Yang Ikut

Thursday, 20 December 2012

Siapakah yang tidak tertikam duri?

Reactions: 
Duri, paku, kaca dan kerikil tajam ada di mana-mana. Kita mungkin selalu terselamat kerana memakai kasut. Kita mungkin jarang tertusuk kerana kita berjalan perlahan-lahan. Tajam mata kita memandang dengan penuh teliti.

Sejauh mana baik kita mencuba pun, akan ada masanya kaki kita tertusuk juga. Ia apabila waktu kita terlupa atau terleka. Ada ketikanya kita memakai kasut, tetapi kelihatannya paku begitu tajam dan menembus juga tapak kasut.

Kaki kita terluka.

Begitulah metaphora kehidupan ini. Sejauh mana pun kita mengelak dosa, kita menjadi manusia sempurna, berlari sedaya upaya, sesekali kita tertikam juga. Adakalanya memang salah kita. Tetapi manusia ini memang dikurniakan dengan sifat alpa. Adakalanya memang bukan salah kita, tetapi ia mengena diri kita juga. Ia ujian untuk kita.

Tentulah sangat indah kalau kita sejak dilahirkan sampai ke usia mati kita tidak melakukan dosa. Tetapi, tentulah itu bukan manusia. Ia hanya milik para Nabi dan Rasul. Selainnya, manusia kebanyakan seperti kita, akan dilanda dengan pelbagai ujian. 

Ada orang yang diuji dengan amal, ada orang bergelumang dengan maksiat. Ada orang yang banyak amal tetapi hatinya diseliputi rasa angkuh dan riak. Ada orang yang selalu membuat dosa, tetapi cepat sedar dan pulang ke pangkal jalan.

Bercakap memang mudah kan? Pulang ke pangkal jalan tidak semudah pulang ke rumah. Tetapi mencuba pulang ke pangkal jalan itulah perjalanan terindah hidup manusia. Ada orang berkali-kali mencubanya. Ada orang sesekali mencubanya.

Tidak mengapalah. Kita cubalah apa yang terdaya.

Kita hanya manusia. Kita hanya orang biasa.

Setiap daripada kita ada ceritanya. Cerita tertikam duri, paku, kaca dan kerikil adalah cerita kita semua. Ada yang boleh kita jadikan sempadan. Ada yang boleh dijadikan tauladan.

Kenapa harus begitu kecewa? 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails