Yang Ikut

Thursday, 13 December 2012

Siapakah yang bakal menghiburkan kita?

Reactions: 
Membaca cerita Yahya Sulong, sesekali mengingatkan kita begitulah yang sentiasa terjadi dalam kitar hidup kita sebagai manusia. Dia pelakon dan pelawak yang bagus di zamannya. Dia menghiburkan hati kita semua dalam beberapa buah filemnya. Dia menyenangkan hati kita dengan keupayaannya.

Tetapi, begitulah kitar hidup yang selalu berulang. Dia mungkin telah banyak menghiburkan hati manusia terluka di masa mudanya, bagaimana pun kini siapakah pula yang bakal menghiburkannya?

Ibu kita mungkin telah menjaga dan membesarkan kita di usia mudanya. Apa sahaja yang kita minta akan dikabulkannya, sekalipun mengharung lelah dan resah. Tatkala dia di penghujung usia, siapa pula yang bakal menjaganya? Apatah lagi untuk bersakit dan berkongsi payah di ruang hidup yang sepi?

Kita? Mungkin bukan kita. Kita sibuk dengan kerjaya. Kita sibuk dengan hutang bank dan rumah baru. Kita juga sibuk dengan segala macam yang lain.

Kita juga, bila sampai waktunya, kita juga seperti kebanyakan orang lain. Tidak ada sesiapa pun yang bakal menghiburkan kita.

Sekarang kita masih muda. Ada pangkat, kuasa, tenaga dan wang. Sesiapa yang lalu, sesiapa menyapa. Semakin kita berkuasa, semakin banyak pula ampunya. Kalau kita penyanyi atau pelakon yang hebat, yang cantik dan muda, sesiapa sahaja akan mendapatkan tandatangan kita. Kalau kita pensyarah atau profesor terkenal, sepatah sahaja ucap kita - bakal nanti diulas panjang oleh mereka yang lain. Kalau kita pegawai kanan negeri, sesiapa sahaja bakal memberikan kita hadiah dan puji yang hebat.

Mereka semua menghiburkan kita. Kerana kita juga mampu menghiburkan mereka. Kita boleh memberikan mereka apa yang mereka pinta.

Tatkala usia senja menjengah kita, tidak berharta dan berpangkat pula, tidak ada sesiapa pun memandang kita. Apatah ingin menghiburkan kita.

Kitalah sendiri yang bakal menghiburkan diri kita. Itu pun, kalau kita ada sedikit amal untuk dijadikan bekal untuk melagukan irama riang.

Kalau tidak, kita bakal menjadi manusia terluka yang sepi.

Kita mungkin mampu menghiburkan jutaan orang dengan pangkat, wang dan bakat, tetapi percayalah bila sampai waktunya, tidak ada seorang pun yang mampu menghiburkan kita pula.

Kitar sepi dan patah hati ini adalah rutin untuk semua yang bernama manusia.

Pernahkah kita belajar daripadanya?

3 comments:

Kolek Kecil said...

Sedih Dr, artikel ni. Sebab tiap kali lepas berdoa, akan terbayang mcam-macam tentang ibu ayah di rumah.

Anonymous said...

Hidup ini satu kitaran. Janganlah kita bersikap angkuh dan sombong ketika kita berjaya dan hebat terutamanya melayan orang sekeliling kita baik dengan ibu bapa kita, kawan mahupun sesiapa sahaja. Ini kerana, hari esok, nasib kita belum tentu akan sebaik seperti hari ini.

Hidup ini satu kitaran. Andainya kita memberikan hiburan pada orang lain, kita pasti akan dihiburkan balik satu masa nanti sama ada dalam duniawi atau akhirat.

Anonymous said...

Bertanyakan soalan "siapakah yang akan menghiburkan saya" tidak akan menemukan kita dengan hati yang terhibur. Ia cuma akan menimbulkan lebih banyak persoalan-persoalan yang barangkali membawa kita kepada hati yang sepi, sedih dan tidak bahagia.

Bukankah lebih elok untuk kita bertanyakan "siapakah orang yang saya hendak hiburkan hari ini". Ini kerana, ada satu pepatah pernah mengatakan, apabila anda berjaya menghiburkan orang lain, ada dua orang yang akan terhibur iaitu anda dan orang yang anda hiburkan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails