Yang Ikut

Tuesday, 28 February 2012

Bila aku dikunjungi...

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini, beberapa pegawai polis datang ke pejabat saya.

Tetapi, mereka bukanlah datang untuk menyiasat salah laku atau salah guna kuasa. Mereka datang untuk menemuduga saya bagi bercakap hal pembaikan polis, dan bertanya saya apa pandangan saya mengenai polis.

Perbualan saya dirakamkan oleh lensa kamera video. Saya tidak pernah terbiasa dengan alat perakam seperti ini. Saya bukan artis. Saya hanya pensyarah biasa sahaja.

Saya bercakap hal personaliti polis seperti yang saya pernah tulis sebelum ini. Saya juga bercakap hal working memory yang menjadikan anggota polis yang tidak cekap cenderung untuk menembak manusia walaupun manusia di depannya bukanlah ancaman.

Saya mencadangkan agar pengambilan anggota polis dapat disaring dengan ujian psikologi tertentu, agar tidak berlaku kita mengambil mereka yang bukannya berminat dengan kerja polis, tetapi hanya memohon kerana tidak ada kerja.

Bagaimana pun, saya juga menyatakan bahawa anggota masyarakat tidak patut meletakkan terlalu banyak kesalahan di tangan polis. Ada hal-hal yang sepatutnya penjenayah tidak diraikan sebagai wira seperti yang selalu berlaku. Ini melemahkan moral anggota polis. Walaupun pada masa yang sama, kita juga tidak mahu kes seorang remaja ditembak polis berlaku lagi.

Itulah yang saya bualkan semasa wawancara itu.


Saturday, 25 February 2012

Bengkel penulisan jurnal ISI

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Besok aku akan ke Selesa Resort di Janda Baik untuk memberikan bengkel kepada ahli akademik sebuah universiti. Aku diminta untuk menceritakan apakah sebenarnya yang dikatakan 'penulisan jurnal ISI'.

Sebagai orang baru dalam dunia akademik, pastilah ia bukan topik terbaik aku juga memandangkan ramai di kalangan perserta adalah akademik yang sudah senior dalam bidang ini. Ada juga yang bergelar profesor.

Tetapi, kerana dunia akademik akan selalu membuka ruang untuk pelbagai perspektif, apa yang cuba aku bengkelkan tentulah dari perspektif aku. Ada orang yang akan setuju, dan ada yang tidak.

Sebenarnya, aku tidaklah pula merasa bimbang atau gusar jika sekalipun yang duduk di depanku nanti ialah ahli akademik besar. Ia sebahagian dari personaliti aku sejak sekian lama. Aku tidak begitu kisah dengan apa bentuk pun manusia. Bagi aku manusia ini sama sahaja.

Selama ini terdapat salah tanggap bahawa penulisan jurnal yang baik ialah bahasa yang baik. Sebenarnya tidak. Penulisan jurnal yang baik bermula sebelum anda merangka topik kajian lagi. Ia bukan soal bahasa yang baik dan berbunga-bunga. Jarang penilai menolak manuskrip hanya semata-mata kerana hal bahasa, melainkan bahasa itu sangat janggal.

Yang selalu diperhatikan ialah 'novelty of research', 'contribution of study' dan 'metodologi' yang digunapakai. Hasil analisis yang salah juga mungkin masih lagi diterima kerana ia masih boleh diperbetulkan.

Bagaimana pun, kalau ketiga-tiga hal yang disebutkan tadi lemah, tidak apa yang boleh dibuat lagi. Bahasa boleh diperbetulkan, tetapi tidak metodologi. Analisis boleh diperbaiki, tetapi tidak sumbangan kajian.

Itulah yang bakal menjadi topik aku besok. Tentu juga ada sedikit tips yang lain yang boleh dimanfaatkan.


Friday, 24 February 2012

Manusia dan topeng hidup

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tidak tahu apa yang hendak ditulis.

Jadi, aku link sahaja tulisan aku yang lain disini. Tolong cadangkan aku tajuk yang agak panas untuk aku tulis minggu hadapan. Ia terbit setiap Jumaat.

Kebelakangan ini dunia kian sibuk. Ini semester akhir pelajar tahun akhir di jabatan aku. Sebenarnya, mereka yang sepatutnya sibuk, bukannya aku. Malangnya aku terseret sibuk sama. Khususnya hal-hal statistik dan kajian.

Ketika aku belajar dulu, pensyarah hanya memberikan tugasan. Segala hal lain diselesaikan pelajar. Waktu itu, dunia masih gembira dengan SPSS. Waktu itu juga, bukan semua pensyarah tahu software statistik ini. Jadi, tidak dapat tidak, pelajar perlu cari sendiri.

Aku pula, datang dari dunia yang lain. Aku seperti dulu, masih 'rock n roll'. Aku tidak peduli sangat hal formaliti. Kebanyakan pelajar bawah seliaan aku memakai AMOS atau NviVO. Memandangkan tidak ada orang lain yang tahu hal ini, jadi akulah yang perlu mengajar mereka. Tetapi aku sebenarnya agak gembira apabila ada pelajar kita yang sedikit 'terkehadapan' dalam hal-hal seperti ini.

Bagi aku, ini satu kejayaan.

Benarlah, aku akan selalu 'push' mereka agar melakukan sesuatu dengan cepat. Itu sebenarnya skill dunia perkerjaan moden. Mereka yang lambat akan tersingkir dalam persaingan. Ia berlaku di seluruh dunia.

Dan berkerja dengan cepat itu jugalah cara aku selama ini. Sama ada mereka suka atau tidak, aku sukar untuk mengubah personaliti aku. Pelajarlah yang perlu mengubah cara mereka. Tetapi, jangan lupa - aku tidak akan membiarkan mereka terkapai-kapai tanpa arah.

Selamat menulis tesis para pelajar!

Tuesday, 21 February 2012

Apa khabar warga kuli?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tahukah anda bahawa 2.6 million orang kaya (ada aset lebih dari US$1 million, tidak termasuk rumah) berada di Asia, yang jumlahnya kira-kira 27.1 peratus dari jumlah keseluruhan manusia kaya di dunia. Banyak daripada mereka hidup di Jepun dan China. Mereka yang ultra kaya (ada aset lebih daripada US $30 million) pula berada di China.

Hebatkan orang Asia.

Ada hakikat yang lain pula. Kekayaan ini hanyalah di kalangan segelintir manusia sahaja.

Banyak daripada manusia bernama kuli pula hidup tertekan. Walaupun jumlah kerja yang ideal ialah 40 jam seminggu, manusia kuli di Asia berkerja lebih daripada 60 jam seminggu. Manusia kuli juga berkerja lebih masa kira-kira 38.9 jam seminggu, mencecah nilai maksimum sehingga 91 jam seminggu.

Apa masalahnya berkerja lebih masa?

Umumnya, kerja lebih masa ini tidak dibayar gaji yang sepadan.

Apa lagi yang menariknya menjadi manusia kuli ini?

Di Korea Selatan, dianggarkan kematian kerana kerja ialah 2453 orang, separuh daripadanya kerana kemalangan.

Kemurungan juga cerita utama dalam tragedi hidup warga kuli di Asia.

Ia sebab kedua yang membunuh warga buruh di Asia, khususnya mereka berumur 15-44 tahun.

Tahun 2005 lalu, 2,500, 000 manusia membunuh diri kerana kerja, atau nisbah 14.5 bagi setiap 100,000 manusia. 60 peratus daripada kejadian membunuh diri berada di Asia, majoritinya Japan, Korea Selatan dan China. Di antara tahun 2004-2005, lebih 1,700 manusia di Singapura membunuh diri, banyaknya terjun bangunan.

Apa lagi?

160,000 manusia kuli di China menghidap hypertension.

Apa lagi?

Dianggarkan 500,000 manusia kuli mati setiap tahun kerana pencemaran alam sekitar.

Dalam sepuluh tahun akan datang, manusia kuli yang akan mati kerana penyakit yang disebabkan kerja dan alam sekitar dianggarkan bertambah 35 million kepada 41 million setiap tahun. Ini berlaku di seluruh dunia.

Berbahagialah menjadi warga kuli. Walaupun banyaknya manusia kaya berada di Asia, manusia kuli sedang memikul lukanya.

Seronokkan menjadi kuli?

Tahniah warga kuli. Ia hadiah untuk kita semua.

Sunday, 19 February 2012

Cerita aku

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak balik Malaysia, kehidupan agak sibuk. Sebenarnya dunia pekerjaan di mana-mana tempat ini sama sahaja, sibuk dan meletihkan.

Beberapa minggu lalu, aku sibuk menjalankan bengkel untuk penulisan jurnal ISI. Hujung minggu ini, aku juga ada jemputan untuk perkara yang sama bagi staf akademik sebuah universiti di Janda Baik. Pertengahan bulan depan, aku akan ke Sarawak bagi memberikan bengkel di bawah topik yang sama.

Hujung bulan pula, akan memberikan bengkel AMOS di Bandar Baru Bangi.

Nampaknya, kerja akademik dalam dunia mutakhir ini tidak hanya sekadar mengajar pelajar universiti. Banyak hal yang perlu dilakukan. Menjadikan, aku sendiri tidak menuliskan satu kertas jurnal pun sejak balik ke Malaysia.

Ada 3 kajian yang sedang dilakukan. Ia juga menyibukkan.

Tidak ada yang mudah dalam dunia kita ini. Walaupun kerja akademik kelihatannya mudah, tetapi ia tidak semudah yang disangka. Bagaimana pun, ia mungkin perkara yang indah bagi mereka yang meminati dunia ini.

Beberapa minggu lalu, University of New South Wales memintakan aku menghantar semua dokumen yang perlu. Aku tidak tahu sama ada aku akan berjaya ke sana atau tidak.

Sepanjang dunia pekerjaan ini, banyak perkara telah aku lalui. Ada ketikanya aku menjadi kuli kecil, ada kalanya aku menjadi kuli besar. Ada ketikanya aku menjual nasi ayam di pasar Ramadhan, ada ketikanya aku memakai tali leher di dalam pejabat.

Apa pun bentuk pekerjaan, tujuannya tetap sama. Mencari sedikit wang untuk survival hidup. Sampai masanya kita dipanggil pulang, yang tetap tinggal hanyalah sekelumit pahala yang berbaki. Itu pun kalau ada.

Selamat hari minggu untuk semua.

Saturday, 18 February 2012

Baharu ini baru, atau baru ini baharu?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kalau anda selalu membaca akhbar, kita akan terperasan dengan ayat 'baharu' bagi menggantikan patah kata 'baru'. Patah kata baharu ini bukanlah baru, ia ayat Melayu lama juga. Cuma sebab cara kita menguruskan bahasa ini agak pelik, kita kadang-kadang mengubahnya berkali-kali. Setiap kali ada pemimpin baru, kita ada polisi bahasa yang baharu. Setiap kali ada orang baharu, dasar bahasa kita menjadi baru.

Dulu baharu menjadi baru, kini baru kembali menjadi baharu.

Harapnya ia tidak menjadi haru biru.

Dulu ada bahasa baku, kita kembali menjadi bahasa tak berbaku.

Yang baharu hanyalah istilah baru, tetapi bahasa kita tak ke mana juga.

Tidak pastilah mengapa harus diubah ayat baru ini, atau patah kata baharu ada makna yang lain dan tidak bermaksud baru. Orang bahasa tentu boleh menjawabnya. Tidak kiralah dari mazhab bahasa lama, baru atau baharu. Harap ada penjelasan.

Aku orang baru dalam dunia bahasa Melayu baharu ini. Aku mungkin juga tidak begitu baharu dalam dunia bahasa baru.



Selain ayat baharu ini, patah kata 'di kalangan' juga telah tiada. Ia digantikan dengan 'dalam kalangan'. Menjadikan aku yang baharu pulang dari luar negeri ini tidak begitu mengerti sangat dengan hal baharu dalam bahasa.

Apa salahnya di kalangan, dan mengapa harus dalam kalangan?

Perlu ada penjelasan. Nanti akan muncul pula ayat di luar kalangan. Ia boleh sahaja terjadi kalau dasar bahasa kita yang sekejap baharu, sekejap baru ini tidak berubah.

Baru ini baharu, atau baharu itu baru. Semua orang seperti aku akan jadi keliru.

Friday, 17 February 2012

Kalau kita mampu mengulangnya semula

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dunia ini sangat pantas berlalu. Sungguh cepat. Cepat dari apa yang kita harapkan.

Sesekali, menghantar anak ke sekolah, memerhatikan bilik darjah, melihat padang bola dan anak-anak berlari riang, ia seolah-olahnya membawa kita ke masa silam kita. Alam anak-anak yang hanya tahu bermain, berlari dan meminta dibelikan aiskrim.

Sesekali memerhatikan anak muda dengan segala fesyen baru, menggenggam Tablet dan Ipad, melepak dan merokok di bawah wakaf, mengingatkan kita dengan alam lain yang beberapa hari yang dulu kita tinggalkan. Sesekali mereka berjalan berpasangan, mengingatkan kita betapa indahnya alam remaja. Tiada duka. Yang ada hanya mimpi indah untuk menjadi lebih cepat dewasa.

4 tahun dulu, aku memijakkan kaki ke Adelaide. Mengharungi beberapa musim indah dan tidak. Mengharungi musim panas dan sejuk. Bersahabat dengan manusia baru yang tidak kita kenali sebelumnya.

Hari ini, aku sudah berada di alam kerja yang sibuk. Tidak ada lagi alam anak-anak. Kitalah yang menjaga anak-anak itu. Tidak ada lagi masa indah remaja berjalan ke tapak pesta atau merokok di belakang rumah. Kitalah yang memerhatikan gelagat anak-anak remaja. Sesekali terasa pelik.

Masa adalah musuh dan teman kita. Mimpi ngeri masa depan selalu menjadi cermin. Masa indah lalu sesekali mengekori.

Kalaulah kita mampu mengulangnya semula.

Tentu tidak lagi di dunia ini.

Wednesday, 15 February 2012

Penderaan mental

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selalu sangat kita dengar dalam isu rumahtangga, akan ada isteri yang didera secara fizikal oleh suami. Sesekali, ada juga kita dengar suami juga didera oleh isteri dengan kes simbah asid dan sebagainya.

Sejauh mana pula kita dengar kes penderaan mental atau emosi. Ia selalu berlaku. Bagaimana pun, kerana ia tidak meninggalkan bekas yang kelihatan, amat sukar untuk dilakukan sebarang aduan kepada pihak berwajib.

Ada isteri atau suami yang dihina pasangannya dengan kata-kata yang kesat. Isteri yang tidak mampu hamil misalnya akan dicerca dengan kata-kata mandul. Kalau ada suami yang tidak tampan, isteri mula berleter panjang dengan kata-kata - muka seperti belakang kuali dan sebagainya.

Semua ini kita dengar setiap hari. Kita mengetahuinya. Tetapi kita tidak mampu melakukan apa-apa.

Penderaan emosi ini juga berlaku di tempat kerja, baik yang dilakukan oleh majikan atau rakan sekerja.

Tidak seperti penderaan fizikal yang akan sembuh, penderaan emosi memberikan implikasi psikologikal termasuk kemurungan, kebimbangan, malah ada yang menjadi pesakit mental atau membunuh diri.

Aku akan cuba menulisnya di akhbar hal ini. Tunggu keluaran minggu depan.

Tuesday, 14 February 2012

Budak itu pelik, atau kita yang pelik?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Di tanah air, sejak beberapa hari ini kecoh dengan berita seorang pelajar yang selepas kemalangan, tiba-tiba boleh ercakap bahasa Korea dan Jepun. Bagi penggemar dunia mistik, tentulah ini ada kaitan dengan jin. Bagi yang tidak berminat dengan dunia saintifik, tidak ada apa-apa penjelasan yang boleh dilakukan melainkan ia fenomena ajaib.

Bagaimana mana pula dengan anda?

Sebenarnya bahasa ia kemahiran yang perlu dipelajari. Ia tidak akan datang sendiri. Ia berlainan dengan melukis. Manusia akan bercakap bahasa burung kalau sejak kecil hanya berkawan dengan burung dan tidak berbual atau mendengar bahasa manusia. Manusia akan jadi bisu kalau tidak pernah mendengar sepatah kata bahasa pun.

Kalau begitu, bagaimana pula dengan keanehan bahasa budak ini? Tidakkah ia hebat.

Ia tidak hebat, dan tidak pelik.

Soalan yang patut ditanya oleh peminat berita pelik - adakah benar budak itu bercakap bahasa Korea atau Jepun? Atau ia hanya sekadar bunyi seperti bahasa tersebut, tetapi bukan? Bagaimana kalau orang Jepun atau Korea mendengarnya, fahamkah mereka?

Keduanya, adakah budak ini peminat filem Korea atau Jepun? Dia mungkin menyimpan memori bahasa tersebut dalam alam tidak sedar, lalu dimunculkan setelah kemalangan? Seperti kita yang pernah belajar bahasa Inggeris - tetapi tidak pernah sepatah kata pun bercakap. Tiba-tiba terbangun dari tidur dan bercakap bahasa Inggeris. Ia bukan pelik.

Katakanlah - budak itu tidak pernah seumur hidupnya menonton filem Jepun atau Korea, tetapi memang selepas kemalangan boleh bercakap kedua-dua bahasa tersebut, orang bertanya bahasa itu dari mana datangnya?

Aku tidak pernah akan bertanya dari mana pakar sekalipun.

Aku cuma katakan, aku tidak mudah percaya dengan hal yang tidak munasabah.

Aku selalu mendengar deru angin, tetapi aku tidak akan percaya dengan bahasa angin!

Saturday, 4 February 2012

Derma atau meminta sedekah?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ia hal yang agak sensitif bagi kebanyakan orang Islam. Takut-takut, kalau kita tidak membuat kebaikan, kita akan dipandang sebagai mereka yang anti kebajikan dan tidak menjadi hamba yang soleh.

Takut-takut, kalau kita tidak menghulurkan seringgit dua kepada pemuda yang berkopiah putih yang datang meminta derma rumah anak yatim, kita ini akan dianggap hamba yang kejam.

Bagi sesetengah orang, kalau tidak mahu memberi pun tidak mengapa. Tetapi janganlah pula hati kecil berdetik berkata apa-apa. Ia tidak baik. Jangan bersangka buruk.

Persoalannya, mereka itu sedang meminta derma, meminta sedekah atau apa?

Apakah yang berbeza di antara wanita Myanmar yang mendukung seorang budak kecil di pintu masjid meminta sedekah, dengan mereka yang datang membawa buku resit dan memohon derma?

Semuanya atas nama kebaikan. Semuanya atas nama survival anak-anak kecil. Warga kaum terpinggir.

Bagi aku, bezanya cuma pada istilah sahaja.

Aku mula curiga dengan banyak sebab. Setiap kali ketika ke sebuah pusat membeli belah harga murah di Putrajaya, pasti ada seorang anak muda yang bekopiah putih memintakan derma membuka sekolah anak yatim. Anak muda ini datang dari mana?

Pada waktu yang lain, aku berjumpa pula dengan anak muda yang lain, yang wajahnya agak sama dengan pemuda tadi, cuma rambutnya agak panjang sedikit juga meminta derma sekolah anak yatim. Mungkin saudara kepada anak muda yang pertama tadi.

Tidak mengapalah, mereka mungkin meminta derma untuk sekolah anak yatim. Kita kena berbaik sangka kerana kalau tidak kita tidak akan dilihat sebagai mukmin yang baik.

Tetapi mengapa sampai pukul 11 malam masih ada yang merayau meminta derma? Di mana mereka ini tinggal? Datang naik apa? Semakin aku pelik, aku melihat mereka ini setiap petang dan malam. Aku tahu kerana aku adalah pelanggan tetap teh tarik. Boleh dikatakan aku akan berada di kawasan itu beberapa hari dalam seminggu, kalaupun tidak setiap hari.

Kita tutup cerita ini.

Tadi petang ketika di Bangi, sebaik sahaja aku membuka pintu kereta, ada 2 pemuda berkopiah tiba-tiba datang ke arah aku meminta derma sekolah anak yatim juga. Mereka ini bukan pemuda yang tadi. Ini dari kumpulan lain. Mereka menunjukkan aku sekeping surat. Tetapi aku tidak bertanya panjang kerana aku cuma berkata terima kasih. Aku harap dia faham.

Ketika aku sedang makan di sebuah kedai, pemuda tadi masuk pula berjalan ke meja orang ramai yang sedang makan. Mereka memintakan derma.

Mengapa harus seberat itu usaha untuk mendapatkan derma? Ia tidak ubah seperti jurujual di Takuban Perahu yang datang mengekori kita di setiap tempat.

Sebenarnya, sejak seminggu ini aku selalu singgah di KFC di sebelah Tol Sungai Besi. Pemuda yang datang meminta derma ini pernah aku lihat di sana juga. Tetapi di sana lain pula pekerjaan mereka. Mereka sedang menjualkan keropok ikan dari pantai timur. Berkopiah putih juga.

Ini semua menyebabkan banyak tanda tanya yang bersarang dalam minda aku. Benarkah mereka ini sedang meminta derma? Atau mereka ini sedang menjalankan perniagaan resit untuk mendapatkan wang.

Mengapa pula harus berkopiah putih? Mengapa tidak hanya memakai topi sahaja. Bimbang-bimbang, orang kafir jadi pelik tidak ada kerjakah 'pak lebai' ini selain meminta wang?

Pihak berwajib perlulah menyelidik hal-hal ini.

Teman aku juga sedang memelihara beberapa anak yatim. Tetapi, tidak pula aku lihat dia berlegar di sana sini mencari wang.

Maafkan aku kalau aku menulis sesuatu yang menunjukkan aku agak anti kebajikan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails