan kembali ke Adelaide. Berjumpa kawan-kawan lama. Menaiki bas. Minum kopi di Aroma cafe. Berjumpa dengan penyelia di Magill Campus. Makan-makan di rumah kawan. Boleh kembali serabut. Tak payah pakai baju bergosok. Rambut tak perlu bersikat.

Semua ini adalah hal indah yang telah tidak ada sejak balik Malaysia. Cuma yang aku mampu, memakai baju dengan lengan berlipat. Itu sahaja. Selebihnya tidak boleh lagi aku buat. Ini dunia formaliti. Ini dunia protokol.

Tidak tahu berapa hari aku akan ke sana. Tidak sangat penting. Dunia ini dunia sibuk. Dunia yang masa lebih mahal dari nyawa.

Tunggulah aku Adelaide!

Dulu aku selalu memesan rokok sebaik sahaja ada orang Malaysia datang. Kali ini, akulah posmen itu!

Sunday, 18 March 2012

Bila persidangan adakalanya...

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Satu malam, seorang pelajar yang sedang membuat PhD memberitahu aku, 'tetapi Encik, saya lihat dia banyak paper'. Aku tanya balik: 'Paper apa?'. 'Dia banyak buat paper konference'. Aku jawab, "ooo".

Sebenarnya banyak yang kita perlu belajar lagi dalam hidup ini. Jangan banyak tergoda dengan hal yang kita tidak tahu salur galurnya. Banyak menghadiri persidangan tidak bermakna seseorang itu tinggi tahap kesarjanaannya. Memang ada yang hebat. Tetapi ada segelintirnya tidak.

Sekarang ini, persidangan telah menjadi satu bisnis baru. Ia bisnis yang bagus untuk membuat wang. Label akademik diusung sekali agar mudah dijual. Menambah ayat 'International' di hadapannya menjadikan persidangan itu lebih gah kelihatannya.

Ia bisnis kerana setiap peserta perlu membayar wang penyertaan.

Ada persidangan ini, yang tidak melakukan sebarang 'pewasitan (review) proses untuk menyaring kertas persidangan yang dihantar. Mereka menerima segalanya. Ada pula yang melakukan proses review - tetapi hanya melihat tatabahasa. Mereka tidak menyemak konsep, isi dan metodologi, apatah lagi statistik dan kualiti kertas yang lain.

Persidangan seperti ini banyak dilakukan di negara Asia, dan juga beberapa negara lain di Asia Barat. Malaysia juga, adakalanya tidak terkecuali.

Persidangan yang benar-benar berkualiti, melakukan proses review sama beratnya dengan proses review kertas jurnal. Dalam semua bidang, ada persidangan besar yang tersendiri. Anda sepatutnya tahu bidang anda.

Kerana itulah budaya kita, jadi jangan terkejut kalau kita lihat dunia kesarjanaan kita tidak berkembang biak dengan baik.

Ada di antara kami, kerana merasa hebat dan besar, menjadikan persidangan ini sebagai pentas untuk membalun pelajar yang baru berjinak-jinak dengan dunia penyelidikan. Mereka membalun pelajar ini untuk menunjukkan mereka hebat dan besar. Sebahagiannya telah ditulis oleh kawan aku di blognya.

Pesan untuk pelajar yang berhadapan dengan situasi seumpama ini, dicela dan dibelasah teruk dalam persidangan, tanyalah soalan ini kepada yang bertanya anda itu: "Boleh tak saya dapatkan tulisan anda dalam kertas jurnal? Atau tanyalah juga "How many ISI papers that you have? I hope I can use it for my research?". Harapnya dengan cara ini, kita akan dapat melakukan counter attack kepada pembalun akademik ini. Atau, yang paling tajam - 'May I google your name?'

Ingat, kita menyertai persidangan bukan untuk dihina atau dicela, menjadi mangsa manusia akademik yang berasa mereka besar dan hebat. Kita menyertai persidangan untuk belajar sesuatu. Kita menyertai persidangan untuk mendapatkan cadangan yang boleh dimanfaatkan.

Setelah dua kali menyertai persidangan seumpama itu, kini aku memilih untuk hanya duduk diam di bilik aku. Aku tidak mahu membazirkan masa aku. Aku juga tidak mahu hanya sekadar kenyang makan buah tembikai di luar bilik persidangan.

Maafkan kami Dirang

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dirang,
Usiamu hampir sebaya anakku, Luqman Hakiem. Ku tahu benar makna hidupmu. Hidupmu ialah padang kedamaian. Dunia tanpa dendam, sengketa dan sakit hati. Buaian itulah muzikmu. Tawa teman-temanmu ialah lagunya. Berlari riang itulah tarimu. Sesekali kau menangis, sesekali kau ketawa. Sesekali kau berasa marah. Tetapi marahmu tidak lama. Sesekali kau berduka. Tetapi dukamu hanya seketika. Kerana duniamu dunia yang lain. Alam anak-anak tanpa resah dan gundah. Tanpa dendam dan sakit hati.Kau tak pernah tahu makna kuasa, harta dan darjat. Kami pernah melaluinya. Sayang, kami tak mampu menggenggamnya lagi.


Dirang,
Apakah dosamu nak? Hidupmu menanggung resah manusia dewasa. Tertusuk tajam nafsu serakah manusia yang dosa dan pahala tidak pernah diperhitungkan. Ditimpa celaka di tanah yang baru sahaja dikatakan sebagai antara yang terselamat di planet ini. Tidak ada apa pun yang terselamat dalam dunia ini nak.

Dirang,
Sebagaimana aku menjaga anakku dari terluka, ku tahu benar itulah juga yang orang tuamu telah lakukan. Kalau kau terjatuh, kami segera mengangkatmu semula. Tidak ada seekor nyamuk yang kami benarkan menggigitmu. Semut yang menggitmu akan segera kami bunuh. Kalau kau sakit, kami carikan ubat dan doktor terbaik agar kau segera sembuh. Tatkala kau tidur kesejukan, kami litupinya dengan selimut agar mimpimu tidak ternoda. Setiap malam kami ceritakan dongeng agar ia menjadi teman anganmu. Kami mengucupimu dengan kasih sayang. Kami meribamu dengan penuh kasihan. Kami menjagamu dengan penuh manja. Itulah yang diajarkan oleh manusia terdahulu daripada kami.

Dirang.
Sayang. Hari ini kau telah pun pulang. Kau sudah berada di syurga. Layakkah kami bersamamu nanti? Dunia yang busuk ini bukan tempatmu.Bermainlah di sana bersama bidadari. Berlarilah dalam musikmu yang aman. Teruslah ketawa. Teruslah bersuka. Dunia ini bukan tempatmu. Ini bukan dunia kegembiraan. Ini dunia biadap. Ini dunia celaka yang tidak ambil peduli dosa dan pahala.


Dirang,
Tidurlah anakku dengan aman. Tuhan tahu apa yang terbaik untukmu. Apa yang terbaik untuk mereka juga. Mereka tidak pernah membakarmu. Mereka membakar diri mereka sendiri. Kulihat apinya yang sedang menyala dari mataku. Mereka tidak pernah mengambil nyawamu. Mereka sedang membunuh diri mereka sendiri. Ku lihat mereka sedang mengerang kesakitan setiap saat. Kulihat ia dari mata hatiku.

Cuma, maafkan kami - tidak sempat menjagamu tatkala kamu singgah seketika bersama kami.

Friday, 16 March 2012

Penyelia dan penyeliaan - pesan untuk calon siswazah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini aku bercakap hal apakah yang dimaksudkan dengan penyelidikan. Penyelidikan untuk pelajar PhD bukkanlah untuk membolehkan kita sampai ke bulan. Penyelidikan hanyalah sekadar untuk menguji sesuatu teori, atau menyumbangkan sesuatu dalam dunia ilmiah.

Sempat juga berbual dengan beberapa pelajar. Banyak daripadanya berkisar hal penyelia dan penyeliaan. Banyak masalah kajian bukanlah kerana kajian itu sendiri, tetapi adakalanya penyelia itulah masalahnya. Adakalanya penyelia mahukan proposal yang lengkap seolah-olah itulah kitab sahih yang tak diragui.

Ini hal yang bagi aku sangat salah. Proposal hanyalah sekeping surat rangka cadangan sahaja. Tugas penyelialah untuk melihat sama ada kajian itu dapat dilakukan atau tidak. Ia bagi memastikan pelajar tidak terjatuh longkang dalam perjalanan PhD mereka nanti. Tidak lebih daripada itu.

Pelajar juga manusia. Penyelia juga manusia. Semua kita ada tanggungjawab. Hidup bukan sekadar dalam dunia teori. Pelajar juga ada keluarga untuk disara. Ada kerja sebagai manusia yang perlu dilakukan.

Banyak sangat kes, pelajar perlu menunggu sehingga 1-2 tahun bagi membolehkan kajian dapat dilakukan. Semuanya memerlukan green light pensyarah yang mahukan proposal yang sempurna. Ada yang sudah masuk tahun ketiga.

Ini hal yang salah, aneh dan songsang. Sekiranya penyelia di tempat pelajar tadi, apakah perasaan anda?

Masalah utamanya ialah kerana pensyarah tidak menyelia, tetapi lebih menunjukkan bakat aristokrat. Sepatutnya, apa yang lompang dalam proposal itulah yang patut diberitahu kepada pelajar. Masalahnya, ada juga penyelia yang tidak tahu. Puncanya, kerana kurang pembacaan. Tugas pensyarah sepatutnya membaca. Daripada pengetahuan tadi, mereka menunjuk jalan.

Aku selalu tidak bersetuju dengan apa alasan sekalipun kalau pelajar terpaksa menghabiskan banyak masa untuk menyelesaikan proposal.

Tugas pensyarah ialah membantu memberitahu apa yang tidak kena, dan bukannya hanya mencari apa yang tidak kena. Sekadar mencari apa yang tidak kena boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Ia tidak perlu anda menjawat jawatan sebagai orang akademik.

Sebab itulah dunia penyelidikan kita tidak berkembang seperti orang lain. Untuk pelajar yang merancang melakukan PhD, selidikilah dulu siapa yang bakal anda pilih sebagai penyelia anda. Anda membayar yurannya. Jangan terpengaruh dengan mereka yang ada begitu banyak kertas persidangan, kerana adakalanya persidangan hanya membolehkan kita makan hidangan lazat hotel sampai kenyang. Ilmu yang dibawa pulang tidak sebanyak mana.

Tanyalah juga teman-teman anda yang lain juga.

Jangan memilih jalan payah dalam penyelidikan. Penyelidikan ini sesuatu yang menyeronokkan, bukan membebankan.





Wednesday, 14 March 2012

Bila aku menang sesuatu...

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sedang aku melepak di hotel, tiba-tiba ada satu email masuk.

It is with much pleasure that I write to inform you that you have been nominated as a joint winner of the Tony Winefield PhD Thesis in Psychology prize which is awarded for the best thesis by a PhD in Psychology student in the School of Psychology, Social Work and Social Policy at UniSA during the period 2010-2011. Congratulations on this outstanding achievement.

Aku memenangi sesuatu yang tidak pernah aku tahu pun yang nama aku termasuk dalam senarai.

Bagaimana pun, kerana acara untuk meraikan majlis ini hanya dua minggu dari sekarang, maka aku perlu wakilkan seseorang untuk menghadirinya. Aku belum cukup kaya untuk terbang dari Kuala Lumpur ke Adelaide sekarang ini!

Carikan aku secawan kopi

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Besok pagi aku ke Kuching. Lama dahulu, sekitar tahun 2002 aku ke Sibu dan Kuching. Ia 10 tahun dahulu. Aku suka Sarawak kerana sungainya. Aku suka Sarawak kerana sungai, pasar basah dan orangnya. Aku suka melihat ikan terubuk segar yang dijual di sana. Hal lain aku tidak suka. Aku tidak berminat dengan makanannya. Bukan hanya di sana, di Semenanjug pun aku tidak berminat dengan apa jenis makanan pun.

Apa lagi yang menarik di Sarawak? Mungkin hutannya. Itu hal yang jarang aku ada peluang. Aku memang suka hutan, tetapi malangnya kitar hidup aku banyak di bandar. Aku suka melihat sungai dan pokok. Sayang, Kuching tetap juga bandar. Ia tetap bukanlah tempat yang aku suka walaupun sepanjang usiaku, banyak masa aku habiskan menyedut habuk dan debu bandar.

Apa lagi yang menarik di Kuching? Mungkin kopinya. Itu yang akan aku cuba cari besok malam. Ada sesiapa yang membaca blog ini dari Kuching. Bawakan aku ke kedai kopi yang unik. Kedai kopi yang bukan sama dengan Starbucks atau WhiteCoffee. Ia sama sahaja. Kedai kopi yang klasik, tua dan usang mungkin satu hal yang mempesonakan untuk dikenang. Semakin buruk kedainya, semakin aku suka.

Aku hanya mahu menyedut beberapa batang rokok dan secawan kopi. Yang lain aku tidak mahu ambil tahu.

Monday, 12 March 2012

Anda berasa selamat?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apabila saya membaca berita bahawa Malaysia adalah negara yang paling selamat, yang berada pada ranking ke-19 daripada 153 buah negara di dunia, saya sebagai pengkaji sains sosial selalu bertanya apakah metodologi penyelidikan yang digunakan. Malaysia juga dikategorikan sebagai paling selamat di Asia Tenggara. Saya tidaklah bertujuan meragui hasil kajian, atau bersikap untuk tidak mempercayai apa sahaja yang dilaporkan, tetapi saya bertanya apakah pembolehubah yang digunakan untuk menganalisis data tersebut.

Saya tidak terkejut kalau dikatakan Malaysia negara selamat dari segi kestabilan politik. Saya juga tidak berasa janggal kalau di negara kita bebas dari penembak curi atau lanun laut. Ia hal yang jarang-jarang berlaku.

Atau, adakah selamat yang dinyatakan itu hanya berdasarkan penilaian terhadap kejayaan kita dalam menghadapi anacaman terrorist. Inilah yang patut diberitahu.

Bagaimana pun, saya percaya selamat sepatutnya dinilai dari perasaan semua orang.

Tidak boleh semua pembolehubah di negara lain digunapakai di negara kita. Perasaan selamat daripada letupan bom kereta seperti di Iraq atau Afghanistan, kalau diuji di negara kita tentu tidak relevan. Setiap negara ada kayu ukur rasa selamatnya sendiri mengikut budaya jenayah sesebuah negara.

Bagaimana pun, rasa selamat itu bersifat universal. Ia membuatkan kita hidup tanpa sebarang ancaman.

Terus terang, saya tidak berani membiarkan anak saya pergi sekolah berjalan kaki walaupun jaraknya cuma 500 meter sahaja dari rumah saya. Begitu banyak kes culik dan anak yang hilang membuatkan saya tidak mampu percayakan sesiapa sahaja yang tidak saya kenali.

Adakah anda juga berasa tidak selamat seperti saya?

Saya juga tidak begitu yakin kalau isteri saya bercita-cita berjalan kaki seorang diri di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Pasar Chow Kit, kerana saya bimbang beg tangan isteri tangan isteri saya akan diragut. Saya tidak begitu bimbang dengan beg tangan isteri saya. Tidak ada banyak wang di dalamnya. Saya selalu mengurangkan wang dalam beg tangan isteri saya. Saya juga tidak bimbang dengan tangan isteri saya. Dia tidak pernah memakai seutas pun barang kemas, baik yang original atau tiruan.

Saya cuma bimbang nyawa isteri saya atau dia ditimpa musibah lain. Banyak sangat peragut di setiap lorong di bandar kita. Malah, di Changlun pun ada sesekali berita peragut yang muncul. Kalau pun peratus kejadian ragut dibandingkan lebih 27 juta penduduk ini tentulah sangat kecil, tetapi saya tidak kisah dengan populasi manusia. Saya hanya pentingkan keselamatan keluarga saya.

Setiap kali memarkir kereta saya di pasaraya, saya selalu berfikir banyak kali. Saya bimbang kereta saya tiada lagi setelah saya siap membeli belah. Saya selalu berasa was-was kalau kereta saya sudah berkunci atau tidak. Saya bimbang kalau ada beg komputer atau barang berharga yang akan kelihatan dari luar kereta. Ini akan menyebabkan kereta saya pecah.

Saya langsung tidak ada ketiga-tiga prasangka buruk ini ketika di Australia. Kereta saya tidak pernah berkunci. Rumah saya juga tidak dipasangkan mangga. Saya berasa selamat, walaupun saya tahu ada juga sesekali berita penyangak muncul di kaca televisyen.

Setiap kali mengambil wang di bank, saya akan memerhatikan kalau-kalau ada orang mengekori saya. Saya juga terperasan, orang yang beratur di depan saya, sesekali memerhatikan saya yang beratur di belakang mereka. Saya tidak salahkan mereka. Saya tidak salahkan prasangka mereka kerana saya tahu itulah yang sepatutnya. Mereka tidak patut ambil tahu sama ada saya ini ada PhD atau pensyarah di universiti terkenal. Mereka patut menjaga keselamatan diri.

Satu malam, ketika di Pasar Borong Selangor, seorang wanita mengubah beg tangannya ke bahagian hadapan badan apabila sedar saya sedang berjalan di belakang. Tidak salah. Dia berasa tidak selamat.

Setiap malam, kita akan mendengar ada kes bunuh, rogol dan bermacam lagi. Ada penyamun yang mengikat mangsa dengan wayar telefon, atau mengugut dengan pisau dan parang. Berita-berita ini tentu membuatkan saya tidur tidak lena kalau saya tidak mengenakan kunci dan mangga di pintu rumah saya, menjadikan saya berasa seperti memenjarakan diri sendiri.

Semua ini adalah perasaan tidak selamat.

Sekalipun statistik menunjukkan Malaysia selamat, tetapi saya tidak. Saya tidak kisah dengan apa sekalipun formula matematik yang mereka gunakan, tetapi saya kisah dengan formula psikologi rasa selamat saya. Saya lebih percaya apa yang saya dengar dan lihat.

Adakah anda seperti saya? Beranikah anda tidur di dalam kereta seorang diri di R&R yang gelap dan tidak ada orang jam 1 pagi? Saya berani tidur. Itu kalau di Australia dahulu, sekarang tidak lagi. Saya tidak takutkan hantu. Saya lebih takutkan manusia.

Tidak perlulah saya bertanya anda sama ada anda patut membiarkan isteri atau anak dara anda berjogging seorang diri jam 6 pagi.

Anda berasa selamat? Secara jujur, saya katakan tidak.

Friday, 9 March 2012

Kitar hidup orang kita

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah 2 hari aku terperangkap dengan kesesakan jalanraya yang teruk, berlaku pula sebaik sahaja kita melangkah masuk ke dalam lebuhraya berbayar. Semalam, aku terperangkap di lebuhraya Sungai Besi, mengambil masa 3 jam untuk sampai dari Putrajaya ke Petaling Jaya. Hari ini, kononnya untuk mengelak kesesakan orang keluar awal pagi, aku tersangkut 4 jam pula. Aku keluar jam 8.30 pagi, dan sampai pejabat 12.30 tengahari. Biasanya cuma 45 minit.

Semua ini kerana isu banjir kilat yang melanda beberapa kawasan Kuala Lumpur dan Selangor dua hari lalu. Terowong SMART ditutup menyebabkan arah aliran trafik kacau bilau.

Siapa yang boleh kita salahkan?

Banjir, kereta, atau lebuhraya?

Sambil mendengar celoteh juruhebah radio Sinar pagi tadi di dalam kereta, aku juga memerhatikan gelagat yang tidak mungkin akan berlaku di negara bertamadun. Tidak juga akan berlaku di kalangan orang yang berfikir.

Seorang lelaki yang sedang terperangkap dalam sesak jalanraya seperti aku, memandu kereta Volvo lama, berada di hadapan kereta aku. Dia memungut kertas resit dan sampah dalam keretanya, lalu dibuang keluar dari kereta. Satu demi satu kertas dan resit dikutip dalam kereta dan dibuang keluar. Tidak lama kemudian, anaknya yang mungkin sekitar 4-5 tahun melakukannya pula. Mungkin mengutip kertas dan sampah di bahagian belakang kereta, dan dibuang ke atas jalan raya juga.

Aku terasa, seperti mahu turun kereta dan mengutip sampah tadi. Dan mungkin, aku juga patut berkata kepada pemandu tadi, tak mengapalah di tempat kerja saya ada banyak tong sampah.

Mengapa orang seperti tidak ada rasa malu?

Beberapa hari lalu, pemadu lori mencampakkan bekas plastik airnya keluar dari lori, jatuh tidak jauh di depan kereta aku. Berderai ketulan ais dan air. Jalanraya kita telah menjadi tempat membuang sampah.

Sampah ini dibawa ke longkang ke sungai. Ia menyumbatkan segala lubang. Ia menutup segala pintu air.

Bila hujan lebat melanda, banjir kilat berlaku. Lorong SMART ditutup atau ada jalan dinaiki air. Kesesakan jalanraya berlaku lagi.

Kerana tidak ada banyak aktiviti ketika kesesakan, ada baiknya kita ambil segala sampah sarap dalam kereta dan buangkannya ke jalanraya. Esok lusa akan banjir lagi. Kita buang lagi.

Begitulah kitar hidup manusia tidak bertamadun segelintir orang kita!

Wednesday, 7 March 2012

Hidup ini hanyalah padang ujian

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dalam kehidupan kita, adakah setiap hari kita membahagiakan. Atau banyak daripada hidup kita ini adalah dukalara? Atau, kita tidak begitu pasti sama ada hidup kita bahagia atau merana?

Hakikatnya, hidup kita mungkin membahagiakan. Bagaimana pun, kerana ada sesekali kita ditimpa kecewa, kita merasakan hidup kita kian kosong. Seolah-olahnya kitalah manusia yang sedang diuji dengan dugaan yang berat, sedangkan orang lain tidak. Kita memadamkan semua cerita bahagia yang berlaku sepanjang hidup kita.

Orang yang lambat berkahwin merasakan bahawa merekalah manusia paling kecewa. Mereka yang tidak mampu melahirkan zuriat merasa sangat tertekan. Mereka yang miskin merasa merekalah yang paling miskin dan tidak berharga.

Bagaimana pula, kalau tiba-tiba kita dianugerahkan dengan kebahagiaan yang besar. Pernahkah kita merasa bahawa kita juga sedang diuji? Pernahkah kita berfikir bahawa kita antara manusia paling istimewa yang dipilih takdir dengan ujian yang teruk juga?

Tidak bukan.

Setiap manusia sedang merentas padang ujian. Ada yang diuji dengan musibah. Ada yang diduga dengan kebahagiaan.

Hakikatnya ia sama sahaja. Ia sama ada kita menyedari atau tidak. Itu sahaja yang menjadikan kebahagiaan tidak dirasai, dan sedikit kekecewaan disimbah dengan rasa diri tidak berharga.

Kita semua manusia bukan?

Monday, 5 March 2012

Bila saya memilih untuk sibuk

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Baru beberapa hari lalu, saya menceritakan dunia saya yang kian sibuk.

Saya sebenarnya telah memilih untuk menjadi manusia sibuk. Boleh sahaja saya tidak sibuk kalau saya duduk diam di dalam bilik tanpa melakukan apa-apa.

Tengahari tadi, saya menerima panggilan telefon. Apabila mereka memulakan patah kata "Dr", patah kata yang saya tidak begitu selesa sebenarnya, di depan nama saya, saya tahu itu ialah panggilan formal. Teman-teman saya, atau pelajar saya tidak akan menggunakan gelar Dr untuk nama saya.

Mereka menjemput saya untuk memberikan sedikit kuliah kepada pelajar pasca-siswazah dengan apa yang dikatakan sebagai penyelidikan pada hari Rabu ini. Boleh sahaja saya katakan tidak. Pada akhirnya, saya tahu ia kini menjadi sebahagian daripada pekerjaan saya. Itulah tanggungjawab yang saya pikul sejak pulang ke Malaysia. Saya dihantar ke luar negara untuk mendapatkan ilmu bagi hal-hal seperti ini. Tugas saya sekarang ialah mengajar mereka pula.

Minggu depan pula, saya akan ke Universiti Malaysia Sarawak. Saya bercakap hal yang sama. Cuma bezanya, ia melibatkan ahli akademik dan juga pelajar.

Semakin lama masa berjalan, saya kian tahu bahawa kerja ahli akademik ini sebenarnya menggalas pengetahuan yang tidak boleh disembunyikan. Saya perlu memindahkannya kepada orang lain.

Orang setuju atau tidak dengan apa yang bakal saya ucapkan, ia tidak sebegitu penting. Setiap orang mesti ada paradigmanya yang tersendiri.

Saturday, 3 March 2012

Welcome to academia!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sesudah 45 hari, baru aku berjaya membuat pembetulan untuk satu tulisan jurnal. Ia aku tulis bersama penyelia aku, dan seorang lagi ahli akademik di Australia. Pembetulan itu sepatutnya mengambil masa yang pendek sahaja.

Aku mengirimkan email kepada penyelia aku meminta maaf kerana aku agak sibuk. Sibuk dengan kuliah, tutorial, bengkel, penyelidikan dan bermacam-macam lagi. Dunia hari ini, prestasi ahli akademik dinilai untuk semua perkara, dalam dan luar universiti. Dunia hari ini, pensyarah perlu menyediakan kuliah dalam bentuk slide power point. Di masa aku belajar dahulu, pensyarah hanya membaca buku, dan kami menyalinnya semula.

Penyelia aku menjawab semula - Welcome to academia!

Sebenarnya, orang luar mungkin menyangka bahawa kerja mensyarah ini mudah. Ia hanya bercakap. Realitinya tidak. Kita tidak boleh bercakap tanpa membaca. Bercakap tanpa ada penyediaan alat bantu mengajar juga tidak berguna. Kita perlu menyediakan semuanya, agar pelajar kita dapat maklumat terkini sesuatu bidang.

Tugas pensyarah banyaknya letak di otak - atau dalam kata lain berfikir. Untuk menulis sesuatu artikel, kita perlukan fokus yang banyak. Bagaimana tugas berfikir dan menulis ini akan terganggu kalau fokus itu dicuit. Misalnya, anda perlu menulis satu artikel. Bagaimana pun, katakan ada kelas jam 11 pagi, maka agak sukar untuk menulis dari jam 9-11 pagi kerana tumpuan kita sudah berada di bilik kuliah. Apatah lagi kalau jadual kelas yang padat, misalnya selepas jam 11 pagi, ada pula kuliah jam 2 petang.

Mustahil boleh menulis di antara jam itu.

Sesekali, tumpuan kita terganggu apabila ada pula hal lain di celahnya. Misalnya ada pelajar yang memerlukan penyeliaan. Ada pekerja pentadbiran meminta dokumen itu dan ini.

Semua ini menyukarkan tugas berfikir dan menulis. Kerana menulis tulisan akademik bukanlah sebuah karangan. Ia bercampur baur dengan teori, statistik, analisa dan sebagainya.

Jadi, waktu mana pensyarah akan menulis?

Itulah hakikat kerja ahli akademik. Ia tugas susah yang dilihat mudah. Hanya mereka yang mampu melakukan semuanya di celah-celah gangguan itu akan berjaya. Aku belum sampai ke tahap itu lagi.

Kalau aku sudah sampai ke tahap itu, aku sudah tentu bergelar Profesor dan mungkin tidak akan menulis blog ini lagi!

Thursday, 1 March 2012

Apakah pilihanraya?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Orang selalu bimbangkan kalau parti yang mereka sokong kalah dalam pilihanraya.

Orang selalu mengharapkan pemimpin mereka menang besar, dan lawannya pulah kalah teruk.

Orang selalu kecewa dan bergaduh-gaduh kerana politik dan pilihanraya.

Apakah sebenarnya pilihanraya?

Pilihanraya bukanlah kalah menang seperti lawan bola. Dalam perlawanan bolasepak, yang menang akan dapat piala, yang kalah pulang kecewa. Pilihanraya bukan bolasepak.

Pertandingan dalam pilhanraya bukanlah pada hari pilihanraya. Pertandingan dalam pilihanraya berlaku setiap hari. Perjuangan sepanjang tempoh dari berakhirnya hari mengundi hingga sampai ke hari pengundian yang satu lagi itulah pilihanraya.

Kalah menang bukanlah tujuannya.

Kalah pun tidak mengapa kalau tujuannya tercapai. Misalnya, ada jalanraya baru dibina atau gaji pekerja dijaga. Ini kerana parti yang menang akan berusaha kuat untuk memastikan mereka mampu menyerap tekanan yang dikenakan parti yang satu lagi. Sepak terajang sepanjang tempoh itu - sepanjang tempoh 4 atau 5 tahun itulah pilihanraya. Demontrasi, marah, pembongkaran penyelewengan, memerhatikan perangai buruk pemain politik, gila kuaasa - baik parti yang menang besar, atau kalah teruk itulah pilihanraya.

Kita telah memerhatikan semuanya. Apa yang sedang berlaku di Kedah, Perak dan Selangor, negeri yang dipimpin Pakatan. Kita juga memerhatikan apa yang berlaku di negeri lain yang dikuasai Barisan Nasional. Kita berfikir, kita menganalisa semuanya.

Inilah tujuan pilihanraya. Ada kebaikan dalam persaingan ini. Bayangkan kalau tidak ada pilihanraya, tidak ada sesiapa akan melakukan apa-apa untuk menjaga hati pengundi. Tidak ada sesiapa yang akan melakukan pembongkaran.

Jadi, jangan sesiapa di antara kita yang fanatik sangat untuk menang. Jangan pula kecewa sangat kalau kalah. Jangan ada dendam kesumat hanya semata-mata untuk menang undi.

Hari mengundi hanyalah satu hari daripada ratusan hari pilihanraya yang lain!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails