Yang Ikut

Monday, 17 December 2012

Siapakah ustaz?

Reactions: 
Saya sebenarnya sudah lama ingin menulis tajuk ini.

Setiap kali berbual baik di kedai kopi atau di mana sahaja, akan ada individu yang dirujuk sebagai 'ustaz'. Saya tidak tahu atas alasan apakah seseorang itu patut dinamakan sebagai 'ustaz'. Adakah kerana mereka alim hal agama, atau kerana mereka berpakaian seperti ustaz, misalnya memakai serban, kopiah dan sebagainya.

Saya bertanya dalam diri saya sendiri. Adakalanya, saya bertemu dengan orang yang bukanlah dalam kategori mereka yang mengajar agama, atau mendalami hal agama. Mereka ini mungkin berpakaian seperti ustaz, tetapi kerjanya ialah merawat orang. Tidak kisahlah apa metod perubatan sekalipun.

Malah, banyak orang yang saya ketahui alim dalam agama di kampung saya, bahkan ada yang diketahui sebagai sangat alim, tidak pun dipanggil dengan ustaz.

Adakah dengan hanya keluar mengiku jemaah tertentu misalnya, membolehkan seseorang itu dipanggil ustaz. Begitu jugalah mereka yang dahinya lebam kerana banyak bersembahyang patut dipanggil ustaz?

Saya tidak tahu. Mungkin gelar ustaz ini membawa sedikit penghormatan.

Bagaimana pun, ada yang telah tersalah tafsir, bahkan ada yang menggunakan gelar ini untuk memanipulasi orang lain.

Banyak bomoh yang adakalanya menggunakan mentera yang aneh, dan metod yang pelik juga menggunakan gelar 'ustaz' di depannya. Ada pula yang mengeluarkan fatwa yang adakalanya meragukan.

Tetapi kerana ada gelar ustaz, orang percaya juga.

Jadi siapakah sebenarnya ustaz?

Tidaklah kita mengharapkan mereka ini patut ada lulusan Al-Azhar atau belajar puluhan tahu di pondok bagi membolehkan kita memanggil mereka ustaz.

Cuma yang tidak kita harapkan ialah tidaklah patut semua orang yang memakai kopiah atau berserban itu juga patut digelar ustaz.

Dulu-dulu semasa saya masih kecil, selalu saya bertanya mengapa ada ustaz meniaga makan di bulan puasa. Pembelinya bukan wanita yang mungkin tidak berpuasa kerana darurat. Pembelinya ialah anak muda lelaki yang beragama Islam yang kita tahu tentu tidak berpuasa.

Lama-lama saya tahu, belum tentu mereka yang bersorban itu ustaz. Belum tentu orang yang membahasakan dirinya ustaz itu juga 'ustaz' dalam makna yang difahami oleh otak kita.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails